editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Nama Joey Daud bukan asing lagi dalam dunia seni hiburan tanah air. Dikenali sebagai pelakon dan pelawak berbakat, beliau kini mengorak langkah berani dalam arena muzik dengan pelancaran single terbaharunya yang diberi judul Wamwamsam.
Lagu berkenaan secara rasmi dilancarkan menandakan kemunculan semula Joey sebagai penyanyi yang berani menampilkan karya berbeza, penuh warna dan makna.
Wamwamsam bukanlah lagu komedi semata-mata. Ia adalah karya pop rock eksperimental yang disulam dengan unsur jenaka sinikal dan mesej sosial yang mendalam.
Di sebalik tajuknya yang kedengaran lucu, tersembunyi seruan penting kepada masyarakat iaitu menuntut ilmu dan menjadikan wawasan sebagai panduan hidup.
Lagu ini membawa suara perubahan yang merentasi usia dan latar, menjadikan ia relevan untuk semua, dari anak sekolah hingga pembuat dasar negara.
Joey yang juga artis rakaman pertama di bawah label Luncai Emas Sdn. Bhd., ketika ditandatangani oleh Dato’ M. Nasir pada tahun 1994, kembali ke pangkuan label berkenaan untuk merealisasikan projek istimewa ini.

Luncai Emas menyambut kepulangan Joey dengan tangan terbuka dan semangat baharu, menjadikan Wamwamsam sebagai simbol kesinambungan kreativiti antara generasi.
Single ini turut memperlihatkan kolaborasi dinamik antara Joey dan dua komposer muda berbakat, Ilham Nasir dan Hidayat Nasir.
Dengan susunan muzik yang segar dan berani, mereka menyuntik elemen pop moden tanpa mengabaikan identiti lokal, menjadikan lagu ini unik dan mudah diingati.
Joey berkata, Wamwamsam lahir daripada gabungan pengalaman peribadi, pemerhatian sosial dan nostalgia zaman persekolahan.

“Lagu ini saya hasilkan dari pengalaman hidup, pemerhatian sosial dan kenangan lama. Wawasan bukan sekadar kata ia adalah panduan hidup.
“Wamwamsam mungkin kedengaran lucu, tapi maknanya mendalam,” katanya.
Menyuntik lagi kekuatan dalam lagu ini, Wamwamsam menampilkan segmen rap istimewa oleh A.D, anggota kumpulan hip hop dari Sabah, Isohbatos.
Gaya rap berbahasa Melayu Borneo yang dibawa A.D menambah dimensi baharu dalam lagu ini, sekali gus merapatkan jurang antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam konteks seni muzik tanah air.
“Bukan lagu untuk satu kawasan saja ini lagu seluruh Malaysia.
“Bila A.D masuk studio dan bawa gaya dia yang tersendiri, kami tahu lagu ni akan jadi sesuatu yang luar biasa,” katanya.
Pelancaran Wamwamsam turut disertai dengan video muzik rasmi yang diarahkan oleh Amen Khalid, anak kepada sutradara tersohor Allahyarham Mamat Khalid.
Menerusi pendekatan sinematik ala filem pendek, video ini bukan sekadar pelengkap kepada lagu, malah menjadi pra-pengenalan kepada filem baharu yang sedang dibangunkan Daud M, kesinambungan watak ikonik yang sebelum ini dibawakan oleh Joey.

Video muzik ini mengangkat kisah seorang pelajar kampung yang gigih mengejar ilmu dalam suasana masyarakat yang tidak progresif dan terperangkap dalam kekangan sistem.
Dengan latar visual sekolah retro, watak guru eksentrik dan pelbagai unsur sindiran sosial, karya ini menggabungkan humor dan kritikan secara halus namun mengena, menyentuh hati penonton sambil mengundang tawa dan renungan.
Tidak sekadar hiburan, Wamwamsam tampil sebagai sebuah seruan kepada generasi baharu untuk bangkit, menuntut ilmu dan memperjuangkan wawasan hidup.
Ia menyerlahkan keupayaan Joey Daud sebagai seniman sejati yang berani bereksperimen, menerobos sempadan genre dan menyampaikan mesej penting melalui seni yang menghiburkan.
Dengan kombinasi kuat antara muzik, naratif, budaya tempatan dan mesej yang mendalam, Wamwamsam bukan sahaja mencabar norma muzik arus perdana, tetapi juga dijangka mencetus fenomena dalam kalangan peminat seni tanah air.
Joey Daud membuktikan bahawa seni, bila digarap dengan jujur dan bijaksana, mampu menjadi suara yang menyentuh, menyedarkan dan menginspirasi.
Cool partnership https://shorturl.fm/FIJkD
https://shorturl.fm/bODKa