editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa, bakal mengulangi magis konsert mega Here I Am yang mencetus fenomena luar biasa di Jakarta, dengan membawa pengalaman muzik penuh emosi dan kemegahan itu ke Kuala Lumpur.
Axiata Arena, Bukit Jalil dipilih sebagai lokasi penganjuran konsert yang dijadual berlangsung pada 14 Jun ini.
Kejayaan konsert di Indonesia Arena baru-baru ini yang menyaksikan lebih 12,000 peminat membanjiri venue berkenaan menjadi bukti keampuhan Rossa sebagai seorang penghibur yang kekal relevan sepanjang hampir tiga dekad berkarya.
Kuala Lumpur menjadi destinasi kedua dalam siri konsert ini yang bukan sekadar lokasi, malah sebuah simbol kasih sayang antara Rossa dan peminat setianya di Malaysia.
“Malaysia sentiasa mempunyai tempat yang istimewa dalam hidup dan kerjaya saya.
“Di negara inilah kerjaya nyanyian saya berkembang dan dari sinilah juga lagu-lagu saya menyentuh hati peminat seluruh Nusantara.
“Here I Am bukan sekadar sebuah konsert, ia adalah hadiah dan perayaan cinta saya kepada peminat Malaysia yang tidak pernah berhenti menyokong sejak awal perjalanan seni saya,” katanya.

Konsert yang dijangka berlangsung lebih dua jam itu akan membawakan lebih 25 lagu ikonik daripada katalog hits Rossa, termasuk Tegar, Hati Yang Kau Sakiti, Terlalu Cinta, Pudar, dan Aku Bukan Untukmu.
Menambah lagi keterujaan, konsert ini turut menampilkan beberapa artis undangan tersohor tanah air dan serantau yang bakal menyerikan pentas pada malam berkenaan.
Antaranya ialah penyanyi berbakat besar Hael Husaini, yang menurut Rossa memiliki kekuatan vokal dan penghayatan yang mampu menyentuh jiwa.
“Saya sangat menghormati dan mengagumi bakat Hael. Setiap bait lagu yang beliau sampaikan ada ‘rasa’ dan itu adalah elemen yang saya cari dalam setiap kolaborasi.
“Saya tak sabar untuk membawakan sesuatu yang eksklusif bersama Hael khas buat penonton Malaysia,” katanya.
Turut memeriahkan konsert ialah The Ladies kumpulan vokal wanita yang dianggotai bintang Indonesian Idol seperti Rimar, Jemimah, Awdella dan Syarla.

Gabungan suara mereka bukan sahaja memukau, tetapi turut mencerminkan kekuatan dan solidariti wanita dalam dunia seni.
Rossa menyifatkan kehadiran mereka sebagai simbolik kepada kebersamaan dan sokongan antara wanita di Nusantara.
Tidak cukup dengan itu, barisan artis jemputan lain seperti Ariel Noah, yang bakal berduet dengan Rossa dalam persembahan penuh makna, serta Ernie Zakri, MK K-Clique dan DJ/Produser muzik Dipha Barus, turut dijadualkan membuat kemunculan istimewa.
Kesemua ini memberi gambaran bahawa Here I Am di Kuala Lumpur bukan sekadar konsert, tetapi sebuah malam kolaborasi antara bintang besar dan generasi baharu.
Sebagai penghormatan kepada bakat baharu tempatan, konsert ini turut memberi ruang kepada Top 4 peserta One In A Million iaitu Marygrace, Kai Deva, Jimi dan Zazzleen untuk tampil dalam segmen khas satu lagi bukti bahawa muzik mampu menyatukan generasi dan latar belakang berbeza.
Penganjuran Here I Am kali ini dikendalikan oleh Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production, dengan kerjasama promosi serta pemasaran oleh Sah Entertainment.
Ia dijangka menjadi antara konsert paling dinanti tahun ini, khususnya buat peminat yang ingin menyaksikan sendiri gabungan suara, cerita dan persahabatan dalam satu malam yang penuh emosi.
Tiket konsert boleh didapati menerusi platform www.ticket2u.com.my, dengan harga bermula RM228 (kategori Festival) hingga RM788 (kategori Diamond Center), tidak termasuk cukai dan yuran pentadbiran.
Bagi pembelian tiket korporat, pihak yang berminat boleh menghubungi Rohaiza di talian 019-288 9764 atau menerusi e-mel di rossa@yayasanprihatin.com.

