editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Dalam usaha memperkukuh komitmen terhadap kelestarian dan inovasi dalam industri automotif, GGR Motor, syarikat tempatan yang terkenal dengan inspirasi daripada filem ikonik “Gila-Gila Remaja”, melancarkan model motosikal elektrik (EV) terbaharu mereka menerusi inisiatif dinamakan Go Green Revolution.
Pelancaran itu akan berlangsung pada 28 Jun ini di Saloma Kuala Lumpur dengan kerjasama rakan strategik eksklusif mereka, PMH Motor Sdn. Bhd., selaku pengedar utama bagi rangkaian motosikal EV berkenaan.
Majlis berprestij ini turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman, sebagai tetamu kehormat.
Kehadiran beliau dilihat sebagai satu penghargaan kepada graduan TVET MARA, IKM Beseri dan UNIKL MFI dalam bidang automotif yang kini tampil sebagai pemacu teknologi hijau negara.

Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi berkata, pelancaran ini adalah langkah awal dalam merakyatkan penggunaan motosikal elektrik melalui pendekatan mesra pengguna, terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Beliau percaya kehadiran selebriti terkenal dalam kempen ini mampu memperluaskan capaian mesej kesedaran alam sekitar dengan lebih berkesan.
“Saya percaya apabila artis sendiri menggunakan EV, ia akan memberi impak besar terhadap pemahaman dan penerimaan orang ramai terhadap mobiliti hijau.
“Mereka bukan sekadar duta, tetapi juga sahabat dan rakan strategik yang mampu membawa nilai positif kepada jenama,” katanya.

Antara selebriti yang bakal memeriahkan acara termasuk Johan Raja Lawak, Cat Farish, Nabil Ahmad, Ajak Shiro, Farid Kamil dan Bella Astillah.
Mereka dijangka bukan sahaja hadir sebagai tetamu, malah turut menjayakan pelbagai aktiviti seperti persembahan komuniti, sesi pandu uji (test ride), cabutan bertuah dan aktiviti santai bersama peminat serta pencinta EV. Acara pelancaran akan berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang.
Menariknya, Johan, yang juga dikenali melalui jenama makanan popular Itik ke Ayam?, akan terbabit lebih jauh dalam kolaborasi ini apabila GGR Motor merancang untuk membuka cawangan bersama artis terpilih selepas pelancaran.

Lokasi pertama dijangka dibuka berhampiran restoran Johan di Taman Melawati.
Mengulas mengenai penglibatannya, Johan berkata, kerjasama dengan GGR Motor adalah peluang untuk menyumbang kepada pembangunan industri EV tempatan.
“Saya sangat teruja. Ini bukan sahaja tentang produk, tetapi tentang mencipta impak kepada masyarakat.
“EV adalah masa depan dan saya percaya ia boleh menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.
Bagi Farid Kamil pula, tawaran kerjasama ini dianggap sebagai satu rezeki yang datang pada masa dan tempat yang tepat. Pelakon itu menyatakan hasratnya untuk memulakan usaha perniagaan di bawah pengurusan Prokuya Studios, sekali gus membuka lembaran baharu dalam bidang keusahawanan melalui sektor teknologi hijau.
Dalam mengukuhkan lagi komitmen terhadap inisiatif kelestarian, GGR Motor turut mengumumkan penajaan dua unit motosikal elektrik model LionG1 e-bike bernilai RM2,054 setiap satu.
Hadiah ini akan diberikan kepada penonton bertuah semasa konsert Aku Muzik Kamu (AMK Indie 2025) yang dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Julai di Litar Antarabangsa Sepang.
Menurut Mussadiq, penajaan ini bukan semata-mata strategi pemasaran, tetapi satu cara untuk menyemai semangat perubahan dalam kalangan generasi muda.

Sementara itu, kenangan kolaborasi terdahulu bersama selebriti seperti Bella Astillah turut disebut, apabila penyanyi itu pernah menerima skuter elektrik daripada GGR Motor dua tahun lalu, dalam satu kerjasama bersama Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA).
Ketika itu, kehadiran Bella dalam kempen mempopularkan jenama GGR Motor menjadi tular, khususnya dalam suasana hangat konflik rumah tangganya yang mendapat perhatian umum.
Melangkah ke hadapan, GGR Motor turut menyatakan hasrat untuk mempersembahkan pelancaran rasmi motosikal elektrik ini kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, sebagai simbol komitmen syarikat terhadap penghasilan teknologi tempatan yang seiring aspirasi nasional ke arah ekonomi hijau.
“Ini bukan hanya tentang produk, tetapi membawa perubahan budaya dan gaya hidup.
“Kami mahu generasi akan datang melihat penggunaan EV sebagai satu norma baharu yang positif,” katanya.
Dengan semangat kolaborasi, inovasi tempatan dan pendekatan yang inklusif membabitkan artis serta komuniti, pelancaran motosikal elektrik GGR Motor ini dijangka bukan sahaja memberi nafas baharu kepada industri automotif, malah mengangkat jenama tempatan ke peringkat yang lebih tinggi baik dari segi ekonomi mahupun kelestarian alam sekitar.

