25.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 16, 2026

Silat bukan sekadar persembahan, DSSM tegas pertahan kedaulatan bangsa dan Islam

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dunia Seni Silat Melayu Malaysia (DSSM) menegaskan silat bukan sekadar seni persembahan, tetapi lambang kedaulatan negara dan benteng pertahanan bangsa yang berakar kuat dalam warisan Melayu-Islam.

Komitmen ini dizahirkan dalam satu sidang akhbar khas sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-6 pertubuhan itu yang berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

DSSM adalah gabungan lebih 100 perguruan silat dari seluruh negara kini berperanan sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tersusun dan berdikari.

Ia menampilkan diri sebagai kekuatan rakyat yang memperjuangkan nilai budaya, spiritual, serta jati diri bangsa Melayu yang berteraskan Islam.

Sempena mesyuarat berkenaan, DSSM secara rasmi memperkenalkan pertubuhan itu kepada umum selain menyatakan pendirian tegas terhadap isu-isu yang menyentuh kedaulatan negara, kedudukan Raja-Raja Melayu, serta maruah kebangsaan.

Presiden DSSM Roslim Abu berkata, sudah tiba masanya masyarakat mengubah persepsi sempit yang hanya melihat silat sebagai persembahan majlis semata-mata.

Sebaliknya, dunia persilatan adalah satu institusi pendidikan tidak formal yang memainkan peranan penting dalam pembentukan nilai perjuangan, kepimpinan dan sahsiah anak bangsa.

“Silat ialah nadi perjuangan. Ia adalah sistem pendidikan bangsa yang telah melahirkan pendekar, pemimpin dan ulama sejak zaman berzaman.

“DSSM bukan sekadar pengisi kuota dalam wacana nasional, tetapi suara akar umbi yang teratur, berprinsip dan berperanan,” katanya.

DSSM turut menyeru silat dikembalikan ke tempatnya yang asal sebagai sebahagian daripada sistem pertahanan negara.

Antara tuntutan utama ialah pengiktirafan rasmi dunia persilatan sebagai institusi pendidikan tidak formal, termasuklah penyediaan peruntukan khas bagi guru-guru dan gelanggang silat di seluruh negara.

Pertubuhan itu juga menekankan keperluan memartabatkan silat dalam era moden yang serba digital.

Meskipun silat telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa, termasuk oleh UNESCO, DSSM menyatakan kekecewaan terhadap layanan domestik yang masih belum mencerminkan nilai dan penghormatan sewajarnya terhadap dunia persilatan.

“Silat bukan tinggalan sejarah, tetapi jantung budaya bangsa. Ia perlu diperkasa, bukan dipinggirkan,” katanya.

Dalam pada itu, DSSM menyuarakan kebimbangan terhadap kecenderungan penghakisan kuasa Raja-Raja Melayu dalam sistem pemerintahan negara.

Mereka menyeru agar Perlembagaan Persekutuan kembali ditegakkan sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 3 dan 4 Rukun Negara, yakni berasaskan Raja Berperlembagaan dan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Titah Raja-Raja hari ini semakin hilang taring. DSSM berdiri teguh menyeru agar institusi Raja bukan sekadar simbolik, tetapi kembali berfungsi sebagai payung pelindung rakyat dan agama,” katanya lagi.

Selain itu, DSSM turut menggesa kerajaan agar menegakkan keadilan tanpa pilih kasih.

Menurutnya, rasuah, nepotisme dan penyalahgunaan kuasa bukan sahaja menggugat ekonomi rakyat, tetapi turut melemahkan kepercayaan terhadap sistem pemerintahan dan keutuhan negara.

“Negara ini tidak boleh dibina di atas kepalsuan dan kepentingan sempit. Keadilan mesti ditegakkan, tanpa mengira kedudukan, pangkat mahupun pengaruh politik,” katanya.

Tegasnya, DSSM akan terus menjadi benteng bangsa, memperjuangkan nilai dan memastikan warisan silat terus hidup dalam sanubari generasi akan datang.

“Silat bukan sekadar gerakan tubuh. Ia adalah denyut nadi sebuah bangsa yang masih ingin bermaruah.

“DSSM menyeru rakyat untuk kembali kepada nilai, kembali kepada Raja, dan kembali kepada Tuhan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular