31.8 C
Kuala Lumpur
Monday, May 25, 2026

GAP Estate sasar jadi penanda aras hartanah perindustrian di Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

PUCHONG – GAP Estate secara rasmi dilancarkan yang turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat itu dan sembilan rakan korporat strategiknya.

Pengasas GAP Estate, Andy Teoh berkata, pihaknya, menzahirkan penghargaan setinggi-tingginya kepada semua yang hadir dan memberi sokongan terhadap penubuhan serta pembangunan syarikat berkenaan sejak awal penubuhannya pada Februari 2022.

“Ini bukan sekadar pelancaran premis atau penjenamaan semula. GAP Estate adalah rumah kedua bagi lebih 30 kakitangan kami yang hidup, bekerja dan berkembang bersama-sama.

“Perjalanan kami bermula dengan penuh cabaran dan ketidaktentuan arah, namun dengan berpegang teguh kepada visi, misi serta nilai-nilai teras syarikat, kami terus melangkah ke hadapan,” katanya.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Ahli Dewan Negeri Kawasan Kajang, David Cheong Kian Young.

Sejak ditubuhkan, GAP Estate telah membuktikan kemampuannya dalam sektor hartanah perindustrian apabila berjaya memperoleh sebanyak 20 projek, termasuklah pembangunan untuk syarikat-syarikat seperti NCT, Compass, Kota Seri Langat, dan I & I Smart Industrial Park.

Nilai Pembangunan Kasar (GDV) syarikat meningkat secara signifikan daripada RM354 juta pada 2023 kepada RM451 juta tahun ini.

Andy berkata, pertumbuhan perindustrian di Malaysia sedang mengalami perkembangan pesat selari dengan peningkatan pelaburan asing serta keperluan terhadap kemudahan industri yang lebih moden.

“Syarikat kini tidak lagi memerlukan ruang pengeluaran semata-mata. Mereka perlukan pusat penyelidikan dan pembangunan, bilik pameran dan kemudahan mesra teknologi.

“Malah, kecerdasan buatan (AI) juga sedang memainkan peranan penting dalam mempercepat transformasi industri hartanah,” katanya.

Seiring dengan perubahan landskap industri ini, GAP Estate mengambil langkah proaktif dengan memeterai MoU bersama sembilan rakan strategik bagi menawarkan perkhidmatan selepas jualan secara menyeluruh, merangkumi urusan hartanah perindustrian, pinjaman perniagaan, insurans, perkhidmatan guaman, perundingan ESG, khidmat nasihat feng shui, renovasi dan pembinaan, penyelesaian tenaga solar serta penulisan wasiat.

Pengarah G Team Advisory PLT, Esther Eng berkata, GAP Estate bukan hanya menjual kilang dan tanah industri, tetapi berusaha menjadi penyedia penyelesaian lengkap kepada pelanggan.

“Kami ingin menjadi pusat sehenti (one-stop center) untuk semua keperluan selepas pembelian.

“Apabila pembeli mendapatkan kilang daripada kami, mereka tidak perlu risau tentang urusan lain seperti insurans atau pengubahsuaian kerana kami sediakan semuanya,” katanya.

Beliau turut berkongsi tentang kerjasama dengan ALCP dalam penyediaan insurans serta G-Team dalam memudahkan permohonan pinjaman bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Selain itu, GAP Estate juga bekerjasama dengan pakar pembinaan bagi menyediakan perkhidmatan pengubahsuaian kilang mengikut keperluan pelanggan.

Dalam pada itu, peguam syarikat, SY Fu dari firma guaman S.Y.Fu & Co Advocates & Solicitors berkata, pihaknya bukan sahaja menyediakan perkhidmatan guaman biasa, malah turut memberi pandangan profesional dalam urusan hartanah kepada rakan niaga dan pelanggan yang memerlukan.

Turut berkongsi pandangan ialah Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Hemisphere Group Sdn Bhd, Joyline Chai, yang memainkan peranan penting dalam membantu syarikat-syarikat PKS mendapatkan pensijilan ESG.

“Dengan pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang karbon dan ESG, kami membantu syarikat tempatan memperkukuh pengurusan lestari mereka sejajar dengan keperluan semasa industri,” katanya.

Dengan matlamat yang jelas dan strategi yang tersusun, GAP Estate menyasarkan untuk mencapai Nilai Pembangunan Kasar sebanyak RM800 juta menjelang 2025 serta melatih sekurang-kurangnya 60 perunding kilang profesional.

Andy Teoh berkata, pihaknya optimis GAP Estate mampu menjadi penanda aras baharu dalam landskap hartanah perindustrian Malaysia dan menjadi platform kepada ejen hartanah untuk meraih pendapatan yang kompetitif dalam industri.

Pelancaran rasmi ini bukan sahaja menandakan permulaan fasa baharu bagi GAP Estate, tetapi turut memperkukuhkan kedudukan syarikat sebagai antara pemain utama dalam pasaran hartanah perindustrian negara.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular