editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – TV AlHijrah terus memperkukuh peranannya sebagai stesen penyiaran Islam utama negara dengan membawakan rangkaian kandungan khas sempena musim Haji dan Aidiladha 1447H, yang disusun rapi bermula April hingga penghujung Mei 2026.
Inisiatif ini bertujuan mendekatkan umat Islam di Malaysia dengan pengalaman spiritual di Tanah Suci menerusi pelbagai program berteraskan ilmu, penghayatan rohani serta laporan semasa secara langsung.
Mengangkat tema kempen “Arafah: Puncak Munajat & Harapan”, TV AlHijrah menyajikan pengisian istimewa yang menzahirkan kemuliaan ibadah haji, keinsafan di bumi Arafah serta harapan umat Islam terhadap rahmat dan keampunan Allah SWT, selari dengan usaha memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap nilai-nilai ibadah berkenaan secara lebih mendalam.
Sebagai pembuka tirai musim haji tahun ini, program Interaktif Haji mula bersiaran pada 20 April 2026 setiap Isnin hingga Jumaat, jam 9 malam dengan memberi penekanan kepada kefahaman ibadah haji secara jelas, tepat dan praktikal.

Program ini dibimbing oleh barisan asatizah berpengalaman seperti Ustaz Harryanto Rizal dan Ustazah Yusnah Yusuf.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Haris berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja memberi gambaran jelas kepada umat Islam yang belum menunaikan haji, malah menjadi medium mengimbau kenangan buat mereka yang pernah melaksanakannya.
“Program-program yang disediakan berfungsi sebagai persediaan ilmu serta pengukuhan rohani kepada masyarakat Islam secara menyeluruh.
“Lebih menarik, musim ini turut diperkasa dengan integrasi digital secara langsung yang membolehkan penonton mengemukakan persoalan secara terus melalui platform media sosial bersama pengacara Zaim Zamani.
“Pendekatan ini dilihat mampu meningkatkan interaksi serta kefahaman secara masa nyata dalam kalangan penonton,” katanya.

Meneruskan momentum itu, TV AlHijrah menampilkan program Kisah Mutawif bermula 30 April 2026 yang bersiaran setiap Khamis dan Jumaat pada jam 10 malam bersama Ustaz Izzhar Nazri.
Program ini membawa penonton menyelami pengalaman sebenar mutawif dalam membimbing jemaah di Tanah Suci, termasuk kisah pengorbanan, kesabaran serta perjalanan spiritual menuju Allah SWT.
Kempen Haji 2026 turut diperkukuh dengan penerbitan Diari Labbaikallah yang akan mula bersiaran pada 11 Mei 2026 setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam.
Kapsul khas ini membawakan laporan semasa secara langsung dari Mekah, merangkumi suasana ibadah haji, pergerakan jemaah serta detik-detik penting sepanjang musim haji, sekali gus memberi peluang kepada penonton di tanah air merasai pengalaman seolah-olah berada di bumi suci.
Menjelang kemuncak ibadah haji, tumpuan utama pastinya siaran langsung Munajat Arafah pada 26 Mei 2026, jam 5 petang yang menampilkan tausiyah, zikir dan munajat dalam suasana penuh keinsafan.

Pada hari yang sama, TV AlHijrah turut menyiarkan secara langsung Khutbah Arafah 2026 yang akan disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan kepada jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.
Siaran langsung berkenaan dijadualkan sekitar jam 7 malam waktu Malaysia menerusi platform rasmi TV AlHijrah di Facebook dan TikTok, sekali gus membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk bersama-sama menghayati detik kemuncak ibadah haji yang menghimpunkan jutaan umat Islam di Padang Arafah dalam suasana penuh doa, taubat dan pengharapan kepada Allah SWT.
Sementara itu, Dr. Zulkifli Hasan berkata, TV AlHijrah bukan sekadar medium penyampaian ilmu, tetapi turut berperanan membentuk pemikiran masyarakat terhadap Islam yang progresif dan inklusif, selain membantu memperkukuh kefahaman agama dalam kalangan rakyat.

“Dalam meraikan ketibaan Aidiladha, TV AlHijrah turut membawakan program Peristiwa Hari Tasyrik yang akan bersiaran pada 28 hingga 30 Mei 2026, jam 9 malam. “Program ini mengupas makna dan hikmah tiga hari Tasyrik, termasuk kepentingan memperbanyakkan zikir serta menghayati pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS,” katanya.
Selain itu, rancangan pagi popular Assalamualaikum akan terus menyajikan segmen khas haji setiap hari pada jam 7 pagi menerusi perkongsian ilmu, simulasi ibadah dan panduan praktikal oleh para asatizah terpilih.
Berita AlHijrah pula akan menampilkan laporan harian musim Haji 1447H pada jam 8 malam dengan perkembangan terkini berdasarkan sumber sahih termasuk Lembaga Tabung Haji serta pihak berkuasa berkaitan di Arab Saudi.
Keseluruhan rangkaian kandungan ini mencerminkan peranan TV AlHijrah sebagai jambatan rohani yang menghubungkan rakyat Malaysia dengan detik-detik penting umat Islam di seluruh dunia, sekali gus memperkukuh aspirasi dalam menyatukan ummah melalui penyebaran ilmu dan penghayatan ibadah yang lebih mendalam.

