27.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 11, 2026
Home Blog Page 88

Buttonscarves lancar semula Floralis Series edisi eksklusif Malaysia, simbol keanggunan dan ketabahan wanita

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama fesyen modest terkemuka, Buttonscarves, kembali memikat hati peminatnya di Malaysia dengan pelancaran semula koleksi yang dinanti-nantikan iaitu Floralis Series edisi eksklusif Malaysia.

Hadir atas permintaan ramai, koleksi ini bukan sekadar satu rangkaian tudung, tetapi adalah penghargaan penuh makna terhadap keindahan, ketabahan dan kelembutan wanita dari pelbagai latar belakang.

Setelah kejayaan koleksi Florescent Series pada tahun 2023, Buttonscarves sekali lagi mencetuskan inspirasi dengan Floralis Series, sebuah koleksi eksklusif yang direka khas untuk komuniti setia mereka, dikenali sebagai BSLady, di Malaysia.

Koleksi ini mengambil ilham daripada keindahan bunga liar yang mekar dengan tenang di tempat-tempat yang tidak disangka simbol keberanian dan kelembutan yang wujud serentak dalam jiwa wanita.

Seperti bunga liar yang teguh tumbuh meskipun dalam keadaan sukar, Floralis Series meraikan kekuatan dan keindahan wanita dalam setiap aspek kehidupan.

Daripada hubungan erat antara ibu dan anak perempuan, kepada kasih sayang kakak dan adik, serta persahabatan sejati sesama wanita, koleksi ini memberi penghormatan kepada ikatan yang membina dan saling menguatkan sesama mereka.

Ditawarkan dalam dua pilihan utama, Satin Square dan Voile Square, koleksi ini menampilkan lapan rona memukau dengan motif flora yang direka halus.

Setiap helaian tudung diperbuat daripada fabrik ringan yang lembut dengan “drape” yang cantik, menjadikannya sesuai untuk digayakan dalam pelbagai suasana baik dari pejabat ke majlis rasmi, atau sekadar bersantai pada hujung minggu.

Menambahkan lagi nilai eksklusifnya, Floralis Series didatangkan dalam kotak hadiah istimewa lengkap dengan reben, menjadikan ia pilihan sempurna untuk dijadikan hadiah sempena Hari Ibu, Hari Guru, mahupun sebagai penghargaan buat wanita-wanita yang istimewa dalam kehidupan seseorang.

Koleksi edisi terhad ini dijual pada harga RM145 dan boleh didapati secara eksklusif di laman rasmi www.buttonscarves.com.my serta di butik-butik Buttonscarves yang terletak di Suria KLCC, Pavilion KL, Avenue K, MyTOWN dan 1Utama.

Bagi menyemarakkan pelancaran kali ini, butik-butik terpilih Buttonscarves telah ditransformasikan menjadi sebuah taman bunga moden yang menghidupkan semangat Floralis.

Pengunjung berpeluang merasai pengalaman imersif di mana keindahan fesyen dan pesona bunga bertemu, menggambarkan intipati koleksi yang mengetengahkan gaya anggun, penuh kelembutan dan kekuatan dalaman wanita masa kini.

Dengan pelancaran Floralis Series edisi eksklusif Malaysia, Buttonscarves sekali lagi menunjukkan komitmennya dalam memperjuangkan keanggunan bergaya sambil menghargai nilai dan semangat wanita moden iaitu berani, lembut dan sentiasa berkembang.

TV AlHijrah segarkan kembali semangat haji menerusi program “Alumni Haji”

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – TV AlHijrah tampil dengan sebuah program istimewa bertajuk Alumni Haji, yang membawa pendekatan segar dalam menyemarakkan kembali semangat haji melalui kisah-kisah menyentuh hati jemaah yang pernah menjadi tetamu Allah di Tanah Suci.

Program ini bersiaran setiap Isnin hingga Rabu, jam 6.30 petang, bermula 5 Mei hingga 4 Jun 2025.

Berbeza daripada rancangan keagamaan yang bersifat formal atau berskrip, Alumni Haji dibawakan dalam bentuk bual bicara berkonsepkan podcast, yang memberi ruang kepada jemaah untuk berkongsi pengalaman mereka secara terbuka dan ikhlas.

Dirakam sepenuhnya di studio TV AlHijrah, program ini dikendalikan oleh pendakwah bebas, Ustaz Haji Fazrul Ismail, yang turut menyumbangkan panduan rohani dan pengajaran daripada perspektif seorang pembimbing ibadah.

Melalui platform ini, penonton dapat menyelami pelbagai pengalaman mendalam jemaah sewaktu menunaikan ibadah haji termasuk detik keinsafan di Arafah, cabaran fizikal dan emosi yang ditempuhi, serta kisah-kisah luar biasa yang dilihat sebagai tanda rahmat Ilahi.

Setiap kisah disampaikan bukan sekadar untuk dikongsi, tetapi sebagai cerminan kepada penonton agar dapat mengambil iktibar dan memperbaharui hubungan dengan Allah SWT.

Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar berkata, program ini diilhamkan daripada keperluan untuk mewujudkan satu ruang yang menyatukan kembali jemaah haji selepas mereka pulang ke tanah air.

“Ramai antara mereka pulang dengan hati yang penuh rasa, pengalaman yang sarat hikmah, namun tiada ruang untuk berkongsi secara meluas.

Alumni Haji diwujudkan sebagai jambatan agar kisah mereka tidak tenggelam begitu sahaja, sebaliknya menjadi inspirasi kepada umat Islam yang lain,” katanya.

Beliau berkata, TV AlHijrah tidak hanya sekadar menghasilkan kandungan semata-mata, tetapi mencipta sebuah ruang hidup tempat alumni haji boleh duduk bersama, memperbaharui azam dan menyemai kekuatan rohani yang pernah dirasai di Tanah Suci.

“Penonton bukan hanya mendengar cerita, tetapi diajak untuk merenung, bermuhasabah dan menghidupkan semula makna haji dalam kehidupan harian.

“Ini bukan sekadar mengenang, tetapi meneruskan perjalanan itu,” katanya lagi.

Program ini juga dilihat sebagai satu bentuk sokongan pasca-haji yang amat diperlukan oleh jemaah, memandangkan ramai dalam kalangan mereka yang mengakui berhadapan dengan cabaran untuk kekal istiqamah selepas pulang.

Kembalinya mereka ke rutin harian sering kali menyukarkan penerusan momentum rohani yang dibina sewaktu di Mekah dan Madinah.

Justeru, Alumni Haji hadir sebagai sebuah wadah penguat semangat, tempat saling mengingatkan, dan saluran untuk menyatukan kembali mereka yang pernah menjejakkan kaki di Tanah Suci.

Ia juga menjadi refleksi kepada masyarakat luas tentang makna sebenar haji bukan sekadar ritual tahunan, tetapi perjalanan jiwa yang perlu terus hidup dalam amal, akhlak dan gaya hidup seharian.

TV AlHijrah menjemput seluruh rakyat Malaysia, terutamanya alumni haji, untuk mengikuti program ini dan menjadikan setiap perkongsian sebagai cermin hati.

Untuk siaran semula dan klip eksklusif, orang ramai boleh mengikuti saluran digital rasmi TV AlHijrah.

Semoga setiap episod menyemarakkan kembali rindu ke Tanah Suci, membangkitkan semangat perubahan diri, dan membawa kita lebih hampir kepada-Nya.

Fuziah Salleh ganti Rafizi Ramli rasmikan kongres sayap KEADILAN

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Dr Fuziah Salleh mengesahkan beliau akan merasmikan Kongres Nasional sayap-sayap parti itu pada Jumaat ini, menggantikan Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli yang sebelum ini dijadualkan untuk menyempurnakan acara berkenaan.

Menurut Dr Fuziah, keputusan untuk menggantikan Rafizi dibuat selepas pelbagai usaha dilakukan bagi memujuk Ahli Parlimen Pandan itu agar terus hadir merasmikan kongres bagi Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita KEADILAN, namun tidak berjaya.

“Saya tidak terus bersetuju apabila diminta untuk menggantikan tempat beliau.

“Sebaliknya, saya menasihatkan AMK dan Wanita KEADILAN agar mencuba sedaya upaya untuk memujuk beliau terlebih dahulu. Mereka telah pun berusaha, tetapi akhirnya tidak berhasil,” katanya.

Dr Fuziah berkata, beliau akhirnya menerima pelawaan itu demi menjaga semangat dan kesatuan dalam kalangan anggota parti, khususnya dua sayap penting KEADILAN itu.

Jelasnya, penerimaan tugas terbabit juga dibuat dengan niat untuk mengelakkan sebarang persepsi negatif yang boleh mencetuskan tanggapan bahawa AMK dan Wanita KEADILAN memihak kepada mana-mana kumpulan dalam parti, terutamanya menjelang pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung pada hari sama.

“Saya tidak bertanding mana-mana jawatan dalam pemilihan kali ini, jadi adalah lebih baik saya tampil sebagai tokoh neutral.

“Ini penting supaya sayap parti tidak dilihat condong kepada mana-mana pihak,” katanya yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Dalam pada itu, Dr Fuziah turut menzahirkan keyakinannya semua anggota parti akan kembali bersatu selepas selesai proses pemilihan, meskipun ketika ini berlaku persaingan sengit antara penyandang Timbalan Presiden, Rafizi Ramli dan pencabarnya, Nurul Izzah Anwar.

“Mereka mungkin kelihatan berbeza pandangan buat masa ini, tetapi saya percaya semuanya sayangkan parti dan mahukan yang terbaik.

“Saya yakin kita akan kembali bersatu dan terus bergerak ke hadapan demi matlamat bersama,” katanya penuh harapan.

Kongres Nasional AMK dan Wanita KEADILAN menjadi medan penting menjelang pemilihan pucuk pimpinan parti, yang dijangka menjadi antara paling mencabar dalam sejarah KEADILAN, dengan pelbagai pihak menekankan kepentingan integriti, perpaduan dan hala tuju masa depan parti reformasi itu.

Maritim Malaysia teroka teknologi AI di LIMA 2025, perkukuh kawalan keselamatan perairan negara

editormaxinfo@gmail.com

LANGKAWI – Dalam usaha memperkukuhkan kawalan keselamatan perairan negara yang semakin mencabar, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengambil peluang daripada penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) untuk meninjau potensi penggunaan teknologi canggih, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan sistem pemantauan pintar.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pendekatan ini adalah sebahagian daripada agenda reformasi operasi agensi yang kini berhadapan dengan pelbagai bentuk jenayah rentas sempadan yang lebih kompleks dan sukar dijangka.

Menurutnya, penggunaan teknologi seperti analisis data masa nyata dan sistem amaran automatik dilihat mampu meningkatkan keberkesanan pemantauan serta mempercepatkan tindak balas terhadap insiden yang berlaku di laut.

“Maritim Malaysia melihat keperluan untuk meneroka teknologi baharu seperti kecerdasan buatan, analisis data masa nyata, serta sistem pemantauan pintar bagi mempertingkatkan kecekapan pemantauan dan respons terhadap insiden di laut,” katanya ketika ditemui semasa pameran berlangsung di Langkawi.

Beliau berkata, penyertaan Maritim Malaysia dalam LIMA 2025 bukan sekadar pameran, malah menjadi platform penting bagi mengenal pasti teknologi terkini serta meneroka peluang kerjasama strategik dengan pemain industri keselamatan maritim, baik dari dalam mahupun luar negara.

“Kami turut mengalu-alukan sebarang bentuk jalinan kerjasama baharu dengan rakan strategik bagi memastikan aset, sistem dan keupayaan operasi kekal relevan dan efektif dalam mendepani cabaran keselamatan semasa dan masa hadapan,” katanya. 

Dalam masa yang sama, Mohd Rosli berkata, walaupun teknologi moden mampu meningkatkan keberkesanan operasi, peranan anggota Maritim Malaysia tetap menjadi tulang belakang dalam menjalankan tugas di lapangan.

Katanya, teknologi perlu dilihat sebagai pelengkap kepada kecekapan manusia, bukan sebagai pengganti.

“AI boleh bantu dari segi membuat keputusan pantas, menjejak vesel nelayan asing (VNA), atau memberi amaran awal melalui pengesanan automatik.

“Ini semua akan membantu penguat kuasa Maritim Malaysia di lapangan untuk lebih proaktif,” katanya.

Sepanjang penganjuran LIMA 2025 yang berlangsung dari 20 hingga 24 Mei ini, Maritim Malaysia dijangka mengadakan beberapa sesi perbincangan tertutup bersama rakan strategik dan agensi keselamatan antarabangsa.

Sesi ini bertujuan memperhalusi potensi kerjasama jangka panjang, terutamanya dalam aspek pembangunan teknologi dan peningkatan kapasiti penguatkuasaan.

LIMA 2025 tahun ini menyaksikan penyertaan lebih 860 pempamer dari dalam dan luar negara, serta pelbagai demonstrasi udara dan laut yang menarik perhatian bukan sahaja pengunjung profesional tetapi juga masyarakat umum. Ia menjadi medan strategik buat agensi seperti Maritim Malaysia untuk terus mendepani cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks dengan pendekatan lebih inovatif dan bersepadu.

Jenama cermin mata ikonik dari Paris, IZIPIZI, kini berada di Pavilion Kuala Lumpur

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Gaya hidup moden kini diserikan lagi dengan kehadiran jenama cermin mata terkenal dari Perancis, IZIPIZI, yang secara rasmi melancarkan kiosk pertamanya di Asia bertempat di Pavilion Kuala Lumpur.

Dengan gaya yang chic, ceria dan praktikal untuk semua peringkat usia, IZIPIZI mempersembahkan pendekatan baharu terhadap rekaan cermin mata yang menggabungkan fesyen dan fungsi.

Kiosk sulung yang terletak di Aras 5, Lot No. P52 ini dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan menawarkan pengalaman runcit yang inklusif untuk semua.

Pengunjung berpeluang melihat dan mencuba koleksi penuh IZIPIZI yang meliputi kategori dewasa, kanak-kanak, sport dan koleksi terkini Stadium 2025.

Reka bentuk cermin mata IZIPIZI mengutamakan keselesaan dan keanggunan, menjadikannya pilihan ideal bukan sahaja untuk aktiviti harian, malah sesuai digunakan ketika bersukan mahupun bersantai.

Ia hadir dengan pelbagai warna berani dan gaya moden yang sesuai untuk semua keperluan, sama ada untuk melengkapkan gaya peribadi atau memenuhi keperluan penglihatan.

Antara koleksi yang menonjol termasuklah:

-SPEED — direka khas untuk pelari dan penunggang basikal, menawarkan kanta wraparound yang memberikan penglihatan periferi lebih luas serta perlindungan daripada angin dan hujan. Tersedia dalam tiga kategori kanta untuk pelbagai keadaan cuaca.

-JOURNEY — menggabungkan gaya hidup dan prestasi, sesuai untuk aktiviti sukan seperti golf atau ke pantai. Kanta terkutubnya membantu menghapuskan silau serta meningkatkan kontras, sambil mengekalkan gaya elegan.

-STADIUM 2025 — koleksi terbaharu yang menghidupkan semula aura sukan retro dengan padanan warna yang berani dan bentuk yang kontemporari. Rekaannya sesuai untuk pergerakan aktif sambil mengekalkan gaya kasual yang menawan.

-READING (SUN/SCREEN) — ditujukan kepada pengguna yang gemar membaca, menonton atau menggunakan skrin digital. Koleksi ini dilengkapi dengan kanta penapis cahaya biru dan pilihan pelindung UV, serta tersedia dalam pelbagai warna menarik untuk dewasa dan kanak-kanak. Ia turut menawarkan pilihan diopter dari +1 hingga +3 bagi membantu mereka yang mengalami rabun tua (presbyopia).

Pelancaran ini menandakan langkah penting IZIPIZI dalam mengukuhkan kehadirannya di pasaran Asia Tenggara, terutamanya dalam kalangan pengguna yang mencari produk berkualiti tinggi dengan sentuhan gaya Eropah yang unik.

Seiring dengan pembukaan rasmi ini, IZIPIZI turut merancang untuk memperkenalkan koleksi bermusim yang lebih pelbagai dan segar dari semasa ke semasa.

Kehadiran IZIPIZI di Malaysia bukan sekadar pelancaran jenama, tetapi juga simbol keterbukaan gaya hidup moden yang meraikan keselesaan, keanggunan dan ekspresi diri.

Dengan gabungan reka bentuk yang bergaya dan fungsi optikal yang cemerlang, jenama ini bersedia untuk mencuri tumpuan peminat fesyen dan gaya hidup aktif di Malaysia.

Orang ramai yang berminat boleh mengunjungi kiosk IZIPIZI di Pavilion KL dan meneroka sendiri koleksi cermin mata yang direka untuk menjadikan setiap hari lebih bergaya dan menyeronokkan.

Meraikan ulang tahun ke-29, Ungu tampil menerusi konsert “Symphony of Ungu” di Kuala Lumpur

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kumpulan muzik terkenal dari Indonesia, Ungu, bakal menghangatkan pentas Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 12 Julai 2025, menerusi konsert istimewa bertemakan “29th Anniversary – Symphony of Ungu”.

Konsert ini sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang setia menyokong perjalanan seni mereka selama hampir tiga dekad.

Konsert yang dijadualkan bermula pada jam 8 malam itu bukan sekadar persembahan biasa, tetapi adalah satu produksi istimewa yang menyatukan keunikan muzik Ungu dengan elemen orkestra yang diolah secara eksklusif oleh maestro muzik, J.P Denny.

Persembahan berdurasi dua jam ini dijangka membawa penonton mengimbau kenangan melalui deretan lagu-lagu popular seperti Cinta Dalam Hati, Percaya Padaku, Andai Ku Tahu dan banyak lagi karya malar segar yang pernah menawan hati pendengar di Malaysia dan seluruh Nusantara.

Pemilihan Kuala Lumpur sebagai lokasi konsert ulang tahun ke-29 ini mencerminkan hubungan erat antara Ungu dan peminat di Malaysia, yang selama ini tidak pernah lekang memberikan sokongan kepada kumpulan berkenaan.

Wakil penganjur, Apex Venture Global Sdn. Bhd., Amin Aizuddin berkata, sambutan ulang tahun ini diadakan sebagai simbol penghargaan terhadap peminat yang menjadi tulang belakang kejayaan Ungu sejak awal penubuhan mereka.

“Kami percaya konsert ini mampu mencapai sasaran kehadiran seramai 2,865 orang penonton, memandangkan Ungu memiliki pengaruh dan peminat setia yang besar di Malaysia.

“Dengan hampir tiga dekad berkecimpung dalam industri muzik, nama Ungu sudah sinonim dengan karya-karya yang menyentuh jiwa dan penuh makna,” katanya.

Amin berkata, kapasiti dewan yang terhad menjadikan tiket konsert ini sesuatu yang amat dinanti-nantikan oleh peminat, justeru pembelian awal amat digalakkan bagi mengelakkan kekecewaan.

“Plenary Hall hanya mampu memuatkan kurang daripada 3,000 orang penonton.

“Oleh itu, kami menyarankan agar peminat segera mendapatkan tiket mereka kerana konsert ini pasti memberikan pengalaman yang istimewa dan sukar dilupakan,” katanya.

Tiket boleh didapati melalui platform dalam talian rasmi di www.ticket2u.com.my, dengan maklumat lanjut mengenai kelas tiket akan diumumkan dalam masa terdekat.

Konsert ini bukan sahaja menandakan satu pencapaian penting buat Ungu, tetapi turut meraikan perjalanan seni mereka yang telah memberi impak besar kepada perkembangan muzik serantau.

Ia juga dijangka menjadi antara acara muzik paling dinantikan tahun ini oleh peminat muzik pop rock Indonesia di Malaysia.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai konsert ini boleh diajukan terus kepada Amin di talian 012-2025019.

Program ganjaran dan aplikasi mudah alih SSM e-Info versi 3.0, perkukuh transformasi digital perkhidmatan korporat negara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam usaha berterusan memperkukuh ekosistem perkhidmatan digital negara, Raffcomm Technologies Sdn. Bhd. (RAFFTECH), selaku penyedia perkhidmatan utama bagi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), hari ini melancarkan secara rasmi Program Ganjaran SSM e-Info dan Aplikasi Mudah Alih SSM e-Info Versi 3.0.

Pengerusi Eksekutif RAFFTECH, Datuk Md. Afendi Hamdan berkata, pelancaran ini mencerminkan satu lagi langkah strategik dalam menyediakan penyampaian perkhidmatan digital yang lebih cekap, inklusif dan bernilai tambah kepada rakyat serta komuniti perniagaan di Malaysia.

“Selama lebih 19 tahun, SSM e-Info menjadi pintu utama yang dipercayai dalam mengakses maklumat korporat di negara ini.

“Inisiatif baharu ini mengangkat perkhidmatan ini ke tahap lebih tinggi dengan memperkenalkan sistem ganjaran digital yang memanfaatkan pengguna melalui setiap transaksi mereka,” katanya.

Bertemakan “Beli, Kumpul, Tebus”, Program Ganjaran SSM e-Info membolehkan pengguna memperoleh mata ganjaran setiap kali membuat pembelian melalui platform berkenaan.

Mata terkumpul boleh ditebus dalam tempoh enam bulan menerusi aplikasi mudah alih.

Pendekatan ini bukan sahaja memberi penghargaan kepada pengguna setia, malah turut mendorong interaksi yang lebih aktif serta berterusan.

Pelancaran serentak Aplikasi Mudah Alih SSM e-Info Versi 3.0 turut menarik perhatian. Aplikasi yang direka semula ini hadir dengan antaramuka yang lebih mesra pengguna, navigasi interaktif serta ciri carian pintar yang membolehkan maklumat diperoleh dengan pantas dan tepat.

Dengan hanya beberapa klik, pengguna kini boleh mengakses pelbagai dokumen korporat penting seperti sijil penubuhan dan pemfailan berkanun secara masa nyata.

Lebih membanggakan, aplikasi ini turut memperkenalkan integrasi e-dompet yang dibangunkan sepenuhnya oleh RAFFTECH menjadikan SSM e-Info sebagai satu-satunya portal rasmi kerajaan yang menyokong fungsi ini, dengan kelulusan Bank Negara Malaysia sejak tahun 2013.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Ahmad Shahril Ibrahim, turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan transformasi digital SSM sejak penubuhan platform ini pada tahun 2006.

“Kami bermula dalam suasana yang mencabar, dengan teknologi terhad dan penerimaan pengguna yang masih rendah.

“Namun kami percaya bahawa pendigitalan akses maklumat korporat bukan sekadar penambahbaikan teknikal, tetapi satu keperluan nasional,” katanya.

Beliau berkata, usaha berterusan dalam mempertingkatkan platform melalui maklum balas pengguna dan kerjasama strategik telah membolehkan SSM e-Info menjadi alat penting yang dipercayai oleh pelbagai sektor termasuk institusi kewangan, badan penguatkuasa, pelabur dan usahawan di dalam dan luar negara.

“Hari ini, kami melangkah setapak lagi ke hadapan dengan aplikasi mudah alih versi terbaharu yang lebih pantas, mesra pengguna, serta menawarkan ganjaran kesetiaan kepada para pengguna tetap.

“Ia bukan sekadar pelancaran produk, tetapi cerminan komitmen SSM terhadap ketelusan, kecekapan dan inovasi,” katanya.

Pelancaran ini juga menampilkan integrasi penuh e-dompet yang membolehkan pengguna menambah nilai, membuat pembelian secara langsung dan menjejaki transaksi mereka dalam satu platform yang selamat.

Fungsi ini sekali gus menghapuskan keperluan untuk pembayaran pihak ketiga dan menyokong pengalaman pengguna yang lebih lancar.

Sebagai satu-satunya portal perkhidmatan rasmi SSM yang menawarkan dokumen Digitally Certified True Copy (DCTC) melalui Certification Authority (CA) dalaman yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), aplikasi ini turut memperkukuh ketulenan dan kebolehpercayaan dokumen korporat yang diperoleh.

Melangkah ke hadapan, SSM menyasarkan untuk memperluas ciri-ciri digital melalui teknologi kecerdasan buatan (AI), memperkukuh keselamatan maklumat serta memperluas akses menerusi integrasi API untuk menyokong sektor fintech dan regtech.

Majlis ini menjadi simbol kepada dedikasi SSM dan RAFFTECH dalam mendukung aspirasi Malaysia sebagai negara digital progresif.

Orang ramai disarankan untuk memuat turun aplikasi mudah alih ini yang kini tersedia di Apple App Store dan Google Play Store, serta meneroka manfaat program ganjaran dan kemudahan baharu yang ditawarkan.

Untuk maklumat lanjut layari https://www.ssm-einfo.my.

Rapid KL lanjut waktu operasi tren sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang akan berlangsung di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya, Rapid KL mengambil langkah proaktif dengan melanjutkan tempoh operasi perkhidmatan rel pada waktu puncak, bermula 23 Mei hingga 27 Mei 2025.

Langkah ini diambil bagi menyokong kelancaran pergerakan delegasi dan orang awam sepanjang tempoh persidangan antarabangsa itu.

Sepanjang lima hari berkenaan, waktu operasi tren pada waktu puncak hari bekerja akan dipanjangkan selama satu jam bagi sesi pagi dan petang.

Waktu puncak yang kebiasaannya bermula dari jam 7 pagi hingga 9.30 pagi, serta 5 petang hingga 7.30 malam, akan dilanjutkan kepada 6.30 pagi hingga 10 pagi dan 4.30 petang hingga 8 malam.

Di samping itu, kekerapan perjalanan tren pada hujung minggu juga akan dipertingkatkan, khususnya pada 24 dan 25 Mei 2025, memandangkan peningkatan bilangan penumpang dijangka berlaku berikutan pelbagai acara sampingan Sidang Kemuncak berkenaan.

Antara laluan yang terbabit termasuk Laluan Ampang/Sri Petaling yang akan beroperasi setiap empat minit berbanding lima minit biasa, Laluan Kelana Jaya setiap lima minit (dari tujuh minit), serta Laluan Kajang dan Putrajaya yang akan menurunkan kekerapan dari sepuluh ke lapan minit.

Rapid KL turut mempertingkatkan kawalan operasi sepanjang tempoh berkenaan dengan penempatan seramai 400 kakitangan tambahan di stesen-stesen rel terpilih.

Langkah ini bertujuan memastikan pergerakan penumpang dan delegasi ASEAN berjalan lancar serta selesa.

Penambahan bilangan tren secara serta-merta juga akan dilaksanakan sekiranya terdapat keperluan operasi atau lonjakan jumlah penumpang.

Dalam masa yang sama, pengguna perkhidmatan bas dan Rapid KL On-Demand dinasihatkan untuk bersedia menghadapi kemungkinan kelewatan perjalanan.

Ini susulan beberapa penutupan jalan secara berperingkat yang akan dilakukan oleh pihak berkuasa sepanjang tempoh persidangan. Antara laluan bas yang dijangka terkesan termasuk Laluan 402 (LRT Titiwangsa – LRT Maluri), Laluan 302 (LRT Titiwangsa – KLCC), Laluan 300 (Hab Pandan Indah – Lebuh Ampang), Laluan 303 (Taman Mulia Jaya – Lebuh Ampang), serta perkhidmatan On-Demand di Zon Titiwangsa – Chow Kit.

Sebagai langkah alternatif, Rapid KL menyarankan pengguna yang menuju ke kawasan tumpuan seperti KLCC dan pusat bandar raya agar menggunakan perkhidmatan rel untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Antara stesen rel yang boleh digunakan termasuk Stesen KLCC (Laluan Kelana Jaya), Stesen Persiaran KLCC dan Conlay (Laluan Putrajaya), Stesen Raja Chulan (Monorel KL), serta Stesen Bukit Bintang yang dihubungkan melalui Laluan Kajang dan Monorel KL.

Orang ramai digalakkan untuk merancang perjalanan lebih awal dan sentiasa mengikuti makluman terkini melalui saluran media sosial rasmi Rapid KL atau dengan memuat turun aplikasi PULSE bagi mendapatkan informasi masa sebenar.

Rapid KL akan terus memberikan komitmen dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang cekap, selamat dan mesra pengguna.

Sehubungan itu, warga kota diseru untuk memanfaatkan perkhidmatan awam sebagai pilihan utama bagi memudahkan pergerakan dan menyumbang kepada kelancaran trafik sepanjang tempoh persidangan serta acara berskala besar yang berlangsung di ibu negara.

Irsyad Tarudin kini penyampai baharu Suria FM, warnai malam bersama “Kafe Suria”

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Bermula daripada jalan raya sebagai pemandu e-hailing, ke konti radio sebagai penyampai malam, perjalanan Irsyad Tarudin ke dunia penyiaran bukan sekadar kisah perubahan kerjaya, tetapi cerminan tekad dan kesungguhan seorang anak muda mengejar impian.

Berusia 26 tahun dan berasal dari Kedah, Irsyad kini secara rasmi menjadi sebahagian daripada keluarga Suria FM sebagai penyampai segmen malam terbaharu, Kafe Suria, yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam.

Beliau adalah pelajar Sarjana Sains dalam bidang Akuakultur di Universiti Putra Malaysia (UPM), menyeimbangkan pengajian dengan minat mendalam terhadap dunia penyiaran.

Sebelum menempa nama di udara, Irsyad menjana pendapatan harian sebagai pemandu Grab sambil meneruskan pengajian.

Kehidupannya ketika itu penuh dengan rutin harian yang padat siang di makmal, malam di jalan raya.

Namun jauh di sudut hati, hasratnya untuk menjadi penyampai radio kekal menyala.

“Menjadi penyampai radio adalah impian saya sejak kecil. Saya membesar mendengar radio dalam kereta semasa berulang-alik dari sekolah di Kulim ke rumah di Sungai Petani.

“Saya tertarik dengan cara penyampai berinteraksi dengan pendengar, dan sejak itu saya tahu, suatu hari nanti saya mahu berada di sebelah mikrofon,” katanya.

Kini impian itu menjadi kenyataan. Irsyad memilih untuk menyertai Suria FM kerana percaya ia stesen radio yang benar-benar dekat di hati rakyat.

Bagi beliau, keunikan Suria FM terletak pada pendekatannya yang aktif dalam mendekati pendengar menerusi pelbagai aktiviti lapangan dan kandungan yang bersifat interaktif serta relevan dengan gaya hidup masa kini.

Segmen Kafe Suria, yang menampilkan Irsyad sebagai ‘barista maya’, diinspirasikan daripada suasana santai sebuah kafe moden.

Ia bukan sekadar ruang hiburan, tetapi tempat untuk mendengar, berbual, berkongsi cerita dan melayani permintaan lagu dalam suasana malam yang mesra dan reflektif.

Dengan gaya penyampaian yang jujur dan kontemporari, Irsyad membawakan isu semasa, kupasan hiburan, kisah viral dan topik harian yang dekat dengan realiti kehidupan generasi muda.

Irsyad bukan nama asing dalam dunia akademik. Beliau pernah menuntut di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas dan kemudiannya melanjutkan pengajian di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang.

Irsyad adalah graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Akuakultur dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebelum menyambung pengajian di peringkat sarjana di UPM.

Sepanjang pengajiannya, beliau aktif membentangkan kajian serta mengacarakan pelbagai majlis pengalaman yang secara tidak langsung memupuk kemahiran komunikasi dan keyakinannya di hadapan khalayak.

Menurut Irsyad, peluang menggantikan segmen popular Suria Cinta yang sebelum ini dikendalikan oleh DJ Lin bukanlah satu tekanan, sebaliknya amanah besar yang disambut dengan rasa hormat dan semangat.

“Saya tidak datang untuk mengubah suasana yang telah terbina, tetapi untuk menambah elemen segar yang sesuai dengan selera generasi kini.

“Saya menghormati legasi yang ditinggalkan, dan mahu membina sambungan yang relevan dengan gaya saya sendiri,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin berkata, pihaknya yakin terhadap potensi Irsyad sebagai penyampai muda yang mampu menyuntik nafas baharu dalam kandungan malam stesen berkenaan.

“Kehadiran Irsyad membawa dimensi baharu dalam segmen malam Suria.

“Beliau bukan sahaja mampu menghiburkan, tetapi juga mencipta ruang interaksi yang santai dan bermakna bersama pendengar.

“Kami percaya Kafe Suria akan menjadi pilihan utama golongan muda untuk berehat sambil mendengar suara yang memahami mereka,” katanya.

Bagi peminat Suria Cinta, Suria FM turut mengumumkan bahawa segmen kegemaran ramai itu kini bersiaran pada setiap hujung minggu, iaitu Sabtu dan Ahad dari jam 8 malam hingga 1 pagi, mengekalkan susunan lagu-lagu jiwang dan nostalgia yang menjadi identitinya.

Sebagai penyeri malam di Suria, Kafe Suria turut menawarkan empat segmen istimewa setiap malam iaitu Nak Tahu Tak? yang mengetengahkan isu semasa dan trending, On Set yang membincangkan filem dan drama, Call & Kopi yang membuka ruang panggilan santai bersama pendengar, serta Lagu Sebelum Tidur yang memenuhi permintaan lagu-lagu galau sebelum malam berlabuh.

Dengan pendekatan segar, gaya bersahaja dan sentuhan peribadi, Irsyad bersedia untuk membawa Suria FM lebih dekat di hati generasi baharu.

Bermula 19 Mei 2025, malam di Suria tidak akan sama lagi ia kini beraroma kopi, penuh cerita dan dibawakan oleh suara anak muda yang tidak pernah menyerah pada impian.