28.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 27, 2026
Home Blog Page 78

TV AlHijrah sambut ulang tahun ke-15 bersama ummah di Karnival Al-Falah MADANI

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR –  Menandakan usia 15 tahun sebagai sebuah stesen penyiaran Islam yang sentiasa mendekati masyarakat, TV AlHijrah mengambil pendekatan berbeza dan penuh makna dengan memilih masjid sebagai lokasi utama sambutan ulang tahunnya.

Masjid Jamek Beserah di Kuantan, Pahang bakal menjadi pentas utama kepada Karnival Al-Falah MADANI Indera Mahkota 2025, yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 27 hingga 29 Jun ini.

Tidak seperti lazimnya sambutan yang diraikan dalam dewan atau lokasi mewah, ulang tahun kali ini diraikan dalam suasana terbuka dan inklusif, membuktikan komitmen TV AlHijrah terhadap dakwah berteraskan pendekatan merakyat.

Karnival ini bukan sahaja mengangkat semangat Maal Hijrah 1447H, tetapi turut dijadikan medan untuk merapatkan hubungan antara stesen penyiaran dan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti berteraskan nilai Islam.

Kemuncak acara akan berlangsung pada malam Jumaat, 27 Jun, menerusi program siaran langsung eksklusif Hijrah Berselawat yang akan disiarkan dari jam 9 hingga 11 malam.

Menggabungkan elemen selawat, tausiyah dan persembahan seni Islamik, program ini dijangka menjadi malam yang penuh kesyahduan dan penghayatan spiritual.

Ia akan dikendalikan oleh dua figura terkenal dalam arena dakwah santai iaitu Syamsul Debat dan Shamsul Ghau-Ghau yang pastinya menghidupkan suasana dengan pendekatan mesra tetapi sarat dengan mesej ilmu.

Antara pendakwah yang akan tampil mengisi slot tausiyah termasuk PU Rozi Harun, Ustaz Tariq Jaffri, Ustaz Hassan Basri Ali, Ustaz Ahmad Tirmizi Haji Ali dan Ustaz Nadir Al Nuri.

Manakala persembahan selawat dan nasyid bakal dipersembahkan oleh artis-artis ternama seperti Al-Maqari, Lah Ahmad, Zaff VE dan Usop Kopratasa.

Gabungan pendakwah dan pemuzik Islamik ini dijangka mencipta suasana rohani yang menyentuh hati, menyemarakkan semangat hijrah dan memperkukuh ikatan ukhuwah dalam kalangan hadirin dan penonton.

Sepanjang tiga hari penganjuran, TV AlHijrah turut menyediakan pelbagai reruai interaktif yang memberi peluang kepada masyarakat untuk berinteraksi secara langsung dengan personaliti TV, menyertai kuiz keagamaan, permainan silang kata jawi serta menerima cenderamata eksklusif sempena ulang tahun ke-15 stesen terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata,  pendekatan ini selari dengan misi dan visi TV AlHijrah sebagai medium dakwah yang dekat dengan denyut nadi masyarakat.

“Kami tidak menyambut ulang tahun ini di tempat tertutup atau hanya bersama warga kerja dalaman.

“Sebaliknya, kami memilih untuk bersama masyarakat Indera Mahkota dalam suasana yang memperkukuh ukhuwah dan nilai Islam.

“Inilah wajah sebenar TV AlHijrah berdakwah melalui pendekatan yang mendidik, menyentuh dan merakyat,” katanya.

Beliau berkata, ulang tahun ke-15 bukan satu noktah, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar.

Jelasnya, TV AlHijrah akan terus berkembang sebagai pemudah cara masyarakat dalam membina kefahaman Islam yang progresif, rahmah dan menyatu, dengan memastikan hubungan rapat dengan masyarakat sentiasa terpelihara.

“Malam Hijrah Berselawat bukan sekadar program siaran langsung.

“Ia adalah malam muhasabah, kebersamaan dan kesyukuran atas perjuangan dakwah yang telah dilalui selama ini.

“Kami mahu rakyat rasai sendiri makna dakwah yang disampaikan bukan hanya ditonton, tetapi dihayati,” katanya.

Karnival Al-Falah MADANI turut menampilkan rakaman Forum Hal Ehwal Islam, Jelajah MADANI Ulama dan Umara, sesi bantuan komuniti, aktiviti kekeluargaan serta kuliah perdana dijangka menarik ribuan pengunjung dari seluruh negeri Pahang dan kawasan sekitarnya.

Ia secara tidak langsung meletakkan acara ini sebagai antara program komuniti Islam terbesar di Pantai Timur untuk tahun ini.

TV AlHijrah mengalu-alukan kehadiran semua lapisan masyarakat ke karnival ini, bukan sekadar sebagai penonton atau pengunjung, tetapi sebagai penyokong perjuangan dakwah yang kini memasuki usia matang.

Dalam semangat hijrah dan kesatuan ummah, sambutan ulang tahun ke-15 ini diharap menjadi pencetus kepada episod baharu dalam pengembangan dakwah Islam di negara ini.

GGR Motor lancar motosikal elektrik terbaharu bersama selebriti tanah air: Pacu revolusi mobiliti hijau tempatan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam usaha memperkukuh komitmen terhadap kelestarian dan inovasi dalam industri automotif, GGR Motor, syarikat tempatan yang terkenal dengan inspirasi daripada filem ikonik “Gila-Gila Remaja”, melancarkan model motosikal elektrik (EV) terbaharu mereka menerusi inisiatif dinamakan Go Green Revolution.

Pelancaran itu akan berlangsung pada 28 Jun ini di Saloma Kuala Lumpur dengan kerjasama rakan strategik eksklusif mereka, PMH Motor Sdn. Bhd., selaku pengedar utama bagi rangkaian motosikal EV berkenaan.

Majlis berprestij ini turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman, sebagai tetamu kehormat.

Kehadiran beliau dilihat sebagai satu penghargaan kepada graduan TVET MARA, IKM Beseri dan UNIKL MFI dalam bidang automotif yang kini tampil sebagai pemacu teknologi hijau negara.

Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi berkata, pelancaran ini adalah langkah awal dalam merakyatkan penggunaan motosikal elektrik melalui pendekatan mesra pengguna, terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Beliau percaya kehadiran selebriti terkenal dalam kempen ini mampu memperluaskan capaian mesej kesedaran alam sekitar dengan lebih berkesan.

“Saya percaya apabila artis sendiri menggunakan EV, ia akan memberi impak besar terhadap pemahaman dan penerimaan orang ramai terhadap mobiliti hijau.

“Mereka bukan sekadar duta, tetapi juga sahabat dan rakan strategik yang mampu membawa nilai positif kepada jenama,” katanya.

Antara selebriti yang bakal memeriahkan acara termasuk Johan Raja Lawak, Cat Farish, Nabil Ahmad, Ajak Shiro, Farid Kamil dan Bella Astillah.

Mereka dijangka bukan sahaja hadir sebagai tetamu, malah turut menjayakan pelbagai aktiviti seperti persembahan komuniti, sesi pandu uji (test ride), cabutan bertuah dan aktiviti santai bersama peminat serta pencinta EV. Acara pelancaran akan berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang.

Menariknya, Johan, yang juga dikenali melalui jenama makanan popular Itik ke Ayam?, akan terbabit lebih jauh dalam kolaborasi ini apabila GGR Motor merancang untuk membuka cawangan bersama artis terpilih selepas pelancaran.

Lokasi pertama dijangka dibuka berhampiran restoran Johan di Taman Melawati.

Mengulas mengenai penglibatannya, Johan berkata, kerjasama dengan GGR Motor adalah peluang untuk menyumbang kepada pembangunan industri EV tempatan.

“Saya sangat teruja. Ini bukan sahaja tentang produk, tetapi tentang mencipta impak kepada masyarakat.

“EV adalah masa depan dan saya percaya ia boleh menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.

Bagi Farid Kamil pula, tawaran kerjasama ini dianggap sebagai satu rezeki yang datang pada masa dan tempat yang tepat. Pelakon itu menyatakan hasratnya untuk memulakan usaha perniagaan di bawah pengurusan Prokuya Studios, sekali gus membuka lembaran baharu dalam bidang keusahawanan melalui sektor teknologi hijau.

Dalam mengukuhkan lagi komitmen terhadap inisiatif kelestarian, GGR Motor turut mengumumkan penajaan dua unit motosikal elektrik model LionG1 e-bike bernilai RM2,054 setiap satu.

Hadiah ini akan diberikan kepada penonton bertuah semasa konsert Aku Muzik Kamu (AMK Indie 2025) yang dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Julai di Litar Antarabangsa Sepang.

Menurut Mussadiq, penajaan ini bukan semata-mata strategi pemasaran, tetapi satu cara untuk menyemai semangat perubahan dalam kalangan generasi muda.

Sementara itu, kenangan kolaborasi terdahulu bersama selebriti seperti Bella Astillah turut disebut, apabila penyanyi itu pernah menerima skuter elektrik daripada GGR Motor dua tahun lalu, dalam satu kerjasama bersama Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA).

Ketika itu, kehadiran Bella dalam kempen mempopularkan jenama GGR Motor menjadi tular, khususnya dalam suasana hangat konflik rumah tangganya yang mendapat perhatian umum.

Melangkah ke hadapan, GGR Motor turut menyatakan hasrat untuk mempersembahkan pelancaran rasmi motosikal elektrik ini kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, sebagai simbol komitmen syarikat terhadap penghasilan teknologi tempatan yang seiring aspirasi nasional ke arah ekonomi hijau.

“Ini bukan hanya tentang produk, tetapi membawa perubahan budaya dan gaya hidup.

“Kami mahu generasi akan datang melihat penggunaan EV sebagai satu norma baharu yang positif,” katanya.

Dengan semangat kolaborasi, inovasi tempatan dan pendekatan yang inklusif membabitkan artis serta komuniti, pelancaran motosikal elektrik GGR Motor ini dijangka bukan sahaja memberi nafas baharu kepada industri automotif, malah mengangkat jenama tempatan ke peringkat yang lebih tinggi baik dari segi ekonomi mahupun kelestarian alam sekitar.

WEF ASEAN 2025 tonjol peranan wanita serantau dalam menerajui ekonomi masa depan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur terus mengukuhkan peranannya sebagai hab diplomasi serantau apabila menjadi tuan rumah kepada Women Economic Forum (WEF) ASEAN 2025 yang berlangsung dari 19 hingga 21 Jun 2025 di Dewan Perdana, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Forum selama tiga hari ini menghimpunkan lebih 500 peserta dari pelbagai negara, termasuk pemimpin wanita, pembuat dasar, ahli akademik, selebriti, usahawan serta penggiat masyarakat dari seluruh ASEAN dan antarabangsa.

Berteraskan tema “Women Leaders Beyond Borders: Shaping the Future of the ASEAN SHEconomy”, forum ini menekankan kepentingan kepimpinan inklusif serta kerjasama rentas sempadan dalam memperkukuh peranan wanita dalam pembangunan ekonomi serantau.

Majlis perasmian disempurnakan oleh isteri kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, manakala majlis penutup esok akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat  Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Hadir sama menerajui program ialah Pengerusi Penganjur WEF ASEAN 2025, Datin Dr. (h.c.) Hartini Osman.

Sebanyak 140 penceramah mewakili lebih 20 buah negara telah hadir, termasuk tokoh-tokoh berpengaruh daripada pelbagai sektor industri, akademik dan masyarakat sivil.

Antara pengisian utama forum termasuk sesi plenari dan perbincangan meja bulat, sesi ‘fireside chat’ bersama selebriti ASEAN serta pemimpin industri, bengkel interaktif, padanan perniagaan dan pameran.

Acara kemuncak forum adalah Majlis Makan Malam Gala dan Anugerah WEF ASEAN 2025 yang dijadualkan berlangsung pada malam 20 Jun.

Malam itu akan menyaksikan penganugerahan kepada tokoh-tokoh wanita terkemuka dari serata ASEAN yang telah memberi impak luar biasa dalam komuniti masing-masing.

Sebagai sebuah gerakan bukan berasaskan keuntungan, WEF ASEAN berperanan sebagai bentuk diplomasi awam yang memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan wanita merentasi pelbagai sektor dan industri.

Dalam konteks ini, forum turut diangkat sebagai lambang kepada SHEconomy  satu pengiktirafan terhadap pengaruh yang semakin meningkat dari kalangan wanita dalam membentuk hala tuju ekonomi global.

Forum ini bukan sahaja membuka ruang kepada wacana bermakna, tetapi juga dijangka menterjemahkan perbincangan kepada komitmen konkrit seperti ikrar korporat dan kerjasama antara kerajaan.

Ia juga diharap menjadi inspirasi kepada generasi muda wanita melalui perkongsian kejayaan tokoh-tokoh ternama yang hadir.

Dalam dunia yang kian kompleks dan mencabar, kemajuan teknologi dilihat sebagai pedang bermata dua mempercepatkan perubahan, namun turut mengganggu interaksi sosial dan hubungan kemanusiaan.

Khususnya kepada kumpulan rentan seperti kanak-kanak dan warga emas, forum ini turut mengingatkan tentang pentingnya pemantauan serta kesedaran kendiri agar teknologi tidak membawa kepada pengasingan digital atau penyalahgunaan.

Selain itu, aspek keseimbangan kerja dan kehidupan turut diketengahkan sebagai elemen penting dalam pemerkasaan wanita.

Forum ini menggariskan bahawa keseimbangan berkenaan harus merangkumi penjagaan kesihatan mental, pembangunan diri dan kesejahteraan emosi.

Namun realitinya, ramai ibu bapa yang bekerja masih berhadapan cabaran dalam mengimbangi kerjaya dan tanggungjawab keluarga, terutamanya apabila sokongan tambahan dari segi ekonomi dan masa amat terhad.

Menyoroti peranan wanita dalam keluarga, forum turut menekankan bahawa tanggungjawab membesarkan anak bukanlah tanggungjawab sebelah pihak.

Ia adalah amanah bersama yang menuntut kesefahaman, toleransi dan pembahagian peranan secara adil, walaupun tidak semestinya sama rata.

Kerja penjagaan tidak berbayar, seperti urusan rumah tangga dan sokongan emosi, meskipun tidak tercatat dalam laporan ekonomi, hakikatnya mempunyai nilai jangka panjang yang besar kepada masyarakat.

Sebagai penutup, peserta dan penganjur diajak untuk terus berpegang kepada prinsip pemerkasaan, kesaksamaan, keadilan, kelestarian dan kolaborasi.

Forum ini mengajak semua pihak untuk bersama-sama membina dunia yang tidak lagi menjadikan jantina sebagai halangan kepada kejayaan sebaliknya meraikan potensi wanita untuk terus bersinar dan memacu kemajuan.

Ucapan penghargaan turut disampaikan kepada Jawatankuasa Penganjur, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), serta semua pihak yang telah memberikan komitmen tinggi dalam menjayakan forum ini.

Rossa gegarkan Axiata Arena dengan ‘Here I Am Concert’: Persembahan penuh emosi dan penghargaan kepada muzik nusantara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Arena megah Axiata Arena Bukit Jalil sekali lagi menjadi lokasi bersejarah apabila lebih 8,000 peminat membanjiri ruang dewan bagi menyaksikan satu malam istimewa bersama penyanyi tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa.

Konsert ‘Rossa Here I Am’ bukan sekadar sebuah persembahan biasa, sebaliknya menjadi satu manifestasi cinta terhadap muzik, emosi yang menyentuh hati dan penghargaan terhadap bakat serta kolaborasi seni dari dua negara serumpun.

Dengan deretan lagu-lagu hit yang telah mendominasi carta muzik Asia Tenggara selama lebih dua dekad, Rossa membuktikan bahawa kedudukannya sebagai diva pop serantau masih utuh.

Persembahannya yang penuh bertenaga, disulami vokal mantap dan ekspresi jiwa yang mendalam, telah menyentuh hati penonton yang tidak henti-henti bersorak dan menyanyi bersama sepanjang malam.

Apa yang menjadikan konsert ini lebih istimewa ialah kehadiran beberapa figura terkenal dari dunia seni yang turut berkongsi pentas dengan Rossa.

Barisan artis popular seperti Hael Husaini, Ernie Zakri, Ariel Noah, Dipha Barus, MK daripada kumpulan K-Clique, serta The Ladies bekas peserta Indonesian Idol tampil memberikan variasi kepada persembahan yang penuh warna dan gaya.

Selain meraikan karier seninya sendiri, Rossa turut mempersembahkan satu penghormatan yang cukup menyentuh jiwa buat rakan seperjuangan beliau dari Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Dalam satu segmen yang didedikasikan khas buat penyanyi tersohor tanah air itu, Rossa menyampaikan empat buah lagu popular Siti secara medley, yang bukan sahaja mengundang nostalgia, tetapi juga membuktikan kekuatan hubungan seni dua bintang besar dari rantau Nusantara.

Pentas megah malam itu turut menjadi medan berprestij buat empat bintang baharu hasil pencarian bakat menerusi program realiti Calpis Soda One in a Million (CSOIAM).

MaryGrace, Kai Deva, Jimi dan Zazzleen tampil yakin, menunjukkan kemampuan vokal dan persembahan mereka setanding dengan artis profesional.

Mereka diberi penghormatan untuk tampil bersama Rossa dan kemunculan mereka nyata menyuntik elemen segar dan berpotensi besar kepada dunia seni tempatan.

Konsert ini tidak hanya menjadi pentas meraikan Rossa sebagai penyanyi legenda, malah menjadi simbol kepada penyatuan budaya, semangat kolaboratif serta penghargaan terhadap bakat pelbagai generasi.

Melalui gabungan artis senior dan bakat baharu, konsert ini memperlihatkan bagaimana muzik mampu merentas zaman dan latar, menghubungkan generasi dalam satu ruang rasa yang sama.

Penonton yang hadir jelas tidak mahu melepaskan setiap momen berharga sepanjang persembahan berlangsung.

Ada yang menitiskan air mata ketika Rossa membawakan lagu-lagu balada yang penuh makna, ada juga yang bangun berdiri dan menari ketika lagu-lagu rancak dimainkan mencerminkan keterlibatan emosi yang tulus dari penonton terhadap setiap persembahan.

‘Rossa Here I Am Concert’ bukan sekadar malam hiburan. Ia adalah satu perayaan seni, satu penghormatan kepada muzik dan penyanyi yang telah banyak menyumbang kepada landskap hiburan serantau, serta satu pentas yang memberi harapan dan peluang kepada generasi pelapis untuk bersinar.

Dengan kejayaan konsert ini, tidak syak lagi bahawa Rossa terus berdiri sebagai lambang kekuatan seni yang tidak pernah pudar, manakala Malaysia terus membuktikan kemampuannya sebagai destinasi utama bagi penganjuran konsert-konsert antarabangsa yang bertaraf dunia.

SK Putrajaya Presint 11(1) angkat martabat sekolah Malaysia ke persada dunia

editormaxinfo@gmail.com

LANGKAWI – Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11(1) sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya melakar nama sebagai salah satu finalis Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025 bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat, sekali gus membuktikan keupayaan institusi pendidikan negara bersaing di peringkat antarabangsa.

Pengiktirafan berkenaan telah menarik perhatian pelbagai pihak termasuk Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti potensi besar yang dimiliki oleh sistem pendidikan negara, pendidik serta murid-murid di Malaysia.

“Saya harap mereka akan terus mara dan disenarai pendek untuk kemenangan di peringkat seterusnya.

“Ini satu bukti bahawa acuan pendidikan yang kita bentuk dengan budaya kita, nilai kita mampu menghasilkan sekolah yang cemerlang dan berdaya saing di mata dunia,” katanya selepas menghadiri Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan dan Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN (#EduRoundtables2025) yang berlangsung di Langkawi, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh warga sekolah, khususnya guru dan pelajar, atas pencapaian yang luar biasa itu.

Dalam kenyataannya, beliau menyifatkan usaha dan dedikasi mereka sebagai sumber inspirasi bukan sahaja kepada warga pendidikan, malah kepada seluruh rakyat Malaysia.

SK Putrajaya Presint 11(1) menerima pengiktirafan terbabit hasil daripada inisiatif inovatif memperkenalkan aplikasi mudah alih HELPIE, yang dibangunkan oleh pelajar sendiri bagi menyokong kesihatan mental dan kesejahteraan hidup dalam kalangan rakan sebaya.

Menurut kenyataan rasmi penganjur anugerah, T4 Education, aplikasi HELPIE bukan sahaja menjadikan sokongan kesihatan mental lebih mudah diakses oleh pelajar, tetapi juga memecah tembok stigma berkaitan kesihatan emosi yang sering menjadi cabaran dalam kalangan pelajar sekolah.

HELPIE, yang direka dengan pendekatan interaktif dan menyeronokkan, telah memberikan kesan signifikan terhadap kesejahteraan pelajar.

Data menunjukkan berlaku penurunan sehingga 60 peratus dalam tahap tekanan dalam kalangan pelajar sejak pelaksanaannya.

Lebih 90 peratus pelajar turut melaporkan bahawa mereka kini mempunyai pemahaman yang lebih baik terhadap emosi mereka, manakala 87 peratus menyatakan mereka lebih sedar tentang tahap tekanan yang dialami.

Bagi memastikan tiada pelajar tercicir, terutamanya mereka yang tidak memiliki akses kepada peranti pintar, pihak sekolah turut mengambil inisiatif menyediakan tablet khas dengan aplikasi HELPIE yang dipasang siap, menjadikan ia mudah digunakan oleh semua pelajar sepanjang waktu persekolahan.

Pencapaian SK Putrajaya Presint 11(1) bukan sahaja meletakkan sekolah itu di barisan hadapan inovasi pendidikan, tetapi juga menjadikannya contoh cemerlang bagaimana pendidikan boleh menjadi pemacu kesejahteraan generasi muda.

Langkah mereka yang berani dan progresif ini diharap dapat memberi inspirasi kepada lebih banyak sekolah di Malaysia untuk mencipta perubahan bermakna dalam pendidikan dan kehidupan pelajar.

Dengan pencapaian ini, SK Putrajaya Presint 11(1) kini menunggu keputusan pusingan seterusnya dan seluruh negara pastinya menaruh harapan agar kejayaan sekolah terbabit terus berkembang hingga menjulang nama Malaysia di pentas dunia.

Konsert Legasi P. Ramlee himpun generasi, angkat warisan seni Melayu

editormaxinfo@gmail.com

AMPANG – Satu malam penuh magis menanti pencinta seni tanah air apabila syarikat produksi tempatan, Tanahair Films Sdn. Bhd., mengumumkan penganjuran Konsert Legasi P. Ramlee, sebuah persembahan berskala besar yang bakal berlangsung pada Sabtu, 20 September 2025 di Mega Star Arena Kuala Lumpur, Sungei Wang Plaza.

Konsert istimewa ini menjadi kemuncak kepada usaha berterusan Tanahair Films, yang diasaskan oleh penggiat seni tersohor Dato’ Khairul Anwar Salleh dan Adlin Aman Ramlie, dalam mengangkat kembali martabat seni Melayu dan memperingati legasi agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee tokoh seni negara yang tidak pernah luput dalam ingatan masyarakat.

Pengumuman konsert itu disampaikan menerusi satu sidang media yang bukan sahaja memperkenalkan barisan artis yang akan menjayakan konsert, malah turut memperlihatkan visi kreatif projek ini di bawah naungan ‘Projek Perdana P. Ramlee’, sebagai satu penghormatan terhadap pencapaian seni luar biasa tokoh legenda berkenaan dan generasinya.

Tidak hanya sekadar sebuah persembahan muzik, Konsert Legasi P. Ramlee digarap dengan pendekatan teatrikal, dramatik dan sinematik, menggabungkan elemen klasik dan kontemporari dalam satu produksi yang dijangka mampu menyentuh emosi khalayak dari pelbagai lapisan usia.

Dengan menampilkan lebih daripada 30 karya agung P. Ramlee dalam susunan muzik baharu dan tradisi, konsert ini bakal membawa penonton menyusuri semula zaman kegemilangan seni Melayu dalam nuansa yang segar dan memukau.

Empat nama besar dalam industri muzik tempatan iaitu Dato’ Ramli MS, Datuk Mokhzani Ismail, Helen Yap dan Michael Veerapen akan menerajui aspek pengarahan muzik.

Dengan iringan sebuah orkestra besar yang terdiri daripada 60 pemuzik profesional, penonton akan dihidangkan dengan medley, persembahan duet dan solo, semuanya berlandaskan kekuatan komposisi dan emosi karya P. Ramlee yang tidak pernah lapuk dek zaman.

Antara barisan artis yang bakal menghidupkan pentas termasuklah Dato’ Jamal Abdillah, Datuk Zainalabidin, Ella, MimiFly, Nadeera, dan Liza Hanim, yang masing-masing bakal memberikan interpretasi tersendiri terhadap lagu-lagu malar segar seniman agung negara itu.

Persembahan mereka dijangka menjadi penghormatan yang penuh gaya, merangkumi keunikan vokal dan identiti seni masing-masing.

Menambah keistimewaan, konsert ini turut menampilkan persembahan oleh tiga figura istimewa yang sinonim dengan persona dan gaya P. Ramlee iaitu P. Radhi, Danie Hasbullah, dan Musly Ramlee yang akan membawa penonton mengimbau suasana era klasik melalui gaya persembahan yang menggabungkan keaslian serta elemen kontemporari, menjadikan pengalaman malam itu lebih menyeluruh dan bermakna.

Ketua Pegawai Eksekutif Tanahair Films, Dato’ Khairul Anwar Salleh berkata, konsert ini adalah kesinambungan kepada Projek Perdana P. Ramlee yang dimulakan melalui format Legasi Podcast sejak September 2024.

Beliau menyifatkan konsert ini sebagai suatu titik penting dalam usaha memperkukuh seni tanah air dan menghubungkan generasi lama dan baharu melalui satu pentas bersama.

“Konsert ini tidak hanya sekadar persembahan hiburan. Ia adalah jambatan antara zaman, menyatukan nilai seni yang tidak lapuk dek zaman.

“Malah konsert ini bakal melakar penghormatan yang tulus kepada legasi seorang tokoh agung dalam sejarah seni kita,” katanya.

Dalam pada itu, Adlin Aman Ramlie, yang bertindak sebagai pengarah artistik dan pencetus utama projek ini, menjanjikan sebuah malam yang bukan sahaja akan membangkitkan nostalgia, tetapi juga mempersembahkan semula keindahan seni P. Ramlee dengan nuansa segar dan menakjubkan.

“Kita akan dihidangkan dengan sebuah malam yang membawa penonton kembali ke era keemasan muzik Melayu, namun dengan interpretasi baharu yang diperkaya oleh sentuhan empat maestro muzik tersohor.

“Konsert ini bakal membangkitkan semula roh seni Tan Sri P. Ramlee dalam setiap melodi, babak dan emosi,” katanya.

Tiket untuk menyaksikan Konsert Legasi P. Ramlee boleh didapati di laman sesawang www.ticket2u.com.my bermula Jumaat, 27 Jun 2025.

Orang ramai dijemput untuk mengikuti perkembangan terkini serta sorotan eksklusif di saluran media sosial rasmi @konsertlegasipramlee, @TanahAirFilms dan @legasipodcast menerusi Facebook, Instagram dan TikTok.

‘Raise The Star Malaysia’ buka pentas baharu untuk bakat dan komposer tempatan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Arena hiburan tanah air bakal menyaksikan satu lagi fenomena baharu apabila Astro memperkenalkan sebuah program realiti nyanyian terbaharu bertajuk ‘Raise The Star Malaysia’, yang menampilkan keunikan tersendiri dengan menempatkan lima komposer terkenal sebagai tonggak utama dalam pencarian bintang baharu industri muzik tempatan.

Bermula 22 Jun 2025, setiap Ahad jam 9 malam, program ini akan disiarkan secara langsung dari Royal Theatre Shah Alam menerusi saluran Astro Ria (104), serta boleh distrim menerusi platform digital Astro GO dan sooka.

Membawa kelainan kepada format konvensional program realiti nyanyian, ‘Raise The Star Malaysia’ memfokuskan kepada perspektif komposer dalam proses pemilihan dan pembangunan bakat baharu.

Antara nama besar yang menghiasi barisan komposer utama musim pertama ini ialah Ajai, Audi Mok, Aina Abdul, Shila Amzah, dan Ikhwan Fatanna.

Menerusi pengalaman dan reputasi masing-masing dalam industri muzik, mereka bukan sahaja bertindak sebagai juri, tetapi turut mencipta lagu khas untuk para peserta yang mereka pilih untuk mara ke pentas akhir.

Program ini menjanjikan lebih daripada sekadar pertandingan vokal.

Ia adalah satu platform yang memfokuskan pembangunan bakat secara holistik meliputi bimbingan teknikal, emosi dan seni persembahan sekaligus menyediakan peserta dengan persediaan menyeluruh sebelum melangkah ke dunia hiburan profesional.

Format ini diinspirasikan daripada konsep global, namun dibangunkan dengan sentuhan tempatan yang setaraf produksi antarabangsa.

Hos popular tanah air, Alif Satar dan Sherry Alhadad, digandingkan sebagai pengacara utama, menjanjikan keseronokan dan karisma tersendiri bagi memeriahkan pentas mingguan yang akan berlangsung selama lapan minggu.

Seramai 30 peserta telah dipilih daripada ribuan yang hadir dalam sesi uji bakat digital dan fizikal.

Mereka datang daripada pelbagai latar belakang dan peringkat usia, namun disatukan oleh semangat dan impian yang sama untuk bergelar penyanyi profesional.

Kesemua peserta telah menjalani saringan rapi oleh panel profesional termasuk guru vokal dan komposer jemputan sebelum disenarai pendek untuk menyertai pertandingan ini.

Pengurus Saluran Astro Ria Idlan Zahari berkata, program ini direka untuk mengangkat martabat karya komposer tempatan yang selama ini menjadi tulang belakang industri muzik.

“Dengan ‘Raise The Star Malaysia’, kami ingin mengetengahkan keindahan proses penciptaan lagu serta memberi peluang kepada peserta untuk menonjol menerusi karya asli yang dicipta khas oleh komposer.

Ia bukan sahaja memberikan nilai eksklusif kepada setiap persembahan, malah memperlihatkan keindahan seni muzik dari sudut yang lebih mendalam,” katanya.

Setiap minggu, peserta akan melalui pelbagai tugasan seperti persembahan solo, duet dan cabaran persembahan kreatif. Penjurian akan dilakukan berdasarkan sistem dua bahagian iaitu 80 peratus markah ditentukan oleh komposer manakala 20 peratus lagi datang daripada undian penonton umum.

Sistem ‘Slay Meter’ turut diperkenalkan bagi menilai persembahan setiap minggu, di mana peserta yang menerima lima slay daripada juri akan menerima ganjaran wang tunai daripada penaja.

Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada QSR Brands (KFC) dan UMobile selaku penaja utama.

Peserta dengan kedudukan terendah pada setiap minggu akan disingkirkan, menjadikan persaingan semakin sengit menuju ke pentas akhir.

Sebagai tanda sokongan terhadap bakat dan seni tempatan, ‘Raise The Star Malaysia’ turut mengajak para penonton untuk menyaksikan perjalanan peserta dan komposer dalam mencipta magis muzik secara eksklusif di Astro Ria, Astro GO, Astro Gempak, dan sooka.

Bagi mereka yang ingin menyokong bakat-bakat baharu ini dari awal hingga ke akhir, ‘Raise The Star Malaysia’ menjanjikan hiburan yang bukan sahaja mendebarkan, tetapi juga menyentuh emosi sebuah kisah impian yang sedang dilakar, satu nota muzik pada satu masa.

Pavilion Bukit Jalil semarakkan Karnival Jualan Mega 2025 dengan ganjaran menarik dan cabutan bertuah JAECOO J7

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pusat beli-belah gaya hidup terkemuka Malaysia, Pavilion Bukit Jalil, menyertai kempen Karnival Jualan Mega 2025 anjuran Tourism Malaysia dengan pelbagai inisiatif menarik yang menyatukan elemen beli-belah, kesejahteraan dan kebudayaan dalam satu pengalaman menyeluruh.

Bertemakan “Feast for the Senses”, kempen ini berlangsung dari 15 Jun hingga 31 Julai 2025 dan mengajak rakyat tempatan serta pelancong antarabangsa untuk menikmati keunikan warisan makanan, budaya dan pengalaman runcit Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada usaha menyemarakkan kempen nasional ini, Pavilion Bukit Jalil memperkenalkan inisiatif khas bertajuk “Mega Shopping Walk. Together, Here.” satu sambutan meriah di seluruh premis pusat beli-belah yang menggabungkan keseronokan membeli-belah dengan ganjaran gaya hidup dan penghargaan terhadap budaya tempatan.

Karnival jualan kali ini hadir pada saat yang penting ketika Malaysia giat merangsang semula pelancongan domestik dan perbelanjaan pengguna.

Penyertaan Pavilion Bukit Jalil bukan sahaja memperkukuh usaha Tourism Malaysia dalam memulihkan ekonomi tempatan, malah mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi mesra keluarga yang sentiasa mendukung jenama tempatan serta pengalaman beli-belah yang unik.

Ketua Pegawai Eksekutif Retail, Kuala Lumpur Pavilion Sdn. Bhd., Dato’ Joyce Yap berkata, penyertaan ini adalah satu platform untuk memperkasakan komuniti runcit secara inklusif.

“Karnival Jualan Mega Malaysia merupakan peluang istimewa untuk meraikan kepelbagaian komuniti peruncitan kita.

“Di Pavilion Bukit Jalil, kami berbangga dapat menyokong penyewa kami dengan mencipta pengalaman menarik yang menggalakkan kehadiran pengunjung dan mengetengahkan keunikan penawaran di seluruh pusat beli-belah kami,” katanya.

Tumpuan utama inisiatif tahun ini adalah program “Road to Rewards”, yang menawarkan jumlah hadiah dan baucar bernilai RM250,000.

Pelanggan yang berbelanja minimum RM250 layak menebus baucar beli-belah bernilai RM10, dengan had penebusan sebanyak RM50 sehari untuk setiap pembeli.

Bagi mereka yang berbelanja RM500 dan ke atas, peluang terbuka untuk menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama berupa sebuah kereta JAECOO J7 serba baharu.

Seiring dengan trend gaya hidup masa kini yang menekankan kesejahteraan dan pengalaman menyeluruh, Pavilion Bukit Jalil turut memperkenalkan program “walk-and-reward”, yang menggabungkan aktiviti fizikal dengan ganjaran.

Pengunjung yang mencatat 10,000 langkah dalam kawasan pusat beli-belah layak menerima baucar makanan dan minuman bernilai RM20, sekali gus menggalakkan gaya hidup sihat dalam suasana beli-belah yang menyeronokkan.

Dengan lebih daripada 600 kedai runcit, pelbagai persembahan seni dan budaya yang mengasyikkan, serta pilihan makanan tempatan dan antarabangsa yang pelbagai, Pavilion Bukit Jalil bersedia menjadi destinasi utama bagi para pengunjung yang ingin merasai pengalaman Karnival Jualan Mega 2025 yang tidak dapat dilupakan.

Bagi memudahkan proses penebusan dan penyertaan, pengunjung digalakkan untuk memuat turun aplikasi mudah alih Pavilion Bukit Jalil dan mendaftar sebagai ahli.

Aplikasi ini membolehkan pengguna menebus baucar beli-belah serta mendaftar bagi penyertaan cabutan bertuah dengan lebih mudah dan pantas.

Dengan semangat perpaduan dan keterangkuman, Pavilion Bukit Jalil menjemput orang ramai untuk menyertai “Mega Shopping Walk. Together, Here.” sebuah seruan untuk berjalan bersama, meraikan bersama dan mencipta memori indah dalam semangat kebersamaan rakyat Malaysia.

Klinik STL 2025 bakal lahirkan bintang sepak takraw negara baharu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Klinik Sepak Takraw League (STL) kembali untuk edisi 2025 dengan pendekatan lebih menyeluruh dan eksklusif, membawa misi memperkukuh pembangunan bakat sukan sepak takraw di peringkat akar umbi.

Program ini menyasarkan remaja berumur antara 13 hingga 17 tahun sebagai kelompok sasaran utama, dengan objektif mencungkil serta menggilap potensi mereka untuk menjadi bintang pelapis negara.

Klinik STL 2025 menawarkan pengalaman latihan intensif dan pendedahan profesional kepada peserta dan buat pertama kalinya, mereka yang menunjukkan prestasi terbaik dari setiap lokasi akan berpeluang menyertai Kem Latihan Asas di Pusat Akademi Sepak Takraw Malaysia sebuah pusat pembangunan sukan pertama seumpamanya di negara ini.

Dilengkapi dengan fasiliti moden dan struktur latihan bertaraf tinggi, Pusat Akademi ini berfungsi sebagai hab latihan nasional untuk sukan sepak takraw.

Ia bukan sekadar sebuah pusat latihan, tetapi sebuah platform strategik untuk membentuk barisan atlet muda yang berpotensi, sejajar dengan hala tuju pembangunan sukan negara secara menyeluruh.

Peserta yang terpilih akan mendapat bimbingan rapi daripada jurulatih dan pemain kebangsaan melalui modul pembangunan profesional yang telah dirangka khusus bagi membentuk asas teknikal, disiplin, dan semangat kesukanan yang tinggi.

Klinik STL tahun ini bakal berlangsung di empat lokasi utama, yang turut merupakan gelanggang rasmi STL Premier, iaitu Kuala Lumpur, Johor, Perak dan Pulau Pinang.

Menandakan pelancaran rasmi program, pendaftaran untuk sesi pertama kini dibuka di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, dan belia dari seluruh negara, tanpa mengira jantina, digalakkan untuk mendaftar segera bagi merebut peluang menyertai program pembangunan sukan ini yang amat berprestij.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, klinik STL adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan Astro untuk memajukan sukan sepak takraw secara mampan.

“Musim ini, kami berkerjasama lebih erat dengan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bukan hanya dalam kejohanan kompetitif STL, malah dalam memperkukuh program pembangunan bakat melalui Klinik STL.

“Kami ingin mendekatkan sukan sepak takraw kepada belia serta memberi peluang kepada mereka untuk merasai pengalaman latihan bertaraf profesional di Pusat Akademi Sepak Takraw,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada CelcomDigi, penaja rasmi STL, atas komitmen yang berterusan dalam menyokong pembangunan sukan di peringkat akar umbi.

“Kerjasama strategik ini membuktikan bahawa sinergi antara sektor korporat dan sukan mampu melahirkan generasi pelapis yang lebih kompetitif dan bersedia mengharumkan nama negara di persada antarabangsa,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi dan Kelestarian Astro, Foo Su Lynn berkata, Klinik STL adalah sebahagian daripada misi tanggungjawab sosial Astro melalui inisiatif Astro Kasih dalam memperkasa komuniti melalui platform sukan.

“Sukan ialah medium terbaik untuk menyatukan masyarakat, membentuk nilai-nilai murni serta mencungkil potensi generasi muda.

“Klinik STL adalah contoh nyata komitmen ESG Astro dalam menyokong pembangunan komuniti secara inklusif dan berterusan,” katanya.

Sebagai langkah memperluas capaian, Klinik STL 2025 turut menjelajah ke sekolah-sekolah terpilih di negeri Pahang dan Terengganu, termasuk kawasan luar bandar, bagi memastikan lebih ramai pelajar mendapat akses kepada latihan berkualiti.

Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Tempat adalah terhad, dan pihak penganjur menyeru remaja di seluruh negara untuk tidak melepaskan peluang keemasan ini.

Untuk maklumat lanjut berkenaan tarikh dan lokasi Klinik STL di negeri-negeri lain, orang ramai boleh mengikuti laman media sosial rasmi STL di Instagram (@stl.my) dan Facebook (SepakTakraw League).

Dalam pada itu, peminat sukan tanah air juga dijemput untuk menyaksikan kehangatan aksi CelcomDigi STL 2025 yang kini sedang berlangsung dari 28 Mei hingga 7 September, dengan kesemua perlawanan disiarkan secara langsung di Astro Arena, melalui aplikasi Astro GO serta platform penstriman sooka.