editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) hari ini menggesa pihak kerajaan agar melaksanakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan mengambil langkah drastik ke arah pengharaman menyeluruh penggunaan rokok elektronik atau vape, susulan pendedahan mengejutkan mengenai penjualan cecair dadah jenis magic mushroom yang dijual semurah RM1 setitik dalam kalangan pelajar sekolah.
Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, dalam satu kenyataan berkata, perkembangan terbaharu ini amat membimbangkan dan memberi isyarat jelas bahawa kanak-kanak serta remaja kini menjadi sasaran utama pengedaran bahan terlarang itu.
Menurutnya, fenomena ini bukan sahaja mencemarkan akhlak dan merosakkan struktur pemikiran generasi muda, malah turut menimbulkan risiko ketagihan dadah seawal usia belasan tahun.
Katanya, situasi ini boleh membawa kepada pelbagai implikasi negatif termasuk terjerumus dalam jenayah serta menggagalkan potensi kepimpinan masa depan negara.
Media sebelum ini melaporkan, seorang remaja bawah umur mendedahkan hanya dengan RM1, cecair vape yang dicampur dadah sintetik magic mushroom dijual secara haram di sekolah.
Remaja terbabit, yang mahu dikenali sebagai Zul (bukan nama sebenar), mengakui mula menghisap vape sejak usia 13 tahun sebelum terjebak dengan bahan psikoaktif itu setahun kemudian akibat rasa ingin tahu.
Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi menyeru kerajaan untuk segera meminda Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun bagi memasukkan bahan-bahan psikoaktif baharu ke dalam senarai dadah berbahaya dan racun berjadual.
Katanya, peruntukan undang-undang yang lebih jelas akan membolehkan pihak berkuasa melaksanakan tindakan penguatkuasaan dengan lebih berkesan.
“Dengan adanya dasar perundangan yang tersusun, segala usaha untuk mengharamkan penyebaran bahan yang mendorong kepada penagihan vape akan menjadi lebih efektif.
“Tambahan pula, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga wajar diberikan kuasa pantas untuk bertindak terhadap sebarang bahan meragukan yang berlegar dalam pasaran,” katanya.
Dalam pada itu, ABIM turut menekankan keperluan mendesak bagi memperkukuh pendidikan pencegahan dadah di peringkat sekolah melalui pelaksanaan program kesedaran yang menyeluruh.
Katanya, sistem pendidikan nasional perlu disuntik dengan elemen nilai agama, pendidikan moral, serta sokongan psikososial bagi memperkuat ketahanan dalaman pelajar daripada pengaruh negatif persekitaran.
Jelasnya lagi, isu vape bukanlah semata-mata krisis dalam persekitaran sekolah, sebaliknya telah menjadi satu cabaran sosial berskala nasional yang memerlukan tindakan kolektif daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan, masyarakat, institusi pendidikan dan ibu bapa untuk ditangani secara tuntas.
“Fenomena ini memerlukan pendekatan bersepadu dan bukan hanya bergantung kepada satu agensi sahaja.
“Kita perlu bangkit sebagai satu masyarakat yang prihatin demi menyelamatkan generasi akan datang daripada ancaman yang boleh memusnahkan masa depan mereka,” katanya.

