editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Astro terus mengukuhkan kedudukannya dalam penerbitan kandungan premium menerusi jenama Astro Originals dengan pelancaran siri terbaharu berjudul “Good Boys Go To Heaven”, sebuah naskhah thriller psikologi yang sarat dengan elemen saspens dan trauma yang dijangka memikat perhatian penonton tempatan.
Terbitan Astro Shaw ini bakal menemui penonton bermula 8 Mei 2026, disiarkan setiap hari Jumaat pada jam 12 tengah malam menerusi On Demand, selain turut ditayangkan pada jam 9 malam di Astro Ria (Saluran 104) dan Astro Citra (Saluran 108).
Siri ini juga boleh ditonton lebih awal secara eksklusif melalui platform Astro GO serta aplikasi Sooka.
Selari dengan usaha Astro Originals dalam mengembangkan genre thriller psikologi, “Good Boys Go To Heaven” diterajui oleh penulis skrip terkemuka, Mira Mustaffa, yang juga pemenang Anugerah Festival Filem Malaysia (FFM).

Beliau yang juga bakat kreatif dari Astro Shaw turut menggalas tanggungjawab sebagai showrunner bagi siri ini, sekali gus menjanjikan jalan cerita yang kukuh dan berimpak tinggi.
Naskhah ini mengangkat kisah menyayat hati seorang bapa, Yasser, yang berdepan mimpi ngeri apabila anak lelakinya, Ahyan, dilaporkan hilang sebelum jasad kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan tragis selepas dibunuh dengan kejam.
Penceritaan ini bukan sahaja menyentuh emosi, malah menelusuri kesan trauma mendalam yang dialami oleh individu serta impaknya terhadap orang sekeliling.
“Good Boys Go To Heaven” diarahkan oleh Ariff Zulkarnain, yang sebelum ini mencipta kejayaan menerusi “One Cent Thief 2”, manakala produksi dikendalikan oleh Indigo Film.

Kekuatan siri ini turut diperkukuhkan dengan barisan pelakon berkaliber termasuk Beto Kusyairy sebagai Yasser, Zahirah MacWilson sebagai Dahlia, Firdaus Karim sebagai Bahamin, Malek McCrone sebagai Zayd, Amerul Affendi sebagai Inspektor Kamal, Amanda Ang sebagai Sarjan Leona, Sky Iskandar sebagai Ustaz Reyhan serta bakat cilik baharu, Sayf Mikael yang memegang watak Ahyan.
Penerbit Eksekutif “Good Boys Go To Heaven” merangkap Ketua Astro Shaw dan Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara, Astro, Raja Jastina Raja Arshad berkata, karya ini adalah usaha berterusan Astro Shaw untuk memperluas kandungan Astro Originals dengan penceritaan yang lebih berani dan relevan, disokong oleh skala produksi berkualiti tinggi.


Menurut beliau, projek itu juga mencerminkan keyakinan terhadap bakat tempatan, khususnya dalam memberi ruang kepada penulis terbaik industri.
Kerjasama dengan Mira Mustaffa sebagai showrunner dilihat sebagai langkah strategik, selain mengembalikan Ariff Zulkarnain sebagai pengarah bagi mengemudi naratif yang berteraskan tema trauma serta isu kehilangan kanak-kanak.


Katanya, peningkatan kes kehilangan kanak-kanak di negara ini menjadi antara inspirasi utama penghasilan siri terbabit, dengan harapan agar mesej yang dibawa dapat meningkatkan kesedaran masyarakat dan tidak sekadar menjadi isu yang tenggelam selepas liputan media.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini serta menonton klip-klip menarik “Good Boys Go To Heaven” menerusi platform media sosial rasmi Astro Gempak dan Astro Shaw di Instagram, TikTok, Facebook dan X.

