editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas terhadap ciri “PK Battle” dalam aplikasi TikTok yang kini semakin berleluasa dan mencetuskan kebimbangan berkaitan kemerosotan moral dalam kalangan generasi muda di negara ini.
Presiden Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat, L. Francis berkata, fungsi siaran langsung yang membabitkan pertandingan antara dua pengguna TikTok bagi mengumpul hadiah digital daripada penonton itu kini telah disalahgunakan sehingga mencetuskan perlakuan yang dianggap tidak bermoral dan menjatuhkan maruah.
Menurutnya, trend berkenaan pada mulanya kelihatan seperti hiburan biasa, namun kini dilihat melampaui batas apabila peserta sanggup melakukan pelbagai aksi menjijikkan sebagai hukuman selepas tewas dalam pertandingan.
Antara aksi yang dilaporkan termasuk melakukan siaran langsung ketika mandi walaupun berpakaian, menyapu tepung di muka, melumur najis haiwan dan berjalan dalam keadaan separuh bogel.
“PK Battle ini nampak seperti suka-suka, tetapi realitinya ia membawa pengaruh yang sangat tidak sihat.
“Lebih membimbangkan apabila ia ditayangkan secara langsung kepada umum, termasuk penonton bawah umur,” katanya.
Francis turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan wujudnya unsur kegiatan kewangan mencurigakan dalam trend berkenaan, memandangkan terdapat hadiah digital yang diberikan penonton bernilai antara RM3,000 hingga RM10,000.
“Agak sukar untuk dipercayai bahawa seseorang individu sanggup memberikan hadiah bernilai ribuan ringgit kepada orang yang tidak dikenali, dan ini menimbulkan persoalan sama ada terdapat unsur ‘cuci duit’ dalam aktiviti ini,” tegasnya.
Beliau berkata, pihak pertubuhan menerima banyak aduan daripada masyarakat, termasuk ibu bapa yang resah melihat pengaruh negatif PK Battle terhadap anak-anak mereka, terutama yang berusia bawah 30 tahun.
Malah, terdapat kes di mana seorang ibu mendakwa anaknya sanggup mencuri wang di rumah untuk membeli hadiah digital demi menyertai aktiviti terbabit.
“Ini bukan sekadar isu hiburan, tetapi adalah satu bentuk penyimpangan sosial yang sedang menular dan jika tidak dibendung, boleh menghanyutkan generasi muda dalam budaya hedonisme yang membinasakan,” katanya.
Katanya, lebih membimbangkan apabila wujud kelompok penonton yang memberi hadiah semata-mata untuk melihat hukuman dijalankan, seolah-olah menjadikan kelakuan ekstrem sebagai satu bentuk tontonan hiburan.
Francis berkata, sesetengah pengguna menggunakan akaun palsu untuk meninggalkan komen yang melampau, menjurus kepada elemen buli siber yang semakin meruncing.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar segera menjalankan perbincangan bersama pihak TikTok bagi menyekat atau mengharamkan ciri PK Battle daripada terus digunakan oleh pengguna tempatan.
“Langkah ini bukanlah bertujuan mengekang kebebasan bersosial di media digital, tetapi lebih kepada usaha menyelamatkan nilai moral dan jati diri anak bangsa daripada terhakis akibat pengaruh yang melampau,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa ibu bapa agar lebih proaktif memantau penggunaan media sosial anak-anak serta mendidik mereka tentang etika penggunaan teknologi secara berhemah dan bertanggungjawab.


Top https://shorturl.fm/YvSxU
https://shorturl.fm/a0B2m
https://shorturl.fm/XIZGD