25.3 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 16, 2026

Klinik STL 2025 bakal lahirkan bintang sepak takraw negara baharu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Klinik Sepak Takraw League (STL) kembali untuk edisi 2025 dengan pendekatan lebih menyeluruh dan eksklusif, membawa misi memperkukuh pembangunan bakat sukan sepak takraw di peringkat akar umbi.

Program ini menyasarkan remaja berumur antara 13 hingga 17 tahun sebagai kelompok sasaran utama, dengan objektif mencungkil serta menggilap potensi mereka untuk menjadi bintang pelapis negara.

Klinik STL 2025 menawarkan pengalaman latihan intensif dan pendedahan profesional kepada peserta dan buat pertama kalinya, mereka yang menunjukkan prestasi terbaik dari setiap lokasi akan berpeluang menyertai Kem Latihan Asas di Pusat Akademi Sepak Takraw Malaysia sebuah pusat pembangunan sukan pertama seumpamanya di negara ini.

Dilengkapi dengan fasiliti moden dan struktur latihan bertaraf tinggi, Pusat Akademi ini berfungsi sebagai hab latihan nasional untuk sukan sepak takraw.

Ia bukan sekadar sebuah pusat latihan, tetapi sebuah platform strategik untuk membentuk barisan atlet muda yang berpotensi, sejajar dengan hala tuju pembangunan sukan negara secara menyeluruh.

Peserta yang terpilih akan mendapat bimbingan rapi daripada jurulatih dan pemain kebangsaan melalui modul pembangunan profesional yang telah dirangka khusus bagi membentuk asas teknikal, disiplin, dan semangat kesukanan yang tinggi.

Klinik STL tahun ini bakal berlangsung di empat lokasi utama, yang turut merupakan gelanggang rasmi STL Premier, iaitu Kuala Lumpur, Johor, Perak dan Pulau Pinang.

Menandakan pelancaran rasmi program, pendaftaran untuk sesi pertama kini dibuka di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, dan belia dari seluruh negara, tanpa mengira jantina, digalakkan untuk mendaftar segera bagi merebut peluang menyertai program pembangunan sukan ini yang amat berprestij.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, klinik STL adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan Astro untuk memajukan sukan sepak takraw secara mampan.

“Musim ini, kami berkerjasama lebih erat dengan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bukan hanya dalam kejohanan kompetitif STL, malah dalam memperkukuh program pembangunan bakat melalui Klinik STL.

“Kami ingin mendekatkan sukan sepak takraw kepada belia serta memberi peluang kepada mereka untuk merasai pengalaman latihan bertaraf profesional di Pusat Akademi Sepak Takraw,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada CelcomDigi, penaja rasmi STL, atas komitmen yang berterusan dalam menyokong pembangunan sukan di peringkat akar umbi.

“Kerjasama strategik ini membuktikan bahawa sinergi antara sektor korporat dan sukan mampu melahirkan generasi pelapis yang lebih kompetitif dan bersedia mengharumkan nama negara di persada antarabangsa,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi dan Kelestarian Astro, Foo Su Lynn berkata, Klinik STL adalah sebahagian daripada misi tanggungjawab sosial Astro melalui inisiatif Astro Kasih dalam memperkasa komuniti melalui platform sukan.

“Sukan ialah medium terbaik untuk menyatukan masyarakat, membentuk nilai-nilai murni serta mencungkil potensi generasi muda.

“Klinik STL adalah contoh nyata komitmen ESG Astro dalam menyokong pembangunan komuniti secara inklusif dan berterusan,” katanya.

Sebagai langkah memperluas capaian, Klinik STL 2025 turut menjelajah ke sekolah-sekolah terpilih di negeri Pahang dan Terengganu, termasuk kawasan luar bandar, bagi memastikan lebih ramai pelajar mendapat akses kepada latihan berkualiti.

Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Tempat adalah terhad, dan pihak penganjur menyeru remaja di seluruh negara untuk tidak melepaskan peluang keemasan ini.

Untuk maklumat lanjut berkenaan tarikh dan lokasi Klinik STL di negeri-negeri lain, orang ramai boleh mengikuti laman media sosial rasmi STL di Instagram (@stl.my) dan Facebook (SepakTakraw League).

Dalam pada itu, peminat sukan tanah air juga dijemput untuk menyaksikan kehangatan aksi CelcomDigi STL 2025 yang kini sedang berlangsung dari 28 Mei hingga 7 September, dengan kesemua perlawanan disiarkan secara langsung di Astro Arena, melalui aplikasi Astro GO serta platform penstriman sooka.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular