30.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 21, 2026

PTTI cipta sejarah, himpun lebih 4,000 pelajar SPM dalam seminar akademik terbesar di Shah Alam

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Pusat peningkatan akademik terkenal, PTTI mencipta satu lagi pencapaian membanggakan apabila berjaya menghimpunkan lebih 4,000 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini dalam program berskala besar “Road Tour Mula Awal Skor A+ SPM PTTI Selangor” yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.

Seminar yang berlangsung dengan penuh semangat itu dianggap antara yang terbesar pernah dianjurkan oleh PTTI, menyaksikan penyertaan luar biasa pelajar dari seluruh negara, dengan lebih 3,000 daripadanya adalah pelajar dari negeri Selangor sahaja.

Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman berkata, sambutan luar biasa terhadap program ini bukan sahaja mencerminkan kejayaan pihaknya dalam menganjurkan seminar berskala besar, malah menjadi petunjuk positif terhadap kesungguhan pelajar-pelajar dalam mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan yang amat penting dalam sistem pendidikan negara.

“Ini adalah seminar tahunan kami yang dinamakan Road Tour Score A+ SPM, membabitkan pelajar-pelajar tingkatan lima dari pelbagai negeri.

“Kehadiran seramai lebih 4,000 pelajar hari ini adalah rekod terbesar kami setakat ini,” katanya.

Siti Farhana berkata, seminar ini bukan sekadar memberi pendedahan kepada teknik menjawab soalan, tetapi turut memberi penekanan kepada subjek-subjek kritikal seperti Sains Tulen dan Matematik, yang menjadi antara cabaran utama bagi kebanyakan pelajar.

“Kami percaya pendekatan kami yang berasaskan teknik dan formula berkesan mampu memberikan kelebihan kepada pelajar.

“Dengan silibus yang semakin mencabar, bimbingan yang betul amat penting untuk melonjakkan prestasi pelajar, terutamanya dalam subjek teras yang memerlukan penguasaan konsep yang kuat,” katanya lagi.

Sejak penubuhannya, PTTI telah menjadi institusi bimbingan akademik yang dipercayai ribuan pelajar dan ibu bapa di seluruh negara.

Dengan pengalaman lebih sedekad dalam bidang pendidikan, PTTI telah melahirkan lebih 800,000 pelajar yang berjaya, termasuk 400 pelajar SPM tahun 2024 yang memperoleh keputusan cemerlang ‘straight A’.

“Kami melihat program seperti ini sebagai platform strategik untuk memberi pendedahan awal, meningkatkan keyakinan diri pelajar serta memperkenalkan strategi pembelajaran yang lebih sistematik dan tersusun menjelang peperiksaan sebenar,” kata Siti Farhana.

Menambah keistimewaan kepada program itu, pelajar turut menerima suntikan motivasi daripada tokoh muda politik tanah air, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta selebriti popular Bella Astillah, yang berkongsi kisah inspirasi dan pengalaman peribadi mereka dalam usaha membangkitkan semangat pelajar.

Acara turut diserikan dengan kehadiran beberapa personaliti terkenal tanah air seperti MK K-Clique, Iman Troye, Zaki Yamani, Nabila Razali, Space Dollah, Asyraf Khalid dan ramai lagi yang tampil memberi sokongan moral kepada pelajar-pelajar yang hadir.

Lebih manis, kejayaan program ini turut disusuli dengan pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR), apabila PTTI berjaya mencatat dua rekod kebangsaan iaitu “Most Straight A’s in a Tuition” menerusi kejayaan 400 pelajarnya memperoleh semua A dalam peperiksaan serta “Most SPM Grade A’s Obtained by a Tuition” dengan jumlah keseluruhan 18,432 gred A yang dikumpulkan oleh pelajar-pelajar PTTI.

Dengan kejayaan ini, PTTI sekali lagi membuktikan komitmennya dalam membantu pelajar mencapai kecemerlangan akademik, serta mengukuhkan lagi peranannya sebagai peneraju pusat bimbingan akademik terunggul di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular