editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Menandakan usia 15 tahun sebagai sebuah stesen penyiaran Islam yang sentiasa mendekati masyarakat, TV AlHijrah mengambil pendekatan berbeza dan penuh makna dengan memilih masjid sebagai lokasi utama sambutan ulang tahunnya.
Masjid Jamek Beserah di Kuantan, Pahang bakal menjadi pentas utama kepada Karnival Al-Falah MADANI Indera Mahkota 2025, yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 27 hingga 29 Jun ini.
Tidak seperti lazimnya sambutan yang diraikan dalam dewan atau lokasi mewah, ulang tahun kali ini diraikan dalam suasana terbuka dan inklusif, membuktikan komitmen TV AlHijrah terhadap dakwah berteraskan pendekatan merakyat.

Karnival ini bukan sahaja mengangkat semangat Maal Hijrah 1447H, tetapi turut dijadikan medan untuk merapatkan hubungan antara stesen penyiaran dan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti berteraskan nilai Islam.
Kemuncak acara akan berlangsung pada malam Jumaat, 27 Jun, menerusi program siaran langsung eksklusif Hijrah Berselawat yang akan disiarkan dari jam 9 hingga 11 malam.
Menggabungkan elemen selawat, tausiyah dan persembahan seni Islamik, program ini dijangka menjadi malam yang penuh kesyahduan dan penghayatan spiritual.
Ia akan dikendalikan oleh dua figura terkenal dalam arena dakwah santai iaitu Syamsul Debat dan Shamsul Ghau-Ghau yang pastinya menghidupkan suasana dengan pendekatan mesra tetapi sarat dengan mesej ilmu.

Antara pendakwah yang akan tampil mengisi slot tausiyah termasuk PU Rozi Harun, Ustaz Tariq Jaffri, Ustaz Hassan Basri Ali, Ustaz Ahmad Tirmizi Haji Ali dan Ustaz Nadir Al Nuri.
Manakala persembahan selawat dan nasyid bakal dipersembahkan oleh artis-artis ternama seperti Al-Maqari, Lah Ahmad, Zaff VE dan Usop Kopratasa.
Gabungan pendakwah dan pemuzik Islamik ini dijangka mencipta suasana rohani yang menyentuh hati, menyemarakkan semangat hijrah dan memperkukuh ikatan ukhuwah dalam kalangan hadirin dan penonton.

Sepanjang tiga hari penganjuran, TV AlHijrah turut menyediakan pelbagai reruai interaktif yang memberi peluang kepada masyarakat untuk berinteraksi secara langsung dengan personaliti TV, menyertai kuiz keagamaan, permainan silang kata jawi serta menerima cenderamata eksklusif sempena ulang tahun ke-15 stesen terbabit.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, pendekatan ini selari dengan misi dan visi TV AlHijrah sebagai medium dakwah yang dekat dengan denyut nadi masyarakat.
“Kami tidak menyambut ulang tahun ini di tempat tertutup atau hanya bersama warga kerja dalaman.
“Sebaliknya, kami memilih untuk bersama masyarakat Indera Mahkota dalam suasana yang memperkukuh ukhuwah dan nilai Islam.
“Inilah wajah sebenar TV AlHijrah berdakwah melalui pendekatan yang mendidik, menyentuh dan merakyat,” katanya.
Beliau berkata, ulang tahun ke-15 bukan satu noktah, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar.

Jelasnya, TV AlHijrah akan terus berkembang sebagai pemudah cara masyarakat dalam membina kefahaman Islam yang progresif, rahmah dan menyatu, dengan memastikan hubungan rapat dengan masyarakat sentiasa terpelihara.
“Malam Hijrah Berselawat bukan sekadar program siaran langsung.
“Ia adalah malam muhasabah, kebersamaan dan kesyukuran atas perjuangan dakwah yang telah dilalui selama ini.
“Kami mahu rakyat rasai sendiri makna dakwah yang disampaikan bukan hanya ditonton, tetapi dihayati,” katanya.
Karnival Al-Falah MADANI turut menampilkan rakaman Forum Hal Ehwal Islam, Jelajah MADANI Ulama dan Umara, sesi bantuan komuniti, aktiviti kekeluargaan serta kuliah perdana dijangka menarik ribuan pengunjung dari seluruh negeri Pahang dan kawasan sekitarnya.
Ia secara tidak langsung meletakkan acara ini sebagai antara program komuniti Islam terbesar di Pantai Timur untuk tahun ini.
TV AlHijrah mengalu-alukan kehadiran semua lapisan masyarakat ke karnival ini, bukan sekadar sebagai penonton atau pengunjung, tetapi sebagai penyokong perjuangan dakwah yang kini memasuki usia matang.
Dalam semangat hijrah dan kesatuan ummah, sambutan ulang tahun ke-15 ini diharap menjadi pencetus kepada episod baharu dalam pengembangan dakwah Islam di negara ini.

