27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 17, 2026

Selepas 33 hari, Amar Baharin dan Qobin berjaya tamatkan misi ‘Journey to Tanah Haram’ di Madinah

editormaxinfo@gmail.com

MADINAH – Setelah menempuh perjalanan sejauh ribuan kilometer merentas benua, pelakon Amar Baharin dan penjelajah Grand Slam negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Datuk Qobin, akhirnya berjaya menamatkan misi pengembaraan mereka.

Mereka selamat tiba di perkarangan Masjid Nabawi, Madinah pada jam 10.45 pagi waktu tempatan, hari ini menerusi misi yang diberi nama Journey to Tanah Haram.

Pengembaraan misi itu berakhir selepas 33 hari yang bermula dari Padang Besar, Perlis pada 27 April lalu.

Misi itu secara rasmi telah dilepaskan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dan merentasi empat buah negara sebelum mereka menjejakkan kaki ke Masjid Nabawi.

Kayuhan terakhir sejauh 115 kilometer dari pekan Henakiyah ke Madinah disempurnakan dengan penuh semangat dan keazaman, walaupun berdepan pelbagai cabaran cuaca dan fizikal.

Bagi kedua-dua mereka, ini bukan sekadar pengembaraan biasa, tetapi sebuah perjalanan spiritual dan simbolik yang cukup besar ertinya.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana mengizinkan kami sampai ke bumi Madinah dengan selamat.

“Hampir keseluruhan misi ini kami tempuh dengan basikal dan kenderaan darat, selain sedikit bantuan udara atas faktor keselamatan dan logistik.

“Kami tidak berniat mencipta sebarang rekod, tetapi sekadar mahu merealisasikan impian bersama untuk mengembara dari tanah air hingga ke Tanah Haram,” kata Qobin dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Amar Baharin tidak dapat menyembunyikan rasa terharunya sebaik tiba di destinasi terakhir pengembaraan berkenaan.

Menurutnya, pengalaman yang dilalui adalah di luar jangkaan dan sangat menguji kekuatan mental serta fizikal.

“Kayuhan ini sangat mencabar, terutama ketika berdepan cuaca panas terik yang mencecah sehingga 50 darjah Celsius.

“Tapi rasa syukur dan terharu itu tak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila kami akhirnya sampai ke Madinah.

“Tak sangka, impian ini menjadi kenyataan apabila menaiki basikal dari Malaysia dan menamatkannya di perkarangan Masjid Nabawi. Kini kami amat teruja untuk menziarahi Makam Rasulullah SAW,” katanya.

Pengembaraan Journey to Tanah Haram turut memperlihatkan ketabahan dua sahabat ini menempuh pelbagai rintangan sepanjang perjalanan mereka yang membawa misi kembara berinspirasikan nilai spiritual, kekuatan persahabatan dan ketahanan diri.

Dengan pengakhiran misi hari ini, mereka bukan sahaja berjaya menamatkan sebuah perjalanan yang luar biasa, malah turut mengukir inspirasi buat ramai yang mengikuti perjalanan mereka di media sosial.

Misi ini bukan tentang kelajuan, tetapi tentang niat dan keikhlasan.

Hari ini, di bawah langit Madinah, Amar dan Qobin telah membuktikan bahawa tiada yang mustahil apabila sebuah impian disulami dengan semangat dan kepercayaan kepada Yang Maha Esa.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular