22.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, November 19, 2025

Malaysia tegaskan komitmen terhadap keselamatan adil dan inklusif di Persidangan Antarabangsa Moscow

editormaxinfo@gmail.com

MOSCOW – Malaysia menegaskan pendiriannya yang konsisten dalam mendukung konsep keselamatan global yang adil, inklusif dan bebas daripada dominasi kuasa besar menerusi penyertaan dalam 13th International Meeting of High Representatives for Security Matters (13th HROSM) yang berlangsung di Moscow, Rusia.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, telah mewakili Malaysia dalam sesi plenari bertemakan “Shaping Architecture of Equal and Indivisible Security: Challenges and Opportunities for States of Global South and East” yang dipengerusikan oleh Menteri Luar Rusia, TYT Sergey Lavrov.

Persidangan berprestij ini disertai oleh wakil dari 114 negara, dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin menyampaikan ucapan pembukaan secara video.

Dalam ucapannya, Dr. Shamsul menyuarakan sokongan Malaysia terhadap pembentukan landskap keselamatan antarabangsa yang lebih saksama dan inklusif.

Beliau menekankan keamanan sejati tidak mungkin dicapai melalui sekatan, peminggiran atau pembentukan blok kuasa eksklusif, sebaliknya harus diasaskan kepada kerjasama, dialog terbuka dan pematuhan terhadap prinsip undang-undang antarabangsa.

“Malaysia menolak pendekatan dominasi kuasa dan percaya bahawa hanya melalui dialog serta kerjasama yang berlandaskan kepercayaan bersama, kita mampu membina dunia yang aman dan stabil,” katanya dalam sesi berkenaan.

Beliau turut menyorot komitmen Malaysia terhadap prinsip ASEAN Centrality dan ZOPFAN (Zone of Peace, Freedom and Neutrality) yang dianggap sebagai asas penting dalam memastikan kestabilan serantau di Asia Tenggara.

Bagi Malaysia, keselamatan tidak seharusnya ditafsirkan secara sempit sebagai aspek ketenteraan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi elemen keadilan sosial, keselamatan ekonomi, kelestarian alam sekitar serta kebajikan rakyat.

Dalam konteks global, Dr. Shamsul turut menyeru kepada reformasi menyeluruh terhadap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), agar suara negara-negara membangun, khususnya dari rantau Selatan Global, dapat diberikan ruang yang lebih adil dan seimbang dalam menentukan hala tuju keamanan dan pembangunan dunia.

Menurutnya, Malaysia menyokong penuh usaha pengukuhan kerjasama Selatan-Selatan dalam menangani pelbagai cabaran kontemporari seperti keselamatan siber, bencana alam dan isu kesihatan awam yang kian mendesak di era globalisasi.

“Malaysia kekal komited untuk menjadi rakan kongsi yang setara kepada semua negara dalam usaha membina sebuah dunia yang aman, adil dan sejahtera untuk semua,” tegasnya sebagai penutup ucapan.

Penyertaan Malaysia dalam persidangan ini memperkukuh peranan negara sebagai suara moderat dan berprinsip di pentas antarabangsa, seiring aspirasi untuk terus menjadi pemain yang aktif dalam mencorak masa depan keselamatan global yang lebih menyeluruh dan inklusif.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular