editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – MYTV Broadcasting Sdn. Bhd. melakar satu lagi pencapaian penting dalam landskap hiburan digital negara dengan pelancaran rasmi MYTV Mana-Mana Premium, sebuah perkhidmatan penstriman berkualiti tinggi yang ditawarkan pada harga mampu milik serendah RM6.90 sebulan.
Langkah ini menandakan evolusi baharu dalam penyampaian kandungan televisyen kepada rakyat Malaysia, menawarkan gabungan menarik siaran langsung TV premium, video atas permintaan (VOD) serta kandungan eksklusif terbitan MYTV Originals, yang direka khusus untuk memenuhi citarasa pelbagai lapisan masyarakat.
Dengan tawaran kandungan merangkumi filem pecah panggung, drama tempatan dan antarabangsa yang mendebarkan, rancangan sukan yang mengujakan, siri animasi dan kartun kanak-kanak, drama Korea dan Indonesia yang sedang menjadi bualan, hinggalah ke dokumentari yang membuka minda, MYTV Mana-Mana Premium menjanjikan sesuatu untuk semua.
Menambah kekuatan penawaran kandungannya, MYTV turut mengumumkan inisiatif MYTV Originals, yang bakal memperkenalkan produksi eksklusif hasil kerjasama bersama pencipta kandungan tempatan.

Usaha ini bertujuan mengetengahkan kisah dan bakat autentik Malaysia ke peringkat yang lebih luas, sekaligus menyokong pembangunan industri kandungan tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MYTV Broadcasting Sdn. Bhd., Mohamad Helmi Harith berkata, pelancaran ini adalah satu pencapaian besar bagi MYTV Mana-Mana.
“Ia tidak akan menjadi kenyataan tanpa kerjasama erat bersama rakan-rakan strategik kami.
“Sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada rakan kongsi perniagaan dan kandungan amat kami hargai.
“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan yang telah diberikan,” katanya pada majlis pelancaran MYTV Mana-Mana, baru-baru ini.

Pelancaran pakej Premium ini bukan sekadar memperkenalkan kandungan, tetapi turut meraikan nilai kreativiti, keterhubungan dan ketercapaian untuk semua.
Dalam pada itu, versi percuma MYTV Mana-Mana yang telah mencatat lebih 800,000 muat turun setakat ini akan terus kekal tersedia untuk dinikmati oleh semua rakyat Malaysia.
Versi ini menawarkan akses kepada siaran TV langsung tempatan dan antarabangsa serta kandungan VOD, membolehkan pengguna menonton pada bila-bila masa dan di mana juga.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Operasi MYTV Broadcasting Sdn. Bhd., Syaffandi Shahrom berkata, pengalaman hiburan premium tidak semestinya datang dengan harga yang tinggi.
“MYTV Mana-Mana Premium direka untuk seisi keluarga, pelajar mahupun individu sama ada mereka menonton melalui telefon pintar, tablet atau skrin besar menerusi Google TV.
“Dengan kadar langganan yang rendah ini, kami benar-benar berharap agar semua lapisan masyarakat, dari bandar ke luar bandar, dapat menikmati sepenuhnya penawaran MYTV Mana-Mana Premium,” katanya.

Dalam pada itu, MYTV turut mengumumkan kerjasama strategik dengan beberapa jenama utama seperti PRISM+, FoodPanda dan MPH Bookstores.
Kolaborasi ini membuka lembaran baharu ke arah pembentukan ekosistem digital yang menggabungkan kandungan, perdagangan dan komuniti.
Maklumat lanjut mengenai kerjasama ini akan dikongsi melalui saluran rasmi MYTV Mana-Mana dalam masa terdekat.
Ketika permintaan terhadap platform penstriman terus meningkat di Malaysia, MYTV Mana-Mana tampil sebagai pelopor yang menghubungkan generasi dan membawa hiburan berkualiti tinggi ke setiap rumah di seluruh negara.

