28 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 11, 2026
Home Blog Page 85

PTTI cipta dua rekod Malaysia Book of Records, kukuhkan reputasi sebagai pusat tuisyen unggul negara

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Dunia pendidikan negara mencipta satu pencapaian yang membanggakan apabila Pusat Tuisyen PTTI sekali lagi membuktikan komitmennya dalam melahirkan pelajar cemerlang apabila mencipta dua rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) berikutan kejayaan luar biasa menerusi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

PTTI telah dianugerahkan dua pengiktirafan berprestij iaitu Most Straight A’s SPM Students in a Tuition dan Most SPM Grade A’s Obtained by a Tuition sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian mereka yang berjaya melahirkan seramai 401 pelajar yang memperoleh keputusan semua A serta mengumpul sejumlah 18,432 gred A keseluruhan dalam kalangan pelajar bimbingan mereka.

Kejayaan luar biasa ini diraikan dalam satu majlis penuh gemilang, Majlis Anugerah Inspirasi PTTI 2025, yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Majlis yang berlangsung dalam suasana meriah itu menghimpunkan lebih 2,000 tetamu, terdiri daripada pelajar, ibu bapa, tokoh pendidikan, selebriti tanah air serta rakan industri.

Antara figura ternama yang turut hadir memeriahkan acara termasuk penyanyi tersohor negara, Biduanita Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Dato’ K), tokoh pembangunan diri Datuk Wira Dr. Azizan Osman, usahawan muda Asyraf Khalid, serta barisan artis popular seperti MK K-Clique, Iman Troye, Alyssa Dezek dan Zaki Yamani.

Majlis turut menjadi medan penghargaan buat kelompok pelajar lain yang menunjukkan prestasi akademik cemerlang, termasuk 356 pelajar yang digelar sebagai “Nearly All A’s” dan 1,685 pelajar yang berjaya memperoleh enam A dan ke atas.

Sebagai penghormatan kepada kecemerlangan pelajar, PTTI melalui kerjasama strategik bersama Yayasan Nurjiwa telah menyampaikan insentif wang tunai sebanyak RM500 kepada setiap pelajar yang memperoleh keputusan Straight A’s, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan mencecah RM200,500.

Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman berkata, kejayaan ini bukanlah hasil usaha satu pihak semata-mata, sebaliknya adalah hasil sinergi dan dedikasi tinggi dalam kalangan pelajar, ibu bapa, tenaga pengajar dan seluruh pasukan pengurusan.

“Kejayaan ini bukan sahaja milik PTTI, tetapi milik semua ibu bapa dan pelajar yang tidak pernah putus asa.

“Ini adalah bukti bahawa pendidikan berkualiti dan sistematik mampu mengubah masa depan seseorang pelajar,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Berbekalkan kejayaan berganda ini, PTTI tidak berniat untuk berpuas hati.

Malah, pusat tuisyen itu telah meletakkan sasaran baharu iaitu melahirkan sekurang-kurangnya 1,000 pelajar Straight A’s dalam peperiksaan SPM 2025.

Bagi merealisasikan misi itu, pelbagai pendekatan dan inisiatif strategik akan diteruskan termasuk penganjuran kelas dalam talian, sesi konsultasi akademik secara berkala serta pemantauan prestasi pelajar secara berstruktur.

Sebagai sebahagian daripada usaha menyokong calon-calon SPM 2025, PTTI turut menawarkan sesi konsultasi percuma bagi membantu ibu bapa dan pelajar membuat perancangan akademik yang lebih efektif.

Maklumat lanjut mengenai program, inisiatif dan pendaftaran boleh diperoleh melalui laman web rasmi PTTI di www.ptti.my.

Pavilion Bukit Jalil raikan ulang tahun ke-80 Mattel dengan “All Play All Day” sepanjang cuti sekolah

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Suasana penuh ceria dan warna-warni kini menghiasi Pavilion Bukit Jalil sempena sambutan ulang tahun ke-80 Mattel, salah satu jenama permainan paling ikonik di dunia.

Bertemakan “All Play All Day”, pusat beli-belah ini telah bertukar menjadi sebuah dunia permainan interaktif yang menjanjikan keseronokan buat seisi keluarga daripada dunia glamor Barbie hinggalah ke trek penuh aksi Hot Wheels dan keseronokan menaiki kereta api Thomas & Friends.

Sambutan istimewa ini berlangsung sehingga 8 Jun 2025 dan menawarkan pelbagai zon permainan menarik, cabaran hujung minggu, kawasan bergambar nostalgia serta ganjaran eksklusif menjadikan lawatan ke Pavilion Bukit Jalil satu pengalaman cuti sekolah yang tidak dapat dilupakan.

Sejak penubuhannya 80 tahun lalu, Mattel telah menjadi sebahagian daripada zaman membesar jutaan kanak-kanak di seluruh dunia, mencipta dunia penuh imaginasi, inspirasi dan kenangan.

Hari ini, warisan itu diraikan sepenuhnya di Pavilion Bukit Jalil, yang mengundang pengunjung untuk menyelami dunia permainan yang dibina atas nilai kegembiraan dan nostalgia.

Ketua Pegawai Eksekutif Retail Kuala Lumpur Pavilion Sdn. Bhd., Dato’ Joyce Yap berkata, sambutan ini bukan sahaja memberi ruang untuk berseronok, malah memperkukuhkan ikatan kekeluargaan.

“Di Pavilion Bukit Jalil, kami percaya bahawa pengalaman bermakna adalah kunci kepada hubungan sesama insan dan tiada apa yang dapat menyatukan seperti kegembiraan bermain.

“Ketika Mattel meraikan 80 tahun menginspirasikan imaginasi, kami berbangga dapat menjadikan pusat beli-belah kami sebuah ruang ceria untuk keluarga berkumpul, bermain dan mencipta memori bersama,” katanya.

Antara tarikan utama yang menanti pengunjung ialah pelbagai zon bertema yang direka untuk menghibur dan merangsang imaginasi kanak-kanak.

Di Zon Barbie, pengunjung boleh menikmati pengalaman bergambar 360 darjah, selain bersantai dalam kolam gelembung merah jambu di sisi kereta Barbie yang ikonik.

Sementara itu, Zon Hot Wheels menampilkan kereta die-cast meluncur laju merentasi gelung berapi dan laluan mencabar, termasuk cabaran T-Rex Smasher yang menguji kelajuan dan ketepatan.

Bagi peminat watak klasik, Zon Thomas & Friends membolehkan kanak-kanak mengenali dan memadankan watak lokomotif kegemaran mereka, sebelum menikmati pengalaman menaiki kereta api Thomas sebenar yang bergerak di sekitar pusat beli-belah.

Pengunjung juga boleh bersantai di Zon Mattel All Games, yang menawarkan permainan keluarga berskala besar seperti Scrabble, UNO dan Pictionary menjadikan waktu bermain lebih menyeronokkan buat semua peringkat umur.

Bagi yang gemar mencuba cabaran, pelbagai aktiviti hujung minggu turut disediakan termasuk pertandingan Hot Wheels Crash Out dan Fisher-Price Shape Sorter.

Kanak-kanak yang menyertai lima misi utama dalam acara ini boleh mengumpul cop di dalam pasport aktiviti dan menebus peluang memutar mesin gashapon untuk memenangi hadiah kejutan daripada Mattel.

Sebagai tambahan, pembelian RM60 dan ke atas bagi produk Mattel melayakkan pengunjung menerima barangan edisi khas ulang tahun ke-80 seperti balang penebat haba dan pelekat puffy edisi terhad.

Mereka yang membelanjakan RM150 atau lebih dalam satu resit di Pavilion Bukit Jalil juga boleh menebus ganjaran istimewa sama ada Barbie Surprise Lollipop atau Hot Wheels Blind Box, selagi stok masih ada.

Sambutan ulang tahun Mattel ini dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan masuk adalah percuma, menjadikannya destinasi wajib dikunjungi oleh ibu bapa dan anak-anak sepanjang cuti sekolah ini.

Filem Gantung: Musketeer Code bukti komitmen tinggi pembikinan filem tempatan walau berdepan halangan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Filem Gantung: Musketeer Code, adaptasi daripada novel popular karya Nadia Khan, akhirnya berjaya direalisasikan meskipun berdepan pelbagai cabaran sejak perancangannya dimulakan beberapa tahun lalu.

Dengan kos keseluruhan pembikinan mencecah RM700,000, karya terbitan Neddo Works ini bukan sahaja menjadi bukti ketekunan tenaga produksi tempatan, malah menggambarkan semangat kolektif industri kreatif Malaysia yang tidak mudah mengalah.

Berbeza dengan novelnya, filem ini mengambil pendekatan berbeza dari segi penceritaan, hasil penyesuaian yang dibuat agar sesuai dengan medium visual.

Walaupun tidak semua elemen daripada buku dimasukkan, perubahan itu dianggap perlu bagi memastikan kesinambungan naratif yang lebih mantap dan visual yang menarik untuk tontonan umum.

“Kami bukan sengaja meninggalkan bahagian-bahagian tertentu dari buku, tetapi kami sesuaikan dengan medium filem yang punya batas dan kelebihan tersendiri,” kata penerbit, pengarah dan penulis skrip filem ini, Nadia Khan.

Menariknya, filem ini turut menyimpan kisah tersendiri di sebalik tabir pembikinannya.

Antara cabaran utama adalah kekangan kewangan yang hampir menghentikan projek ini sepenuhnya.

Dana permulaan sebanyak RM200,000 berjaya dikutip hasil sokongan pelbagai pihak walaupun proses penggambaran terpaksa dihentikan sementara akibat pandemik Covid-19. Sekiranya produksi tidak tergendala, kemungkinan besar jumlah kutipan dana mampu mencecah lebih tinggi.

Lebih mengejutkan, salah seorang penaja utama yang pada awalnya menyatakan komitmen untuk menyokong projek ini, tidak muncul langsung pada hari pertama penggambaran.

Namun begitu, kekosongan yang ditinggalkan oleh pihak penaja tidak mematahkan semangat produksi.

Sebaliknya, mereka menerima sokongan padu daripada rakan-rakan industri yang tampil membantu demi merealisasikan impian menerbitkan filem ini.

Nadia berkata, dari segi barisan pelakon pula, proses pemilihan turut menyaksikan beberapa perubahan penting.

“Watak Randy Pangalila, yang sepatutnya dibawakan oleh pelakon asal, terpaksa diganti kerana kekangan kerjanya.

“Kami akhirnya sepakat memilih pelakon Ben Amir secara spontan kerana namanya yang pertama muncul di fikiran sewaktu proses pencarian pengganti dilakukan,” kata Nadia.

Filem ini menyasarkan khalayak penonton yang telah mengikuti siri novel Gantung, namun pada masa sama terbuka untuk penonton umum yang meminati genre misteri, drama dan psikologi.

Nadia berkata, pihaknya turut mempunyai perancangan untuk membawa Gantung: Musketeer Code ke pasaran luar, termasuk ke Indonesia serta beberapa negara lain yang mempunyai pasaran untuk karya berbahasa Melayu dan adaptasi novel.

Dengan segala rintangan yang berjaya diatasi dan sokongan padu daripada komuniti kreatif, Gantung: Musketeer Code tidak hanya sebuah adaptasi novel, tetapi lambang kekuatan industri filem tempatan yang terus bangkit dan berkarya meskipun diasak pelbagai ujian.

Gantung: Musketeer Code bermula dengan Khalil, seorang pengarah filem tersohor yang tiba-tiba mendapat panggilan telefon dari teman sekolahnya, Farah untuk dia kembali ke sekolah lamanya kerana ada urusan yang belum selesai.

Khalil mengimbau kembali tragedi yang berlaku di sekolahnya 10 tahun lalu di mana dia (dahulu dikenali sebagai Ray) dan tiga orang sahabat baiknya Gibbs, KJ dan Troll dituduh menjadi punca seorang pelajar perempuan (Ratna) menggantung diri di auditorium sekolah.

Filem ini dilakonkan oleh Ben Amir, Ikmal Amry, Hafreez Adam, Bront Palarae, Sofea Jane dan ramai lagi. 

WEF ASEAN 2025 himpun hampir 100 penceramah, perkasa kepimpinan wanita serantau

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Women Economic Forum ASEAN 2025 (WEF ASEAN 2025) bakal menjadi platform penting yang menghimpunkan lebih 67 penceramah antarabangsa dari lebih 40 negara, termasuk negara-negara ASEAN, dalam usaha memacu agenda kepimpinan wanita di rantau ini.

Bersama mereka, seramai 51 penceramah tempatan dari pelbagai latar belakang akan turut serta menyumbang kepada perbincangan strategik dan inspirasi sepanjang tiga hari forum yang akan berlangsung dari 19 hingga 21 Jun 2025 di Dewan Perdana, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kuala Lumpur.

Pengerusi Penganjur WEF ASEAN 2025, Datin Dr. (h.c.) Hartini Osman berkata, forum ini adalah satu medan bersejarah yang menyatukan pemimpin, ahli akademik, usahawan dan penggerak perubahan daripada pelbagai sektor di seluruh dunia.

Katanya, WEF ASEAN 2025 bukan sekadar sebuah persidangan, tetapi satu gerakan berlandaskan kasih sayang, solidariti dan tindakan kolektif.

“Kita berkumpul bukan hanya untuk meraikan kejayaan, tetapi juga untuk memberi harapan kepada wanita dan komuniti yang masih menanti peluang dan perubahan.

Forum ini membawa visi untuk memperkukuh suara wanita dalam pembangunan serantau serta menjalin kerjasama strategik merentas budaya dan sempadan, seiring dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya pada sidang media yang diadakan sempena majlis pengumuman rasmi barisan penceramah forum, hari ini.

Mengangkat tema “Women Leaders Beyond Borders: Shaping the Future of the ASEAN Sheconomy”, WEF ASEAN 2025 bertujuan membina masa depan ekonomi serantau yang lebih inklusif dan mampan melalui pemerkasaan wanita.

Ia turut memberi tumpuan kepada peranan wanita dalam memperkasakan masyarakat rentas generasi, memacu inovasi, serta merapatkan jurang ekonomi dan sosial.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Pengarah Kanan Bahagian Integrasi Ekonomi ASEAN MITI, Datin Dr. Sugumari Shanmugam, yang memainkan peranan penting dalam menjayakan usaha ini.

Setakat ini, lebih 400 peserta telah mengesahkan kehadiran, termasuk wakil kerajaan, ahli perniagaan, pendidik serta pemimpin wanita dari pelbagai sektor dan negara.

Sepanjang tiga hari forum, peserta akan menyertai sebanyak 24 sesi utama yang terdiri daripada enam bengkel, sembilan sesi perbincangan meja bulat, 10 sesi plenari dan beberapa ‘fireside chats’ sebuah format yang membolehkan perbincangan lebih santai tetapi mendalam.

Kemuncak forum akan berlangsung dalam majlis makan malam gala yang akan dihadiri oleh tetamu kehormat termasuk bekas Perdana Menteri, kerabat diraja, ahli politik, usahawan serta tokoh pendidikan antarabangsa.

Hari terakhir forum akan menyaksikan pembentangan resolusi dan rumusan hasil perbincangan kepada pemimpin negara dan wakil antarabangsa sebagai sumbangan kepada dasar awam dan cadangan tindakan untuk mengangkat suara wanita di peringkat serantau dan global.

WEF ASEAN 2025 turut menerima sokongan padu daripada pelbagai pihak korporat dan yayasan yang tampil sebagai penaja rasmi dan rakan strategik.

Antara entiti yang terbabit termasuklah FGV Holdings Berhad, Kino Biotech (M) Sdn Bhd (Kinohimitsu), St Beaute Sdn Bhd (Matis Paris), Cuckoo International (MAL) Berhad, Palaterium Sdn. Bhd. (HWC Malaysia), Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Yayasan Bina Kesejahteraan (YBCare) serta ADLA Group.

Sementara itu, penaja emas forum terdiri daripada Ceres Diamond & Jewels Sdn Bhd (Patricia), Mamee Double Decker (M) Sdn Bhd, Ogawa World Berhad, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), dan MSM Malaysia Holdings Berhad.

Forum ini juga bakal menampilkan lebih 50 pempamer terkemuka dari pelbagai industri termasuk teknologi, kesihatan, kecantikan, pendidikan, keusahawanan dan gaya hidup.

Ruang pameran bakal dimeriahkan dengan Pesta Kita ASEAN, yang menonjolkan produk tempatan dan antarabangsa, serta persembahan kebudayaan hasil kerjasama Kementerian Pelancongan.

“Kami amat menghargai sokongan yang diberikan oleh semua pihak daripada penaja, rakan kongsi, pempamer sehinggalah sukarelawan.

“Anda semua bukan sekadar pemegang taruh, tetapi pemegang jiwa kepada pergerakan ini,” kata Dr. Hartini.

Dengan gabungan suara, semangat dan visi serantau, WEF ASEAN 2025 dijangka menjadi titik permulaan kepada perubahan struktur dalam landskap kepimpinan wanita ASEAN, sekali gus mengangkat martabat wanita sebagai ejen perubahan yang berdaya saing dan berdaya tahan di pentas global.

Malaysia tegaskan komitmen terhadap keselamatan adil dan inklusif di Persidangan Antarabangsa Moscow

editormaxinfo@gmail.com

MOSCOW – Malaysia menegaskan pendiriannya yang konsisten dalam mendukung konsep keselamatan global yang adil, inklusif dan bebas daripada dominasi kuasa besar menerusi penyertaan dalam 13th International Meeting of High Representatives for Security Matters (13th HROSM) yang berlangsung di Moscow, Rusia.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, telah mewakili Malaysia dalam sesi plenari bertemakan “Shaping Architecture of Equal and Indivisible Security: Challenges and Opportunities for States of Global South and East” yang dipengerusikan oleh Menteri Luar Rusia, TYT Sergey Lavrov.

Persidangan berprestij ini disertai oleh wakil dari 114 negara, dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin menyampaikan ucapan pembukaan secara video.

Dalam ucapannya, Dr. Shamsul menyuarakan sokongan Malaysia terhadap pembentukan landskap keselamatan antarabangsa yang lebih saksama dan inklusif.

Beliau menekankan keamanan sejati tidak mungkin dicapai melalui sekatan, peminggiran atau pembentukan blok kuasa eksklusif, sebaliknya harus diasaskan kepada kerjasama, dialog terbuka dan pematuhan terhadap prinsip undang-undang antarabangsa.

“Malaysia menolak pendekatan dominasi kuasa dan percaya bahawa hanya melalui dialog serta kerjasama yang berlandaskan kepercayaan bersama, kita mampu membina dunia yang aman dan stabil,” katanya dalam sesi berkenaan.

Beliau turut menyorot komitmen Malaysia terhadap prinsip ASEAN Centrality dan ZOPFAN (Zone of Peace, Freedom and Neutrality) yang dianggap sebagai asas penting dalam memastikan kestabilan serantau di Asia Tenggara.

Bagi Malaysia, keselamatan tidak seharusnya ditafsirkan secara sempit sebagai aspek ketenteraan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi elemen keadilan sosial, keselamatan ekonomi, kelestarian alam sekitar serta kebajikan rakyat.

Dalam konteks global, Dr. Shamsul turut menyeru kepada reformasi menyeluruh terhadap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), agar suara negara-negara membangun, khususnya dari rantau Selatan Global, dapat diberikan ruang yang lebih adil dan seimbang dalam menentukan hala tuju keamanan dan pembangunan dunia.

Menurutnya, Malaysia menyokong penuh usaha pengukuhan kerjasama Selatan-Selatan dalam menangani pelbagai cabaran kontemporari seperti keselamatan siber, bencana alam dan isu kesihatan awam yang kian mendesak di era globalisasi.

“Malaysia kekal komited untuk menjadi rakan kongsi yang setara kepada semua negara dalam usaha membina sebuah dunia yang aman, adil dan sejahtera untuk semua,” tegasnya sebagai penutup ucapan.

Penyertaan Malaysia dalam persidangan ini memperkukuh peranan negara sebagai suara moderat dan berprinsip di pentas antarabangsa, seiring aspirasi untuk terus menjadi pemain yang aktif dalam mencorak masa depan keselamatan global yang lebih menyeluruh dan inklusif.

Selepas 33 hari, Amar Baharin dan Qobin berjaya tamatkan misi ‘Journey to Tanah Haram’ di Madinah

editormaxinfo@gmail.com

MADINAH – Setelah menempuh perjalanan sejauh ribuan kilometer merentas benua, pelakon Amar Baharin dan penjelajah Grand Slam negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Datuk Qobin, akhirnya berjaya menamatkan misi pengembaraan mereka.

Mereka selamat tiba di perkarangan Masjid Nabawi, Madinah pada jam 10.45 pagi waktu tempatan, hari ini menerusi misi yang diberi nama Journey to Tanah Haram.

Pengembaraan misi itu berakhir selepas 33 hari yang bermula dari Padang Besar, Perlis pada 27 April lalu.

Misi itu secara rasmi telah dilepaskan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dan merentasi empat buah negara sebelum mereka menjejakkan kaki ke Masjid Nabawi.

Kayuhan terakhir sejauh 115 kilometer dari pekan Henakiyah ke Madinah disempurnakan dengan penuh semangat dan keazaman, walaupun berdepan pelbagai cabaran cuaca dan fizikal.

Bagi kedua-dua mereka, ini bukan sekadar pengembaraan biasa, tetapi sebuah perjalanan spiritual dan simbolik yang cukup besar ertinya.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana mengizinkan kami sampai ke bumi Madinah dengan selamat.

“Hampir keseluruhan misi ini kami tempuh dengan basikal dan kenderaan darat, selain sedikit bantuan udara atas faktor keselamatan dan logistik.

“Kami tidak berniat mencipta sebarang rekod, tetapi sekadar mahu merealisasikan impian bersama untuk mengembara dari tanah air hingga ke Tanah Haram,” kata Qobin dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Amar Baharin tidak dapat menyembunyikan rasa terharunya sebaik tiba di destinasi terakhir pengembaraan berkenaan.

Menurutnya, pengalaman yang dilalui adalah di luar jangkaan dan sangat menguji kekuatan mental serta fizikal.

“Kayuhan ini sangat mencabar, terutama ketika berdepan cuaca panas terik yang mencecah sehingga 50 darjah Celsius.

“Tapi rasa syukur dan terharu itu tak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila kami akhirnya sampai ke Madinah.

“Tak sangka, impian ini menjadi kenyataan apabila menaiki basikal dari Malaysia dan menamatkannya di perkarangan Masjid Nabawi. Kini kami amat teruja untuk menziarahi Makam Rasulullah SAW,” katanya.

Pengembaraan Journey to Tanah Haram turut memperlihatkan ketabahan dua sahabat ini menempuh pelbagai rintangan sepanjang perjalanan mereka yang membawa misi kembara berinspirasikan nilai spiritual, kekuatan persahabatan dan ketahanan diri.

Dengan pengakhiran misi hari ini, mereka bukan sahaja berjaya menamatkan sebuah perjalanan yang luar biasa, malah turut mengukir inspirasi buat ramai yang mengikuti perjalanan mereka di media sosial.

Misi ini bukan tentang kelajuan, tetapi tentang niat dan keikhlasan.

Hari ini, di bawah langit Madinah, Amar dan Qobin telah membuktikan bahawa tiada yang mustahil apabila sebuah impian disulami dengan semangat dan kepercayaan kepada Yang Maha Esa.

HONOR Pad 10 diperkenalkan, jenama tablet no. 1 Malaysia kembali dengan spesifikasi bertaraf flagship

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – HONOR meneruskan momentum cemerlangnya dengan mengukuhkan kedudukan sebagai jenama telefon pintar utama, sambil mengembangkan ekosistem peranti AI yang menyeluruh.

HONOR di Malaysia telah mendahului pasaran tablet Android sebagai Jenama Terlaris No. 1 selama 12 bulan berturut-turut, dipacu oleh kejayaan HONOR Pad 9.

Kini, HONOR berhasrat mengekalkan penguasaannya menerusi pelancaran HONOR Pad 10 yang bakal berada di pasaran bermula 30 Mei ini.

Jenama ini meneruskan peluasan ekosistem pintarnya dengan dua jam tangan pintar HONOR Band 10 dan HONOR Watch 5 Ultra mula dijual dalam pasaran tempatan pada 30 Mei.

Manakala komputer riba baharu HONOR MagicBook Pro 14 menyusul pada 13 Jun ini.

HONOR Pad 10 – Tablet AI untuk Produktiviti Kerja dan Pembelajaran

Paparan Visual Menakjubkan dengan Resolusi 2.5K Terulung

Direka untuk meningkatkan produktiviti harian, HONOR Pad 10 menampilkan skrin 12.1 inci 2.5K Paparan Keselesaan Mata HONOR, dengan nisbah skrin-ke-badan 88 peratus dan kadar segar semula 120Hz untuk memberikan visual ultra-tajam serta interaksi lancar.

Tablet ini sesuai untuk kerja jangka masa panjang di pejabat kerana paparannya disokong warna DCI-P3 seluas 96 peratus NTSC, 133 peratus sRGB, dan mampu memaparkan 1.07 bilion warna. Ianya sesuai untuk dokumen, multimedia dan persembahan yang penuh perincian.

Bagi memastikan keselesaan pengguna yang bekerja pada tempoh masa yang panjang, paparan ini membawakan lima lapisan perlindungan mata, termasuk Pemalapan Dinamik, AI Defocus Technology dan pensijilan TÜV Rheinland untuk Cahaya Biru Rendah, bagi membantu mengurangkan keletihan mata serta meningkatkan kesihatan visual sepanjang hari dengan efektif.

Kapasiti Bateri Terbesar Dalam Industri

HONOR Pad 10 dikuasakan oleh bateri 10,100mAh berkepadatan tinggi, antara kapasiti yang terbesar dalam kelasnya. Ia membolehkan pengguna bekerja seharian, menghadiri mesyuarat atau kuliah atas talian, termasuk mengurus pelbagai tugasan tanpa risau kehabisan bateri. Dengan pengecasan berwayar 35W, peranti ini dapat dicas pantas dan sedia digunakan dalam masa singkat.

Reka Bentuk Mudah Alih dan Menawan

Dengan seberat 525g dan ketebalan hanya 6.29mm, HONOR Pad 10 lebih ringan dan nipis berbanding model sebelumnya, menjadikannya teman bekerja sempurna. Tablet ini dihasilkan menggunakan teknologi lentur 270 darjah yang pertama dalam industri.

Pencapaian ini membuktikan HONOR mampu mencipta tablet yang tahan lasak dan anggun dengan pengurangan berat keseluruhan sebanyak 29 peratus, menjadikan HONOR Pad 10 sesuai untuk pelajar, profesional mahupun pengguna aktif.

Integrasi Ekosistem AI dan Penyelarasan Merentas Peranti

HONOR terus berinovasi dengan integrasi perisian yang lancar untuk semua perantinya. Dengan AI Writing Tools yang baharu, termasuk HONOR AI Notes, HONOR AI Docs, HONOR Connect dan Magic Portal, ia memberikan penolakan secara pintar, pintasan aplikasi, dan sokongan penulisan secara langsung dalam lingkungan sistem, meningkatkan pengalaman pengguna dengan kefungsian yang dipacu oleh AI.

HONOR Pad 10 memperkenalkan AI Writing Tools yang terbina, membolehkan pengguna membaca dan menyunting dokumen secara efisien. Alatan ini menyokong beberapa tahap penulisan daripada merangka dan mencetus idea, memperkemas, mengubah dan melengkapkan dokumen beserta pemeriksaan tatabahasa dan ejaan.

Untuk produktiviti, HONOR AI Notes menawarkan pengurusan maklumat yang termaju. Ciri AI Real-Time Speech-to-Text Transcription menangkap perkataan yang diucapkan dengan segera, manakala ciri AI Voiceprint Recognition mengenal pasti beberapa jurucakap dan menyokong terjemahan masa sebenar dalam lebih 10 bahasa, termasuk Bahasa Melayu, Cina, dan Perancis.

Ciri AI Summary pula menghasilkan ringkasan yang pintar, kata kunci, dan cadangan pembacaan, menjadikannya amat berguna untuk mesyuarat dan wawancara.

Ciri HONOR AI Docs pada HONOR Pad 10 menyampaikan pengalaman komputer peribadi sebenar bagi memberikan akses yang lancar kepada dokumen antara peranti.

Dengan alat untuk mereka hamparan, mengimbas dokumen, mengekstrak data jadual, dan mengubah format (cth., imej ke PDF, menggabung atau memisah PDF), pengguna boleh menikmati pengurusan tatakerja yang amat lancar.

Selain itu, HONOR Connect membolehkan integrasi telefon pintar-ke-tablet secara lancar, membolehkan pemindahan fail, perkongsian rangkaian, dan akses kamera untuk pengalaman pengguna yang bersepadu.

Kolaborasi rentas skrin membolehkan pengguna menyeret dan memasukkan fail dan gambar antara peranti, mengukuhkan lagi ekosistem HONOR yang semakin mendapat perhatian ini.

Magic Portal pula menawarkan interaksi berasaskan pergerakan yang lebih pintar. Satu gerakan pangkal jari akan terus melancarkan aplikasi atau perkhidmatan, sesuai untuk carian, pelayaran, beli-belah atas talian, dan banyak lagi.

Sama ada untuk mengakses Waze, melayari Rednote, membuat tempahan di Trip.com, memesan dengan Grab, atau berkongsi di Instagram, Magic Portal akan mencadangkan aplikasi yang paling relevan berdasarkan hasrat pengguna secara intuitif.

Dikuasakan Oleh Prestasi Setanding Komputer Riba

Apa yang membuatkan HONOR Pad 10 berbeza adalah prestasinya yang berdasarkan komputer peribadi dan kefungsiannya.

Tablet ini dilengkapi set cip Qualcomm Snapdragon 7 Gen 3 dengan peningkatan prestasi GPU sebanyak 50 peratus dan CPU sebanyak 15 peratus, serta penjimatan tenaga 20 peratus.

Gabungan RAM 16GB (termasuk 8GB HONOR RAM Turbo) dan stroran ROM 256GB menjamin multitugas tanpa gangguan. Didatangi bersama papan kekunci pintar Bluetooth, HONOR Pad 10 boleh berfungsi sebagai komputer riba mini. Manakala pensil pintar HONOR Pencil membolehkan pengguna mencatat nota semasa bermesyuarat dan melukis, khususnya kepada penggemar seni digital.

HONOR Pad 10 Dijual Seluruh Negara Bermula 30 Mei 2025

Sementara itu, HONOR Pad 10 akan mula dijual di seluruh negara mulai 30 Mei 2025 dalam dua pilihan warna iaitu Cyan dan Gray. Tablet ini boleh didapati di semua kedai seluruh negara pada harga RM1,499, dengan setiap pembelian disertakan papan kekunci pintar Bluetooth, HONOR CHOICE Pencil dan HONOR CHOICE Active Noise Canceling Headphone bernilai RM1,097 secara PERCUMA.

HONOR Watch 5 Ultra dan Band 10 Sedia Untuk Pembelian Atas Talian Pada 30 Mei 2025

Selain HONOR Pad 10, HONOR Watch 5 Ultra dan HONOR Band 10 juga akan mula dijual pada 30 Mei ini. HONOR Watch 5 Ultra ini hadir dengan tali Brown Leather Strap, ditawarkan pada harga RM1,099.

Manakala HONOR Band 10 hadir dengan dua pilihan tali iaitu Blue Nylon dan Black TPU yang dijual pada harga RM199. Kedua-dua jam tangan pintar ini dijual secara eksklusif atas talian.

HONOR MagicBook Pro 14 Bakal Tersedia Pada 13 Jun 2025

Dalam pada itu, HONOR MagicBook Pro 14 akan mula dijual mulai 13 Jun 2025 pada harga RM4,999 dengan kapasiti memori dan storan 32GB RAM dan 1TB SSD dalam pilihan warna putih. Komputer riba ini turut disertakan dengan hadiah PERCUMA Satu Tahun Langgnan Percuma Microsoft 365 Personal (Pra-pasang) dan beg galas HONOR Backpack bernilai RM508.

Pierre Andre kembali dengan filem seram terbaharu “Nar’sata: Sekutu Setan”

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Metrowealth International Group (MIG) sekali lagi tampil mengumumkan filem terbaharu mereka, Nar’sata: Sekutu Setan.

Filem yang sudahpun memulakan penggambaran sejak 20 Mei lalu adalah karya 100 peratus hasil tulisan dan arahan pengarah prolifik Pierre Andre.

Penerbit MIG, David Teo berkata, keputusan untuk menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab pengarahan kepada Pierre Andre dibuat selepas kejayaan filem Dajal: Satu Malam di Pedajal, sekali gus membuktikan pengarah berkenaan masih mempunyai tempat yang kukuh dalam industri filem Malaysia.

“Setiap filem adalah satu taruhan besar. Namun, saya yakin dengan kemampuan Pierre.

“Dia telah membuktikan bahawa dirinya masih relevan. Saya percaya Nar’sata: Sekutu Setan mampu membawa semula zaman kegemilangan filem-filem MIG seperti dahulu,” katanya.

Nar’sata: Sekutu Setan mengangkat genre seram thriller, namun berbeza daripada filem-filem terbitan MIG sebelum ini.

Filem ini membawa penonton menyelami kisah gelap seorang wanita bernama Balqis, yang hidupnya hancur akibat perbuatan sekumpulan lelaki kejam.

Dalam cubaan membunuhnya, Balqis diselamatkan oleh seorang nenek tua yang membawa perubahan besar dalam hidupnya, sekaligus mencetuskan dendam yang membara.

Barisan pelakon yang membintangi filem ini adalah gabungan mantap antara pelakon baharu dan berpengalaman, termasuk Trisha Ooi, Mawar Rashid, Fadlan Hazim, Khenobu, Dai Fuad, Imranul Effendy, Aniq Suhair, Khatijah Tan, Namron, Wan Hanafi Su, Ashraf Muslim serta Vanidah Imran.

Keseluruhan penggambaran akan dijalankan di sekitar Lembah Klang dan dijangka tamat pada 17 Jun 2025.

Dalam pada itu, MIG turut berkongsi perkembangan terkini mengenai beberapa projek lain yang sedang diusahakan.

Antara yang dinanti-nantikan ialah filem Citra Apartment, sebuah filem terbitan Laku Pictures yang akan diedarkan oleh MIG dan dijadualkan untuk tayangan pada Julai ini.

Selain itu, filem Lakhus: Penghulu Jin turut telah selesai menjalani penggambaran dan bakal menemui penonton di pawagam pada penghujung tahun ini.

Pelancaran filem Nar’sata: Sekutu Setan menandakan satu lagi usaha serius MIG dalam menyajikan kandungan tempatan yang berkualiti dan segar, selain memperkukuh kedudukan mereka sebagai salah satu penerbit filem komersial paling aktif di Malaysia.

GAP Estate sasar jadi penanda aras hartanah perindustrian di Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

PUCHONG – GAP Estate secara rasmi dilancarkan yang turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat itu dan sembilan rakan korporat strategiknya.

Pengasas GAP Estate, Andy Teoh berkata, pihaknya, menzahirkan penghargaan setinggi-tingginya kepada semua yang hadir dan memberi sokongan terhadap penubuhan serta pembangunan syarikat berkenaan sejak awal penubuhannya pada Februari 2022.

“Ini bukan sekadar pelancaran premis atau penjenamaan semula. GAP Estate adalah rumah kedua bagi lebih 30 kakitangan kami yang hidup, bekerja dan berkembang bersama-sama.

“Perjalanan kami bermula dengan penuh cabaran dan ketidaktentuan arah, namun dengan berpegang teguh kepada visi, misi serta nilai-nilai teras syarikat, kami terus melangkah ke hadapan,” katanya.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Ahli Dewan Negeri Kawasan Kajang, David Cheong Kian Young.

Sejak ditubuhkan, GAP Estate telah membuktikan kemampuannya dalam sektor hartanah perindustrian apabila berjaya memperoleh sebanyak 20 projek, termasuklah pembangunan untuk syarikat-syarikat seperti NCT, Compass, Kota Seri Langat, dan I & I Smart Industrial Park.

Nilai Pembangunan Kasar (GDV) syarikat meningkat secara signifikan daripada RM354 juta pada 2023 kepada RM451 juta tahun ini.

Andy berkata, pertumbuhan perindustrian di Malaysia sedang mengalami perkembangan pesat selari dengan peningkatan pelaburan asing serta keperluan terhadap kemudahan industri yang lebih moden.

“Syarikat kini tidak lagi memerlukan ruang pengeluaran semata-mata. Mereka perlukan pusat penyelidikan dan pembangunan, bilik pameran dan kemudahan mesra teknologi.

“Malah, kecerdasan buatan (AI) juga sedang memainkan peranan penting dalam mempercepat transformasi industri hartanah,” katanya.

Seiring dengan perubahan landskap industri ini, GAP Estate mengambil langkah proaktif dengan memeterai MoU bersama sembilan rakan strategik bagi menawarkan perkhidmatan selepas jualan secara menyeluruh, merangkumi urusan hartanah perindustrian, pinjaman perniagaan, insurans, perkhidmatan guaman, perundingan ESG, khidmat nasihat feng shui, renovasi dan pembinaan, penyelesaian tenaga solar serta penulisan wasiat.

Pengarah G Team Advisory PLT, Esther Eng berkata, GAP Estate bukan hanya menjual kilang dan tanah industri, tetapi berusaha menjadi penyedia penyelesaian lengkap kepada pelanggan.

“Kami ingin menjadi pusat sehenti (one-stop center) untuk semua keperluan selepas pembelian.

“Apabila pembeli mendapatkan kilang daripada kami, mereka tidak perlu risau tentang urusan lain seperti insurans atau pengubahsuaian kerana kami sediakan semuanya,” katanya.

Beliau turut berkongsi tentang kerjasama dengan ALCP dalam penyediaan insurans serta G-Team dalam memudahkan permohonan pinjaman bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Selain itu, GAP Estate juga bekerjasama dengan pakar pembinaan bagi menyediakan perkhidmatan pengubahsuaian kilang mengikut keperluan pelanggan.

Dalam pada itu, peguam syarikat, SY Fu dari firma guaman S.Y.Fu & Co Advocates & Solicitors berkata, pihaknya bukan sahaja menyediakan perkhidmatan guaman biasa, malah turut memberi pandangan profesional dalam urusan hartanah kepada rakan niaga dan pelanggan yang memerlukan.

Turut berkongsi pandangan ialah Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Hemisphere Group Sdn Bhd, Joyline Chai, yang memainkan peranan penting dalam membantu syarikat-syarikat PKS mendapatkan pensijilan ESG.

“Dengan pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang karbon dan ESG, kami membantu syarikat tempatan memperkukuh pengurusan lestari mereka sejajar dengan keperluan semasa industri,” katanya.

Dengan matlamat yang jelas dan strategi yang tersusun, GAP Estate menyasarkan untuk mencapai Nilai Pembangunan Kasar sebanyak RM800 juta menjelang 2025 serta melatih sekurang-kurangnya 60 perunding kilang profesional.

Andy Teoh berkata, pihaknya optimis GAP Estate mampu menjadi penanda aras baharu dalam landskap hartanah perindustrian Malaysia dan menjadi platform kepada ejen hartanah untuk meraih pendapatan yang kompetitif dalam industri.

Pelancaran rasmi ini bukan sahaja menandakan permulaan fasa baharu bagi GAP Estate, tetapi turut memperkukuhkan kedudukan syarikat sebagai antara pemain utama dalam pasaran hartanah perindustrian negara.