editormaxinfo@gmail.com
SUBANG JAYA -INTI International College Subang (IICS) melancarkan The Changemakers dan Seminar Keusahawanan Sosial.
Ini adalah satu Inisiatif yang disifatkan sebagai platform penting dalam memupuk semangat keusahawanan sosial yang diterajui pelajar serta memperkasakan impak komuniti secara berterusan.
The Changemakers @ IICS adalah sebahagian daripada Program Keusahawanan Sosial Komuniti Universiti (UCSE) di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), yang bertujuan untuk memperkenalkan pengalaman dunia sebenar dalam bidang keusahawanan sosial ke dalam kehidupan mahasiswa.
Di peringkat kolej ini, The Changemakers memberi ruang kepada pelajar untuk mengenal pasti dan menyelesaikan isu komuniti melalui pendekatan praktikal, lestari dan berasaskan nilai murni.
Majlis pelancaran yang dianjurkan dengan kerjasama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) itu menghimpunkan individu serta organisasi berteraskan nilai yang komited dalam membina Malaysia yang lebih inklusif dan mampan menerusi keusahawanan sosial.

Dalam ucapan perasmiannya, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan menekankan kepentingan yang semakin meningkat terhadap peranan perusahaan sosial (SE) dalam menangani cabaran sosial dan alam sekitar yang kompleks.
Menurut beliau, perusahaan sosial bukan sekadar entiti perniagaan biasa, sebaliknya ia memainkan peranan kritikal dalam memacu perubahan sama ada melalui pemerkasaan komuniti terpinggir, mewujudkan peluang pekerjaan yang inklusif, menangani isu alam sekitar atau mengamalkan model perniagaan beretika sambil menjana pendapatan bagi memastikan kelestariannya.
“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), katanya, telah meletakkan perusahaan sosial sebagai agenda nasional dengan usaha berterusan memperkukuh ekosistem SE melalui pembangunan dasar, latihan, sistem akreditasi, insentif pengecualian cukai, sambutan Hari SE, serta penganjuran forum dan seminar selain menyediakan bantuan kewangan,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan), KUSKOP; Noor Afifah Abdul Razak, Ketua Eksekutif IICS, Dr Jane Lim dan Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN; Viviantie Sarjuni.
Beliau turut mengumumkan sebanyak 468 perusahaan sosial telah diakreditasi di bawah KUSKOP, dengan capaian manfaat kepada lebih 56,000 individu di seluruh negara setakat ini.
Salah satu sorotan utama majlis pelancaran ini ialah pengenalan Kotak Cantik, perusahaan sosial pertama yang dikendalikan oleh pelajar IICS di bawah inisiatif ini.
Projek ini memberi fokus kepada komuniti berpendapatan rendah di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR), khususnya dalam aspek kebersihan dan kesihatan.
Melalui pengagihan kit kebersihan kepada keluarga B40, inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan diri, malah memberi pelajar pengalaman langsung dalam merancang dan melaksanakan program berimpak sosial.

Sementara itu, Dr Jane Lim berkata, hari ini adalah detik yang cukup membanggakan bukan sahaja kerana pelancaran The Changemakers, tetapi juga kerana mereka memperkenalkan perusahaan sosial pertama yang diterajui pelajar.
“The Changemakers bukan sekadar projek, tetapi platform inovasi sosial yang diwujudkan oleh pelajar, disokong oleh tenaga pengajar dan diperkukuh oleh komuniti.
“Kami berharap ia berkembang menjadi satu gerakan yang lebih besar dan menjadi inspirasi kepada usahawan muda untuk membina perniagaan yang berteraskan tujuan murni,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan seminar khas anjuran INSKEN yang memberi pendedahan kepada peserta tentang cara memulakan serta membangunkan perusahaan sosial secara mampan.

