27.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 1, 2026

IPTS Bumiputera disaran lahir graduan mahir pelbagai bahasa – MQA

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) Bumiputera disaran untuk melipatgandakan usaha dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi turut memiliki kelebihan daya saing seperti penguasaan pelbagai bahasa asing, selaras dengan keperluan pasaran kerja global masa kini.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pendekatan konvensional dalam pendidikan perlu diubah agar lebih fleksibel dan menepati kehendak generasi baharu, khususnya generasi Z.

Justeru itu, IPTS Bumiputera disarankan agar terus memperkukuh hala tuju institusi masing-masing sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015–2025.

Beliau berkata, tumpuan harus diberikan kepada Lonjakan Pertama dalam pelan berkenaan yang memberi fokus kepada penghasilan graduan holistik, berciri keusahawanan serta seimbang dari segi intelek, emosi dan sosial.

“Dalam usaha memperkasa graduan, pendekatan baharu dalam pengajaran dan pembelajaran perlu diperluas, termasuk pelaksanaan kaedah pembelajaran berasaskan kerja atau Work-Based Learning (WBL), serta pendekatan 3L iaitu Learn by Seeing, Learn by Doing, dan Learn by Listening.

“Kaedah sebegini bukan sahaja lebih fleksibel, malah mampu memenuhi keperluan dan gaya pembelajaran generasi masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan dalam Forum Masa Depan IPT Bumiputera bersama CEO MQA yang berlangsung di Putrajaya.

Turut hadir ialah Presiden Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM), Amir Hamzah Md Isa serta barisan pengurusan tertinggi IPTS Bumiputera di bawah naungan persatuan berkenaan.

Mohammad Shatar berkata, antara nilai tambah paling penting yang perlu dikuasai graduan masa kini ialah kemahiran berbahasa.

Menurutnya, penguasaan pelbagai bahasa bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan, malah mampu membuka lebih banyak pintu peluang kerjaya di peringkat antarabangsa.

“Kelayakan akademik semata-mata tidak lagi mencukupi. Ramai graduan hari ini memiliki kelayakan yang baik, namun kekurangan nilai tambah seperti kemahiran komunikasi dan penguasaan bahasa yang sangat diperlukan oleh industri,” katanya.

Tambahnya, pelajar digalakkan untuk menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa asing selain daripada bahasa Melayu atau bahasa ibunda masing-masing.

Bahasa seperti Mandarin, Arab, Perancis, Sepanyol, Jepun, Korea dan Jerman antara yang disarankan, memandangkan ia menawarkan kelebihan daya saing kepada graduan dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif.

“Graduan yang mahir dalam pelbagai bahasa berpeluang untuk berkhidmat di syarikat multinasional, organisasi antarabangsa, malah berpotensi untuk membina kerjaya di luar negara.

“Jika inisiatif ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh, ia pasti akan membantu merealisasikan aspirasi Menteri Pendidikan, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular