editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Angkatan Karyawan Nasionalis (AKAR) menggesa kerajaan supaya melakukan penilaian menyeluruh terhadap peranan dan keberkesanan Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) yang beroperasi di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), susulan kebimbangan terhadap keupayaan badan itu dalam menangani krisis tenaga semasa.
Gesaan itu turut merangkumi keperluan untuk menstruktur semula PPPK sekiranya pasukan berkenaan didapati terus gagal bertindak secara efektif dan responsif dalam menghadapi cabaran krisis tenaga yang semakin meruncing di peringkat global.
AKAR dalam satu kenyataan berkata, pendekatan yang diambil oleh PPPK ketika ini dilihat bukan sahaja tidak berkesan, malah cenderung bersifat pasif sehingga berpotensi menghambat usaha kerajaan dalam mendepani tekanan ekonomi global.
Menurut kenyataan itu, dunia kini berdepan ketidaktentuan bekalan tenaga, tekanan inflasi serta gangguan rantaian bekalan yang memerlukan tindakan fiskal segera, terselaras dan berpaksikan realiti semasa.
Bagaimanapun, AKAR berpandangan PPPK masih belum menunjukkan tahap kesegeraan atau keberanian yang diperlukan, khususnya dalam mencadangkan pakej rangsangan fiskal yang mampu memberi sokongan menyeluruh kepada rakyat dan sektor perniagaan.
Lebih membimbangkan, organisasi itu turut membangkitkan kemungkinan wujudnya elemen “boikot senyap” dalam pendekatan PPPK yang dilihat tidak seiring dengan usaha proaktif Perdana Menteri.
AKAR berkata sejak awal, kepimpinan negara telah menggerakkan pendekatan menyeluruh termasuk mengadakan libat urus secara langsung dengan pemain industri, pimpinan negeri serta rakan serantau bagi menangani krisis yang berlaku.
Menurut AKAR, ketika kepimpinan tertinggi negara bertindak pantas dalam mod krisis, PPPK sebaliknya masih terperangkap dalam kerangka birokrasi yang tidak selari dengan keperluan mendesak di lapangan.
Jelasnya, keadaan ini berpotensi menjejaskan keberkesanan pelaksanaan dasar selain menggugat keyakinan rakyat dan pelabur terhadap keupayaan kerajaan untuk bertindak secara bersepadu dan berkesan.
Sehubungan itu, dalam situasi genting seperti sekarang, tiada ruang untuk sikap berkecuali atau pendekatan “business as usual”.
PPPK seharusnya memainkan peranan sebagai pemacu utama dalam penyelarasan dasar serta pelaksanaan rangsangan fiskal, bukannya menjadi penghalang kepada momentum yang telah digerakkan di peringkat kepimpinan tertinggi negara.

