editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Bintang tanah air dan ikon fesyen antarabangsa, Hael Husaini, bakal mencipta sejarah tersendiri apabila bakal mengadakan konsert solo pertamanya yang amat dinanti-nantikan di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Ogos 2025, ini.
Konsert yang diberi judul “Hael Husaini & Repertoire” ini dijangka menjadi antara persembahan paling ikonik dalam arena muzik Malaysia, menggabungkan elemen seni, emosi, dan fesyen dalam satu malam penuh magis.
Sebagai artis naungan Rocketfuel Entertainment, Hael tidak asing lagi sebagai figura unggul dalam industri hiburan tempatan.
Hael dikenali bukan sahaja kerana vokal luar biasa dan gaya persembahan yang artistik, malah turut mencetuskan fenomena dalam dunia penciptaan lagu dan peragaan fesyen.
Melalui konsert ini, Hael menyasarkan untuk membawa penonton menyusuri perjalanan seninya secara lebih mendalam bukan sekadar mendengar, tetapi turut merasai denyut nadi setiap karya yang dipersembahkan.

Kemunculan Hael di pentas muzik bukanlah satu kebetulan. Namanya mula mekar selepas mencipta kejutan dengan kemenangan berganda dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) menerusi lagu-lagu ikonik seperti “Jampi” dan “Haram” (duet bersama Dayang Nurfaizah).
Sejak itu, Hael terus memahat namanya dalam sejarah muzik tempatan sebagai pencipta lagu yang prolifik dan berpengaruh.
Salah satu pencapaian membanggakan ialah apabila lagu ciptaannya, “Anta Permana” nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza, dipilih untuk dimuatkan dalam senarai main rasmi diraja The King’s Music Room di platform Apple Music oleh DYMM Raja Charles III.
Menyifatkan detik itu sebagai satu penghargaan luar biasa, Hael berkata, apabila diberitahu lagu yang dia cipta berada dalam playlist rasmi King Charles, dia terdiam.
“Ia bukan sekadar satu pencapaian peribadi, tetapi satu pengiktirafan buat muzik Malaysia,” katanya.
Tahun 2024 menyaksikan satu lagi pencapaian membanggakan apabila lagu “Diam”, yang menjadi runut bunyi sebuah drama tempatan, diumumkan sebagai Best Theme Song di Asian Academy Creative Awards (AACA) yang berlangsung di Singapura.
Kemenangan ini sekali gus mengukuhkan reputasi Hael sebagai pencipta lagu yang tidak hanya mendapat pengiktirafan dalam negara, malah turut dihormati di peringkat serantau.
Selain pencapaian dalam muzik, Hael turut menyerlah dalam dunia fesyen.
Tahun ini, Hael mencuri tumpuan di pentas Milan dan Paris Fashion Week 2025 apabila memperagakan koleksi jenama-jenama mewah antarabangsa seperti Dolce & Gabbana, Zegna, Amiri, Emporio Armani dan Kenzo.

Gaya sofistikated serta kehadiran karismatik beliau meletakkan Hael sebagai wajah Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Saya bukan sekadar ingin dikenali sebagai penyanyi atau komposer, tetapi sebagai penggiat seni yang mewakili Malaysia dengan penuh gaya di mana-mana pentas saya berdiri,” katanya.
Pengumuman rasmi mengenai konsert ini telah dibuat semasa siaran langsung program Big Stage Alpha pada 1 Jun lalu, di mana Hael turut bertindak sebagai juri tetap.
Sebelum itu, Hael memberi petunjuk awal kepada peminat menerusi acara eksklusif Antonim Night pada 31 Mei di PJPAC.
Teka-teki mengenai artis jemputan yang bakal berganding bersama Hael di pentas akhirnya terjawab apabila Hael mengesahkan penyertaan penyanyi tersohor Dayang Nurfaizah dan bintang baharu berbakat besar, Nadeera.
Kedua-dua figura ini dijangka mempersembahkan kolaborasi istimewa yang pasti menggamit emosi peminat.
“Saya dan Dayang telah melalui pelbagai fasa dalam kerjaya kami. Dia bukan sahaja seorang penyanyi yang saya kagumi, tetapi juga seorang sahabat sejati.
“Manakala Nadeera pula adalah wajah masa depan muzik Malaysia. Saya sangat teruja untuk berkongsi pentas bersama mereka berdua,” kata Hael penuh bermakna.
Tidak terhenti di situ, menerusi hantaran di laman sosial, Hael turut mengusik peminat dengan kenyataan misteri “Siapa cakap 2 je?”.
Spekulasi itu akhirnya terjawab apabila Hael mengumumkan dua lagi penyanyi yang bakal turut menyinari konsert istimewa ini ialah Wany Hasrita dan Nabila Razali.

“Hael Husaini & Repertoire” bukan sekadar sebuah konsert biasa. Ia dijangka menampilkan susunan muzik baharu yang lebih segar, persembahan visual sinematik, serta segmen fesyen eksklusif yang mencerminkan evolusi artistik Hael sepanjang kariernya.
“Saya ingin peminat yang hadir bukan hanya mendengar lagu, tetapi untuk merasai perjalanan saya, menyelami emosi saya, dan menyaksikan sisi kreatif saya yang sebenar dari muzik, visual, hingga ke fesyen.
“Saya mahu mereka keluar dari Zepp dengan perasaan terinspirasi, puas dan bangga menjadi sebahagian daripada malam itu nanti,” tambahnya lagi dengan penuh semangat.
Konsert ini turut mendapat sokongan padu daripada rakan media rasmi ERA, Sinar dan Gegar, serta rakan digital rasmi Gempak.
Tiket boleh mula didapati oleh peminat menerusi platform ticket2u.com.my.
Berikut adalah kategori tiket yang ditawarkan:
-VIP Box (Seated) – RM588
-Platinum (Standing) – RM258
-Gold (Standing) – RM168
-Silver (Standing) – RM148
-Bronze (Standing) – RM120
Peminat yang membeli tiket kategori tertentu juga bakal menikmati pelbagai keistimewaan eksklusif.
Pemegang tiket VIP Box, sebagai contoh, akan menerima pas meet & greet, ruang peribadi untuk 10 orang, poster konsert bertandatangan, merchandise rasmi serta hidangan dan minuman ringan.
Maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai “Konsert Hael Husaini & Repertoire” boleh didapati melalui saluran media sosial rasmi Hael Husaini dan Rocketfuel Entertainment.

