28.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 30, 2026

UPSI perintis gerakan advokasi kesihatan wanita di institusi pengajian tinggi

editormaxinfo@gmail.com

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengorak langkah sebagai institusi pengajian tinggi pertama yang mempelopori gerakan advokasi kesihatan dan kebersihan wanita melalui penganjuran Program Advokasi Kesihatan dan Kebersihan Siswi: Sihat Itu Cantik, yang berlangsung di Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

Program berimpak tinggi itu adalah salah satu slot khas sempena Minggu Intelektual dan Interaksi Anak Kandung Suluh Budiman, yang disusun khusus untuk pelajar baharu Diploma UPSI ambilan Julai 2025.

Ia dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi agensinya, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), dengan matlamat memperkasa pengetahuan pelajar wanita mengenai kesihatan diri dan kebersihan reproduktif.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, kesedaran terhadap aspek kesihatan dan kebersihan diri dalam kalangan siswi institusi pengajian tinggi perlu ditangani secara serius demi melahirkan generasi wanita muda yang sihat tubuh badan, stabil emosi dan cemerlang akademik.

“Mentaliti masyarakat yang menilai kecantikan wanita hanya berdasarkan rupa paras perlu diubah.

“Kecantikan yang sebenar berpunca daripada tubuh yang sihat, kefahaman mendalam terhadap tubuh sendiri, serta sikap menghormati dan menyayangi diri secara menyeluruh,” katanya.

Dr. Noraini berkata, statistik tahun 2023 yang menunjukkan hanya 47 peratus pelajar wanita di institusi pengajian tinggi memiliki pengetahuan yang mencukupi mengenai kesihatan reproduktif dan kebersihan diri.

Tegasnya, isu-isu seperti kitaran haid yang tidak teratur, jangkitan saluran kencing (UTI), serta kekurangan akses kepada produk kebersihan wanita masih dianggap tabu dalam kalangan siswi, menyebabkan ramai yang enggan bertanya atau mendapatkan maklumat yang tepat.

Dalam usaha memperkukuh advokasi ini, beliau mencadangkan penubuhan Kelab Aktiviti Siswi Sihat di setiap kampus, selain penghasilan e-buku kesihatan khusus untuk pelajar institusi pengajian tinggi.

Beliau turut menyatakan hasrat agar UPSI dijadikan sebagai model rujukan utama dalam peluasan program advokasi ini ke seluruh negara.

“Kita tidak mahu ada pelajar yang terpaksa tidak hadir ke kelas hanya kerana tiada tuala wanita, atau lebih membimbangkan, terpaksa menggunakan alternatif yang tidak selamat.

“Ekosistem sokongan di kampus harus diperkasa dan distrukturkan secara lebih menyeluruh,” katanya.

Penganjuran program ini turut mendapat kerjasama daripada syarikat tempatan seperti WEINAQ, yang memperkenalkan produk kebersihan wanita kepada pelajar sebagai sebahagian daripada usaha memperluas akses kepada produk berkualiti dan selamat.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, tema program “Sihat Itu Cantik” dipilih bertepatan dengan keperluan semasa dalam membina keyakinan diri serta kesejahteraan menyeluruh pelajar wanita. Katanya, kesihatan bukan sekadar isu peribadi, tetapi adalah asas kepada pencapaian hidup yang seimbang dan berjaya.

“Wanita yang sihat adalah wanita yang berdaya cipta, berdaya saing dan mampu mencipta impak besar dalam pembangunan negara.

“Kecantikan yang sebenar lahir daripada gaya hidup yang sihat, kestabilan emosi dan ketahanan mental,” katanya.

Katanya lagi, UPSI sentiasa memberi penekanan terhadap pembangunan kepimpinan pelajar wanita, bukan hanya sebagai pelengkap masyarakat, malah sebagai pemacu utama kepada perubahan, terutamanya dalam bidang sukan, akademik, inovasi dan seni.

Melalui program ini, UPSI bukan sahaja memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju dalam pendidikan, malah turut tampil sebagai pelindung dan penyokong utama kesihatan serta kesejahteraan mahasiswi selari dengan aspirasi nasional dalam membentuk wanita masa depan yang progresif dan berdaya tahan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular