27.8 C
Kuala Lumpur
Monday, March 9, 2026

Selepas 18 tahun, ‘Impak Maksima 2’ bakal gegar pawagam, tampil aksi, drift dan dendam lama kembali membara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas hampir dua dekad menyepi, naskhah aksi jalanan yang pernah menjadi kegilaan anak muda, Impak Maksima, kini kembali semula ke layar perak dengan kesinambungan yang lebih dramatik dan penuh ledakan emosi.

Impak Maksima 2, arahan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri, akan mula ditayangkan pada 17 Julai 2025 dengan janji sebuah pengalaman sinematik yang bukan sahaja mempamerkan kehebatan dunia drift, malah menyentuh isu nilai, konflik dan impian dalam dunia permotoran yang kian tenggelam.

Filem yang diterbitkan oleh Screen Studio Sdn Bhd ini mengetengahkan cabaran sebenar dalam membangkitkan semula budaya sukan permotoran di Malaysia.

Dengan hampir 1,000 buah kereta pelbagai jenis terbabit dalam penggambaran, ia menjadikan Impak Maksima 2 sebagai antara produksi aksi automotif paling berskala besar dalam sejarah filem tempatan.

Dr Ahmad Idham berkata, filem ini masih mengekalkan DNA asal yang telah menjadikan Impak Maksima sebuah fenomena pada tahun 2007, namun dengan pendekatan naratif yang lebih segar dan sinematik.

“Kita mahu kembalikan semula semangat zaman kegemilangan motorsport tempatan. Dalam masa yang sama, kita perkenalkan pelapis baharu industri untuk memberi keseimbangan kepada cerita antara legasi dan masa depan,” katanya.

Dr Ahmad Idham berkata, pihaknya turut mempunyai perancangan yang lebih besar melalui pembinaan ‘universe’ Impak Maksima, dengan kemungkinan filem ketiga bakal berlatarkan kejohanan drift di Thailand.

Menurutnya, perkembangan semasa dalam industri automotif tempatan yang menunjukkan lonjakan minat terhadap acara seperti autoshow dan perlumbaan memberikan isyarat bahawa sudah tiba masanya sebuah filem tempatan memanfaatkan momentum itu.

Sementara itu, barisan pelakon Impak Maksima 2 menampilkan gabungan mantap antara wajah lama dan baharu.

Antara yang kembali menjayakan watak ikonik ialah Dato’ Sri Eizlan Yusof, Zul Huzaimy dan Dynas Mokhtar, manakala pelakon muda seperti Arfie Shah, Nelissa Nizam, Riena Amirah, Muhsin Nadzli, Fad Bocey dan Man Raja Lawak menyuntik nafas baharu dan dinamik ke dalam penceritaan.

Penggambaran filem ini telah dijalankan di beberapa lokasi utama di Semenanjung Malaysia termasuk di Lembah Klang, Melaka, Iskandar Puteri dan Johor Bahru, sekaligus menawarkan latar visual yang menarik dan mencerminkan sisi urban dan kontemporari dunia perlumbaan jalanan tempatan.

Filem ini turut menerima sokongan padu daripada pelbagai penaja korporat dan komuniti automotif termasuk Goodyear, Petronas Syntium, Ultra Racing, Works Engineering, WrapXpert dan HJC Helmet.

Bantuan daripada agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta majlis bandaraya tempatan juga memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran penggambaran.

Sepanjang proses produksi, Impak Maksima 2 telah mencuri perhatian ramai di platform media sosial apabila video-video di sebalik tabir dan gambar penggambaran menjadi tular.

Reaksi awal peminat menunjukkan minat yang tinggi terhadap sekuel ini, malah ramai yang menganggap ia sebagai filem aksi Malaysia yang paling dinanti-nantikan tahun ini.

Konflik, Impian dan Perlumbaan Nyata di Jalan Cerita

Impak Maksima 2 mengangkat kisah Rudy (Arfie Shah), seorang pemuda yang sering terjebak dalam perlumbaan haram dan pemberontakan terhadap ibu yang menolak minatnya dalam bidang automotif.

Selepas diperkenalkan kepada Abang Joe (Dato’ Sri Eizlan Yusof) oleh ASP Maria (Dynas Mokhtar), Rudy memulakan perjalanan pembentukan disiplin dan identiti dirinya di pusat permotoran APD Crew Circuit.

Rudy yang mulanya hanya bertugas sebagai pembantu am, mula menunjukkan potensi sebenar apabila dia mengenali dunia drift profesional di bawah bimbingan Johan dan bergaul rapat dengan Naim serta Puteri.

Namun hubungan rapatnya dengan Gia (Nelissa Nizam), kekasih kepada pelumba elit Rio (Muhsin Nadzli), mencetuskan ketegangan yang akhirnya membawa kepada satu cabaran perlumbaan.

Konflik menjadi lebih tegang apabila Ray (Zul Huzaimy), musuh lama Abang Joe, kembali dengan niat tersembunyi dan memerangkap Rudy ke dalam perjanjian berat sebelah.

Pertaruhan perlumbaan yang membabitkan maruah, hutang dan kelangsungan APD Crew Circuit menjadi medan penentuan yang bukan sahaja mencabar kemahiran, malah kesetiaan dan semangat sebenar dalam dunia permotoran.

Apakah Rudy berjaya membuktikan kemampuannya? Adakah Abang Joe mampu mempertahankan legasinya? Semuanya bakal terjawab dalam Impak Maksima 2 yang akan menemui penonton bermula 17 Julai ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular