editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Suasana pagi di Suria FM hari ini sedikit berbeza apabila penyampai popular, Dato’ Fizz Fairuz, secara rasmi menamatkan tugasnya sebagai hos segmen Morning Morning Suria.
Hari ini menandakan hari terakhir Fizz bersiaran secara langsung di corong radio, sekali gus mengakhiri kerjasama selama satu tahun setengah bersama stesen radio berkenaan.
Sepanjang tempoh itu, Fizz Fairuz atau lebih mesra dikenali sebagai Tok Fizz telah menjadi wajah dan suara yang menceriakan pagi pendengar Suria FM.
Kehadirannya bukan sahaja menyuntik elemen hiburan, malah memperlihatkan komitmen tinggi serta profesionalisme yang menjadi nilai tambah kepada pasukan penyampai Suria FM.
Suria FM dalam satu kenyataan berkata, Tok Fizz dianggap sebagai seorang penyampai yang berbakat besar dan mampu menjalin hubungan yang mesra serta erat dengan pendengar setia stesen itu.
Gaya penyampaiannya yang bersahaja namun berkesan menjadikan Fizz cepat diterima dan disayangi ramai.
“Suria FM amat menghargai segala sumbangan dan dedikasi yang telah diberikan oleh Tok Fizz sepanjang perkhidmatannya.
“Kami mengucapkan jutaan terima kasih atas kerjasama dan kenangan manis yang telah terukir bersama beliau,” kata kenyataan itu.

Tok Fizz sebelum ini dikenali menerusi kerjayanya dalam bidang lakonan dan telah membawa personaliti uniknya ke dunia penyiaran radio.
Walaupun tempoh perkhidmatannya di Suria FM berakhir, pihak stesen menyatakan keyakinan beliau akan terus cemerlang dalam bidang yang diceburi selepas ini.
“Kami di Suria FM mendoakan kejayaan berterusan buat Tok Fizz dalam setiap langkah yang diambil selepas ini.
“Selamat maju jaya dan terima kasih atas segala kenangan indah bersama kami,” kata kenyataan itu lagi.
Dengan perpisahan ini, Morning Morning Suria bakal membuka lembaran baharu, namun kenangan bersama Tok Fizz pastinya kekal dalam ingatan para pendengar dan seluruh warga kerja Suria FM.


https://shorturl.fm/qtwpa