31.8 C
Kuala Lumpur
Monday, May 25, 2026

Pierre Andre kembali dengan filem seram terbaharu “Nar’sata: Sekutu Setan”

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Metrowealth International Group (MIG) sekali lagi tampil mengumumkan filem terbaharu mereka, Nar’sata: Sekutu Setan.

Filem yang sudahpun memulakan penggambaran sejak 20 Mei lalu adalah karya 100 peratus hasil tulisan dan arahan pengarah prolifik Pierre Andre.

Penerbit MIG, David Teo berkata, keputusan untuk menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab pengarahan kepada Pierre Andre dibuat selepas kejayaan filem Dajal: Satu Malam di Pedajal, sekali gus membuktikan pengarah berkenaan masih mempunyai tempat yang kukuh dalam industri filem Malaysia.

“Setiap filem adalah satu taruhan besar. Namun, saya yakin dengan kemampuan Pierre.

“Dia telah membuktikan bahawa dirinya masih relevan. Saya percaya Nar’sata: Sekutu Setan mampu membawa semula zaman kegemilangan filem-filem MIG seperti dahulu,” katanya.

Nar’sata: Sekutu Setan mengangkat genre seram thriller, namun berbeza daripada filem-filem terbitan MIG sebelum ini.

Filem ini membawa penonton menyelami kisah gelap seorang wanita bernama Balqis, yang hidupnya hancur akibat perbuatan sekumpulan lelaki kejam.

Dalam cubaan membunuhnya, Balqis diselamatkan oleh seorang nenek tua yang membawa perubahan besar dalam hidupnya, sekaligus mencetuskan dendam yang membara.

Barisan pelakon yang membintangi filem ini adalah gabungan mantap antara pelakon baharu dan berpengalaman, termasuk Trisha Ooi, Mawar Rashid, Fadlan Hazim, Khenobu, Dai Fuad, Imranul Effendy, Aniq Suhair, Khatijah Tan, Namron, Wan Hanafi Su, Ashraf Muslim serta Vanidah Imran.

Keseluruhan penggambaran akan dijalankan di sekitar Lembah Klang dan dijangka tamat pada 17 Jun 2025.

Dalam pada itu, MIG turut berkongsi perkembangan terkini mengenai beberapa projek lain yang sedang diusahakan.

Antara yang dinanti-nantikan ialah filem Citra Apartment, sebuah filem terbitan Laku Pictures yang akan diedarkan oleh MIG dan dijadualkan untuk tayangan pada Julai ini.

Selain itu, filem Lakhus: Penghulu Jin turut telah selesai menjalani penggambaran dan bakal menemui penonton di pawagam pada penghujung tahun ini.

Pelancaran filem Nar’sata: Sekutu Setan menandakan satu lagi usaha serius MIG dalam menyajikan kandungan tempatan yang berkualiti dan segar, selain memperkukuh kedudukan mereka sebagai salah satu penerbit filem komersial paling aktif di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular