30.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 16, 2026

SK Putrajaya Presint 11(1) angkat martabat sekolah Malaysia ke persada dunia

editormaxinfo@gmail.com

LANGKAWI – Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11(1) sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya melakar nama sebagai salah satu finalis Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025 bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat, sekali gus membuktikan keupayaan institusi pendidikan negara bersaing di peringkat antarabangsa.

Pengiktirafan berkenaan telah menarik perhatian pelbagai pihak termasuk Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti potensi besar yang dimiliki oleh sistem pendidikan negara, pendidik serta murid-murid di Malaysia.

“Saya harap mereka akan terus mara dan disenarai pendek untuk kemenangan di peringkat seterusnya.

“Ini satu bukti bahawa acuan pendidikan yang kita bentuk dengan budaya kita, nilai kita mampu menghasilkan sekolah yang cemerlang dan berdaya saing di mata dunia,” katanya selepas menghadiri Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan dan Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN (#EduRoundtables2025) yang berlangsung di Langkawi, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh warga sekolah, khususnya guru dan pelajar, atas pencapaian yang luar biasa itu.

Dalam kenyataannya, beliau menyifatkan usaha dan dedikasi mereka sebagai sumber inspirasi bukan sahaja kepada warga pendidikan, malah kepada seluruh rakyat Malaysia.

SK Putrajaya Presint 11(1) menerima pengiktirafan terbabit hasil daripada inisiatif inovatif memperkenalkan aplikasi mudah alih HELPIE, yang dibangunkan oleh pelajar sendiri bagi menyokong kesihatan mental dan kesejahteraan hidup dalam kalangan rakan sebaya.

Menurut kenyataan rasmi penganjur anugerah, T4 Education, aplikasi HELPIE bukan sahaja menjadikan sokongan kesihatan mental lebih mudah diakses oleh pelajar, tetapi juga memecah tembok stigma berkaitan kesihatan emosi yang sering menjadi cabaran dalam kalangan pelajar sekolah.

HELPIE, yang direka dengan pendekatan interaktif dan menyeronokkan, telah memberikan kesan signifikan terhadap kesejahteraan pelajar.

Data menunjukkan berlaku penurunan sehingga 60 peratus dalam tahap tekanan dalam kalangan pelajar sejak pelaksanaannya.

Lebih 90 peratus pelajar turut melaporkan bahawa mereka kini mempunyai pemahaman yang lebih baik terhadap emosi mereka, manakala 87 peratus menyatakan mereka lebih sedar tentang tahap tekanan yang dialami.

Bagi memastikan tiada pelajar tercicir, terutamanya mereka yang tidak memiliki akses kepada peranti pintar, pihak sekolah turut mengambil inisiatif menyediakan tablet khas dengan aplikasi HELPIE yang dipasang siap, menjadikan ia mudah digunakan oleh semua pelajar sepanjang waktu persekolahan.

Pencapaian SK Putrajaya Presint 11(1) bukan sahaja meletakkan sekolah itu di barisan hadapan inovasi pendidikan, tetapi juga menjadikannya contoh cemerlang bagaimana pendidikan boleh menjadi pemacu kesejahteraan generasi muda.

Langkah mereka yang berani dan progresif ini diharap dapat memberi inspirasi kepada lebih banyak sekolah di Malaysia untuk mencipta perubahan bermakna dalam pendidikan dan kehidupan pelajar.

Dengan pencapaian ini, SK Putrajaya Presint 11(1) kini menunggu keputusan pusingan seterusnya dan seluruh negara pastinya menaruh harapan agar kejayaan sekolah terbabit terus berkembang hingga menjulang nama Malaysia di pentas dunia.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular