editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Filem Gantung: Musketeer Code, adaptasi daripada novel popular karya Nadia Khan, akhirnya berjaya direalisasikan meskipun berdepan pelbagai cabaran sejak perancangannya dimulakan beberapa tahun lalu.
Dengan kos keseluruhan pembikinan mencecah RM700,000, karya terbitan Neddo Works ini bukan sahaja menjadi bukti ketekunan tenaga produksi tempatan, malah menggambarkan semangat kolektif industri kreatif Malaysia yang tidak mudah mengalah.
Berbeza dengan novelnya, filem ini mengambil pendekatan berbeza dari segi penceritaan, hasil penyesuaian yang dibuat agar sesuai dengan medium visual.
Walaupun tidak semua elemen daripada buku dimasukkan, perubahan itu dianggap perlu bagi memastikan kesinambungan naratif yang lebih mantap dan visual yang menarik untuk tontonan umum.

“Kami bukan sengaja meninggalkan bahagian-bahagian tertentu dari buku, tetapi kami sesuaikan dengan medium filem yang punya batas dan kelebihan tersendiri,” kata penerbit, pengarah dan penulis skrip filem ini, Nadia Khan.
Menariknya, filem ini turut menyimpan kisah tersendiri di sebalik tabir pembikinannya.
Antara cabaran utama adalah kekangan kewangan yang hampir menghentikan projek ini sepenuhnya.

Dana permulaan sebanyak RM200,000 berjaya dikutip hasil sokongan pelbagai pihak walaupun proses penggambaran terpaksa dihentikan sementara akibat pandemik Covid-19. Sekiranya produksi tidak tergendala, kemungkinan besar jumlah kutipan dana mampu mencecah lebih tinggi.
Lebih mengejutkan, salah seorang penaja utama yang pada awalnya menyatakan komitmen untuk menyokong projek ini, tidak muncul langsung pada hari pertama penggambaran.
Namun begitu, kekosongan yang ditinggalkan oleh pihak penaja tidak mematahkan semangat produksi.
Sebaliknya, mereka menerima sokongan padu daripada rakan-rakan industri yang tampil membantu demi merealisasikan impian menerbitkan filem ini.
Nadia berkata, dari segi barisan pelakon pula, proses pemilihan turut menyaksikan beberapa perubahan penting.

“Watak Randy Pangalila, yang sepatutnya dibawakan oleh pelakon asal, terpaksa diganti kerana kekangan kerjanya.
“Kami akhirnya sepakat memilih pelakon Ben Amir secara spontan kerana namanya yang pertama muncul di fikiran sewaktu proses pencarian pengganti dilakukan,” kata Nadia.
Filem ini menyasarkan khalayak penonton yang telah mengikuti siri novel Gantung, namun pada masa sama terbuka untuk penonton umum yang meminati genre misteri, drama dan psikologi.
Nadia berkata, pihaknya turut mempunyai perancangan untuk membawa Gantung: Musketeer Code ke pasaran luar, termasuk ke Indonesia serta beberapa negara lain yang mempunyai pasaran untuk karya berbahasa Melayu dan adaptasi novel.
Dengan segala rintangan yang berjaya diatasi dan sokongan padu daripada komuniti kreatif, Gantung: Musketeer Code tidak hanya sebuah adaptasi novel, tetapi lambang kekuatan industri filem tempatan yang terus bangkit dan berkarya meskipun diasak pelbagai ujian.
Gantung: Musketeer Code bermula dengan Khalil, seorang pengarah filem tersohor yang tiba-tiba mendapat panggilan telefon dari teman sekolahnya, Farah untuk dia kembali ke sekolah lamanya kerana ada urusan yang belum selesai.
Khalil mengimbau kembali tragedi yang berlaku di sekolahnya 10 tahun lalu di mana dia (dahulu dikenali sebagai Ray) dan tiga orang sahabat baiknya Gibbs, KJ dan Troll dituduh menjadi punca seorang pelajar perempuan (Ratna) menggantung diri di auditorium sekolah.
Filem ini dilakonkan oleh Ben Amir, Ikmal Amry, Hafreez Adam, Bront Palarae, Sofea Jane dan ramai lagi.

