29 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 29, 2026

Björn Again bawa ‘The ABBA Forever Tour’ ke Kuala Lumpur Ogos ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Peminat muzik pop klasik bakal disajikan dengan pengalaman luar biasa apabila kumpulan tribute terkenal dunia, Björn Again, bakal membuat penampilan sulung mereka di ibu negara menerusi siri jelajah The ABBA Forever Tour 2026.

Didatangkan khas dari Melbourne, Australia, kumpulan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa itu akan menghiburkan peminat tempatan dengan persembahan berdurasi dua jam yang meraikan keabadian muzik ABBA, sekali gus menjanjikan malam penuh nostalgia, tenaga dan hiburan berkualiti tinggi.

Sepanjang konsert, penonton bakal dihidangkan dengan deretan lagu hits ikonik seperti “Mamma Mia”, “Dancing Queen”, “Waterloo”, “SOS” dan “Gimme! Gimme! Gimme!”, selain balada popular termasuk “The Winner Takes It All”, “I Have a Dream”, “Chiquitita” dan “Fernando” yang terus merentasi generasi peminat.

Terkenal sebagai antara persembahan tribute terbaik dunia, Björn Again menggabungkan vokal yang hampir menyamai versi asal, tenaga pentas yang memukau, kostum glamor serta elemen humor dan teater yang menjadikan pengalaman menonton lebih hidup dan menghiburkan.

Ditubuhkan pada tahun 1988 di Melbourne, kumpulan ini telah membuat persembahan di lebih 120 negara dan merupakan satu-satunya tribute band yang diiktiraf secara rasmi oleh ahli ABBA sendiri.

Reputasi mereka sebagai fenomena global turut diperkukuh dengan sokongan peminat terkenal seperti Metallica, Nirvana, Tom Jones, Rowan Atkinson dan J. K. Rowling.

Sepanjang kerjaya mereka, Björn Again telah mengadakan persembahan di lokasi berprestij dunia seperti Wembley Stadium, Royal Albert Hall, Sydney Opera House dan Myer Music Bowl, selain festival antarabangsa seperti Glastonbury Festival, Roskilde Festival serta Reading Festival.

Pementasan mereka turut menerima pujian meluas, termasuk daripada Time Out yang menyifatkan Björn Again sebagai antara persembahan langsung paling menghiburkan di dunia.

Malah, anggota ABBA, Benny Andersson, pernah menyatakan bahawa persembahan Björn Again adalah pengalaman paling hampir untuk peminat merasai konsert ABBA sebenar.

Populariti muzik ABBA yang kembali melonjak di peringkat global, didorong oleh filem seperti Mamma Mia! dan produksi pentas antarabangsa, menjadikan hentian Kuala Lumpur sebagai antara acara wajib tonton bagi tahun 2026.

Konsert anjuran Shiraz Projects ini dijadual berlangsung pada 12 Ogos 2026, jam 8 malam di Zepp Kuala Lumpur.

Tiket mula dijual pada 28 April 2026 melalui platform dalam talian, dengan harga bermula daripada RM228 hingga RM600 mengikut kategori tempat duduk.

Dengan gabungan muzik abadi, persembahan bertenaga dan elemen hiburan yang menyeluruh, kehadiran Björn Again ke Kuala Lumpur dijangka menjadi antara konsert paling dinanti-nantikan tahun ini, sekali gus menawarkan pengalaman yang tidak harus dilepaskan oleh peminat muzik dari semua peringkat usia.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular