30.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 21, 2026

WEF ASEAN 2025 tonjol peranan wanita serantau dalam menerajui ekonomi masa depan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur terus mengukuhkan peranannya sebagai hab diplomasi serantau apabila menjadi tuan rumah kepada Women Economic Forum (WEF) ASEAN 2025 yang berlangsung dari 19 hingga 21 Jun 2025 di Dewan Perdana, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Forum selama tiga hari ini menghimpunkan lebih 500 peserta dari pelbagai negara, termasuk pemimpin wanita, pembuat dasar, ahli akademik, selebriti, usahawan serta penggiat masyarakat dari seluruh ASEAN dan antarabangsa.

Berteraskan tema “Women Leaders Beyond Borders: Shaping the Future of the ASEAN SHEconomy”, forum ini menekankan kepentingan kepimpinan inklusif serta kerjasama rentas sempadan dalam memperkukuh peranan wanita dalam pembangunan ekonomi serantau.

Majlis perasmian disempurnakan oleh isteri kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, manakala majlis penutup esok akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat  Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Hadir sama menerajui program ialah Pengerusi Penganjur WEF ASEAN 2025, Datin Dr. (h.c.) Hartini Osman.

Sebanyak 140 penceramah mewakili lebih 20 buah negara telah hadir, termasuk tokoh-tokoh berpengaruh daripada pelbagai sektor industri, akademik dan masyarakat sivil.

Antara pengisian utama forum termasuk sesi plenari dan perbincangan meja bulat, sesi ‘fireside chat’ bersama selebriti ASEAN serta pemimpin industri, bengkel interaktif, padanan perniagaan dan pameran.

Acara kemuncak forum adalah Majlis Makan Malam Gala dan Anugerah WEF ASEAN 2025 yang dijadualkan berlangsung pada malam 20 Jun.

Malam itu akan menyaksikan penganugerahan kepada tokoh-tokoh wanita terkemuka dari serata ASEAN yang telah memberi impak luar biasa dalam komuniti masing-masing.

Sebagai sebuah gerakan bukan berasaskan keuntungan, WEF ASEAN berperanan sebagai bentuk diplomasi awam yang memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan wanita merentasi pelbagai sektor dan industri.

Dalam konteks ini, forum turut diangkat sebagai lambang kepada SHEconomy  satu pengiktirafan terhadap pengaruh yang semakin meningkat dari kalangan wanita dalam membentuk hala tuju ekonomi global.

Forum ini bukan sahaja membuka ruang kepada wacana bermakna, tetapi juga dijangka menterjemahkan perbincangan kepada komitmen konkrit seperti ikrar korporat dan kerjasama antara kerajaan.

Ia juga diharap menjadi inspirasi kepada generasi muda wanita melalui perkongsian kejayaan tokoh-tokoh ternama yang hadir.

Dalam dunia yang kian kompleks dan mencabar, kemajuan teknologi dilihat sebagai pedang bermata dua mempercepatkan perubahan, namun turut mengganggu interaksi sosial dan hubungan kemanusiaan.

Khususnya kepada kumpulan rentan seperti kanak-kanak dan warga emas, forum ini turut mengingatkan tentang pentingnya pemantauan serta kesedaran kendiri agar teknologi tidak membawa kepada pengasingan digital atau penyalahgunaan.

Selain itu, aspek keseimbangan kerja dan kehidupan turut diketengahkan sebagai elemen penting dalam pemerkasaan wanita.

Forum ini menggariskan bahawa keseimbangan berkenaan harus merangkumi penjagaan kesihatan mental, pembangunan diri dan kesejahteraan emosi.

Namun realitinya, ramai ibu bapa yang bekerja masih berhadapan cabaran dalam mengimbangi kerjaya dan tanggungjawab keluarga, terutamanya apabila sokongan tambahan dari segi ekonomi dan masa amat terhad.

Menyoroti peranan wanita dalam keluarga, forum turut menekankan bahawa tanggungjawab membesarkan anak bukanlah tanggungjawab sebelah pihak.

Ia adalah amanah bersama yang menuntut kesefahaman, toleransi dan pembahagian peranan secara adil, walaupun tidak semestinya sama rata.

Kerja penjagaan tidak berbayar, seperti urusan rumah tangga dan sokongan emosi, meskipun tidak tercatat dalam laporan ekonomi, hakikatnya mempunyai nilai jangka panjang yang besar kepada masyarakat.

Sebagai penutup, peserta dan penganjur diajak untuk terus berpegang kepada prinsip pemerkasaan, kesaksamaan, keadilan, kelestarian dan kolaborasi.

Forum ini mengajak semua pihak untuk bersama-sama membina dunia yang tidak lagi menjadikan jantina sebagai halangan kepada kejayaan sebaliknya meraikan potensi wanita untuk terus bersinar dan memacu kemajuan.

Ucapan penghargaan turut disampaikan kepada Jawatankuasa Penganjur, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), serta semua pihak yang telah memberikan komitmen tinggi dalam menjayakan forum ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular