editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Penulis dan penjawat awam, Ts. Dr. Mohd Hairul Mohd Salleh, terus mencipta nama apabila karya beliau yang memfokuskan kepada pemuliharaan alam sekitar berjaya meraih dua pengiktirafan berprestij di peringkat tempatan dan antarabangsa sepanjang April 2026.
Karya berjudul Panduan Menyaksikan Penyu dan Tuntung Bertelur: Memuliharan Warisan Alam Ke Arah Kelestarian itu telah membuktikan nilai dan impaknya apabila menerima Anugerah Penerbitan Karya Asli (Buku) dalam Majlis Penyampaian Anugerah Penerbitan 2025 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Majlis anjuran USIM Writers’ Pool yang berlangsung pada 16 April 2026 itu menjadi platform penting dalam mengiktiraf sumbangan karya ilmiah yang berkualiti tinggi dalam dunia penerbitan negara.
Lebih membanggakan, kejayaan itu hadir seiring dengan satu lagi pengiktirafan di peringkat global apabila Ts. Dr. Mohd Hairul turut dinobatkan sebagai penerima Excellence Award in the Category of Male Writers dalam acara antarabangsa Global Author & Creator Summit 2026.

Program anjuran Exceller Books, India yang berlangsung secara dalam talian pada 10 April 2026 itu menghimpunkan penulis dan pencipta kandungan dari seluruh dunia, sekali gus meletakkan nama beliau sebaris dengan tokoh penulisan antarabangsa.
Mengulas mengenai pencapaian itu, Ts. Dr. Mohd Hairul menyifatkan pengiktirafan yang diterima sebagai satu amanah besar untuk terus menghasilkan karya yang memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya dalam bidang pemuliharaan alam sekitar dan pendidikan lestari.
Katanya, kejayaan itu bukan sekadar penghargaan peribadi, sebaliknya menjadi pemangkin untuk mempergiat usaha menyampaikan kesedaran tentang kepentingan memelihara khazanah alam kepada generasi akan datang melalui penulisan yang berimpak.
Buku terbitan Penerbit Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu menampilkan pendekatan ilmiah dan praktikal dalam mengetengahkan kepentingan pemeliharaan spesies penyu dan tuntung.
Selain itu, ia turut menyediakan panduan kepada masyarakat serta pelancong mengenai kaedah menyaksikan proses pendaratan dan peneluran haiwan itu secara beretika tanpa menjejaskan habitat semula jadi.

Karya berkenaan dilihat sebagai sumbangan signifikan dalam menyokong agenda kelestarian alam, pembangunan ekopelancongan dan pendidikan awam.
Ia selari dengan usaha berterusan negara dalam memelihara biodiversiti serta memastikan warisan semula jadi terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Kejayaan berganda yang diraih oleh Ts. Dr. Mohd Hairul ini sekali gus membuktikan bahawa karya yang berteraskan ilmu, konservasi dan nilai masyarakat mampu mendapat pengiktirafan meluas di pelbagai peringkat.
Pencapaian ini juga secara tidak langsung mengangkat martabat dunia penulisan negara ke persada antarabangsa serta memperkukuh peranan penulis tempatan dalam memacu agenda kelestarian global.

