editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Syarikat MSH Empire tampil memberikan penjelasan rasmi berhubung isu yang tular di media sosial membabitkan pemilikan dan penjenamaan semula produk Minyak Herba Nilam serta konflik berkaitan kerjasama terdahulu dengan pasangan selebriti media sosial, Azlan Komeng dan Norhaslinda Abdullah atau lebih dikenali sebagai Nilam.
Dalam satu sidang media yang diadakan, MSH Empire yang diwakili oleh Norsufia Johari berkata, kerjasama dengan pasangan berkenaan bermula pada 23 Disember 2024 apabila Norsufia yang dikenali sebagai Cik Pia, memperkenalkan produk Minyak 1001 Khasiat Dayak Kalimantan kepada Azlan dan Nilam.
“Tujuan utama ketika itu adalah untuk membantu pasangan berkenaan menjana pendapatan menerusi penjualan produk secara dalam talian, khususnya di platform TikTok Shop.
“Sehari selepas pertemuan itu, persetujuan dicapai untuk menjual produk berkenaan menggunakan nama dan penjenamaan “Nilam HQ” serta beg kuning yang kemudiannya menjadi simbol pengenalan.
“Malah, cadangan untuk menamakan produk sebagai “Minyak Herba Nilam” datang daripada Nilam sendiri dan pihak MSH Empire bersetuju atas syarat bahawa hanya penjenamaan ditukar manakala resipi produk kekal milik penuh syarikat,” katanya.
Bagaimanapun, pada Februari 2025, kerjasama terbabit mula menemui titik noktah apabila Nilam memaklumkan akaun TikTok miliknya telah disekat dan dalam masa yang sama menyatakan hasrat untuk tidak lagi terbabit dalam penjualan produk bersama MSH Empire kerana ingin membina jenama sendiri.

“Isu ini turut disusuli dengan penutupan laman web dan permohonan maaf oleh Nilam kepada pihak syarikat pada 12 Mac 2025.
“Sejak itu, hanya Azlan yang meneruskan komunikasi dengan pihak syarikat sehingga isu ini menjadi perhatian umum,” katanya.
Menurut Cik Pia, sepanjang tempoh kerjasama, segala komisen dan hasil jualan telah disalurkan secara terus ke akaun bank atas nama Norhaslinda Abdullah.
“Malah, bantuan juga diberikan oleh pihak syarikat dalam beberapa urusan peribadi, termasuk pembelian kenderaan.
“Namun, kemelut peribadi antara Azlan dan Nilam yang kemudiannya tular di media sosial telah memberikan kesan negatif kepada reputasi produk, termasuk gesaan untuk memboikot Minyak Herba Nilam,” katanya.
Katanya lagi, pada 1 Mei 2025, Nilam sendiri memuat naik video mengumumkan penutupan operasi Nilam HQ serta memperkenalkan jenama baharunya, Nilam Empire, sekali gus menjarakkan dirinya daripada produk asal keluaran MSH Empire.
“Sebagai langkah susulan, MSH Empire mengambil keputusan untuk menjenamakan semula produk berkenaan kepada Minyak Herba S-HERB bermula 5 Jun 2025, manakala beg kuning yang sinonim dengan penjenamaan terdahulu kini dikenali sebagai SP-HERB.
“Penjenamaan baharu ini turut diumumkan secara rasmi kepada media pada 14 Jun 2025 dalam usaha mengekalkan kejelasan dan profesionalisme syarikat.
“Pihak syarikat juga menegaskan produk serta resipi asal adalah milik sepenuhnya MSH Empire. Penjenamaan “Nilam HQ” juga didaftarkan atas nama syarikat dan bukan milik individu tertentu.
“Semua kandungan promosi sebelum ini dihasilkan semasa kerjasama berjalan dan pihak syarikat tidak mempunyai kawalan terhadap bahan-bahan yang masih digunakan oleh ejen atau “affiliates” lama,” katanya.

Sebagai langkah memulihkan kepercayaan pengguna, MSH Empire telah meminta Cik Pia memuat naik penjelasan rasmi melalui akaun TikTok miliknya.
“Pihak syarikat turut memaklumkan notis yang dikeluarkan oleh Nilam pada 25 Mei 2025, yang mendesak semua bahan promosi diturunkan, adalah tidak berasas memandangkan hak milik jenama dan produk secara sah adalah milik MSH Empire,” katanya.
Dalam pada itu, syarikat turut mengesahkan tindakan undang-undang telah dimulakan melalui pelantikan peguam Datuk Adnan Seman dari Tetuan Adnan Sharida & Associates.
“Surat tuntutan telah dikeluarkan kepada pasangan terbabit pada 15 Julai 2025 berhubung dakwaan fitnah dan tindakan saman akan difailkan sekiranya mereka gagal memenuhi semua tuntutan yang telah dinyatakan.
“MSH Empire sentiasa memberi komitmen dalam memastikan kualiti Minyak Herba S-HERB terus dikekalkan, di samping mengambil segala langkah perlu untuk melindungi hak jenama dan kepercayaan pelanggan,” katanya.


Join our affiliate community and earn more—register now! https://shorturl.fm/5Xkc3
https://shorturl.fm/NtEkm