29.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, June 10, 2026
Home Blog Page 84

HONOR MagicBook Pro 14: Kapasiti bateri terbesar dalam komputer riba 14 inci yang ringan, tersedia mulai 13 Jun 2025

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – HONOR secara rasminya memperkenalkan HONOR MagicBook Pro 14, komputer riba paling berkuasa dan lengkap dalam barisan produknya setakat ini.

Menetapkan penanda aras baharu dalam dunia pengkomputeran mudah alih, flagship ini hadir dengan bateri terbesar yang pernah dilihat dalam komputer riba ringan bersaiz 14 inci bagi memberikan kuasa sepanjang hari.

Direka khas untuk golongan profesional, pelajar dan individu kreatif, HONOR MagicBook Pro 14 menggabungkan prestasi unggul dengan ciri perlindungan mata terkini, menjadikannya rakan produktiviti yang ideal di mana sahaja.

Kapasiti Bateri Terbesar dalam Komputer Riba Ringan 14 Inci

Nadi HONOR MagicBook Pro 14 adalah bateri Lithium Polymer 92Wh, bateri pertama seumpamanya dalam kelas komputer riba 14 inci yang menawarkan sehingga 12 jam penggunaan tipikal.

Kuasa yang diberikan cukup untuk menjalankan sesi mesyuarat pagi, perbincangan petang dan hiburan malam tanpa perlu mengecas.

Dalam penggunaan sebenar, HONOR MagicBook Pro 14 membuktikan ketahanan luar biasa dengan pelayaran laman sesawang melebihi 7 jam, 10 jam untuk berbual atau berkongsi kandungan, dan lebih 5 jam unutk persidangan video melalui Zoom atau Teams.

Ia adalah penyelesaian ideal untuk golongan profesional dan pelajar yang menghadapi sesi kerja panjang, mesyuarat kolaboratif, atau kelas maya.

Untuk melengkapi bateri berkapasiti besar ini, HONOR MagicBook Pro 14 turut menyokong teknologi HONOR SuperCharge 100W, memberikan pengecasan sehingga 47 peratus dalam hanya 30 minit, dan pengecasan penuh dalam anggaran 68 minit.

Sama ada bekerja di kafe, lounge lapangan terbang, atau perlu menghadiri beberapa mesyuarat, keupayaan pengecasan pantas ini memastikan pengguna kekal bertenaga dan produktif sepanjang hari.

Intel Ultra 5 Generasi Kedua: Pakar Multitugas

Dari segi prestasi, HONOR MagicBook Pro 14 dikuasakan oleh prosesor Intel® Core™ Ultra5 Processor 225H dengan 14 teras dan 14 bebenang, serta P-Core Max Turbo Frequency 4.9GHz bagi kestabilan tambahan.

Komponen ini menjanjikan keupayaan multitugas yang lancar dan prestasi yang responsif, memberikan pengalaman pengkomputeran yang seimbang tanpa gangguan.

Dengan mod prestasi 65W, komputer riba ini cukup mantap untuk permainan AAA, perisian reka bentuk, dan tugasan produktiviti semuanya dalam bentuk kompak 14 inci. Sama ada menyunting video, menghasilkan grafik, atau mengurus pelbagai aplikasi, komputer riba ini menjanjikan prestasi yang lancar dan cekap.

Sistem Kawalan Penyejukan Yang Pintar

Sistem penyejukan pintar dwi-mod generasi baharu daripada HONOR kini hadir dengan bilah segitiga, bagi meningkatkan penyejukan sebanyak 8.6 peratus. Reka bentuk inovatif ini turut meningkatkan prestasi keseluruhan sebanyak 60 peratus, dengan aliran udara tambahan sebanyak 23 peratus, disusuli dengan saluran pelepasan haba komposit 3D 12mm yang meningkatkan kecekapan terma sebanyak 25 peratus.

Pengguna boleh menukar antara Smart Mode (50W) dan High-Powered Mode (65W), mengikut keperluan sama ada untuk tugas ringan atau tugasan berat.

Teknologi AI HONOR Turbo X

Prestasi hebat dan jangka hayat bateri yang menerajui industri HONOR MagicBook Pro 14 ini terhasil melalui Teknologi HONOR Turbo X, platform pengoptimuman sistem berasaskan AI.

Berasaskan kepakaran mendalam HONOR dalam penalaan sistem daripada industri telefon pintar, HONOR telah membangunkan enjin berprestasi dan kecekapan kuasa secara pintar bagi memberikan pengkomputeran yang lancar dan responsive, serta melanjutkan jangka hayat bateri secara pintar, sekaligus mentakrifkan semula pengalaman penggunaan komputer.

Melalui kerjasama erat bersama peneraju industri seperti Intel dan Microsoft, HONOR berjaya memaksimumkan sinergi perkakasan-perisian, menghasilkan prestasi yang memecahkan rekod dalam peranti terbaharunya.

Rekaan Nipis dan Ringan

Walaupun dilengkapi bateri berkapasiti besar, HONOR MagicBook Pro 14 kekal ringan, hanya seberat 1.37kg dan senipis 15.9mm, menjadikannya teman kerja mudah alih yang ideal.

Menampilkan reka bentuk elegan Vine-leaf Curves dengan Double Tangent Arcs yang lembut, komputer riba ini tampil ultra-slim dengan rasa genggaman yang selesa. Ia tersedia dalam warna putih White, menampilkan kemasan electrophoresis mutiara baharu untuk tekstur premium dan anggun.

Nantikan Jualan Hari Pertama Pada 13 Jun

HONOR MagicBook Pro 14 mula dipasarkan di kedai seluruh negara pada 13 Jun 2025 pada harga RM4,999.

Ia didatangi dengan kapasiti RAM 32GB RAM dan SSD 1TB dalam warna White. Pembelian komputer riba ini turut disertakan hadiah PERCUMA iaitu Langganan Percuma 1 Tahun Microsoft 365 Personal (prapasang) bersama beg galas HONOR Backpack bernilai RM508.

AIM24 kembali lebih gemilang: Perkenal kategori baharu, sokongan dana RM700,000 dan kerjasama eksklusif bersama RTM

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas tiga tahun menyepi, Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM) kembali dengan edisi ke-24 yang dijangka lebih gemilang dan berimpak besar kepada industri muzik tempatan.

Dianjurkan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), AIM24 akan berlangsung pada 13 September 2025 di Arena of Stars, Genting Highlands, dan akan disiarkan secara langsung menerusi saluran rasmi penyiaran negara, RTM.

Sebagai acara anugerah muzik paling berprestij di Malaysia sejak mula diperkenalkan pada 1993, AIM terus mengangkat martabat seni muzik tanah air.

Tahun ini, penganjur memperkenalkan tiga kategori baharu bagi mencerminkan kepelbagaian, warisan budaya, serta keterbukaan industri muzik Malaysia terhadap kolaborasi global.

Antara kategori baharu yang diperkenalkan termasuk Lagu Perpaduan Terbaik, yang meraikan karya muzik yang mengangkat nilai keharmonian dan kebersamaan rakyat Malaysia; Lagu Tradisional Terbaik, yang mengiktiraf ciptaan berteraskan warisan muzik asli tempatan; dan Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik, sebagai penghargaan terhadap kerjasama rentas sempadan yang mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa.

Pengerusi RIM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM24, Rosmin Hashim berkata, penambahan kategori baharu ini adalah komitmen berterusan RIM dalam memberi ruang yang adil dan inklusif kepada penggiat muzik dari pelbagai latar belakang dan genre.

“Dengan kemunculan semula AIM, kami bukan sahaja meraikan kreativiti dan pencapaian, tetapi juga ingin memacu industri muzik ke arah yang lebih progresif dan sejajar dengan perkembangan semasa.

“Kategori baharu seperti ‘Lagu Perpaduan’ dan ‘Lagu Tradisional’ menunjukkan iltizam kami terhadap kepelbagaian budaya, manakala kategori kolaborasi antarabangsa mengiktiraf usaha artis tempatan meneroka pasaran luar,” katanya.

Dalam satu perkembangan membanggakan, AIM24 turut menerima sokongan padu daripada Kementerian Komunikasi Malaysia yang memperuntukkan dana berjumlah RM700,000 menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) di bawah MyCreative Ventures (MyCV).

Dana ini akan disalurkan kepada sebelas pemenang kategori utama AIM24, menggandakan jumlah berbanding hanya RM320,000 yang disediakan pada edisi terdahulu.

Dana berkenaan bertujuan menyokong usaha penerbitan, promosi dan pengedaran karya kreatif tempatan yang mempunyai potensi tinggi dari aspek komersial dan nilai seni.

Ia juga akan disalurkan terus kepada syarikat rakaman pemenang sebagai langkah memaksimumkan impak ekonomi dalam ekosistem industri muzik Malaysia.

RTM, sebagai penyiar rasmi AIM24, turut menyatakan komitmennya dalam memperkukuh platform kepada bakat tempatan.

Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, RTM berbesar hati menjadi sebahagian daripada AIM24.

“Kami percaya muzik bukan hanya hiburan, tetapi juga pemangkin kepada perpaduan dan identiti budaya.

“AIM ialah pentas yang menghormati kreativiti, dedikasi dan keunggulan seni muzik negara,” katanya.

Tambahnya, kolaborasi bersama RIM adalah selaras dengan aspirasi RTM untuk memperluaskan pendedahan kepada karya-karya tempatan berkualiti tinggi dan memberi inspirasi kepada generasi baharu penggiat seni.

Pencalonan bagi AIM24 dibuka mulai 4 Jun hingga 4 Julai 2025 kepada karya muzik dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan India yang diterbitkan antara 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024.

Pencalonan boleh dibuat secara atas talian melalui laman rasmi AIM di www.aim1.org.my.

Sebanyak 31 kategori dipertandingkan, termasuk Artis Baru Terbaik, Vokal Lelaki/Wanita Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Rock Terbaik, Album Terbaik dan Lagu Terbaik, selain beberapa kategori pra-anugerah seperti Lagu Paling Tinggi Distrim dan Video Muzik Rasmi Paling Tinggi Ditonton di YouTube.

Proses penjurian akan dijalankan secara telus dan profesional oleh panel bebas yang terdiri daripada pakar-pakar industri muzik tanah air, dengan Ketua Juri dilantik oleh jawatankuasa penganjur AIM.

Semua penilaian akan diaudit secara rasmi sebelum keputusan diumumkan. Lima calon akhir untuk setiap kategori dijangka diumumkan pada Ogos 2025.

Sementara itu, penerima Anugerah Sri Wirama penghargaan tertinggi dalam AIM akan dipilih secara langsung oleh Majlis RIM sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan luar biasa individu terhadap industri muzik tempatan.

Dengan gabungan semangat baharu, kategori yang lebih inklusif, sokongan kerajaan dan kerjasama penyiaran strategik, AIM24 dijangka menjadi peristiwa penting dalam kalendar muzik Malaysia tahun ini, sekaligus memperkukuh kedudukan industri muzik negara di mata dunia.

PTTI sumbang RM100,000 kepada Parlimen Muar bantu pendidikan pelajar kurang berkemampuan

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Dalam usaha memperkukuh komitmen terhadap pembangunan pendidikan negara, Pusat Tuisyen PTTI tampil menghulurkan sumbangan tajaan pendidikan bernilai RM100,000 kepada Parlimen Muar, Johor.

Sumbangan itu diterima oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu majlis yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, hari ini.

Tajaan itu disalurkan khusus untuk membantu pelajar-pelajar kurang berkemampuan di Muar dalam usaha mereka membuat persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Melalui tajaan berkenaan, pelajar terpilih akan menerima pelbagai bentuk bantuan pendidikan termasuk akses kepada kelas tuisyen dalam talian yang dikendalikan oleh PTTI serta kemudahan pembelajaran lain yang dapat membantu mereka menguasai subjek dengan lebih berkesan.

Syed Saddiq menyambut baik inisiatif itu dan menyifatkannya sebagai pelaburan besar dalam masa depan anak-anak Malaysia, terutamanya mereka yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Cikgu Farhana dan pasukan PTTI atas sumbangan yang sangat bermakna ini.

“Pendidikan adalah keutamaan anak-anak kita. Namun, tidak semua mempunyai akses kepada kelas tuisyen berkualiti disebabkan kekangan kewangan,” katanya.

Menurut Syed Saddiq, daripada jumlah tajaan keseluruhan yang disalurkan, sebanyak RM20,000 daripadanya diterima secara langsung oleh beliau dan akan disumbangkan sepenuhnya kepada pelajar melalui pembelian komputer riba dan tablet.

Bantuan peranti ini dijangka akan diserahkan kepada penerima menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha yang akan datang, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan mencecah RM120,000.

Beliau berkata, pendidikan memainkan peranan penting dalam memecahkan kitaran kemiskinan.

Justeru sokongan daripada pihak swasta seperti PTTI amat diperlukan bagi memastikan akses pendidikan berkualiti tidak hanya terhad kepada pelajar di bandar.

“Bukan semua ibu bapa mampu menghantar anak ke kelas tuisyen fizikal, apatah lagi yang tinggal di kawasan luar bandar seperti di Sungai Balang.

“Pendidikan dalam talian dan bantuan seperti ini amat penting bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dan dapat mengurangkan jurang pendidikan,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Farhana berkata, pihaknya akan memberikan komitmen berterusan dalam memastikan pelajar yang memerlukan terutamanya dalam subjek-subjek kritikal, tidak terpinggir daripada peluang untuk cemerlang.

“Lebih sedekad pengalaman kami di PTTI telah membolehkan kami membantu lebih 800,000 pelajar di seluruh negara.

“Tahun lalu sahaja, 400 pelajar bimbingan kami berjaya memperoleh keputusan straight A dalam SPM. Ini adalah bukti bahawa pendekatan yang kami gunakan berkesan dalam membantu pelajar menguasai subjek yang mencabar seperti Matematik, Fizik dan Kimia,” katanya.

Majlis penyampaian sumbangan itu berlangsung bersempena program Roadtour Skor A+ SPM PTTI yang dihadiri hampir 4,000 pelajar dari seluruh negara.

Program ini direka khas untuk memberi bimbingan secara bersemuka oleh tenaga pengajar berpengalaman dan pakar-pakar SPM PTTI kepada calon-calon peperiksaan yang bakal menduduki SPM tidak lama lagi.

Semangat pelajar turut dibakar melalui kehadiran beberapa figura terkenal, termasuk Syed Saddiq sendiri serta selebriti popular tanah air Bella Astillah, yang berkongsi pengalaman dan memberikan kata-kata inspirasi kepada pelajar.

Acara itu turut diserikan lagi dengan kehadiran selebriti-selebriti lain seperti MK K-Clique, Iman Troye, Zaki Yamani, Nabila Razali, Space Dollah, Asyraf Khalid dan ramai lagi yang turun padang bagi memberikan sokongan moral kepada pelajar.

Sumbangan tajaan oleh PTTI ini dilihat sebagai satu langkah proaktif dalam memperkukuh usaha merapatkan jurang pendidikan antara pelajar bandar dan luar bandar serta memastikan tiada pelajar tercicir hanya kerana kekurangan kemudahan atau peluang.

PTTI cipta sejarah, himpun lebih 4,000 pelajar SPM dalam seminar akademik terbesar di Shah Alam

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Pusat peningkatan akademik terkenal, PTTI mencipta satu lagi pencapaian membanggakan apabila berjaya menghimpunkan lebih 4,000 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini dalam program berskala besar “Road Tour Mula Awal Skor A+ SPM PTTI Selangor” yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.

Seminar yang berlangsung dengan penuh semangat itu dianggap antara yang terbesar pernah dianjurkan oleh PTTI, menyaksikan penyertaan luar biasa pelajar dari seluruh negara, dengan lebih 3,000 daripadanya adalah pelajar dari negeri Selangor sahaja.

Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman berkata, sambutan luar biasa terhadap program ini bukan sahaja mencerminkan kejayaan pihaknya dalam menganjurkan seminar berskala besar, malah menjadi petunjuk positif terhadap kesungguhan pelajar-pelajar dalam mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan yang amat penting dalam sistem pendidikan negara.

“Ini adalah seminar tahunan kami yang dinamakan Road Tour Score A+ SPM, membabitkan pelajar-pelajar tingkatan lima dari pelbagai negeri.

“Kehadiran seramai lebih 4,000 pelajar hari ini adalah rekod terbesar kami setakat ini,” katanya.

Siti Farhana berkata, seminar ini bukan sekadar memberi pendedahan kepada teknik menjawab soalan, tetapi turut memberi penekanan kepada subjek-subjek kritikal seperti Sains Tulen dan Matematik, yang menjadi antara cabaran utama bagi kebanyakan pelajar.

“Kami percaya pendekatan kami yang berasaskan teknik dan formula berkesan mampu memberikan kelebihan kepada pelajar.

“Dengan silibus yang semakin mencabar, bimbingan yang betul amat penting untuk melonjakkan prestasi pelajar, terutamanya dalam subjek teras yang memerlukan penguasaan konsep yang kuat,” katanya lagi.

Sejak penubuhannya, PTTI telah menjadi institusi bimbingan akademik yang dipercayai ribuan pelajar dan ibu bapa di seluruh negara.

Dengan pengalaman lebih sedekad dalam bidang pendidikan, PTTI telah melahirkan lebih 800,000 pelajar yang berjaya, termasuk 400 pelajar SPM tahun 2024 yang memperoleh keputusan cemerlang ‘straight A’.

“Kami melihat program seperti ini sebagai platform strategik untuk memberi pendedahan awal, meningkatkan keyakinan diri pelajar serta memperkenalkan strategi pembelajaran yang lebih sistematik dan tersusun menjelang peperiksaan sebenar,” kata Siti Farhana.

Menambah keistimewaan kepada program itu, pelajar turut menerima suntikan motivasi daripada tokoh muda politik tanah air, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta selebriti popular Bella Astillah, yang berkongsi kisah inspirasi dan pengalaman peribadi mereka dalam usaha membangkitkan semangat pelajar.

Acara turut diserikan dengan kehadiran beberapa personaliti terkenal tanah air seperti MK K-Clique, Iman Troye, Zaki Yamani, Nabila Razali, Space Dollah, Asyraf Khalid dan ramai lagi yang tampil memberi sokongan moral kepada pelajar-pelajar yang hadir.

Lebih manis, kejayaan program ini turut disusuli dengan pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR), apabila PTTI berjaya mencatat dua rekod kebangsaan iaitu “Most Straight A’s in a Tuition” menerusi kejayaan 400 pelajarnya memperoleh semua A dalam peperiksaan serta “Most SPM Grade A’s Obtained by a Tuition” dengan jumlah keseluruhan 18,432 gred A yang dikumpulkan oleh pelajar-pelajar PTTI.

Dengan kejayaan ini, PTTI sekali lagi membuktikan komitmennya dalam membantu pelajar mencapai kecemerlangan akademik, serta mengukuhkan lagi peranannya sebagai peneraju pusat bimbingan akademik terunggul di Malaysia.

ABIM desak tindakan tegas, pengharaman menyeluruh terhadap vape

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) hari ini menggesa pihak kerajaan agar melaksanakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan mengambil langkah drastik ke arah pengharaman menyeluruh penggunaan rokok elektronik atau vape, susulan pendedahan mengejutkan mengenai penjualan cecair dadah jenis magic mushroom yang dijual semurah RM1 setitik dalam kalangan pelajar sekolah.

Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, dalam satu kenyataan berkata, perkembangan terbaharu ini amat membimbangkan dan memberi isyarat jelas bahawa kanak-kanak serta remaja kini menjadi sasaran utama pengedaran bahan terlarang itu.

Menurutnya, fenomena ini bukan sahaja mencemarkan akhlak dan merosakkan struktur pemikiran generasi muda, malah turut menimbulkan risiko ketagihan dadah seawal usia belasan tahun.

Katanya, situasi ini boleh membawa kepada pelbagai implikasi negatif termasuk terjerumus dalam jenayah serta menggagalkan potensi kepimpinan masa depan negara.

Media sebelum ini melaporkan, seorang remaja bawah umur mendedahkan hanya dengan RM1, cecair vape yang dicampur dadah sintetik magic mushroom dijual secara haram di sekolah.

Remaja terbabit, yang mahu dikenali sebagai Zul (bukan nama sebenar), mengakui mula menghisap vape sejak usia 13 tahun sebelum terjebak dengan bahan psikoaktif itu setahun kemudian akibat rasa ingin tahu.

Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi menyeru kerajaan untuk segera meminda Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun bagi memasukkan bahan-bahan psikoaktif baharu ke dalam senarai dadah berbahaya dan racun berjadual.

Katanya, peruntukan undang-undang yang lebih jelas akan membolehkan pihak berkuasa melaksanakan tindakan penguatkuasaan dengan lebih berkesan.

“Dengan adanya dasar perundangan yang tersusun, segala usaha untuk mengharamkan penyebaran bahan yang mendorong kepada penagihan vape akan menjadi lebih efektif.

“Tambahan pula, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga wajar diberikan kuasa pantas untuk bertindak terhadap sebarang bahan meragukan yang berlegar dalam pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, ABIM turut menekankan keperluan mendesak bagi memperkukuh pendidikan pencegahan dadah di peringkat sekolah melalui pelaksanaan program kesedaran yang menyeluruh.

Katanya, sistem pendidikan nasional perlu disuntik dengan elemen nilai agama, pendidikan moral, serta sokongan psikososial bagi memperkuat ketahanan dalaman pelajar daripada pengaruh negatif persekitaran.

Jelasnya lagi, isu vape bukanlah semata-mata krisis dalam persekitaran sekolah, sebaliknya telah menjadi satu cabaran sosial berskala nasional yang memerlukan tindakan kolektif daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan, masyarakat, institusi pendidikan dan ibu bapa untuk ditangani secara tuntas.

“Fenomena ini memerlukan pendekatan bersepadu dan bukan hanya bergantung kepada satu agensi sahaja.

“Kita perlu bangkit sebagai satu masyarakat yang prihatin demi menyelamatkan generasi akan datang daripada ancaman yang boleh memusnahkan masa depan mereka,” katanya.

Pramugara khayal dan berbogel dalam tandas pesawat cetus kejutan

editormaxinfo@gmail.com

LONDON –  Sebuah penerbangan komersial British Airways dari San Francisco ke London pada 25 Mei lalu digemparkan dengan insiden luar jangka apabila seorang pramugara lelaki didapati menari dalam keadaan berbogel di dalam tandas pesawat ketika berada di udara.

Insiden memalukan itu berlaku di bahagian kelas perniagaan pesawat Airbus A380-800 yang sedang terbang pada ketinggian kira-kira 11,200 meter, sekaligus mencetuskan kekecohan dalam kalangan kru dan penumpang.

Menurut laporan akhbar The Sun, pramugara terbabit yang berusia 41 tahun dikatakan sedang bertugas menghidangkan makanan kepada penumpang sebelum dia tiba-tiba ‘hilang’ tanpa dikesan.

Tidak lama selepas itu, dia ditemui dalam keadaan bogel dan dipercayai khayal di dalam tandas bahagian Club World, seolah-olah sedang menari di sebuah kelab malam.

Seorang kru penerbangan yang bertugas bersama pada hari kejadian memaklumkan kepada media mereka percaya individu berkenaan mungkin telah mengambil bahan terlarang ketika sedang bekerja.

Menurutnya, tekanan kerja dalam sektor penerbangan kadangkala boleh mengganggu kestabilan emosi dan mental seseorang, namun insiden sedemikian adalah sesuatu yang tidak pernah dijangka.

“Kerja ini sebenarnya boleh buat orang hilang akal. Tetapi, menari seorang diri macam dalam kelab malam di tandas Club World adalah pengalaman pertama buat saya,” kata kru itu seperti yang dilaporkan oleh The Sun.

Krew bertugas kemudiannya mengambil tindakan segera dengan memakaikan pramugara terbabit baju tidur serta menempatkannya di tempat duduk dengan tali pinggang keledar dipasang, bagi memastikan keselamatan semua penumpang terjamin sehingga pesawat selamat mendarat.

Setibanya pesawat di Lapangan Terbang Heathrow, London, lelaki terbabit telah diiring keluar dari pesawat oleh pihak berkuasa dan terus dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan serta rawatan lanjut.

Pihak Polis Metropolitan dalam kenyataan mereka memaklumkan lelaki itu telah dibebaskan sementara siasatan menyeluruh berhubung insiden itu sedang dijalankan.

Kejadian ini sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai tahap pemantauan kesihatan mental dan disiplin dalam kalangan kru penerbangan, terutamanya dalam persekitaran kerja yang mencabar dan menuntut tahap profesionalisme yang tinggi.

Pihak British Airways setakat ini masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tindakan lanjut terhadap kakitangan berkenaan. -Agensi

Sokongan terhadap Yusoff Rawther dedah hipokrasi politik PN -Altimet

editormaxinfo@gmail.com

AMPANG – Tindakan Perikatan Nasional (PN) yang disifatkan sebagai “bersubahat secara senyap” dengan seorang individu yang pernah secara terbuka menyokong Israel, sekaligus memperlekehkan perjuangan rakyat Palestin adalah satu sikap hipokraksi politik parti itu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Altimet berkata, pihaknya mempersoalkan sokongan diam-diam yang diberikan terhadap Muhammed Yusoff Rawther, individu yang kini mengambil tindakan undang-undang terhadap Perdana Menteri, walaupun latar belakangnya pernah memperlihatkan sokongan terbuka kepada rejim Zionis.

“Negara kini berada dalam situasi yang amat mencabar. Kita sedang berdepan ketidaktentuan ekonomi global, krisis rantaian bekalan, serta tekanan terhadap harga barang keperluan asas.

“Dalam suasana genting sebegini, apa yang diperlukan ialah kepimpinan yang stabil dan ruang untuk Perdana Menteri serta kerajaan melaksanakan tanggungjawab tanpa gangguan politik bersifat sabotaj,” katanya dalam satu kenyataan.

Altimet berkata, tindakan Yusoff yang memilih untuk menyeret Perdana Menteri ke mahkamah pada waktu ini sebagai mementingkan kepentingan peribadi, tanpa mengambil kira keutamaan negara dan rakyat.

Katanya, lebih membimbangkan ialah sejarah dan pendirian kontroversi Yusoff yang pernah tersiar dalam sebuah surat terbuka bertarikh 2017, di mana beliau menyatakan dirinya sebagai “One Malaysian, Standing with Israel”.

Dalam surat itu, Yusoff dilaporkan menolak hak Palestin ke atas Baitulmaqdis, menuduh solidariti dunia Islam sebagai naratif rekaan media dan melabel perjuangan rakyat Palestin sebagai ‘anti-Semitik dan bodoh’.

“Ini bukan soal undang-undang peribadi semata-mata. Ini soal prinsip dan integriti.

“Pandangan sedemikian jelas bertentangan dengan pendirian rasmi Malaysia dan umat Islam seluruh dunia,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sikap membisu PN berhubung isu ini, sedangkan parti itu sering menampilkan diri sebagai pembela Islam dan penjuang umat Palestin.

Altimet berkata, ketiadaan sebarang penjarakan atau kenyataan tegas menolak individu seperti Yusoff hanya menunjukkan hipokrasi politik pembangkang.

“Kalau individu prokerajaan yang buat kenyataan seperti itu, sudah tentu pemimpin PN akan menjerit dan menuntut permohonan maaf terbuka.

“Tapi bila ia datang daripada pihak yang menyerang Perdana Menteri, mereka semua senyap. Diam itu membawa maksud,” katanya lagi.

Altimet berkata, dalam suasana negara sedang berusaha menarik pelaburan, menstabilkan harga barang dan membina semula ekonomi pasca pandemik, tindakan yang mengalih tumpuan kepimpinan negara harus ditolak sekeras-kerasnya.

“Malaysia tidak perlukan drama tambahan. Malaysia perlukan kestabilan. Semua pihak termasuk pembangkang wajar meletakkan kepentingan rakyat melebihi dendam politik dan ego peribadi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi peringatan agar prinsip perjuangan tidak disewakan demi kepentingan politik sempit.

“PN tidak boleh bermain dua watak dalam masa yang sama. Tidak boleh berkempen atas nama Islam, tetapi pada masa yang sama menyokong individu yang secara terbuka menyebelahi Israel dan menghina perjuangan Palestin,” katanya.

Altimet turut menyeru rakyat agar tidak terpedaya dengan permainan politik yang sanggup menggadai maruah negara demi keuntungan politik sementara.

“Ini bukan isu politik biasa. Ini soal asas akidah, maruah negara dan kredibiliti moral. Rakyat berhak bertanya mengapa PN sanggup bersekongkol dengan individu yang berdiri bersama Israel, saat rakyat Palestin terus dizalimi dan dibom tanpa henti,” katanya.

Silat bukan sekadar persembahan, DSSM tegas pertahan kedaulatan bangsa dan Islam

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dunia Seni Silat Melayu Malaysia (DSSM) menegaskan silat bukan sekadar seni persembahan, tetapi lambang kedaulatan negara dan benteng pertahanan bangsa yang berakar kuat dalam warisan Melayu-Islam.

Komitmen ini dizahirkan dalam satu sidang akhbar khas sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-6 pertubuhan itu yang berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

DSSM adalah gabungan lebih 100 perguruan silat dari seluruh negara kini berperanan sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tersusun dan berdikari.

Ia menampilkan diri sebagai kekuatan rakyat yang memperjuangkan nilai budaya, spiritual, serta jati diri bangsa Melayu yang berteraskan Islam.

Sempena mesyuarat berkenaan, DSSM secara rasmi memperkenalkan pertubuhan itu kepada umum selain menyatakan pendirian tegas terhadap isu-isu yang menyentuh kedaulatan negara, kedudukan Raja-Raja Melayu, serta maruah kebangsaan.

Presiden DSSM Roslim Abu berkata, sudah tiba masanya masyarakat mengubah persepsi sempit yang hanya melihat silat sebagai persembahan majlis semata-mata.

Sebaliknya, dunia persilatan adalah satu institusi pendidikan tidak formal yang memainkan peranan penting dalam pembentukan nilai perjuangan, kepimpinan dan sahsiah anak bangsa.

“Silat ialah nadi perjuangan. Ia adalah sistem pendidikan bangsa yang telah melahirkan pendekar, pemimpin dan ulama sejak zaman berzaman.

“DSSM bukan sekadar pengisi kuota dalam wacana nasional, tetapi suara akar umbi yang teratur, berprinsip dan berperanan,” katanya.

DSSM turut menyeru silat dikembalikan ke tempatnya yang asal sebagai sebahagian daripada sistem pertahanan negara.

Antara tuntutan utama ialah pengiktirafan rasmi dunia persilatan sebagai institusi pendidikan tidak formal, termasuklah penyediaan peruntukan khas bagi guru-guru dan gelanggang silat di seluruh negara.

Pertubuhan itu juga menekankan keperluan memartabatkan silat dalam era moden yang serba digital.

Meskipun silat telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa, termasuk oleh UNESCO, DSSM menyatakan kekecewaan terhadap layanan domestik yang masih belum mencerminkan nilai dan penghormatan sewajarnya terhadap dunia persilatan.

“Silat bukan tinggalan sejarah, tetapi jantung budaya bangsa. Ia perlu diperkasa, bukan dipinggirkan,” katanya.

Dalam pada itu, DSSM menyuarakan kebimbangan terhadap kecenderungan penghakisan kuasa Raja-Raja Melayu dalam sistem pemerintahan negara.

Mereka menyeru agar Perlembagaan Persekutuan kembali ditegakkan sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 3 dan 4 Rukun Negara, yakni berasaskan Raja Berperlembagaan dan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Titah Raja-Raja hari ini semakin hilang taring. DSSM berdiri teguh menyeru agar institusi Raja bukan sekadar simbolik, tetapi kembali berfungsi sebagai payung pelindung rakyat dan agama,” katanya lagi.

Selain itu, DSSM turut menggesa kerajaan agar menegakkan keadilan tanpa pilih kasih.

Menurutnya, rasuah, nepotisme dan penyalahgunaan kuasa bukan sahaja menggugat ekonomi rakyat, tetapi turut melemahkan kepercayaan terhadap sistem pemerintahan dan keutuhan negara.

“Negara ini tidak boleh dibina di atas kepalsuan dan kepentingan sempit. Keadilan mesti ditegakkan, tanpa mengira kedudukan, pangkat mahupun pengaruh politik,” katanya.

Tegasnya, DSSM akan terus menjadi benteng bangsa, memperjuangkan nilai dan memastikan warisan silat terus hidup dalam sanubari generasi akan datang.

“Silat bukan sekadar gerakan tubuh. Ia adalah denyut nadi sebuah bangsa yang masih ingin bermaruah.

“DSSM menyeru rakyat untuk kembali kepada nilai, kembali kepada Raja, dan kembali kepada Tuhan,” katanya.

Yayasan Nurjiwa hulur insentif RM500 kepada pelajar cemerlang SPM, suntik semangat kejayaan akademik

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Dalam usaha memperkasa semangat kecemerlangan di kalangan pelajar, Yayasan Nurjiwa buat julung kalinya memperkenalkan insentif wang tunai sebanyak RM500 kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan semua A.

Inisiatif murni ini dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Tuisyen PTTI dan menyaksikan seramai 401 pelajar menerima insentif berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM200,500.

Majlis penyerahan insentif ini berlangsung penuh meriah dalam Majlis Anugerah Inspirasi PTTI 2025 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), dan turut dihadiri oleh pelbagai pihak termasuk pelajar, ibu bapa serta tokoh-tokoh pendidikan dan masyarakat.

Pengasas Yayasan Nurjiwa, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang turut hadir dalam majlis itu menyifatkan insentif ini sebagai satu bentuk sokongan moral yang mampu menjadi pemangkin kejayaan lebih besar dalam kalangan pelajar di masa hadapan.

Menurutnya, selain mengiktiraf pencapaian cemerlang pelajar, insentif ini juga bertujuan untuk menyuntik motivasi kepada calon-calon SPM akan datang supaya lebih berusaha mengejar kecemerlangan akademik.

“Ini adalah kali pertama buat Yayasan Nurjiwa menyerahkan insentif kepada pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan semua A.

“Harapan kami agar dengan usaha ini, lebih ramai pelajar akan bersemangat untuk mencapai keputusan terbaik dalam peperiksaan akan datang,” katanya.

Selain memfokuskan kepada pelajar cemerlang, Yayasan Nurjiwa turut menzahirkan komitmen dalam membantu pelajar daripada golongan kurang berkemampuan.

Usaha ini direalisasikan melalui penyediaan makanan harian kepada hampir 100 pelajar, khususnya dari kelompok B40 dan anak-anak yatim.

Inisiatif kebajikan ini telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu dan diteruskan secara konsisten bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir akibat kekangan hidup.

“Setiap hari, kami menyediakan makanan kepada hampir 100 pelajar yang kurang berkemampuan. Ini termasuklah anak-anak yatim yang memerlukan sokongan asas.

“Walaupun ia kelihatan kecil, kami percaya bantuan sebegini mampu memberi kesan besar dalam kehidupan mereka,” katanya lagi.

Yayasan Nurjiwa yang diasaskan bersama suami beliau, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, terus memberikan fokus dalam bidang pendidikan dan kebajikan sebagai teras utama perjuangan mereka.

Komitmen mereka dalam membantu pelajar bukan sahaja dilihat dari aspek material, malah dari segi sokongan moral dan emosi yang penting dalam membina masa depan generasi muda.

Langkah Yayasan Nurjiwa ini dilihat sebagai satu usaha terpuji dalam menyokong aspirasi negara melahirkan modal insan cemerlang.

Dengan kerjasama strategik bersama institusi pendidikan seperti PTTI, inisiatif seumpama ini diyakini mampu memberi impak jangka panjang kepada pembangunan pendidikan di Malaysia.