27.3 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 10, 2026

Royal Selangor terima waran Diraja Selangor daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Royal Selangor International Sdn. Bhd. mengumumkan penerimaan anugerah Waran Diraja Selangor yang dikurniakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan dan Pemerintah Negeri Selangor Darul Ehsan serta jajahannya.

Penganugerahan Waran Diraja ini adalah satu pengiktirafan berprestij yang diberikan kepada syarikat-syarikat yang secara konsisten membekalkan barangan atau perkhidmatan berkualiti tinggi kepada Istana Diraja Selangor.

Ia melambangkan kepercayaan dan penghargaan tertinggi daripada institusi diraja terhadap komitmen serta mutu yang ditampilkan oleh penerima.

Royal Selangor buat pertama kalinya menerima penghormatan ini pada tahun 1979 daripada Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Penganugerahan terbaharu oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah adalah satu pengesahan terhadap hubungan erat yang telah terjalin sejak puluhan tahun, selain menegaskan komitmen Royal Selangor dalam mengekalkan kecemerlangan, integriti dan khidmat yang unggul.

Majlis penyerahan rasmi Waran Diraja telah diadakan dalam satu upacara tertutup, baru-baru ini.

Waran berkenaan telah disampaikan kepada Pengarah Urusan Royal Selangor, Dato’ Yong Yoon Li.

Dalam kenyataannya, Dato’ Yong menyatakan rasa syukur dan penghargaan yang tinggi atas kepercayaan yang berterusan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

“Kami amat berbesar hati dan berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

“Pengiktirafan ini mengukuhkan lagi komitmen kami untuk terus menjunjung standard dan tradisi yang menjadi asas kepada institusi Diraja Selangor dan juga nilai-nilai yang didukung oleh Royal Selangor,” katanya.

Dengan penerimaan Waran Diraja ini, Royal Selangor diberi keizinan untuk menggunakan Lambang Diraja Selangor serta gelaran rasmi “By Appointment to His Royal Highness The Sultan of Selangor” pada produk-produk tertentu yang diliputi di bawah pengiktirafan terbabit.

Royal Selangor, yang terkenal dengan hasil kerja tangan berasaskan piuter, terus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa dan kekal menjadi lambang warisan serta inovasi dalam seni pertukangan logam tempatan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular