28 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 11, 2026
Home Blog Page 86

Amber perkenal Amber Oasis Abaya: Perpaduan gaya, seni dan warisan Islamik dalam fesyen muslimah mewah

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama fesyen kontemporari tempatan yang sinonim dengan kemewahan dan keanggunan moden, Amber, sekali lagi mencuri tumpuan dunia fesyen tanah air dengan pelancaran koleksi eksklusif terbaharunya iaitu Amber Oasis Abaya.

Koleksi ini menampilkan rekaan avant-garde yang sarat dengan elemen seni halus dan ilham warisan Islamik, khusus buat wanita Muslimah moden yang menghargai estetika tinggi dalam berfesyen tanpa mengabaikan nilai dan keselesaan.

Koleksi edisi terhad ini adalah manifestasi komitmen Amber dalam menerajui segmen fesyen Muslimah premium di Malaysia.

Lebih istimewa, pelancaran kali ini turut diserikan dengan pelantikan tiga figura wanita popular tanah air iaitu Nora Danish, Amira Othman dan Amyra Rosli sebagai duta rasmi koleksi ini.

Pemilihan mereka bukan sahaja atas dasar pengaruh dan populariti, tetapi kerana keperibadian mereka yang mencerminkan nilai-nilai yang diangkat oleh Amber iaitu elegan, berkeyakinan dan menjunjung gaya hidup Muslimah moden.

Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Hasan berkata, koleksi Amber Oasis Abaya membawa maksud yang lebih mendalam tidak hanya sekadar sebuah pakaian.

“Amber bukan sekadar jenama semata ia adalah simbol kepada keyakinan dan keanggunan wanita Muslimah masa kini.

“Kami percaya setiap wanita berhak tampil bergaya tanpa perlu berkompromi terhadap prinsip, nilai dan keselesaan mereka.

“Melalui koleksi ini, kami ingin menzahirkan sebuah fesyen yang bukan sahaja indah dari segi rekaan, tetapi juga menyentuh aspek spiritual dan ekspresi peribadi,” katanya.

Tambahnya, kolaborasi bersama ketiga-tiga selebriti itu juga adalah strategi untuk membawa jenama Amber lebih dekat dengan golongan pengguna yang menjadikan mereka sebagai inspirasi dalam kehidupan seharian.

“Ini bukan sekadar kempen promosi biasa, tetapi usaha untuk mengangkat sosok wanita yang kekal anggun, menjaga penampilan dan prinsip dalam dunia moden yang mencabar,” katanya.

Amber Oasis Abaya menampilkan empat rekaan utama iaitu Madeena, Arora, Jumaira dan Sahara di mana masing-masing direka secara teliti untuk memenuhi cita rasa pelbagai segmen wanita moden.

Rekaan Madeena, yang dijual pada harga RM329, mengetengahkan warna-warna lembut seperti baby blue, maroon dan purplish gold, dalam potongan free size yang klasik dan anggun.

Sementara itu, Arora tampil dengan dua variasi rona iaitu copper brown dengan fabrik pleated dan midnight blue dalam potongan polos dijual pada harga RM289, sesuai buat wanita yang menggemari tekstur unik dan potongan berstruktur.

Untuk mereka yang mencari pilihan lebih kasual tetapi tetap eksklusif, Jumaira hadir dengan warna-warna seperti putih, mint green dan coklat muda, ditawarkan pada harga RM259.

Tidak ketinggalan Sahara, yang menjadi pilihan paling versatil dan mesra bajet dalam koleksi ini, dijual pada harga RM199 dan hadir dalam rona asas seperti hitam, coklat dan hijau.

Walaupun ringkas dari segi potongan, ia tetap mengekalkan aura eksklusif Amber.

Kesemua rekaan ini ditawarkan dalam jumlah terhad, dengan hanya 500 unit setiap rekaan dihasilkan bagi mengekalkan keunikan dan eksklusiviti koleksi.

Menambahkan lagi nilai koleksi edisi khas ini, setiap pembelian turut disertakan dengan kotak hadiah berlapik sutera, sijil keaslian bernombor, serta e-pass jemputan khas ke majlis pratonton eksklusif di Kuala Lumpur Fashion Week yang dijadualkan berlangsung pada September 2025.

Keanggunan koleksi ini turut diserlahkan menerusi gaya dan personaliti dutanya.

Nora Danish, yang sering tampil dengan gaya sofistikated, tampil sebagai wajah kepada Madeena.

Amira Othman pula, dengan persona lembut dan santunnya, disandingkan dengan abaya Jumaira yang feminin. S

ementara itu, Amyra Rosli ikon wanita muda berkeluarga yang moden dan berani tampil serasi bersama Arora, lambang wanita kontemporari yang berdaya saing.

Dengan pelancaran Amber Oasis Abaya, Amber sekali lagi memperkukuhkan kedudukannya sebagai jenama tempatan yang bukan sahaja mementingkan nilai estetika dalam rekaan, tetapi turut menekankan nilai warisan, identiti Muslimah dan keanggunan yang sejati.

Misi ‘Journey to Tanah Haram’ hampir ke penghujung: Amar Baharin & Qobin lalui ujian, keajaiban dan hikmah sepanjang perjalanan

editormaxinfo@gmail.com

MADINAH – Dua anak Malaysia, pelakon Amar Baharin dan penjelajah Grand Slam negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau lebih dikenali sebagai Datuk Qobin, kini menghampiri garisan penamat dalam misi penuh inspirasi mereka yang dinamakan Journey to Tanah Haram.

Setelah merentasi benua dan merempuh pelbagai cabaran menggunakan kayuhan basikal serta pengangkutan darat dan udara, mereka kini berada di wilayah Qassim, Arab Saudi dan dijangka tiba di kota suci Madinah dalam tempoh tiga hingga empat hari lagi.

Misi ini bukan sekadar sebuah perjalanan fizikal, tetapi satu kembara rohani yang sarat dengan keinsafan dan keajaiban yang tidak diduga.

Berkongsi pengalaman Amar mengakui betapa getirnya perjalanan mereka, terutamanya ketika menempuh cuaca ekstrem yang mencecah sehingga 51 darjah Celsius, selain terpaksa berdepan dengan tiupan angin kuat yang melambatkan kayuhan.

“Kadang-kadang kami terlalu letih untuk meneruskan kayuhan, tetapi setiap kali itu juga pasti ada pertolongan daripada insan yang kami sendiri tidak kenali.

“Allah hadirkan bantuan tepat pada waktunya,” katanya.

Antara pengalaman yang dianggap luar biasa termasuk kejadian tayar basikal pancit namun apa yang mengagumkan, tayar itu sentiasa pancit di lokasi yang cukup strategik, sama ada berhadapan bengkel atau kawasan teduh untuk berehat.

“Seolah-olah sudah diatur Tuhan. Kami juga diberikan makanan, minuman dan malah ada yang memberi wang saku tanpa kami minta,” katanya lagi.

Perjalanan mereka turut dipermudahkan dengan bantuan komuniti rakyat Malaysia yang menetap di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.

Tanpa diminta, mereka ditawarkan penginapan percuma dan dilayan seperti tetamu kehormat.

“Kami tak sangka layanan sebegitu, malah perbelanjaan sepanjang perjalanan ini pun belum mencecah RM12,000 kerana terlalu ramai yang tampil menghulur bantuan,” kongsi Amar lagi.

Pada asalnya, misi ini dirancang untuk merentasi India, Pakistan dan Iran.

Namun, atas nasihat keselamatan dari Kedutaan Malaysia di negara-negara terbabit memaksa mereka mengubah laluan hanya seminggu sebelum bertolak dari Bangkok, susulan ketegangan konflik bersenjata di rantau berkenaan.

“Ia menjadi pengajaran penting buat kami. Kita merancang, tetapi Allah yang menentukan segalanya,” kata Qobin.

Perjalanan epik ini bermula di Padang Besar dan dilepaskan secara rasmi oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Mereka kemudiannya melalui Bangkok, Iran, UAE dan kini hampir tiba ke destinasi impian iaitu Madinah al-Munawwarah.

Walaupun misi ini tidak didaftarkan sebagai ekspedisi rasmi atau bertujuan memecah sebarang rekod, ia adalah sebuah ikhtiar ikhlas dua sahabat yang berazam untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci dengan jalan darat dan menggunakan dana sendiri.

“Apa yang kami lakukan ini datang dari hati. Kami hanya ingin rasai sendiri perjalanan musafir ke Tanah Haram dalam bentuk yang paling sederhana,” kata Amar.

Meskipun hampir sampai ke garisan penamat, cabaran tetap menguji ketahanan fizikal dan mental mereka.

Menurut Qobin, beliau mengalami kekejangan otot seluruh badan akibat suhu panas melampau, meskipun telah mengambil air secukupnya.

Keadaan itu memaksa mereka berehat selama dua malam di Qassim sebelum menyambung perjalanan terakhir ke Madinah sejauh kira-kira 150 kilometer dari kawasan Hanakeyah.

“Kami mohon doa daripada semua rakyat Malaysia. Sokongan anda di media sosial seperti TikTok, Instagram dan Facebook menjadi sumber kekuatan buat kami sepanjang musafir ini,” katanya.

Jika tiada aral melintang, Journey to Tanah Haram dijangka melabuhkan tirainya di Madinah sekitar 31 Mei atau 1 Jun ini.

Sepulangnya ke tanah air nanti, pasangan sahabat ini merancang untuk berkongsi kisah pengembaraan mereka dalam bentuk dokumentari sebuah kisah benar yang sarat dengan nilai iman, ketabahan dan sifat ihsan sesama manusia.

Untuk perkembangan terkini, orang ramai boleh mengikuti laman sosial Instagram Amar Baharin dan Datuk Qobin (@dqobin).

Kerteh FC jalin kerjasama strategik bersama Hakka.clo bagi musim 2025–2027

editormaxinfo@gmail.com

KERTEH – Kerteh FC hari ini mengumumkan pelantikan rasmi jenama tempatan Hakka.clo sebagai Rakan Strategik Rasmi kelab bagi musim 2025 hingga 2027, sekali gus menandakan satu lagi langkah penting dalam pembangunan menyeluruh kelab bola sepak komuniti itu.

Di bawah jalinan kerjasama strategik ini, Hakka.clo akan menjadi pembekal eksklusif bagi pakaian rasmi perlawanan dan pasukan merangkumi semua skuad di bawah naungan Kerteh FC.

Ini termasuk pasukan pembangunan seawal bawah 6 tahun (U6) sehingga ke skuad utama, yang menjadi tulang belakang kepada hala tuju kelab ke arah pembangunan akar umbi dan pengukuhan struktur profesional.

Pemilihan Hakka.clo, sebuah jenama yang semakin dikenali dengan pendekatan rekaan moden serta nilai estetika tempatan, dilihat selari dengan matlamat Kerteh FC dalam membina identiti kelab yang lebih segar, profesional dan relevan dengan masa.

Ia juga mencerminkan hasrat kelab untuk terus memperkukuh hubungan strategik bersama jenama-jenama tempatan yang berkualiti dan berwawasan.

Wakil Pemasaran dan Komersial Kerteh FC Muhammad Yunus Zakariah berkata, kolaborasi ini dianggap sebagai satu langkah yang bukan sahaja menepati keperluan teknikal pasukan, malah memperkukuh strategi jangka panjang kelab dalam usaha memperluaskan jenama Kerteh FC di dalam dan luar padang.

“Kerjasama ini adalah satu langkah strategik yang bukan sahaja memenuhi keperluan teknikal skuad kami, malah memperkukuhkan usaha membina jenama Kerteh FC secara menyeluruh.

“Kami percaya nilai dan aspirasi Hakka Clo sejajar dengan visi kelab untuk jangka panjang,” katanya.

Bagi pihak Hakka.clo, komitmen terhadap kerjasama ini turut disuarakan oleh Hafiz, Pengurus Pemasaran syarikat berkenaan.

Beliau meluahkan rasa bangga dan teruja kerana dapat bekerjasama dengan sebuah kelab yang disifatkan sebagai progresif serta mempunyai hubungan erat dengan komuniti setempat.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Kerteh FC, sebuah kelab yang progresif dan berakar dalam komuniti.

“Kami berharap rekaan dan solusi kami dapat menyumbang kepada prestasi dan penampilan profesional kelab di dalam dan luar padang,” katanya.

Kerjasama antara kedua-dua pihak ini turut memberi signifikan yang lebih luas kepada ekosistem bola sepak tempatan.

Ia bukan sahaja membuka ruang kepada kelab komuniti seperti Kerteh FC untuk memperkukuh imej dan jenama, malah turut mengangkat potensi syarikat tempatan seperti Hakka.clo untuk tampil sebagai pemain penting dalam industri sukan negara.

Langkah ini juga selaras dengan agenda pembangunan jangka panjang kelab dalam memperkukuh jaringan kerjasama industri, sambil terus mengekalkan keterlibatan aktif dengan komuniti tempatan serta memperluaskan capaian jenama ke peringkat nasional.

Dengan kerjasama ini, Kerteh FC tidak hanya menambah nilai dari segi penampilan dan kelengkapan pasukan, tetapi juga memperkukuh asas komersial serta menjadikan bola sepak sebagai landasan perpaduan, pembangunan bakat dan pengukuhan jenama tempatan secara bersama.

Boyz II Men gegarkan Mega Star Arena dalam konsert penuh nostalgia

editormaxinfo@gmail.com

Foto Sudasan

KUALA LUMPUR – Mega Star Arena bergema dengan sorakan dan tepukan gemuruh apabila kumpulan R&B legenda, Boyz II Men, menghiburkan lebih 5,000 peminat dalam sebuah konsert yang penuh emosi, kenangan dan kehebatan vokal yang tidak pudar dimamah usia.

Sebagai sebahagian daripada siri jelajah dunia mereka yang bertajuk “Legacy of Love”, kumpulan yang dianggotai oleh Nathan Morris, Wanyá Morris dan Shawn Stockman itu berjaya membuktikan bahawa mereka masih relevan dan berbisa di pentas, meskipun telah lebih tiga dekad mewarnai dunia muzik antarabangsa.

Sebelum persembahan utama bermula, suasana hangat dipanaskan dengan alunan muzik klasik dari era 70-an, 80-an dan 90-an yang diputarkan oleh DJ terkenal, DJ Skeletor.

Penonton nyata terhibur, menyanyi bersama dan menari mengikut rentak lagu-lagu lama yang mengimbau zaman kegemilangan muzik retro, R&B dan pelbagai lagi menambahkan lagi kehangatan malam penuh nostalgia itu.

Tepat jam 9 malam, suasana bertukar menjadi lebih meriah apabila Boyz II Men muncul di pentas, membuka tirai konsert dengan lagu popular “Can’t Let Her Go”.

Dengan keharmonian vokal yang masih mantap dan persembahan bertenaga, kumpulan trio ini menyuntik semangat kepada peminat yang memenuhi setiap sudut ruang Mega Star Arena.

Konsert selama satu jam setengah tanpa henti itu menyaksikan mereka mempersembahkan barisan lagu-lagu hits yang telah menjadikan mereka ikon muzik dunia.

Antara lagu yang mendapat sorakan paling meriah termasuklah “On Bended Knee”, “It’s So Hard To Say Goodbye To Yesterday”, dan tentunya lagu yang menjadi simbol kerjaya mereka, “End of the Road”.

Sebagai penghargaan kepada tokoh-tokoh seni yang telah banyak mempengaruhi perjalanan muzik mereka, kumpulan itu turut menyampaikan persembahan penghormatan khas kepada Michael Jackson, Whitney Houston, dan Prince tiga nama besar yang menjadi lagenda industri muzik global.

Malam itu bukan sahaja menjadi sebuah persembahan muzik, tetapi turut menjadi medan mengimbau kenangan dan emosi bagi ramai peminat, yang membesar dengan lagu-lagu Boyz II Men.

Melalui interaksi mesra dan penuh penghargaan, kumpulan itu tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada peminat di Malaysia atas sokongan yang tidak pernah henti sejak awal kemunculan mereka.

“Kami amat terharu dengan sambutan peminat di Malaysia. Setiap kali kami kembali, ia bagaikan pulang ke rumah kedua. Terima kasih atas cinta dan sokongan yang tidak pernah padam,” kata salah seorang anggota kumpulan itu kepada penonton yang bersorak gembira.

Konsert ini juga menandakan kepulangan mereka ke Malaysia selepas kali terakhir membuat persembahan di Kuala Lumpur pada 1 Disember 2019.

Malaysia adalah salah satu destinasi terawal dalam siri jelajah dunia mereka yang turut meliputi negara-negara seperti Singapura, Thailand, Filipina dan seterusnya akan diteruskan ke Indonesia, Australia dan New Zealand.

Dengan aura tersendiri, vokal padu dan kharisma yang masih utuh, Boyz II Men sekali lagi membuktikan bahawa muzik yang datang dari hati akan sentiasa relevan merentasi generasi, sempadan dan masa.

Raikan Hari Bapa dengan jaminan bunyi hebat dan penjimatan hebat dari TC Acoustic

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Bapa tahun ini bakal lebih bermakna dengan tawaran istimewa daripada TC Acoustic, yang menampilkan promosi terhad untuk produk audio premium daripada jenama terkenal seperti Sonos dan Bowers & Wilkins.

Bermula dari 6 hingga 16 Jun 2025, pelanggan boleh menikmati potongan harga eksklusif bagi rangkaian produk pilihan yang sesuai untuk menaik taraf pengalaman audio di rumah atau menghadiahkan sesuatu yang istimewa buat insan tersayang.

Kempen “Father’s Day Sale” ini bukan sahaja menawarkan peluang terbaik untuk memberi hadiah dengan nilai dan kualiti unggul, malah juga membuka ruang kepada pengguna untuk menyegarkan semula suasana rumah dengan sentuhan teknologi audio terkini.

Antara sorotan utama dalam promosi ini ialah Sonos Arc Ultra, sistem bunyi teater rumah yang kini tampil lebih hebat dengan teknologi Dolby Atmos dan ciri baharu Speech Enhancement berkuasa AI (AISE).

Ciri ini dibangunkan bersama Royal National Institute for Deaf People (RNID), menggunakan pembelajaran mesin untuk meningkatkan kejelasan dialog secara masa nyata sesuai untuk malam tontonan filem atau siri aksi kegemaran.

Ciri ini boleh dimuat turun secara percuma mulai 13 Mei 2025.

Untuk pengalaman sinematik sepenuhnya, Sonos Sub 4 adalah pelengkap sempurna.

Dengan bass mendalam tanpa gangguan distorsi, Sub 4 menjadikan setiap tontonan seolah-olah berlaku di panggung, satu ciri yang pasti dihargai oleh para bapa yang menuntut kualiti bunyi sebenar ketika menonton semula filem 4K klasik mereka.

Bagi mereka yang lebih gemarkan penyelesaian audio bersaiz kompak, Sonos Era 100 menampilkan reka bentuk padat tetapi menghasilkan bunyi stereo yang mantap.

Dengan keupayaan sambungan multi-bilik bersama peranti Sonos lain, Era 100 bukan sahaja bergaya tetapi turut menampilkan nilai terbaik susulan penurunan harga terbarunya.

Sementara itu, untuk pengguna yang lebih menggemari pengalaman audio peribadi, Bowers & Wilkins Pi8 menawarkan kualiti bunyi bertaraf studio dengan sistem pembatalan bunyi adaptif dalam rekaan yang anggun dan bersaiz poket.

Ia adalah pilihan ideal untuk bapa yang aktif dan menghargai ketepatan audio dalam setiap langkah harian mereka.

Bagi pilihan lebih mesra bajet tetapi masih berprestasi tinggi, Pi6 hadir dengan ciri pintar serta bunyi jelas dan dinamik sesuai untuk perjalanan harian atau sesi santai selepas kerja.

Tidak ketinggalan, bagi mereka yang lebih selesa dengan fon kepala jenis over-ear, Px7 S3 dari Bowers & Wilkins adalah pilihan terbaik.

Menampilkan bunyi ekspresif dan reka bentuk klasik, Px7 S3 menyatukan gaya dan fungsi dalam satu peranti sesuai untuk fokus kerja, perjalanan jauh atau sekadar bersantai.

Tawaran sempena Hari Bapa ini meliputi pelbagai produk dengan diskaun menarik, antaranya:

-Sonos Arc Ultra ditawarkan pada harga promosi RM5,299 (RRP RM5,899)

-Sonos Sub 4 pada RM3,799 (RRP RM4,799)

-Sonos Era 100 pada RM1,049 (RRP RM1,299)

-Sonos Roam 2 dan Move 2 pula ditawarkan dengan diskaun sehingga 25 peratus.

Manakala produk daripada Bowers & Wilkins seperti Pi6, Pi8, Px8 dan Px7 S3 juga ditawarkan dengan potongan harga sehingga 15 peratus, bergantung kepada model.

Kesemua produk ini boleh didapati menerusi laman web rasmi tcacoustic.asia, Sonos Concept Store @ The Starhill, serta peruncit sah seperti Lazada, Shopee, Harvey Norman MY, Flash Gadgets, Thundermatch (TMT), PC Image dan Urban Republic.

Sama ada hadiah berupa fon kepala Bowers & Wilkins Px8 untuk pengalaman mendengar yang fokus atau pembesar suara Sonos Era 100 untuk melengkapkan malam filem di rumah, promosi ini menjanjikan gaya dan prestasi dalam satu pakej.

Jangan lepaskan peluang untuk meraikan Hari Bapa dengan iringan bunyi yang penuh kenangan dan penjimatan yang menguntungkan.

Kerajaan Negeri Pahang sertai usaha strategik FELDA ambil alih FGV Holdings

editormaxinfo@gmail.com

GENTING HIGHLANDS –  Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) hari ini mengumumkan perkembangan penting dalam usaha pengambilalihan FGV Holdings Berhad apabila Kerajaan Negeri Pahang secara rasmi bersetuju untuk menyertai sebagai rakan strategik di bawah status Persons Acting in Concert (PACs).

Penyertaan ini sekali gus memperkukuh pelaksanaan tawaran pengambilalihan sukarela (Voluntary Take Over Offer) yang sedang diusahakan oleh FELDA terhadap FGV.

Kerjasama strategik ini menandakan satu langkah signifikan dalam usaha FELDA memperkukuh semula penguasaan ke atas FGV Holdings Berhad sebuah entiti tersenarai awam yang memainkan peranan penting dalam sektor perladangan negara.

Dengan penyertaan Kerajaan Negeri Pahang sebagai PACs, FELDA memperoleh satu lagi sokongan institusi penting yang dapat membantu menjayakan proses penswastaan ini secara lebih teratur, tersusun dan berkesan.

Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek berkata, komitmen Kerajaan Negeri Pahang menyertai inisiatif ini mencerminkan keyakinan bersama terhadap keperluan untuk memperkukuh kedudukan strategik FGV sebagai tonggak utama dalam pembangunan ekonomi luar bandar, khususnya dalam kalangan komuniti peneroka FELDA.

“Penyertaan Kerajaan Negeri Pahang sebagai PACs bukan sahaja mengukuhkan asas strategi pengambilalihan ini.

“malah membawa mesej jelas bahawa usaha untuk memperkasa FGV adalah usaha bersama demi kepentingan jangka panjang peneroka dan ekosistem FELDA secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri sentiasa konsisten dalam menyokong setiap inisiatif yang digerakkan oleh FELDA demi kesejahteraan masyarakat peneroka.

Beliau berkata, penyertaan Kerajaan Negeri Pahang dalam kerjasama ini adalah satu manifestasi jelas kepada komitmen kerajaan negeri dalam menyokong agenda nasional yang menyasarkan pembangunan ekonomi negeri serta memperkukuh kelangsungan FGV sebagai entiti strategik.

“Kerajaan Negeri Pahang melihat penyertaan ini sebagai peluang untuk menjadi sebahagian daripada langkah reformasi korporat yang mampu memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan memperkukuh kesejahteraan masyarakat FELDA, khususnya di Pahang yang juga antara negeri dengan jumlah tanah rancangan FELDA terbesar di negara ini,” katanya.

Kerjasama antara FELDA dan Kerajaan Negeri Pahang ini dilihat bukan sahaja sebagai strategi korporat, malah sebagai satu pendekatan bersepadu dalam memperkukuh keseluruhan rantaian nilai perladangan yang berteraskan kelestarian dan pemerkasaan kewangan komuniti luar bandar.

Dengan penglibatan aktif kerajaan negeri, ia diyakini mampu memberi nilai tambah terhadap usaha pemulihan dan pemantapan FGV, sekali gus menjamin manfaat jangka panjang buat peneroka dan generasi baharu FELDA.

Langkah ini juga dilihat sebagai penegasan semula terhadap misi FELDA untuk memastikan pembangunan ekonomi peneroka tidak hanya tertumpu kepada hasil pertanian semata-mata, sebaliknya merangkumi strategi holistik yang menyentuh aspek kewangan, keusahawanan, pembangunan modal insan dan kelestarian institusi.

Penswastaan FGV menerusi kerjasama strategik ini diharap menjadi titik tolak kepada sebuah era baharu yang lebih kukuh bagi FELDA dan entiti-entiti berkaitannya, serta mampu menjadi contoh terbaik bagaimana sinergi antara agensi persekutuan dan kerajaan negeri dapat digembleng bagi kepentingan rakyat dan negara.

Malaysia, Indonesia terajui penubuhan Majlis Halal ASEAN

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Indonesia mengambil langkah bersejarah dengan bersetuju untuk bersama-sama menerajui penubuhan Majlis Halal ASEAN tahun ini, sebagai usaha memperkukuh ekosistem halal serantau yang lebih tersusun, inklusif dan berdaya saing di peringkat global.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, majlis berkenaan bakal menjadi sebuah platform strategik bagi menyelaras dasar, standard dan piawaian halal di kalangan negara-negara ASEAN secara sistematik.

Menurutnya, langkah ini akan melonjakkan rantau ini sebagai peneraju utama dalam industri halal dunia yang semakin berkembang pesat.

“Inisiatif ini akan meletakkan ASEAN di barisan hadapan dalam ekosistem halal global dengan memperkenalkan piawaian serantau yang diiktiraf dunia.

“Malaysia dan Indonesia menzahirkan komitmen padu untuk memperkukuh kerjasama halal serantau dengan matlamat memperluas kedudukan produk halal kita di pasaran ASEAN serta antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH), berkongsi mengenai perkara itu, selepas mengadakan pertemuan strategik bersama Ketua Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia, Bapak Haikal Hassan Baras di Kuala Lumpur.

Pertemuan itu berlangsung sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan lanjutan daripada lawatan rasmi beliau ke Indonesia baru-baru ini, yang menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih erat dalam bidang halal antara kedua-dua negara.

Menurut Ahmad Zahid, kedua-dua pihak bersetuju untuk memperluas pengiktirafan bersama terhadap sijil halal masing-masing serta membuka laluan kemasukan yang lebih mudah bagi produk halal antara Malaysia dan Indonesia.

Usaha ini dilihat sebagai satu langkah penting dalam mewujudkan aliran perdagangan halal yang lebih lancar dan mesra industri.

“Langkah ini dijangka memberi impak besar terhadap peningkatan perdagangan intra-ASEAN, sekali gus menyokong permintaan tinggi pasaran halal di rantau ini yang merangkumi lebih 700 juta penduduk,” katanya.

Tambahnya, Malaysia akan terus komited memperkukuh kerjasama dalam aspek pensijilan halal, pendidikan, penyelidikan serta pembangunan tenaga kerja berkemahiran dalam industri halal.

Dalam masa yang sama, negara juga akan menyokong pelaksanaan program pertukaran kepakaran, latihan bersama dan penyelidikan kolaboratif demi memperkukuh rantaian nilai halal ASEAN secara menyeluruh.

Ahmad Zahid berkata, dengan nilai pasaran halal global yang diunjurkan mencecah USD5 trilion menjelang tahun 2030, ASEAN tidak boleh sekadar menjadi pengguna, sebaliknya mesti tampil sebagai peneraju utama dalam membentuk ekosistem halal yang mampan dan bersifat saling melengkapi.

“Penubuhan Majlis Halal ASEAN adalah satu langkah penting ke arah menjadikan ASEAN sebagai hab halal global yang inklusif dan kompetitif.

“Ia juga mencerminkan kejayaan pendekatan diplomasi halal Malaysia yang berperanan memperkukuh jenama halal negara di pentas dunia,” katanya.

Penubuhan Majlis Halal ASEAN ini dilihat sebagai satu transformasi penting yang akan merintis hala tuju baharu dalam pembangunan industri halal serantau dan seterusnya memberi sumbangan besar terhadap pertumbuhan ekonomi negara-negara anggota ASEAN secara kolektif.

IDEA Award 2025 pacu transformasi korporat berlandaskan syariah

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Anugerah tertinggi yang mengiktiraf kecemerlangan usahawan Islam di persada antarabangsa kembali untuk edisi keduanya, menerusi penganjuran Islamic Distinguished Enterprise Award (IDEA) 2025 yang berlangsung di Le Meridien Hotel, Putrajaya.

Dianjurkan oleh KNKV Group dengan pengiktirafan rasmi daripada Dewan Perniagaan Muslim Insiders, acara berprestij ini turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak strategik termasuk CTOS Data Systems sebagai rakan semakan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) selaku rakan akademik, firma guaman Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak (HWAM) sebagai rakan guaman rasmi, serta Yayasan Mihrab sebagai rakan kebajikan.

IDEA Award 2025 berjaya menghimpunkan tokoh industri serta syarikat berprofil tinggi dari dalam dan luar negara.

Antara penerima anugerah antarabangsa yang hadir termasuk jenama terkemuka seperti Muslim Pro dari Singapura, Human Appeal dari Australia dan ZTE dari China.

Kehadiran mereka menyerlahkan anugerah ini sebagai sebuah platform pengiktirafan global terhadap syarikat yang berjaya mengintegrasikan prinsip perniagaan moden berlandaskan nilai dan etika Islam.

Presiden Dewan Perniagaan Muslim Insiders, Profesor (Adjung) Adam Richman berkata, penganjuran ini tidak hanya bertujuan meraikan kejayaan semata-mata, malah untuk menginspirasi lebih banyak perniagaan agar berani mengamalkan prinsip Syariah dalam operasi harian mereka.

Beliau turut memuji penggunaan sistem semakan CTOS dalam proses penjurian sebagai satu langkah telus yang selari dengan konsep tabayyun seperti yang disebut dalam Surah Al-Hujurat ayat 6, sekali gus memperkukuh asas ekonomi ummah yang berintegriti.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang Amat Mulia Tunku Laksamana Negeri Sembilan, Tunku Dato’ Seri Utama Naquiyuddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar yang berkenan menyampaikan anugerah kepada pemenang.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan yang menyampaikan ucaptama pada majlis terbabit.

Dalam ucapannya, Senator Dr. Zulkifli menyifatkan IDEA Award 2025 sebagai platform penting yang membuktikan bahawa kecemerlangan dalam dunia Islam boleh bersifat global, profesional dan memberi inspirasi.

Beliau turut mengaitkan kerangka kerja Malaysia MADANI yang menekankan prinsip ihsan, sebagai kunci kemampanan dan pembangunan masyarakat yang bertanggungjawab serta berintegriti.

Beliau memuji penggunaan CTOS sebagai satu pendekatan penjurian berteraskan ketelusan dan nilai Islam, menyifatkannya bukan sekadar pembekal data, tetapi penjaga amanah yang membantu memastikan setiap keputusan dibuat secara adil dan berwibawa.

“Itulah sebabnya saya ingin menekankan kepentingan ketelusan, integriti dan pengesahan dalam setiap keputusan yang dibuat,” katanya.

IDEA Award 2025 bukan sekadar sebuah malam anugerah, sebaliknya menjadi simbol kepada gerakan kebangkitan ekonomi ummah, yang semakin mendapat tempat dalam arus ekonomi global.

Antara syarikat tempatan yang menerima pengiktirafan pada malam anugerah itu termasuk LBS Bina Group Sdn Bhd, AEON Bank Berhad, Jasmine Food Corporation Sdn Bhd, Ajinomoto (M) Sdn Bhd, Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd, Delima Oil Products Sdn Bhd, Sugarbomb Worldwide Sdn Bhd dan MBG Fruits Sdn Bhd.

Turut tersenarai sebagai penerima anugerah ialah syarikat Perry Smith, Astro, Ikhlas.com dan beberapa lagi entiti perniagaan yang telah menunjukkan kecemerlangan berteraskan nilai Islam.

Dengan pendekatan menyeluruh yang memberi penekanan kepada nilai integriti, tanggungjawab sosial dan prinsip Islam sebagai asas utama, IDEA Award 2025 terus meletakkan standard baharu dalam dunia keusahawanan Islamik, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat antarabangsa.

Hampir 891,000 jemaah haji luar negara tiba di Arab Saudi bagi musim Haji 1446H

editormaxinfo@gmail.com

RIYADH – Kerajaan Arab Saudi terus menerima ketibaan puluhan ribu jemaah dari seluruh dunia sempena musim haji tahun ini, dengan jumlah terkini mencecah 890,883 orang jemaah luar negara setakat hari Jumaat.

Perkembangan ini dilaporkan oleh Agensi Berita Arab Saudi (SPA) menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Direktorat Jeneral Pasport Arab Saudi pada Sabtu.

Menurut kenyataan itu, majoriti jemaah, iaitu seramai 846,415 orang, tiba melalui pintu masuk udara di lapangan terbang antarabangsa yang terdapat di negara itu.

Sementara itu, seramai 41,646 jemaah pula memasuki Arab Saudi melalui sempadan darat, manakala 2,822 lagi tiba menerusi laluan laut.

Direktorat Jeneral Pasport berkata, pihaknya terus komited dalam memastikan segala urusan kemasukan jemaah berlangsung dalam keadaan teratur dan lancar.

Bagi memenuhi keperluan terbabit, pelbagai teknologi canggih telah diguna pakai di pintu masuk negara, termasuk sistem imigresen yang dipertingkat dan kaunter berteknologi tinggi untuk pengesahan dokumen.

Selain itu, kakitangan yang ditugaskan di setiap pintu masuk turut dilatih dengan kemahiran pelbagai bahasa bagi memudahkan komunikasi bersama jemaah dari pelbagai latar belakang negara dan budaya.

Langkah ini bukan sahaja mempercepatkan proses kemasukan, malah membolehkan penyampaian maklumat dilakukan dengan lebih berkesan.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan Arab Saudi dalam mempertingkat mutu perkhidmatan kepada para jemaah, yang dirujuk sebagai “tetamu Allah”, selaras dengan peranan negara itu sebagai penjaga dua tanah suci Islam.

Kerajaan juga dilihat semakin giat memperluaskan penggunaan teknologi pintar dalam pengurusan haji, sejajar dengan wawasan transformasi digital negara berkenaan.

Setiap tahun, jutaan umat Islam dari seluruh dunia menunaikan rukun Islam kelima di Tanah Suci Mekah dan Madinah, menjadikan ibadah haji sebagai antara perhimpunan keagamaan terbesar di dunia.

Tahun ini, kehadiran hampir 891,000 jemaah asing menandakan pemulihan penuh pelaksanaan haji secara fizikal selepas beberapa tahun ia dihadkan akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.

Dengan jangkaan lebih ramai jemaah akan tiba dalam minggu-minggu mendatang, pihak berkuasa Arab Saudi dijangka akan terus mengukuhkan kawalan operasi, keselamatan dan logistik di semua pintu masuk, demi memastikan pengalaman ibadah haji berjalan lancar dan terjaga dari segala aspek. -Agensi