editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Malaysia dan Indonesia mengambil langkah bersejarah dengan bersetuju untuk bersama-sama menerajui penubuhan Majlis Halal ASEAN tahun ini, sebagai usaha memperkukuh ekosistem halal serantau yang lebih tersusun, inklusif dan berdaya saing di peringkat global.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, majlis berkenaan bakal menjadi sebuah platform strategik bagi menyelaras dasar, standard dan piawaian halal di kalangan negara-negara ASEAN secara sistematik.
Menurutnya, langkah ini akan melonjakkan rantau ini sebagai peneraju utama dalam industri halal dunia yang semakin berkembang pesat.
“Inisiatif ini akan meletakkan ASEAN di barisan hadapan dalam ekosistem halal global dengan memperkenalkan piawaian serantau yang diiktiraf dunia.
“Malaysia dan Indonesia menzahirkan komitmen padu untuk memperkukuh kerjasama halal serantau dengan matlamat memperluas kedudukan produk halal kita di pasaran ASEAN serta antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH), berkongsi mengenai perkara itu, selepas mengadakan pertemuan strategik bersama Ketua Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia, Bapak Haikal Hassan Baras di Kuala Lumpur.
Pertemuan itu berlangsung sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan lanjutan daripada lawatan rasmi beliau ke Indonesia baru-baru ini, yang menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih erat dalam bidang halal antara kedua-dua negara.
Menurut Ahmad Zahid, kedua-dua pihak bersetuju untuk memperluas pengiktirafan bersama terhadap sijil halal masing-masing serta membuka laluan kemasukan yang lebih mudah bagi produk halal antara Malaysia dan Indonesia.
Usaha ini dilihat sebagai satu langkah penting dalam mewujudkan aliran perdagangan halal yang lebih lancar dan mesra industri.
“Langkah ini dijangka memberi impak besar terhadap peningkatan perdagangan intra-ASEAN, sekali gus menyokong permintaan tinggi pasaran halal di rantau ini yang merangkumi lebih 700 juta penduduk,” katanya.
Tambahnya, Malaysia akan terus komited memperkukuh kerjasama dalam aspek pensijilan halal, pendidikan, penyelidikan serta pembangunan tenaga kerja berkemahiran dalam industri halal.
Dalam masa yang sama, negara juga akan menyokong pelaksanaan program pertukaran kepakaran, latihan bersama dan penyelidikan kolaboratif demi memperkukuh rantaian nilai halal ASEAN secara menyeluruh.
Ahmad Zahid berkata, dengan nilai pasaran halal global yang diunjurkan mencecah USD5 trilion menjelang tahun 2030, ASEAN tidak boleh sekadar menjadi pengguna, sebaliknya mesti tampil sebagai peneraju utama dalam membentuk ekosistem halal yang mampan dan bersifat saling melengkapi.
“Penubuhan Majlis Halal ASEAN adalah satu langkah penting ke arah menjadikan ASEAN sebagai hab halal global yang inklusif dan kompetitif.
“Ia juga mencerminkan kejayaan pendekatan diplomasi halal Malaysia yang berperanan memperkukuh jenama halal negara di pentas dunia,” katanya.
Penubuhan Majlis Halal ASEAN ini dilihat sebagai satu transformasi penting yang akan merintis hala tuju baharu dalam pembangunan industri halal serantau dan seterusnya memberi sumbangan besar terhadap pertumbuhan ekonomi negara-negara anggota ASEAN secara kolektif.


https://shorturl.fm/FIJkD
https://shorturl.fm/6539m