editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon tersohor dari Indonesia, Bunga Citra Lestari atau lebih dikenali sebagai BCL, bakal mengubat rindu peminatnya di Malaysia menerusi penganjuran konsert istimewa bertemakan cinta, BCL: Eternal Love – Timeless Romance, yang dijadual berlangsung pada 27 September 2025 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Konsert yang dianjurkan oleh Pulse Project Asia ini bakal menjadi satu pengalaman luar biasa, memaparkan keindahan karya-karya BCL yang sinonim dengan tema cinta, antaranya lagu ikonik seperti Cinta Sejati, Cinta Pertama (Sunny), Karena Ku Cinta Kau, 12 Tahun Terindah serta single terbaharu beliau, Memulai Kembali.
Kesemua lagu yang bakal dipersembahkan membawa naratif emosi dan perjalanan panjang BCL dalam dunia hiburan serantau.
Wakil Pulse Project Asia, Muhammad Anuar Zaini berkata, konsert ini dijangka membawa kelainan berbanding persembahan-persembahan BCL sebelum ini.
Ia bukan sekadar persembahan muzik, tetapi turut disulam dengan naratif peribadi dan sentuhan intim antara BCL dan peminatnya dalam suasana penuh kehangatan dan rasa cinta.
“Pulse Project Asia dengan penuh rasa cinta mempersembahkan BCL: Eternal Love – Timeless Romance sebagai hadiah eksklusif buat peminat yang setia menyokong beliau selama ini.
“Penonton akan dibawa merentasi perjalanan muzik yang menyentuh jiwa melalui susunan lagu-lagu balada yang penuh makna, dipersembahkan dalam produksi bertaraf dunia,” katanya.

Katanya, kehadiran BCL ke Kuala Lumpur sebagai satu ‘kepulangan’ ke rumah keduanya, memandangkan Malaysia sentiasa memberikan sambutan hangat kepada penyanyi berbakat besar ini.
“BCL bukanlah nama asing di Malaysia. Setiap kali beliau hadir, sambutannya luar biasa.
“‘Aroma cinta’ dalam karya beliau begitu dekat di hati peminat di sini,” katanya lagi.
BCL pula melihat konsert ini sebagai peluang istimewa untuk kembali bertemu peminat Malaysia dalam suasana yang lebih peribadi.
Beliau mengakui sentiasa menantikan saat untuk berkongsi kasih dan penghargaan terhadap peminat yang tidak pernah jemu menyokong perjalanan seninya sejak lebih sedekad yang lalu.

Tiket bagi BCL: Eternal Love – Timeless Romance mula dijual pada 6 Jun 2025, jam 3 petang, secara eksklusif di platform Ticket2U.
Peminat berpeluang menikmati harga istimewa melalui tawaran ‘early bird’ dengan kuota terhad, serta potongan 10 peratus bagi pembelian semasa hari pelancaran.
Antara keistimewaan yang ditawarkan termasuk peluang menyaksikan sesi latihan (soundcheck) secara langsung oleh BCL, satu pengalaman eksklusif yang hanya ditawarkan kepada 300 pembeli tiket terawal.
Selain itu, pemegang tiket pakej khas “Cinta Abadi” bakal menikmati layanan VIP termasuk sesi Meet & Greet bersama BCL, sesi bergambar dan barangan eksklusif bertandatangan daripada beliau sendiri.
Tiket dijual dengan harga bermula RM288 (harga biasa) dan RM259 (pra-jualan), manakala kategori istimewa menawarkan pelbagai pengalaman tambahan yang tidak ternilai.
Penganjur turut menasihati peminat agar mendapatkan tiket hanya melalui saluran rasmi Ticket2U bagi menjamin kesahihan tempat duduk serta akses ke pengalaman eksklusif yang dijanjikan.
Konsert BCL: Eternal Love – Timeless Romance bukan sahaja menjanjikan persembahan memukau daripada figura seni yang penuh pesona, malah membawa penonton menyelami makna cinta dalam setiap bait lagu yang dinyanyikan sebuah malam yang dijangka menjadi memori terindah buat setiap yang hadir.

