31.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 22, 2026

Wanita kuasai pentas Dikir Barat RTM 2026, cipta sejarah baharu seni tradisional

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Buat pertama kali dalam sejarah penganjurannya sejak 1993, Pertandingan Dikir Barat RTM 2026 edisi ke-22 mencipta kelainan tersendiri apabila membuka pentas kepada penyertaan pendikir wanita, sekali gus memecahkan dominasi tradisi yang sekian lama dikuasai oleh golongan lelaki.

Inisiatif bersejarah ini mencerminkan komitmen Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam memperkasa peranan wanita dalam bidang seni budaya, di samping memastikan warisan tradisional terus kekal relevan, dinamik dan inklusif seiring perkembangan zaman.

Penyertaan wanita dalam seni dikir barat dilihat sebagai satu langkah progresif yang bukan sahaja membuka ruang baharu, malah memperluas dimensi persembahan seni warisan negara.

Dalam konteks perkembangan seni tradisional, kemampuan untuk menjadi pendikir bukanlah sesuatu yang boleh dibentuk dalam tempoh singkat.

Golongan wanita khususnya sering berdepan pelbagai kekangan termasuk kurangnya pengiktirafan, sokongan, pendedahan serta ketiadaan tenaga pengajar wanita yang mencukupi.

Faktor-faktor ini selama ini menjadi antara sebab utama mengapa seni dikir barat kurang mendapat sambutan dalam kalangan wanita.

Namun, langkah berani RTM memperkenalkan kategori wanita dalam pertandingan tahun ini jelas memberi nafas baharu kepada landskap seni budaya tempatan.

Pertandingan Dikir Barat RTM 2026 turut menjadi sebahagian daripada strategi RTM dalam memperkukuh kandungan berkualiti di platform digital RTMKLIK, selain diangkat sebagai acara utama sempena sambutan ulang tahun ke-80 penyiar nasional itu.

Peringkat saringan yang berlangsung pada 7 dan 8 Februari lalu di beberapa stesen radio RTM terpilih di seluruh negara menyaksikan sambutan amat menggalakkan dengan penyertaan 14 kumpulan lelaki dan enam kumpulan wanita.

Daripada jumlah itu, enam kumpulan wanita berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir bersama empat kumpulan lelaki terbaik.

Separuh akhir pertandingan berlangsung di Auditorium Seri Angkasa pada 18 April, sebelum kemuncak pentas akhir dijadualkan pada 25 April.

Menariknya, beberapa kumpulan wanita yang bertanding turut melibatkan penuntut institusi pengajian tinggi, sekali gus mencerminkan potensi besar generasi muda sebagai pelapis seni tradisional ini.

Transformasi penganjuran edisi ke-22 ini menyerlahkan usaha berterusan RTM dalam menyuntik elemen pembaharuan agar seni warisan kekal segar dan relevan.

Pertandingan yang diadakan secara dwitahunan ini juga membuka peluang kepada penyertaan pendikir muda daripada pelbagai kaum, sekali gus memperkukuh keterangkuman seni dikir barat di peringkat nasional.

Selain mengetengahkan bakat dan kreativiti, pertandingan ini turut menawarkan hadiah wang tunai lumayan, dengan juara kategori lelaki berpeluang membawa pulang RM30,000 manakala juara kategori wanita bakal menerima RM25,000.

Inisiatif ini bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada penggiat seni, malah menjadi pemangkin kepada perkembangan seni tradisional dalam kalangan masyarakat.

Pentas separuh akhir yang berlangsung secara langsung pada jam 9 malam menerusi TV2 dan RTMKLIK turut dimeriahkan dengan persembahan artis jemputan seperti Asmidar, Farez Adnan, Adik Waniey dan Aus Raja Perfume.

Program ini dikendalikan oleh barisan hos iaitu Jeed Zulkifli, Azidi, Izz Faiez dan Wadiey Bobby.

Bagi kategori wanita, enam kumpulan yang berjaya mara ke separuh akhir ialah Dewi Pujangga UMK, Queen Arwana, Sari Adiratna UNIMAIWP, Sri Andani, Sri Kandi Tumpat dan Teratai Manis IPGKSM.

Sementara itu, kategori lelaki menyaksikan persaingan sengit apabila hanya empat kumpulan terbaik layak ke peringkat ini, iaitu Kala Maharaja PKINK, Seruling Kasih, Medan Kemulang dan Sidi Sakti Melor.

Penganjuran Pertandingan Dikir Barat RTM 2026 bukan sekadar sebuah pertandingan hiburan, malah menjadi platform penting dalam memelihara warisan budaya sambil merapatkan hubungan antara generasi serta memperkukuh identiti seni tradisional negara di era digital.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular