29.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, June 10, 2026
Home Blog Page 83

Vietnam catat lebih 9.2 juta pelancong antarabangsa dalam lima bulan pertama 2025

editormaxinfo@gmail.com

HANOI – Industri pelancongan Vietnam terus menunjukkan momentum positif apabila negara itu merekodkan kehadiran lebih 9.2 juta pelancong antarabangsa dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Angka terbabit menunjukkan peningkatan sebanyak 21.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut laporan Agensi Berita Vietnam (VNA) yang memetik kenyataan rasmi daripada Pihak Berkuasa Pelancongan Kebangsaan Vietnam (VNAT).

Kemasukan pelancong asing ke negara itu kekal kukuh, meskipun musim kemuncak pelancongan telah berakhir.

Pada bulan Mei sahaja, seramai 1.53 juta pelawat dari luar negara direkodkan memasuki Vietnam peningkatan sebanyak 10.5 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Capaian ini dianggap luar biasa dan dilaporkan sebagai rekod tertinggi dalam tempoh 10 tahun bagi bulan berkenaan.

Pendapatan hasil pelancongan dalam tempoh Januari hingga Mei dianggarkan mencecah VN$38.4 trilion, bersamaan kira-kira US$1.47 bilion.

Ia menunjukkan lonjakan ketara sebanyak 24.7 peratus berbanding jumlah yang direkodkan pada tempoh sama tahun 2024, sekali gus membuktikan bahawa sektor pelancongan kini menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi negara.

Statistik menunjukkan bahawa perjalanan udara kekal sebagai laluan utama kemasukan pelancong, merangkumi 85.2 peratus daripada jumlah keseluruhan ketibaan.

Laluan darat pula menyumbang sebanyak 12.9 peratus, manakala perjalanan melalui laut mencatatkan peratusan terkecil iaitu hanya 1.9 peratus.

VNAT dalam kenyataannya berkata, walaupun Vietnam mempunyai garis pantai yang panjang serta infrastruktur pelabuhan yang berpotensi, sektor pelancongan maritim negara itu masih belum dibangunkan secara menyeluruh.

China terus mengungguli senarai sebagai penyumbang terbesar pelancong antarabangsa ke Vietnam, dengan lebih 2.36 juta pelawat.

Korea Selatan berada di tempat kedua dengan lebih 1.9 juta pelawat.

Negara-negara lain yang turut menyumbang kepada peningkatan ini termasuk Taiwan (533,000 pelawat), Amerika Syarikat (375,000), Jepun (342,000), Kemboja (325,000), India (272,000), Australia (241,000), Malaysia (221,000) dan Rusia (210,000).

Kehadiran pelancong dari Malaysia menempatkan negara itu dalam kelompok 10 pasaran pelancongan utama bagi Vietnam sepanjang tahun ini setakat bulan Mei.

Dalam pada itu, pihak berkuasa pelancongan Vietnam berkata, walaupun jumlah kemasukan pelancong semakin meningkat secara semula jadi tanpa keperluan promosi besar-besaran, usaha promosi dan pemasaran akan tetap diteruskan.

Langkah itu selaras dengan sasaran negara untuk menarik antara 22 hingga 23 juta pelancong antarabangsa menjelang akhir tahun 2025.

Vietnam kini berada di landasan yang kukuh untuk muncul sebagai antara destinasi pelancongan paling kompetitif dan popular di rantau Asia Tenggara, berbekalkan keindahan alam semula jadi, warisan budaya yang kaya serta kestabilan politik dan ekonomi yang berterusan.

YM Dato’ Sri Siti Nur Atiqah nafi terbabit isu penipuan haji percuma, akui tiada kaitan dengan MRF

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – MRF menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan mereka berhubung insiden membabitkan 82 jemaah yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini, akibat masalah berkaitan visa haji Mujamalah.

Pemilik MRF, YM Dato’ Seri Paduka Diraja Dato’ Sri Siti Nur Atiqah Dato’ Seri Baba tampil memberikan penjelasan berhubung insiden itu.

Menjawab pelbagai tuduhan yang tular di media sosial, beliau menafikan sekeras-kerasnya bahawa dirinya mahupun syarikat miliknya, MRF, tidak terbabit dalam apa jua bentuk penipuan atau skandal berkaitan ibadah haji.

“Saya nak tekankan, semua yang tular di media sosial itu tidak benar,” tegasnya, sambil merujuk kepada kenyataan rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut memaklumkan bahawa siasatan masih dijalankan dan setakat ini tiada bukti yang mengaitkan beliau secara langsung.

Siti berkata, penglibatannya dalam urusan berkenaan bermula apabila beliau menerima surat tawaran dan tiket penerbangan sah untuk menunaikan haji secara tajaan penuh daripada seorang individu yang dikenalinya menerusi kerjasama amal sebelum ini.

Dakwanya, agensi yang dinamakan sebagai Albalad itu, bertanggungjawab menyediakan dokumen berkenaan.

“Kami telah menerima surat tawaran untuk menunaikan haji secara tajaan penuh.

“Tapi kenapa pihak agensi yang bernama Albalad tidak mengaku? Surat terbabit jelas dikeluarkan oleh mereka,” katanya pada sidang media bagi menjelaskan perkara berkenaan.

Beliau turut memaklumkan pihak agensi menjanjikan penyambutan di Jeddah, namun pada saat akhir jemaah diminta menunggu kerana visa Mujamalah masih belum diperoleh.

Keadaan ini menyebabkan sebahagian besar jemaah gagal berlepas.

“Saya sendiri ditaja. Keluarga saya pun ikut serta. Kenapa saya nak aniaya diri sendiri dan keluarga saya?,” katanya.

Sementara itu, seorang daripada jemaah yang turut serta dalam rombongan terbabit menjelaskan tawaran “haji percuma” yang tular sebenarnya tidak tepat.

Menurutnya, kesemua 82 jemaah adalah penerima tajaan dan tidak terbabit dalam sebarang pembayaran bagi urusan visa atau penerbangan.

“Kami hanya berurusan mengenai dokumen. Penaja yang menguruskan visa dan penerbangan.

‘Kami pula diarahkan untuk tidak berhubung terus dengan agensi Albalad,” katanya.

Sumber itu juga menafikan dakwaan kononnya pasport disalah guna, malah semua dokumen diserahkan atas dasar kepercayaan kepada penaja.

Suasana di KLIA ketika itu menurutnya kekal terkawal, kecuali insiden kekecohan yang dicetuskan oleh segelintir individu.

“Hanya tujuh orang jemaah yang bangkit dan mencetuskan kekecohan. Selebihnya masih tenang dan berharap urusan haji tetap diteruskan,” katanya.

Beliau berkata, selepas kehadiran polis, terdapat jemaah yang pada mulanya enggan membuat laporan berubah fikiran selepas diyakinkan, lalu bertindak membuat laporan bagi mendapatkan semula pasport mereka.

Siti berkata, beliau sendiri telah memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan menjalani sesi soal siasat selama lebih 12 jam di Balai Polis KLIA dan juga Dang Wangi.

Walaupun keletihan, beliau menegaskan tidak pernah melenting kerana yakin tidak melakukan sebarang kesalahan.

Beliau juga meluahkan rasa kesal terhadap kenyataan penyanyi Amir Ukays yang didakwa menimbulkan salah faham dan memburukkan lagi persepsi awam.

“Saya rasa dianiaya. Kenyataan yang dikeluarkan seolah-olah kami sengaja menipu.

“Padahal, kami pun sama-sama menunggu dan sebahagian besar jemaah sudah pun selamat berangkat ke Mekah,” katanya.

Menjawab spekulasi yang mengaitkan syarikat miliknya dalam insiden ini, Siti berkata, MRF langsung tidak terbabit.

Beliau hanya bertindak sebagai perantara dalam membantu urusan jemaah atas dasar kebajikan dan bukan untuk tujuan perniagaan.

“Ingin saya tegaskan sekali lagi, isu ini langsung tiada kaitan dengan MRF. Semua ini berlaku atas tajaan individu lain,” katanya.

Katanya, pihak polis masih meneruskan siasatan berdasarkan beberapa laporan yang telah dibuat, termasuk daripada penyanyi berkenaan.

Beliau sendiri menyatakan kesediaan penuh untuk terus memberi kerjasama dan menjunjung prinsip kebenaran.

“Kalau benda ini betul-betul saya yang salah, kenapa ada jemaah yang dah pun selamat berangkat ke Mekah?,” luahnya.

Dalam sidang media itu, beliau turut menyeru media dan orang ramai agar tidak menjatuhkan hukuman berdasarkan maklumat separuh masak atau video yang tular semata-mata.

Menurutnya, terlalu banyak persepsi dan dakwaan yang dibina tanpa memahami keseluruhan cerita sebenar.

Baginya, isu ini masih belum menemui titik noktah. Namun apa yang jelas, masih terdapat banyak persoalan yang perlu dijawab oleh pihak agensi Albalad serta individu yang bertindak sebagai penaja utama.

Siti Nur Atiqah tampil dengan keyakinan dan keterbukaan, bersedia menghadapi siasatan dan tidak gentar untuk menuntut pembelaan terhadap dirinya dan jemaah yang terkandas.

Katanya, ini bukan soal menjaga nama semata-mata, tetapi demi mempertahankan kebenaran dan maruah.

Pihak berkuasa diharap dapat menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh, agar mereka yang benar-benar bersalah dapat dibawa ke muka pengadilan dan jemaah mendapat keadilan yang sewajarnya.

Rossa bawa magis konsert Here I Am ke Kuala Lumpur: Hael Husaini, The Ladies & barisan artis popular lengkapkan malam istimewa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa, bakal mengulangi magis konsert mega Here I Am yang mencetus fenomena luar biasa di Jakarta, dengan membawa pengalaman muzik penuh emosi dan kemegahan itu ke Kuala Lumpur.

Axiata Arena, Bukit Jalil dipilih sebagai lokasi penganjuran konsert yang dijadual berlangsung pada 14 Jun ini.

Kejayaan konsert di Indonesia Arena baru-baru ini yang menyaksikan lebih 12,000 peminat membanjiri venue berkenaan menjadi bukti keampuhan Rossa sebagai seorang penghibur yang kekal relevan sepanjang hampir tiga dekad berkarya.

Kuala Lumpur menjadi destinasi kedua dalam siri konsert ini yang bukan sekadar lokasi, malah sebuah simbol kasih sayang antara Rossa dan peminat setianya di Malaysia.

“Malaysia sentiasa mempunyai tempat yang istimewa dalam hidup dan kerjaya saya.

“Di negara inilah kerjaya nyanyian saya berkembang dan dari sinilah juga lagu-lagu saya menyentuh hati peminat seluruh Nusantara.

Here I Am bukan sekadar sebuah konsert, ia adalah hadiah dan perayaan cinta saya kepada peminat Malaysia yang tidak pernah berhenti menyokong sejak awal perjalanan seni saya,” katanya.

Konsert yang dijangka berlangsung lebih dua jam itu akan membawakan lebih 25 lagu ikonik daripada katalog hits Rossa, termasuk Tegar, Hati Yang Kau Sakiti, Terlalu Cinta, Pudar, dan Aku Bukan Untukmu.

Menambah lagi keterujaan, konsert ini turut menampilkan beberapa artis undangan tersohor tanah air dan serantau yang bakal menyerikan pentas pada malam berkenaan.

Antaranya ialah penyanyi berbakat besar Hael Husaini, yang menurut Rossa memiliki kekuatan vokal dan penghayatan yang mampu menyentuh jiwa.

“Saya sangat menghormati dan mengagumi bakat Hael. Setiap bait lagu yang beliau sampaikan ada ‘rasa’ dan itu adalah elemen yang saya cari dalam setiap kolaborasi.

“Saya tak sabar untuk membawakan sesuatu yang eksklusif bersama Hael khas buat penonton Malaysia,” katanya.

Turut memeriahkan konsert ialah The Ladies kumpulan vokal wanita yang dianggotai bintang Indonesian Idol seperti Rimar, Jemimah, Awdella dan Syarla.

Gabungan suara mereka bukan sahaja memukau, tetapi turut mencerminkan kekuatan dan solidariti wanita dalam dunia seni.

Rossa menyifatkan kehadiran mereka sebagai simbolik kepada kebersamaan dan sokongan antara wanita di Nusantara.

Tidak cukup dengan itu, barisan artis jemputan lain seperti Ariel Noah, yang bakal berduet dengan Rossa dalam persembahan penuh makna, serta Ernie Zakri, MK K-Clique dan DJ/Produser muzik Dipha Barus, turut dijadualkan membuat kemunculan istimewa.

Kesemua ini memberi gambaran bahawa Here I Am di Kuala Lumpur bukan sekadar konsert, tetapi sebuah malam kolaborasi antara bintang besar dan generasi baharu.

Sebagai penghormatan kepada bakat baharu tempatan, konsert ini turut memberi ruang kepada Top 4 peserta One In A Million iaitu Marygrace, Kai Deva, Jimi dan Zazzleen untuk tampil dalam segmen khas satu lagi bukti bahawa muzik mampu menyatukan generasi dan latar belakang berbeza.

Penganjuran Here I Am kali ini dikendalikan oleh Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production, dengan kerjasama promosi serta pemasaran oleh Sah Entertainment.

Ia dijangka menjadi antara konsert paling dinanti tahun ini, khususnya buat peminat yang ingin menyaksikan sendiri gabungan suara, cerita dan persahabatan dalam satu malam yang penuh emosi.

Tiket konsert boleh didapati menerusi platform www.ticket2u.com.my, dengan harga bermula RM228 (kategori Festival) hingga RM788 (kategori Diamond Center), tidak termasuk cukai dan yuran pentadbiran.

Bagi pembelian tiket korporat, pihak yang berminat boleh menghubungi Rohaiza di talian 019-288 9764 atau menerusi e-mel di rossa@yayasanprihatin.com.

CARiNG Pharmacy, Shell Malaysia permudah akses kesihatan harian rakyat Malaysia menerusi kempen “Beli dan Menang”

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam usaha memperluas akses kepada penjagaan kesihatan harian yang berkualiti, CARiNG Pharmacy mengorak langkah baharu menerusi kerjasama strategik bersama Shell Malaysia.

Inisiatif ini menyaksikan lebih 600 kedai Shell SELECT di seluruh Semenanjung Malaysia mula menawarkan rangkaian 36 produk kesihatan pilihan yang dikurasi khas oleh CARiNG Pharmacy.

Kerjasama ini mencerminkan komitmen jangka panjang CARiNG Pharmacy, yang selama lebih tiga dekad menjadi nama dipercayai dalam kalangan pengguna tempatan, dalam memastikan produk kesihatan berkualiti tinggi dapat diperoleh dengan lebih mudah dan cepat.

Dengan penempatan produk-produk ini di stesen Shell, rakyat Malaysia kini boleh mendapatkan keperluan kesihatan asas ketika mengisi minyak, dalam perjalanan harian, atau ketika menjalankan urusan seharian tanpa perlu singgah ke farmasi.

Antara produk yang ditawarkan termasuklah ubat melegakan simptom selesema, produk untuk masalah pencernaan ringan, serta bantuan bagi kelegaan sakit otot dan sendi.

Kesemua ini adalah barangan yang sering diperlukan oleh pengguna aktif dalam kehidupan harian mereka.

Bagi memeriahkan lagi pelancaran kolaborasi ini, CARiNG Pharmacy turut melancarkan kempen peraduan “Beli dan Menang”, yang berlangsung sehingga 30 Jun 2025.

Pelanggan hanya perlu berbelanja minimum RM15 untuk produk CARiNG di mana-mana Shell SELECT yang mengambil bahagian, bagi melayakkan diri menyertai peraduan yang menawarkan pelbagai hadiah lumayan.

Antara hadiah menarik yang ditawarkan termasuk telefon pintar iPhone 16 (256GB), Huawei Watch D2, vakum tanpa wayar Electrolux UltimateHome 300, serta baucar tunai CARiNG Pharmacy.

Untuk menyertai, pelanggan hanya perlu mengimbas kod QR yang terletak pada rak produk dan memuat naik resit pembelian melalui pautan yang disediakan, menjadikan proses penyertaan semudah satu imbasan.

Melalui kerjasama ini, CARiNG Pharmacy bukan sahaja mengukuhkan kehadirannya di tengah-tengah komuniti, malah turut memperkasa cara baharu dalam menjadikan penjagaan kesihatan sebahagian daripada rutin harian rakyat.

Sama ada dalam perjalanan ke tempat kerja, pulang ke kampung, atau ketika singgah sebentar di stesen minyak, pengguna kini boleh mendapatkan keperluan kesihatan dengan lebih mudah sambil berpeluang memenangi hadiah menarik.

Kerjasama bersama Shell Malaysia ini menandakan satu pencapaian penting dalam evolusi perkhidmatan kesihatan runcit di negara ini.

Ia membuka lembaran baharu kepada integrasi gaya hidup moden dengan penjagaan kesihatan proaktif, sekaligus menjadikan CARiNG Pharmacy lebih dekat dan relevan dengan keperluan harian masyarakat Malaysia.

Bunga Citra Lestari bawa konsert romantis bertaraf dunia ke Kuala Lumpur September ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon tersohor dari Indonesia, Bunga Citra Lestari atau lebih dikenali sebagai BCL, bakal mengubat rindu peminatnya di Malaysia menerusi penganjuran konsert istimewa bertemakan cinta, BCL: Eternal Love – Timeless Romance, yang dijadual berlangsung pada 27 September 2025 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Konsert yang dianjurkan oleh Pulse Project Asia ini bakal menjadi satu pengalaman luar biasa, memaparkan keindahan karya-karya BCL yang sinonim dengan tema cinta, antaranya lagu ikonik seperti Cinta Sejati, Cinta Pertama (Sunny), Karena Ku Cinta Kau, 12 Tahun Terindah serta single terbaharu beliau, Memulai Kembali.

Kesemua lagu yang bakal dipersembahkan membawa naratif emosi dan perjalanan panjang BCL dalam dunia hiburan serantau.

Wakil Pulse Project Asia, Muhammad Anuar Zaini berkata, konsert ini dijangka membawa kelainan berbanding persembahan-persembahan BCL sebelum ini.

Ia bukan sekadar persembahan muzik, tetapi turut disulam dengan naratif peribadi dan sentuhan intim antara BCL dan peminatnya dalam suasana penuh kehangatan dan rasa cinta.

“Pulse Project Asia dengan penuh rasa cinta mempersembahkan BCL: Eternal Love – Timeless Romance sebagai hadiah eksklusif buat peminat yang setia menyokong beliau selama ini.

“Penonton akan dibawa merentasi perjalanan muzik yang menyentuh jiwa melalui susunan lagu-lagu balada yang penuh makna, dipersembahkan dalam produksi bertaraf dunia,” katanya.

Katanya, kehadiran BCL ke Kuala Lumpur sebagai satu ‘kepulangan’ ke rumah keduanya, memandangkan Malaysia sentiasa memberikan sambutan hangat kepada penyanyi berbakat besar ini.

“BCL bukanlah nama asing di Malaysia. Setiap kali beliau hadir, sambutannya luar biasa.

“‘Aroma cinta’ dalam karya beliau begitu dekat di hati peminat di sini,” katanya lagi.

BCL pula melihat konsert ini sebagai peluang istimewa untuk kembali bertemu peminat Malaysia dalam suasana yang lebih peribadi.

Beliau mengakui sentiasa menantikan saat untuk berkongsi kasih dan penghargaan terhadap peminat yang tidak pernah jemu menyokong perjalanan seninya sejak lebih sedekad yang lalu.

Tiket bagi BCL: Eternal Love – Timeless Romance mula dijual pada 6 Jun 2025, jam 3 petang, secara eksklusif di platform Ticket2U.

Peminat berpeluang menikmati harga istimewa melalui tawaran ‘early bird’ dengan kuota terhad, serta potongan 10 peratus bagi pembelian semasa hari pelancaran.

Antara keistimewaan yang ditawarkan termasuk peluang menyaksikan sesi latihan (soundcheck) secara langsung oleh BCL, satu pengalaman eksklusif yang hanya ditawarkan kepada 300 pembeli tiket terawal.

Selain itu, pemegang tiket pakej khas “Cinta Abadi” bakal menikmati layanan VIP termasuk sesi Meet & Greet bersama BCL, sesi bergambar dan barangan eksklusif bertandatangan daripada beliau sendiri.

Tiket dijual dengan harga bermula RM288 (harga biasa) dan RM259 (pra-jualan), manakala kategori istimewa menawarkan pelbagai pengalaman tambahan yang tidak ternilai.

Penganjur turut menasihati peminat agar mendapatkan tiket hanya melalui saluran rasmi Ticket2U bagi menjamin kesahihan tempat duduk serta akses ke pengalaman eksklusif yang dijanjikan.

Konsert BCL: Eternal Love – Timeless Romance bukan sahaja menjanjikan persembahan memukau daripada figura seni yang penuh pesona, malah membawa penonton menyelami makna cinta dalam setiap bait lagu yang dinyanyikan sebuah malam yang dijangka menjadi memori terindah buat setiap yang hadir.

Royal Selangor terima waran Diraja Selangor daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Royal Selangor International Sdn. Bhd. mengumumkan penerimaan anugerah Waran Diraja Selangor yang dikurniakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan dan Pemerintah Negeri Selangor Darul Ehsan serta jajahannya.

Penganugerahan Waran Diraja ini adalah satu pengiktirafan berprestij yang diberikan kepada syarikat-syarikat yang secara konsisten membekalkan barangan atau perkhidmatan berkualiti tinggi kepada Istana Diraja Selangor.

Ia melambangkan kepercayaan dan penghargaan tertinggi daripada institusi diraja terhadap komitmen serta mutu yang ditampilkan oleh penerima.

Royal Selangor buat pertama kalinya menerima penghormatan ini pada tahun 1979 daripada Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Penganugerahan terbaharu oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah adalah satu pengesahan terhadap hubungan erat yang telah terjalin sejak puluhan tahun, selain menegaskan komitmen Royal Selangor dalam mengekalkan kecemerlangan, integriti dan khidmat yang unggul.

Majlis penyerahan rasmi Waran Diraja telah diadakan dalam satu upacara tertutup, baru-baru ini.

Waran berkenaan telah disampaikan kepada Pengarah Urusan Royal Selangor, Dato’ Yong Yoon Li.

Dalam kenyataannya, Dato’ Yong menyatakan rasa syukur dan penghargaan yang tinggi atas kepercayaan yang berterusan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

“Kami amat berbesar hati dan berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

“Pengiktirafan ini mengukuhkan lagi komitmen kami untuk terus menjunjung standard dan tradisi yang menjadi asas kepada institusi Diraja Selangor dan juga nilai-nilai yang didukung oleh Royal Selangor,” katanya.

Dengan penerimaan Waran Diraja ini, Royal Selangor diberi keizinan untuk menggunakan Lambang Diraja Selangor serta gelaran rasmi “By Appointment to His Royal Highness The Sultan of Selangor” pada produk-produk tertentu yang diliputi di bawah pengiktirafan terbabit.

Royal Selangor, yang terkenal dengan hasil kerja tangan berasaskan piuter, terus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa dan kekal menjadi lambang warisan serta inovasi dalam seni pertukangan logam tempatan.

121 sekolah padat di seluruh negara bakal terima bilik darjah tambahan baharu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam usaha berterusan untuk menangani isu sekolah padat dan memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan pembinaan bilik darjah tambahan baharu membabitkan 121 buah sekolah di seluruh negara.

Projek membabitkan peruntukan sebanyak RM88 juta itu merangkumi pembinaan bilik darjah untuk aliran perdana serta Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Inisiatif ini turut membabitkan penyediaan infrastruktur lengkap termasuk peralatan pengajaran dan perabot bagi memenuhi keperluan semasa warga pendidik dan murid.

Daripada jumlah keseluruhan sekolah terbabit, majoriti terletak di Selangor dengan 103 buah sekolah dikenal pasti, diikuti Perak (8), Pahang (4), Negeri Sembilan (3), manakala masing-masing satu sekolah di Terengganu, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Pelaksanaan projek ini akan dijalankan oleh Kementerian Kerja Raya menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR), dengan KPM bertindak sebagai penyelaras utama bagi memastikan objektif projek tercapai dalam tempoh yang ditetapkan.

Dalam satu kenyataan rasmi, KPM berkata, pihaknya memberikan komitmen untuk terus berusaha mengatasi isu kesesakan sekolah melalui penyediaan kemudahan pendidikan yang lebih selesa dan menyeluruh.

Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada strategi menyeluruh kerajaan dalam menjamin akses pendidikan berkualiti kepada semua lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang.

Sebagai penyelesaian jangka pendek yang efektif, pembinaan bilik darjah tambahan ini akan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS), satu pendekatan moden dalam sektor pembinaan yang menekankan kecekapan dan kualiti.

Projek ini juga akan menggunakan pelan lukisan yang telah diluluskan terlebih dahulu, atau Pre-Approved Plan (PAP), bagi mempercepatkan proses pembinaan serta menjamin ketepatan pelaksanaan di tapak.

Penggunaan kaedah IBS membolehkan tempoh pembinaan yang lebih singkat, sekali gus memastikan kemudahan ini dapat digunakan dalam tahun semasa tanpa perlu menunggu terlalu lama.

Ia adalah pendekatan yang bukan sahaja menjimatkan masa, malah mampu mengurangkan gangguan terhadap operasi harian sekolah.

Inisiatif ini dijangka memberi impak positif kepada lebih ramai murid, khususnya di sekolah-sekolah yang selama ini berdepan cabaran kapasiti bilik darjah yang terhad.

Pembinaan ruang tambahan yang lebih selesa diharap mampu menyokong proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan, selain memperkukuh kebajikan serta kesejahteraan warga pendidik.

Langkah ini turut menunjukkan kesungguhan KPM dalam memastikan sistem pendidikan negara terus berkembang selari dengan keperluan semasa dan jangkaan masa depan, sekali gus mengangkat mutu pendidikan nasional ke tahap yang lebih tinggi.

“Kisah Penuh Kecewa” satukan dua suara hati Nusantara: Ernie Zakri, Anggi Marito persembah kolaborasi sarat emosi

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sebuah kolaborasi penuh emosi antara dua bintang vokal serumpun, Ernie Zakri dari Malaysia dan Anggi Marito dari Indonesia, kini menggemakan perasaan cinta dan perpisahan melalui lagu baharu berjudul Kisah Penuh Kecewa.

Lagu ini pertama kali dipersembahkan secara langsung dalam konsert Aura: Ernie Zakri Live in Concert yang berlangsung pada 31 Mei lalu di The Theatre at Mediacorp, Singapura, menandakan detik istimewa dalam kerjaya muzik kedua-dua artis.

Buat pertama kalinya, penonton Singapura menyaksikan gandingan dua vokalis unggul ini berkongsi pentas dalam persembahan yang menyentuh jiwa.

Lagu Kisah Penuh Kecewa, hasil kolaborasi sulung mereka, mengetengahkan kekuatan vokal dan penghayatan mendalam yang mampu menggetarkan perasaan pendengar dari kedua-dua negara.

Bagi Ernie Zakri, pemenang kategori Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL 39), lagu ini membawa makna yang sangat mendalam.

“Ia menceritakan kisah cinta yang tidak berakhir kerana tiada rasa sayang, tetapi kerana salah seorang telah memilih untuk tidak meneruskan hubungan itu.

“Walaupun penuh dengan kekecewaan, lagu ini juga menyampaikan kekuatan untuk terus melangkah ke hadapan,” katanya.

Ernie turut menekankan mesej lagu ini mudah difahami dan relevan kepada ramai orang.

“Liriknya sangat terus terang. Saya percaya ramai yang boleh mengaitkan pengalaman mereka dengan lagu ini.

“Harapan saya, pendengar akan menikmati lagunya dan mungkin lagu ini boleh menjadi peneman buat mereka yang sedang melalui situasi serupa,” katanya lagi.

Anggi Marito, yang meraih tempat ketiga dalam program Indonesian Idol musim ke-11, menyifatkan peluang bekerjasama dengan Ernie sebagai satu penghormatan besar.

Sebagai peminat lama penyanyi lagu Aura itu, Anggi amat teruja dapat bergabung suara dengan artis yang dikaguminya.

“Saya sudah lama mengenali nama Ernie Zakri. Suaranya sangat kuat dan penuh dengan perasaan.

“Setiap kali dia menyanyi, kita boleh rasa emosinya sampai ke hati. Saya rasa sangat berbesar hati dapat berkongsi karya ini bersamanya,” kata Anggi dalam nada penuh penghargaan.

Selepas penampilan istimewa di Singapura, Anggi Marito turut hadir ke Kuala Lumpur bagi meneruskan promosi lagu Kisah Penuh Kecewa.

Sebagai tanda penghargaan kepada peminat, satu sesi makan malam eksklusif telah diadakan pada 4 Jun lalu di restoran ikonik Hameediyah Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Majlis ini bukan sekadar sesi promosi, tetapi sebuah pertemuan mesra yang membolehkan peminat menikmati suasana makan malam yang intim dan bermakna bersama dua penyanyi kesayangan mereka.

Acara berkenaan turut mendapat sentuhan istimewa daripada pihak Hameediyah yang menyediakan lokasi dan layanan penuh mesra, menambahkan lagi keunikan pengalaman malam itu.

Suasana hangat dan santai menjadi latar sempurna untuk mengeratkan hubungan antara artis dan peminat, serta meraikan kejayaan awal lagu baharu ini.

Lagu Kisah Penuh Kecewa kini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital sejak 23 Mei 2025 yang lalu.

Video muzik rasmi turut dilancarkan bagi memperkuatkan lagi mesej lagu menerusi naratif visual yang menyentuh perasaan, sejajar dengan kekuatan vokal dua penyanyi hebat ini.

Melangkaui sempadan negara, kolaborasi antara Ernie Zakri dan Anggi Marito membuktikan bahawa muzik benar-benar bersifat universal.

Dengan tema cinta, kehilangan dan ketabahan yang disampaikan dalam gaya balada penuh perasaan, Kisah Penuh Kecewa bukan sahaja menghubungkan dua artis berbakat dari Malaysia dan Indonesia, tetapi juga mengetuk pintu hati pendengar di seluruh rantau ini.

Tealive lancar rangkaian minuman sachet 3 dalam 1, tawar kenikmatan gaya kafe bila-bila masa

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Jenama teh gaya hidup terkemuka di Asia Tenggara, Tealive hari ini melakar sejarah baharu apabila secara rasmi melancarkan rangkaian minuman dalam bentuk sachet 3 dalam 1 pertama mereka.

Ia sekali gus menandakan kemasukan rasminya ke dalam pasaran barangan pengguna bergerak pantas (FMCG).

Menerusi pelancaran yang berlangsung di IOI City Mall, Tealive memperkenalkan varian teh susu, kopi dan coklat yang bukan sahaja mudah disediakan, tetapi juga mengekalkan rasa lazat setaraf kafe sesuai untuk dinikmati di mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Majlis pelancaran ini turut mendapat suntikan istimewa apabila dirasmikan oleh bekas Menteri dan tokoh media, Khairy Jamaluddin, yang menyifatkan langkah ini sebagai satu perubahan budaya dalam landskap keusahawanan tempatan.

“Perjalanan Tealive daripada kiosk ke rumah pengguna bukan sekadar evolusi perniagaan, tetapi mencerminkan bagaimana produk tempatan mampu berkembang menjadi gaya hidup.

“Ini adalah detik kebanggaan bagi inovasi Malaysia,” kata Khairy.

Khairy turut menyuarakan sokongan terhadap usaha Tealive dan menyeru masyarakat agar memberi kepercayaan kepada inovasi tempatan.

“Jenama seperti Tealive membuktikan kita ada bakat dan kemampuan.

“Kita hanya perlu kepercayaan kolektif untuk membawa produk kita ke peringkat global,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Tealive, Bryan Loo berkata, pelancaran ini adalah satu langkah strategik yang berani, bertujuan memastikan jenama Tealive terus relevan dengan gaya hidup masa kini yang menuntut kemudahan dan akses segera.

“Kami mahu menjadikan rasa kegemaran Tealive lebih mudah dinikmati oleh semua.

“Rangkaian 3 dalam 1 ini membawa pengalaman Tealive terus ke rumah, tempat kerja atau semasa dalam perjalanan,” katanya.

Rangkaian sachet ini akan mula dijual secara eksklusif di semua cawangan AEON dan Tealive di seluruh negara serta menerusi platform e-dagang mulai 15 Jun, sebelum diperluaskan ke lebih banyak saluran runcit pada bulan Julai.

Setiap kotak dijual pada harga RM12.90 dan mengandungi lima hingga enam sachet, dihasilkan daripada bahan premium bagi memastikan rasa yang kaya, berkrim dan autentik.

Antara pilihan yang ditawarkan termasuk:

-Teh Susu: Teh Susu Signature, Teh Matcha dan Teh Tarik

-Kopi: Kopi Signature, Caramel Macchiato dan Kopi Hazelnut

-Coklat: Coklat Signature, Coklat Gelap dan Coklat Hazelnut

Loo berkata, pemilihan bahan berkualiti tinggi serta pembangunan profil rasa yang menyerupai pengalaman di cawangan Tealive menjadi kunci kepada produk ini.

“Sachet ini bukan sekadar sedap, tetapi perlu menghadirkan emosi dan kenikmatan yang sama seperti menikmati minuman di kedai kami,” katanya.

Dalam pasaran FMCG yang kian kompetitif, Tealive yakin kepercayaan pengguna terhadap jenama mereka, inovasi dalam cita rasa, integriti bahan dan hubungan emosi yang kukuh dengan pelanggan akan menjadi faktor pembeza utama.

“Kami membina Tealive sebagai jenama gaya hidup bukan sekadar satu produk.

“Sokongan terhadap jenama tempatan yang berkualiti tinggi seperti ini adalah pilihan bijak, bukan semata-mata semangat patriotik,” katanya.

Menurut laporan Frost & Sullivan, segmen kedai teh di Malaysia dijangka mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 9.6 peratus dari 2024 hingga 2029 melepasi pertumbuhan industri minuman secara keseluruhan.

Tealive berada dalam kedudukan yang strategik untuk memanfaatkan pertumbuhan ini, khususnya menerusi saluran runcit dan FMCG.

Majlis pelancaran turut menyaksikan pengenalan menu baharu yang lebih segar dan pelbagai.

Bagi memenuhi kehendak pengguna yang lebih mementingkan kesihatan, Tealive memperkenalkan kategori teh susu ringan.

Minuman popular seperti Bang Bang juga kembali dengan formulasi baharu yang lebih berkrim, manakala siri premium seperti teh Da Hong Pao dan Snowy menambah pilihan yang lebih eksklusif kepada pelanggan.

“Pembaharuan menu ini selari dengan perubahan gaya hidup dan cita rasa pengguna. Kami ingin memastikan setiap pelanggan sama ada yang mencari indulgence atau keseimbangan dapat menemukan sesuatu yang mereka suka,” katanya.

Sebagai simbol penghargaan terhadap kreativiti tempatan, Tealive turut mengumumkan kerjasama eksklusif bersama jenama tempatan bagi menghasilkan barangan edisi terhad.

Usaha ini diraikan sebagai sebahagian daripada penghormatan terhadap warisan dan kebanggaan Malaysia.

Dengan pelancaran inovatif ini, Tealive terus mengukuhkan kedudukannya bukan hanya sebagai peneraju dalam industri minuman gaya hidup, tetapi juga sebagai pencetus transformasi dalam cara rakyat Malaysia menikmati minuman kegemaran mereka.