27.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 11, 2026
Home Blog Page 87

HUAWEI WATCH 5 perkenal era baharu pemakaian pintar dengan teknologi pemantauan kesihatan terkini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – HUAWEI Consumer Business Group (CBG) terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju teknologi boleh pakai dengan pelancaran rasmi HUAWEI WATCH 5, model terkini dalam siri jam tangan pintar HUAWEI WATCH.

Dilancarkan sempena ulang tahun kesepuluh sejak siri ini diperkenalkan pada tahun 2015, HUAWEI WATCH 5 hadir dengan pelbagai penambahbaikan dan teknologi inovatif, menampilkan reka bentuk futuristik, sistem pemantauan kesihatan berteknologi tinggi, serta interaksi berasaskan gerakan yang lebih intuitif.

Menampilkan teknologi terkini yang dikenali sebagai Multi-sensing X-TAP, HUAWEI WATCH 5 membawa dimensi baharu dalam pemantauan kesihatan peribadi.

Teknologi ini menggabungkan sensor elektrokardiogram (ECG), fotopletismografi (PPG), dan sensor sentuhan dalam satu antaramuka pintar yang membolehkan pemantauan dilakukan bukan sahaja melalui pergelangan tangan, malah secara lebih tepat melalui hujung jari.

Dengan pengenalan modul penderiaan teragih ini, HUAWEI mempertingkat ketepatan dan kecekapan pengumpulan data kesihatan pengguna.

Rekaan jam tangan ini diinspirasikan daripada Garisan Kármán sempadan antara atmosfera bumi dan angkasa lepas yang mencerminkan gabungan keanggunan dan teknologi canggih.

HUAWEI WATCH 5 ditawarkan dalam dua saiz, iaitu 42mm dan 46mm, masing-masing dilengkapi kemasan keluli tahan karat 904L dan perak gred aeroangkasa.

Reka bentuk ini bukan sahaja memberikan ketahanan optimum, malah menyerlahkan gaya premium dengan pilihan warna seperti Sand Gold, Beige dan Purple, lengkap dengan kaca nilam berbentuk sfera yang tahan calar dan jelas.

Pilihan tali jam turut diberikan perhatian teliti, dengan tiga jenis bahan ditawarkan: titanium, fluoroelastomer dan bahan komposit baharu yang menyerupai tekstur kulit tetapi bebas bau, kalis air dan tidak mudah kotor.

HUAWEI juga memperkenalkan tali bertekstur denim dan sutera untuk menyesuaikan jam tangan ini dengan pelbagai gaya fesyen.

Dalam aspek fungsi, HUAWEI WATCH 5 menawarkan pemantauan oksigen dalam darah (SpO₂) di hujung jari dengan ketepatan tinggi dalam masa kurang daripada 10 saat.

Fungsi ini membolehkan pengesanan gelombang nadi dilakukan dengan lebih teliti, memanfaatkan struktur salur darah dan lapisan kulit yang lebih nipis di jari.

Menambah kepada pengalaman pengguna, HUAWEI WATCH 5 turut memperkenalkan kawalan gerakan intuitif seperti “Double Tap” dan “Double Slide” yang membolehkan pengguna mengawal panggilan, main balik muzik dan kamera telefon pintar dengan hanya satu sentuhan ringkas, tanpa perlu menyentuh skrin secara langsung.

Ciri ini sangat berguna ketika pengguna sedang bergerak aktif atau memakai sarung tangan, dan turut menyokong aplikasi pihak ketiga tertentu termasuk panggilan suara melalui aplikasi sosial.

Lebih menarik, siri HUAWEI WATCH 5 turut menyokong teknologi eSIM, membolehkan pengguna kekal berhubung tanpa perlu membawa telefon pintar.

Dengan keupayaan bateri mod dwi, pengguna boleh memilih antara mod Standard dan mod Jimat Bateri menawarkan sehingga 4.5 hari penggunaan untuk model 46mm dan 3 hari untuk model 42mm dalam mod biasa, manakala dalam mod penjimatan, hayat bateri boleh mencapai sehingga 11 hari dan 7 hari masing-masing.

Melalui gabungan reka bentuk berinspirasi angkasa, penderiaan pintar hujung jari dan ciri interaktif yang responsif, HUAWEI WATCH 5 mengangkat standard baharu dalam dunia peranti boleh pakai.

Ia bukan sekadar jam tangan pintar, tetapi sebuah pelengkap gaya hidup yang memperkasa pengguna untuk mengurus kesihatan dengan lebih yakin dan bergaya.

Orang ramai kini boleh membuat pra-tempahan HUAWEI WATCH 5 untuk menjadi antara yang terawal merasai masa depan teknologi boleh pakai hari ini.

Mulakan tugas: Doktor Hua, doktor AI pertama dunia kini berkhidmat di Arab Saudi

editormaxinfo@gmail.com

RIYADH –  Arab Saudi sekali lagi mencipta sejarah apabila membuka klinik pertama di dunia yang menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) secara menyeluruh dalam proses diagnosis dan rawatan pesakit.

Inovasi luar biasa ini dilaporkan oleh majalah Leaders dan menandakan satu langkah besar dalam bidang perubatan dan teknologi di peringkat global.

Klinik berteknologi tinggi itu adalah hasil kerjasama antara syarikat teknologi perubatan terkemuka dari China, Synyi AI, bersama Almoosa Health Group.

Program perintis klinik ini telah dimulakan di wilayah timur Arab Saudi, Al-Ahsa, pada bulan lalu.

Melalui inisiatif ini, Arab Saudi berhasrat menggantikan peranan doktor manusia sebagai barisan pertama dalam pemeriksaan dan rawatan pesakit menggunakan sistem AI yang canggih.

Menurut laporan portal NDTV, walaupun AI berperanan utama dalam proses perubatan, peranan doktor manusia masih kekal sebagai ‘penjaga keselamatan’ yang bertanggungjawab untuk mengesahkan keputusan diagnosis dan rawatan yang dibuat oleh sistem AI.

Ini bagi memastikan ketepatan dan keselamatan dalam setiap proses perubatan yang dijalankan.

Dalam kenyataan rasmi daripada Synyi AI yang berpusat di Shanghai, dijelaskan bahawa klinik AI berfungsi sebagai sistem perkhidmatan perubatan inovatif di mana doktor AI akan menjalankan keseluruhan proses perubatan secara berdikari, bermula dari soal selidik pesakit sehingga ke peringkat preskripsi ubat.

Namun, pengesahan akhir tetap dilakukan oleh doktor manusia bagi memastikan kesahihan dan keberkesanan rawatan.

Menurut majalah Leaders, setiap pesakit yang hadir ke klinik ini akan berinteraksi dengan doktor AI yang diberi nama ‘Dr Hua’ melalui penggunaan tablet.

Pesakit akan menerangkan simptom penyakit yang dialami, diikuti dengan sesi soal jawab tambahan oleh Dr Hua yang dilengkapi dengan keupayaan menganalisis data perubatan serta imej yang diambil dengan bantuan pembantu manusia.

Selepas sesi konsultasi selesai, Dr Hua akan menyediakan pelan rawatan yang kemudian disemak dengan teliti dan disahkan oleh doktor sebenar.

Selain itu, doktor manusia juga sentiasa bersedia untuk menangani sebarang kecemasan yang tidak dapat dikendalikan oleh AI.

Setakat ini, fungsi doktor AI ini tertumpu kepada konsultasi bagi penyakit berkaitan sistem pernafasan yang merangkumi lebih kurang 30 jenis penyakit termasuk asma dan radang tekak.

Synyi AI turut merancang untuk memperluaskan kemampuan Dr Hua bagi merangkumi 50 penyakit dalam bidang pernafasan, gastroenterologi dan dermatologi.

Data diagnostik daripada program perintis ini akan dihantar kepada pihak berkuasa Arab Saudi untuk kelulusan rasmi yang dijangka dalam tempoh 18 bulan akan datang.

Dalam fasa ujian awal, teknologi AI ini telah mencatatkan kadar ralat yang amat rendah iaitu hanya 0.3 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Synyi AI, Zhang Shaodian berkata, sebelum ini AI hanya berperanan membantu doktor, namun kini ia mampu menjalankan proses perubatan secara lebih berdikari dengan ketepatan yang tinggi.

Synyi AI yang turut disokong oleh syarikat teknologi terkemuka seperti Tencent, Hongshan Capital, GGV Capital serta kerajaan tempatan, menggunakan Model Bahasa Besar (Large Language Model – LLM) yang telah diubah suai mengikut bahasa perubatan, bahasa tempatan dan budaya setempat.

Ini membolehkan AI terbabit menyesuaikan diri dengan keperluan khusus serantau, sekali gus meningkatkan keberkesanan dan ketepatan diagnosis serta rawatan yang diberikan.

Dengan pembukaan klinik ini, Arab Saudi bukan sahaja memperkukuhkan kedudukan sebagai peneraju dalam inovasi teknologi perubatan, malah membuka lembaran baru dalam penggunaan AI dalam bidang kesihatan secara meluas di peringkat antarabangsa. -Agensi

Tradisi diteruskan: Kerajaan Perak agih 436 ekor lembu korban ke 59 DUN Negeri

editormaxinfo@gmail.com

IPOH – Sempena sambutan Aidiladha tahun ini, Kerajaan Negeri Perak meneruskan tradisi tahunan dengan mengagihkan sebanyak 436 ekor lembu korban ke semua 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif berterusan ini adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR), sebagai usaha menyemarakkan semangat ibadah dan kebersamaan dalam kalangan rakyat.

Antara GLC yang terbabit dalam penyaluran sumbangan termasuklah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Lembaga Air Perak (LAP), serta Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI).

“Setiap kawasan DUN akan menerima sekurang-kurangnya enam ekor lembu korban, termasuk kawasan yang diwakili oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan beragama Islam.

“Ini bagi memastikan pengagihan manfaat ibadah korban dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pelaksanaan korban ini turut membabitkan pelbagai institusi dan kumpulan masyarakat seperti masjid dan surau, pasukan keselamatan, persatuan komuniti, serta badan bukan kerajaan (NGO) terpilih di seluruh negeri.

Mengikut amalan yang telah dipraktikkan sebelum ini, lafaz akad korban akan disempurnakan oleh ADUN beragama Islam atau wakil yang dilantik di kawasan masing-masing.

Bagi kawasan DUN yang diwakili oleh ADUN bukan Islam, tanggungjawab terbabit akan digalas oleh Pegawai Tadbir Agama (PTA) Daerah mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Saarani berkata, garis panduan lengkap berkaitan pelaksanaan ibadah korban akan diedarkan kepada semua pihak yang terbabit.

Langkah ini penting bagi memastikan setiap aspek pelaksanaan mematuhi kehendak syarak, khususnya yang berkaitan dengan konsep wakalah atau kontrak antara pihak-pihak yang melaksanakan ibadah terbabit.

Beliau berkata, pelaksanaan ibadah korban ini akan dirujuk kepada garis panduan dan peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi menjamin pematuhan dari aspek agama dan kesihatan haiwan.

Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh ikatan masyarakat pelbagai kaum di Perak melalui nilai murni pengorbanan, keprihatinan dan kesatuan yang menjadi teras sambutan Aidiladha setiap tahun.

Trend PK Battle di TikTok jejas moral generasi muda, perlu diharamkan – NGO

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas terhadap ciri “PK Battle” dalam aplikasi TikTok yang kini semakin berleluasa dan mencetuskan kebimbangan berkaitan kemerosotan moral dalam kalangan generasi muda di negara ini.

Presiden Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat, L. Francis berkata, fungsi siaran langsung yang membabitkan pertandingan antara dua pengguna TikTok bagi mengumpul hadiah digital daripada penonton itu kini telah disalahgunakan sehingga mencetuskan perlakuan yang dianggap tidak bermoral dan menjatuhkan maruah.

Menurutnya, trend berkenaan pada mulanya kelihatan seperti hiburan biasa, namun kini dilihat melampaui batas apabila peserta sanggup melakukan pelbagai aksi menjijikkan sebagai hukuman selepas tewas dalam pertandingan.

Antara aksi yang dilaporkan termasuk melakukan siaran langsung ketika mandi walaupun berpakaian, menyapu tepung di muka, melumur najis haiwan dan berjalan dalam keadaan separuh bogel.

“PK Battle ini nampak seperti suka-suka, tetapi realitinya ia membawa pengaruh yang sangat tidak sihat.

“Lebih membimbangkan apabila ia ditayangkan secara langsung kepada umum, termasuk penonton bawah umur,” katanya.

Francis turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan wujudnya unsur kegiatan kewangan mencurigakan dalam trend berkenaan, memandangkan terdapat hadiah digital yang diberikan penonton bernilai antara RM3,000 hingga RM10,000.

“Agak sukar untuk dipercayai bahawa seseorang individu sanggup memberikan hadiah bernilai ribuan ringgit kepada orang yang tidak dikenali, dan ini menimbulkan persoalan sama ada terdapat unsur ‘cuci duit’ dalam aktiviti ini,” tegasnya.

Beliau berkata, pihak pertubuhan menerima banyak aduan daripada masyarakat, termasuk ibu bapa yang resah melihat pengaruh negatif PK Battle terhadap anak-anak mereka, terutama yang berusia bawah 30 tahun.

Malah, terdapat kes di mana seorang ibu mendakwa anaknya sanggup mencuri wang di rumah untuk membeli hadiah digital demi menyertai aktiviti terbabit.

“Ini bukan sekadar isu hiburan, tetapi adalah satu bentuk penyimpangan sosial yang sedang menular dan jika tidak dibendung, boleh menghanyutkan generasi muda dalam budaya hedonisme yang membinasakan,” katanya.

Katanya, lebih membimbangkan apabila wujud kelompok penonton yang memberi hadiah semata-mata untuk melihat hukuman dijalankan, seolah-olah menjadikan kelakuan ekstrem sebagai satu bentuk tontonan hiburan.

Francis berkata, sesetengah pengguna menggunakan akaun palsu untuk meninggalkan komen yang melampau, menjurus kepada elemen buli siber yang semakin meruncing.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar segera menjalankan perbincangan bersama pihak TikTok bagi menyekat atau mengharamkan ciri PK Battle daripada terus digunakan oleh pengguna tempatan.

“Langkah ini bukanlah bertujuan mengekang kebebasan bersosial di media digital, tetapi lebih kepada usaha menyelamatkan nilai moral dan jati diri anak bangsa daripada terhakis akibat pengaruh yang melampau,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa ibu bapa agar lebih proaktif memantau penggunaan media sosial anak-anak serta mendidik mereka tentang etika penggunaan teknologi secara berhemah dan bertanggungjawab.

Kedah, Perak FC tersingkir dari Liga Super: Lesen Kebangsaan jadi penentu nasib pasukan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kedah Darul Aman FC dan Perak FC sah tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan selepas gagal memperoleh Lesen Kebangsaan yang diwajibkan oleh Peraturan Pelesenan Kelab Malaysia Football League (MFL) Edisi 2024-2025.

Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, yang menyatakan kedua-dua kelab gagal memenuhi kriteria kewangan yang telah ditetapkan dalam peraturan terbabit.

Menurutnya, Lesen Kebangsaan adalah syarat penting yang perlu dipatuhi oleh semua kelab untuk memastikan tahap tadbir urus, kewangan dan pengurusan yang telus serta profesional dalam liga.

Kegagalan Kedah Darul Aman FC dan Perak FC untuk mematuhi kriteria kewangan ini menyebabkan mereka tidak layak beraksi di Liga Super musim depan.

Walaupun begitu, Sheikh Mohd Nasir turut mengesahkan tiga kelab lain, iaitu Kuala Lumpur City FC, Kelantan Darul Naim FC, dan PDRM FC telah diberikan Lesen Kebangsaan namun dengan ‘sanction’ atau syarat tertentu.

Kelab-kelab ini dikehendaki mengemukakan maklumat kewangan tambahan bagi memenuhi kriteria kewangan selewat-lewatnya pada 31 Mei.

Kegagalan mematuhi syarat terbabit dalam tempoh ditetapkan berkemungkinan akan menyebabkan lesen kebangsaan mereka ditarik balik oleh FIB.

Dalam proses permohonan lesen ini, kelab-kelab perlu memenuhi enam kriteria utama yang merangkumi aspek sukan, infrastruktur, personel dan pentadbiran, perundangan, kewangan serta perniagaan.

Antara kelab Liga Super yang berjaya memperoleh Lesen Kebangsaan tanpa sebarang syarat ialah Johor Darul Ta’zim FC (JDT), Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC, Terengganu FC, Sri Pahang FC dan Negeri Sembilan FC.

Selain itu, dua kelab dari Liga A1 iaitu Melaka FC dan Imigresen FC turut menerima Lesen Kebangsaan melalui permohonan luar biasa mengikut Artikel 15 MFL CLR.

Ini membuktikan bahawa MFL komited untuk memastikan kualiti dan standard pengurusan kelab dalam semua liga dapat dipertingkatkan selaras dengan usaha memajukan bola sepak negara.

Keputusan ini dijangka memberi impak besar kepada landskap Liga Super musim depan, khususnya dalam aspek persaingan dan pembentukan pasukan.

Ia juga menyerlahkan betapa pentingnya pengurusan kewangan yang mantap dalam memastikan kelab bola sepak dapat terus beroperasi secara profesional dan berdaya saing di peringkat tertinggi negara.

Pengumuman rasmi ini menjadi peringatan kepada semua pihak terbabit dalam arena bola sepak bahawa kelangsungan dan kejayaan sesebuah kelab bukan sahaja bergantung kepada prestasi di padang, tetapi juga kecekapan pengurusan di luar padang.

IPTS Bumiputera disaran lahir graduan mahir pelbagai bahasa – MQA

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) Bumiputera disaran untuk melipatgandakan usaha dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi turut memiliki kelebihan daya saing seperti penguasaan pelbagai bahasa asing, selaras dengan keperluan pasaran kerja global masa kini.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pendekatan konvensional dalam pendidikan perlu diubah agar lebih fleksibel dan menepati kehendak generasi baharu, khususnya generasi Z.

Justeru itu, IPTS Bumiputera disarankan agar terus memperkukuh hala tuju institusi masing-masing sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015–2025.

Beliau berkata, tumpuan harus diberikan kepada Lonjakan Pertama dalam pelan berkenaan yang memberi fokus kepada penghasilan graduan holistik, berciri keusahawanan serta seimbang dari segi intelek, emosi dan sosial.

“Dalam usaha memperkasa graduan, pendekatan baharu dalam pengajaran dan pembelajaran perlu diperluas, termasuk pelaksanaan kaedah pembelajaran berasaskan kerja atau Work-Based Learning (WBL), serta pendekatan 3L iaitu Learn by Seeing, Learn by Doing, dan Learn by Listening.

“Kaedah sebegini bukan sahaja lebih fleksibel, malah mampu memenuhi keperluan dan gaya pembelajaran generasi masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan dalam Forum Masa Depan IPT Bumiputera bersama CEO MQA yang berlangsung di Putrajaya.

Turut hadir ialah Presiden Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM), Amir Hamzah Md Isa serta barisan pengurusan tertinggi IPTS Bumiputera di bawah naungan persatuan berkenaan.

Mohammad Shatar berkata, antara nilai tambah paling penting yang perlu dikuasai graduan masa kini ialah kemahiran berbahasa.

Menurutnya, penguasaan pelbagai bahasa bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan, malah mampu membuka lebih banyak pintu peluang kerjaya di peringkat antarabangsa.

“Kelayakan akademik semata-mata tidak lagi mencukupi. Ramai graduan hari ini memiliki kelayakan yang baik, namun kekurangan nilai tambah seperti kemahiran komunikasi dan penguasaan bahasa yang sangat diperlukan oleh industri,” katanya.

Tambahnya, pelajar digalakkan untuk menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa asing selain daripada bahasa Melayu atau bahasa ibunda masing-masing.

Bahasa seperti Mandarin, Arab, Perancis, Sepanyol, Jepun, Korea dan Jerman antara yang disarankan, memandangkan ia menawarkan kelebihan daya saing kepada graduan dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif.

“Graduan yang mahir dalam pelbagai bahasa berpeluang untuk berkhidmat di syarikat multinasional, organisasi antarabangsa, malah berpotensi untuk membina kerjaya di luar negara.

“Jika inisiatif ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh, ia pasti akan membantu merealisasikan aspirasi Menteri Pendidikan, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global,” katanya.

HUAWEI perkenal siri WATCH FIT 4 di Malaysia: Reka bentuk elegan dengan prestasi sukan luar dan ciri ECG Profesional

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Huawei terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran peranti boleh pakai dengan pelancaran rasmi HUAWEI WATCH FIT 4 Series di Malaysia, susulan pelancaran globalnya di Berlin, baru-baru ini.

Menampilkan gabungan reka bentuk moden, pemantauan kesihatan pintar, dan ciri kecergasan luar berprestasi tinggi, siri baharu ini ditujukan kepada pengguna aktif yang mementingkan gaya tanpa mengorbankan fungsi.

Terdiri daripada dua model utama, HUAWEI WATCH FIT 4 dan HUAWEI WATCH FIT 4 Pro, siri ini direka khas untuk memenuhi keperluan pelbagai pengguna sama ada pengira langkah harian, peminat sukan air, pendaki hujung minggu atau sekadar individu yang mahu membaca mesej WhatsApp dari pergelangan tangan.

Reka Bentuk Ringan, Prestasi Hebat

Menepati reputasi siri WATCH FIT sebagai jam pintar ringan dan nipis, model standard hanya seberat 27 gram dengan ketebalan 9.5mm, manakala versi Pro sedikit lebih berat pada 30.4 gram dan 9.3mm tebal.

Model Pro juga hadir dengan muka jam kaca nilam, bezel titanium alloy dan badan aloi aluminium gred penerbangan untuk ketahanan maksimum.

Paparan ultra-terang dengan kecerahan maksimum 3000 nits menjamin keterbacaan yang jelas walaupun di bawah cahaya matahari terik Malaysia.

Dibina untuk Sukan Luar dan Pengembaraan

WATCH FIT 4 bukan sekadar cantik dipandang, ia turut menjadi teman sukan berprestasi tinggi. Menyokong lebih 100 mod senaman termasuk pendakian gunung dan ski, siri ini juga dilengkapi dengan barometer terbina dalam bagi penyediaan data altitud yang tepat.

Sistem Penjejakan Sunflower Dwifrekuensi lima bintang Huawei menambah kecekapan dengan ketepatan GNSS yang ditambah baik sebanyak 30 peratus. Ia juga menyokong peta luar talian, fungsi import laluan, dan navigasi, memastikan pengguna sentiasa bersedia dalam apa jua bentuk muka bumi.

Untuk peminat sukan air, Huawei memperkenalkan buat pertama kali fungsi penjejakan laluan air bagi tujuh aktiviti seperti belayar dan papan dayung berdiri (stand-up paddleboarding), lengkap dengan pemantauan masa nyata kadar degupan jantung, jarak, dan prestasi.

Model Pro memperluas lagi kemampuan kecergasan luar dengan peta kontur, navigasi bercheckpoint dan mod larian denai profesional.

Bagi peminat golf, jam ini didatangkan dengan lebih 15,000 padang golf global yang telah dimuatkan, pengukuran GPS masa nyata dan skor digital. Ia turut menyokong mod freediving dengan metrik seperti kedalaman dan kelajuan bersama ciri keselamatan tambahan.

Jurulatih Kesihatan Peribadi di Pergelangan Tangan

Lebih daripada sekadar pengira langkah, siri ini menawarkan kemajuan besar dalam pengurusan kesihatan dengan pemantauan heart rate variability (HRV) sepanjang masa dan fungsi pembantu kesejahteraan emosi yang memberikan panduan peribadi untuk membantu pengguna mengurus tekanan harian.

Model Pro tampil lebih canggih dengan sistem TruSense Huawei yang dipertingkatkan dan dilengkapi fungsi ECG terbina dalam, membolehkan pemantauan kesihatan jantung secara masa nyata.

WATCH FIT 4 Series juga mengumpulkan data kesihatan penting seperti kadar denyutan jantung, paras oksigen (SpO₂), tahap tekanan, corak tidur dan kestabilan emosi dalam satu laporan lengkap berserta cadangan peribadi dan amaran awal sekiranya dikesan sebarang kelainan.

Ciri Pintar untuk Gaya Hidup Harian

Menjadikan pengalaman seharian lebih mudah, jam ini membolehkan pengguna membalas mesej WhatsApp terus dari skrin jam dengan papan kekunci penuh. Ia juga menyokong pembayaran TNG QR, menjadikan Huawei sebagai jenama pertama di Malaysia menawarkan fungsi ini pada jam pintar.

WATCH FIT 4 Series turut menyokong kad akses NFC, panggilan Bluetooth, catatan suara, serta ramalan cuaca. Model Pro mampu bertahan sehingga 10 hari dengan satu cas, dan menyokong pengecasan pantas yang mencapai kapasiti penuh dalam masa 60 minit sahaja.

Bagi pengguna Muslim, aplikasi Waktu Solat Malaysia akan tersedia mulai Jun 2025, menjadikan Huawei sebagai jenama pertama yang menyokong aplikasi ini di jam pintar.

Ciri ini membolehkan pengguna menerima notifikasi waktu solat, melihat bacaan doa, serta mengakses arah kiblat secara terus dari pergelangan tangan. Sokongan untuk peranti iOS akan diperkenalkan dalam masa terdekat.

Turut menarik perhatian, siri ini menyokong aplikasi penstriman radio tempatan, SYOK, membolehkan pengguna memainkan, menjeda dan melaras audio terus dari jam, sesuai untuk peminat muzik dan podcast yang aktif.

Ketersediaan dan Pilihan Gaya

HUAWEI WATCH FIT 4 Pro ditawarkan dalam tiga warna iaitu Hitam, Biru dan Hijau, dengan pilihan tali termasuk fluoroelastomer bertekstur dan tali nilon tenunan untuk gaya lebih sporty. Model standard pula hadir dengan empat warna menarik iaitu Hitam, Kelabu, Ungu dan Putih serta pelbagai pilihan tali sesuai untuk apa jua gaya atau aktiviti.

Dengan pelancaran ini, Huawei sekali lagi membuktikan komitmennya dalam menyatukan teknologi pintar dan gaya hidup moden, menjadikan HUAWEI WATCH FIT 4 Series sebagai pilihan ideal untuk pengguna yang aktif, bergaya dan peka terhadap kesihatan.

Tyla bakal hoskan Nickelodeon Kids’ Choice Awards 2025; Stray Kids calon bintang Muzik Global Pilihan

editormaxinfo@gmail.com

SINGAPURA – Penyanyi sensasi antarabangsa yang juga pemenang Anugerah Grammy® dan artis multiplatinum, Tyla, diumumkan sebagai hos bagi acara anugerah hiburan tahunan paling dinanti-nantikan oleh peminat muda, Nickelodeon Kids’ Choice Awards (KCA) 2025.

Acara penuh warna-warni dan keriangan ini dijadualkan untuk ditayangkan secara perdana di saluran Nickelodeon pada Rabu, 25 Jun jam 5 petang waktu Singapura (SGT).

Dua siaran ulangan akan menyusul pada 26 Jun jam 3 petang dan 28 Jun jam 11.15 pagi.

Antara sorotan utama tahun ini ialah pencalonan kumpulan K-pop terkenal, Stray Kids, yang menerima pencalonan dalam kategori Bintang Muzik Global Pilihan.

Kehadiran mereka sebagai calon mengukuhkan lagi pengaruh muzik Asia dalam arena hiburan global yang semakin rencam.

Turut memeriahkan senarai calon ialah nama-nama besar dari pelbagai industri hiburan seperti Benson Boone, Jack Black, Ariana Grande, Cynthia Erivo, Chris Evans, Selena Gomez, Jalen Hurts, Travis Kelce, Kendrick Lamar, Peyton List, Jason Momoa, MrBeast, Jenna Ortega, Keanu Reeves, Taylor Swift, dan Charli XCX.

Menambahkan lagi keistimewaan edisi kali ini, sejumlah nama baharu turut membuat penampilan sulung sebagai calon, termasuk Gracie Abrams, Zach Bryan, Jordan Chiles, Frankie Grande, Doechii, Keith Lee, Chappell Roan, Shaboozey, Shohei Ohtani dan Florence Pugh.

Ariana Grande, Lady Gaga dan Kendrick Lamar mengetuai senarai pencalonan dengan empat pencalonan masing-masing, manakala Jack Black, Dwayne Johnson, Selena Gomez dan Jelly Roll masing-masing meraih tiga pencalonan.

Kids’ Choice Awards 2025 menjanjikan persembahan hiburan luar biasa, dengan pelbagai kolaborasi selebriti, aksi luncur papan lagenda, tarian bertenaga mengiringi muzik terkini, serta momen-momen ikonik Nickelodeon termasuk trofi belon jingga dan limpahan ‘slime’ yang menjadi tradisi acara ini.

Seperti biasa, peminat memainkan peranan penting dalam menentukan pemenang, dengan undi boleh dilakukan dalam 35 kategori menerusi laman web rasmi Kids’ Choice Awards di KidsChoiceAwards.com.

Senarai persembahan muzik akan diumumkan dalam masa terdekat, sekali gus menambahkan keterujaan menjelang malam penuh keceriaan dan kegembiraan ini.

Joey Daud tampil dengan “Wamwamsam”,  komedi pop rock eksperimental sarat sindiran dan wawasan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Nama Joey Daud bukan asing lagi dalam dunia seni hiburan tanah air. Dikenali sebagai pelakon dan pelawak berbakat, beliau kini mengorak langkah berani dalam arena muzik dengan pelancaran single terbaharunya yang diberi judul Wamwamsam.

Lagu berkenaan secara rasmi dilancarkan menandakan kemunculan semula Joey sebagai penyanyi yang berani menampilkan karya berbeza, penuh warna dan makna.

Wamwamsam bukanlah lagu komedi semata-mata. Ia adalah karya pop rock eksperimental yang disulam dengan unsur jenaka sinikal dan mesej sosial yang mendalam.

Di sebalik tajuknya yang kedengaran lucu, tersembunyi seruan penting kepada masyarakat iaitu menuntut ilmu dan menjadikan wawasan sebagai panduan hidup.

Lagu ini membawa suara perubahan yang merentasi usia dan latar, menjadikan ia relevan untuk semua, dari anak sekolah hingga pembuat dasar negara.

Joey yang juga artis rakaman pertama di bawah label Luncai Emas Sdn. Bhd., ketika ditandatangani oleh Dato’ M. Nasir pada tahun 1994, kembali ke pangkuan label berkenaan untuk merealisasikan projek istimewa ini.

Luncai Emas menyambut kepulangan Joey dengan tangan terbuka dan semangat baharu, menjadikan Wamwamsam sebagai simbol kesinambungan kreativiti antara generasi.

Single ini turut memperlihatkan kolaborasi dinamik antara Joey dan dua komposer muda berbakat, Ilham Nasir dan Hidayat Nasir.

Dengan susunan muzik yang segar dan berani, mereka menyuntik elemen pop moden tanpa mengabaikan identiti lokal, menjadikan lagu ini unik dan mudah diingati.

Joey berkata, Wamwamsam lahir daripada gabungan pengalaman peribadi, pemerhatian sosial dan nostalgia zaman persekolahan.

“Lagu ini saya hasilkan dari pengalaman hidup, pemerhatian sosial dan kenangan lama. Wawasan bukan sekadar kata ia adalah panduan hidup.

“Wamwamsam mungkin kedengaran lucu, tapi maknanya mendalam,” katanya.

Menyuntik lagi kekuatan dalam lagu ini, Wamwamsam menampilkan segmen rap istimewa oleh A.D, anggota kumpulan hip hop dari Sabah, Isohbatos.

Gaya rap berbahasa Melayu Borneo yang dibawa A.D menambah dimensi baharu dalam lagu ini, sekali gus merapatkan jurang antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam konteks seni muzik tanah air.

“Bukan lagu untuk satu kawasan saja ini lagu seluruh Malaysia.

“Bila A.D masuk studio dan bawa gaya dia yang tersendiri, kami tahu lagu ni akan jadi sesuatu yang luar biasa,” katanya.

Pelancaran Wamwamsam turut disertai dengan video muzik rasmi yang diarahkan oleh Amen Khalid, anak kepada sutradara tersohor Allahyarham Mamat Khalid.

Menerusi pendekatan sinematik ala filem pendek, video ini bukan sekadar pelengkap kepada lagu, malah menjadi pra-pengenalan kepada filem baharu yang sedang dibangunkan Daud M, kesinambungan watak ikonik yang sebelum ini dibawakan oleh Joey.

Video muzik ini mengangkat kisah seorang pelajar kampung yang gigih mengejar ilmu dalam suasana masyarakat yang tidak progresif dan terperangkap dalam kekangan sistem.

Dengan latar visual sekolah retro, watak guru eksentrik dan pelbagai unsur sindiran sosial, karya ini menggabungkan humor dan kritikan secara halus namun mengena, menyentuh hati penonton sambil mengundang tawa dan renungan.

Tidak sekadar hiburan, Wamwamsam tampil sebagai sebuah seruan kepada generasi baharu untuk bangkit, menuntut ilmu dan memperjuangkan wawasan hidup.

Ia menyerlahkan keupayaan Joey Daud sebagai seniman sejati yang berani bereksperimen, menerobos sempadan genre dan menyampaikan mesej penting melalui seni yang menghiburkan.

Dengan kombinasi kuat antara muzik, naratif, budaya tempatan dan mesej yang mendalam, Wamwamsam bukan sahaja mencabar norma muzik arus perdana, tetapi juga dijangka mencetus fenomena dalam kalangan peminat seni tanah air.

Joey Daud membuktikan bahawa seni, bila digarap dengan jujur dan bijaksana, mampu menjadi suara yang menyentuh, menyedarkan dan menginspirasi.