editormaxinfo@gmail.com
KAJANG – Penganjuran edisi keempat CIMB ASEAN Cultural Night Run 2025 (CIMB ACNR 2025) bakal mencipta kelainan apabila acara yang dinanti-nantikan ini dijadual berlangsung pada 16 Ogos 2025 di Jambatan Sultan Abdul Halim Muāadzam Shah, Pulau Pinang.
Berlangsung dari jam 8 malam hingga 1 pagi, acara ini dijangka menyaksikan penyertaan lebih 5,000 peserta dalam pelbagai kategori larian.
Penganjuran kali ini mencatat satu lagi pencapaian membanggakan apabila CIMB Bank Berhad tampil sebagai penaja utama, atau Title Sponsor, dengan penyerahan tajaan disempurnakan kepada Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Selain CIMB, sembilan lagi penaja turut menyumbang dalam bentuk wang tunai dan barangan, termasuk Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Faithview Resources, Sky Blue Media Sdn. Bhd, S & A Bintang, Century Software (M) Sdn. Bhd, PLUS Malaysia Berhad, Julies Manufacturing Sdn. Bhd, AFA Prime Berhad, dan Kuala Lumpur – Kuala Selangor Expressway (LATAR).
CIMB ACNR 2025 menampilkan tiga kategori utama iaitu Half Marathon 21KM, larian 10KM dan Cultural Fun Run sejauh 5KM.
Selain daripada elemen kesukanan, acara ini turut mengetengahkan aspek seni dan budaya tempatan melalui pelbagai persembahan kebudayaan serta aktiviti menarik sepanjang program.
Lebih istimewa, penganjuran kali ini diberi nafas baharu dengan penjenamaan sebagai ASEAN Cultural Night Run, sejajar dengan Malaysia yang kini memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Ini menjadikan CIMB ACNR 2025 sebagai sebuah platform unik yang bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat dan semangat kesukanan, malah memperkukuhkan identiti serantau melalui pendekatan budaya dan diplomasi rakyat.
Penyertaan dari negara-negara ASEAN turut dijangka memperkayakan lagi warna-warni acara ini, seiring dengan semangat “ASEAN Way” yang mendasari komuniti serantau.
Penganjuran acara ini adalah hasil kerjasama strategik antara Koperasi LLM Berhad, Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Persatuan Olahraga Amatur Negeri Pulau Pinang (PAAA), Majlis Sukan Negeri, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB), serta disokong oleh Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), dan pelbagai agensi kerajaan, NGO serta badan sukan tempatan.
Bagi menghargai semangat peserta, pihak penganjur menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM21,000 bagi kategori yang dipertandingkan.
Tidak ketinggalan, 30 hadiah pakaian kebudayaan tercantik atau paling unik akan diberikan mengikut kategori lelaki, wanita dan kanak-kanak.
Tambahan pula, 30 hadiah cabutan bertuah turut menanti para peserta yang mendaftar.

Selain penaja utama, penganjur turut menerima sokongan daripada pelbagai syarikat dan organisasi dalam bentuk tajaan wang tunai dan barangan.
Antara yang turut serta ialah Counterpain, Universal Sport Sdn. Bhd, DUKE, MEX, Sime Darby Property Bhd, Andaman Media, MK Land Holdings, Touch ān Go, IJM Toll Division, serta lebih 20 lagi syarikat termasuk pemain utama industri lebuh raya dan hartanah seperti MRCB, Prolintas, dan Grand Saga Sdn. Bhd.
Beberapa hotel ternama di Pulau Pinang seperti Eastin Hotel, Sunway Hotel Georgetown dan Cititel Hotel turut tampil sebagai rakan kerjasama lokasi.
Bagi rakyat Malaysia yang ingin turut serta dalam acara berprestij ini, pendaftaran boleh dibuat melalui laman web rasmi Howei.com.
Sempena majlis penyerahan tajaan yang berlangsung, pihak penganjur turut mengumumkan tarikh tutup penyertaan telah dilanjutkan sehingga 15 Julai 2025.
Setiap peserta berdaftar bakal menerima goodies pack, t-shirt eksklusif, medal dan sijil penyertaan digital.
Pihak penganjur masih membuka peluang kepada mana-mana pihak yang berminat untuk menaja acara ini dalam pelbagai bentuk, termasuk barangan sukan, elektrik dan keperluan lain bagi menjayakan acara yang disasarkan menjadi antara larian malam paling berwarna-warni dan bermakna di rantau ini.

