32.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, June 10, 2026
Home Blog Page 82

Stitch bawa suasana tropika ke Pavilion Kuala Lumpur sempena cuti sekolah

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Musim cuti sekolah kali ini menjanjikan pengalaman penuh warna-warni dan keceriaan apabila Pavilion Kuala Lumpur bertukar wajah menjadi sebuah syurga tropika yang diinspirasikan daripada dunia Disney’s Lilo & Stitch.

Bersempena dengan kempen ‘Aloha Summer’ dan sempena tayangan semula versi aksi nyata Lilo & Stitch, pusat beli-belah ikonik ini mengundang pengunjung dari pelbagai lapisan usia untuk menikmati pengalaman interaktif yang menampilkan watak ikonik Stitch, bermula sekarang hingga 15 Jun 2025.

Pop-up istimewa ini menghidupkan kembali kisah pengembaraan makhluk biru yang nakal itu melalui pelbagai pemasangan interaktif, aktiviti menarik, barangan eksklusif serta peluang bergambar yang pasti mencuit hati pengunjung.

Pavilion Kuala Lumpur bukan sahaja menjadi destinasi beli-belah, malah berubah menjadi pentas kenangan yang menggabungkan elemen nostalgia, hiburan, dan kasih sayang keluarga.

Ketua Pegawai Eksekutif (Runcit) Pavilion Kuala Lumpur, Dato’ Joyce Yap berkata, kerjasama dengan Disney kali ini memberi sentuhan istimewa yang menyentuh emosi dan menghidupkan semula kenangan manis bagi ramai pengunjung.

“Kempen ‘Aloha Summer’ ini membawa semangat ceria Stitch ke seluruh pusat beli-belah kami.

“Ia adalah gabungan sempurna antara pengembaraan, kenakalan dan kasih sayang yang menjadikan kisah Stitch begitu istimewa.

“Kami percaya pendekatan ini bukan sahaja menghiburkan, malah menyatukan keluarga dan komuniti dalam suasana yang menyeronokkan,” katanya.

Di Centre Court Pavilion Kuala Lumpur, pengunjung akan disambut dengan dekorasi bertema tropika yang meriah, menampilkan persekitaran seakan-akan pulau tempat tinggal Stitch.

Pelbagai booth pop-up turut menghiasi ruang, antaranya oleh Parkson yang menawarkan barangan Stitch boleh diubah suai, Miniso dengan mesin layan diri bertema Stitch, serta Metapark yang mempamerkan koleksi eksklusif bertemakan Stitch.

Selain itu, peminat LEGO turut berpeluang menyaksikan figura Stitch dalam bentuk blok LEGO yang dipamerkan di Spanish Steps.

Di kawasan Connection pula, Watsons menghadirkan pop-up bertema Lilo & Stitch yang menawarkan produk edisi terhad, hadiah tropika dan kejutan menarik sepanjang pengalaman membeli-belah.

Bagi pemegang kad Maybank, pelbagai keistimewaan turut ditawarkan termasuk peluang untuk mendapatkan pouch berbulu, kotak misteri rantai kunci Stitch, dan beg tote edisi khas.

Joyce berkata, usaha ini mencerminkan komitmen Pavilion Kuala Lumpur dalam menyediakan pengalaman luar biasa kepada pengunjung.

“Kami sentiasa berusaha mencipta detik bermakna yang mampu menjadikan pengalaman membeli-belah sebagai memori indah buat seisi keluarga.

“Apabila keluarga tertawa bersama menyaksikan keletah Stitch atau berkongsi keajaiban suasana tropika ini, mereka sebenarnya sedang membina kenangan yang akan diceritakan dari generasi ke generasi. Inilah keajaiban sebenar yang ingin kami wujudkan,” katanya.

Menambah kemeriahan sambutan, Pavilion Kuala Lumpur turut menganjurkan pelbagai aktiviti hiburan eksklusif sepanjang tempoh ‘Aloha Summer’.

Ini termasuk persembahan ukulele oleh Ferris Music, persembahan tarian Latin Breeze in Hawaii, persembahan K-pop musim panas oleh Q-girls, bengkel kanak-kanak oleh Curiouser London serta sajian pencuci mulut dari Frost N Bites  semuanya direka bagi mencipta suasana yang penuh keriangan dan pembelajaran untuk seisi keluarga.

Sama ada anda adalah peminat lama Stitch atau baru sahaja jatuh cinta dengan keletahnya, Pavilion Kuala Lumpur menjanjikan pengembaraan tropika yang mengasyikkan untuk semua.

Raikan musim cuti ini dengan semangat kekeluargaan, keceriaan dan keseronokan bersama Stitch hanya di Pavilion Kuala Lumpur.

Sambutan Hari Bapa penuh gaya dan makna di Pavilion Bukit Jalil

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Hari Bapa adalah peluang istimewa untuk meraikan insan yang sering kali diam, namun sentiasa hadir dalam setiap detik kehidupan seorang bergelar ayah.

Dari menjadi pemandu awal pagi, tukang baiki barang di rumah, hingga menjadi pakar mencari gerai makanan terbaik, bapa memainkan peranan yang besar dalam kehidupan seharian.

Tahun ini, Pavilion Bukit Jalil mengajak orang ramai untuk meraikan Hari Bapa dengan cara yang lebih bermakna bukan sekadar hadiah, tetapi juga dengan masa yang berkualiti bersama.

Dengan pelbagai pilihan gaya, makanan, teknologi dan aktiviti kekeluargaan, Pavilion Bukit Jalil menawarkan pengalaman menyeluruh untuk menjadikan sambutan Hari Bapa sebagai satu kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Gaya Untuk Setiap Jenis Ayah

Penampilan ayah mungkin berbeza-beza ada yang setia dengan kemeja-T yang sama dalam setiap gambar keluarga, ada juga yang tampil seperti baru keluar dari mesyuarat korporat.

Tidak kira apa jua gaya pilihan ayah, Pavilion Bukit Jalil menyediakan pilihan fesyen yang sesuai untuk semua.

Uniqlo di Aras 3 (Zon Jingga) menawarkan rekaan asas yang selesa dan bergaya, manakala Tommy Hilfiger dan Padini Concept Store (kedua-duanya di Aras 2, Zon Jingga) menampilkan koleksi pakaian kasual mahupun formal untuk memberi sentuhan segar kepada gaya ayah.

Bagi ayah yang lebih bergaya santai dan moden, Adidas (Aras 4, Zon Jingga) menyediakan pilihan kasut dan pakaian streetwear yang penuh gaya dan praktikal.

Makan Bersama, Eratkan Kasih Sayang

Tiada cara yang lebih baik untuk mengeratkan hubungan selain menikmati makanan bersama. Pavilion Bukit Jalil menampilkan pelbagai pilihan kulinari yang pasti menggembirakan hati bapa.

Mulakan hari dengan sarapan lazat di Park’s Bagel (Aras 4, Zon Merah Jambu), atau raikan dengan hidangan grill beramai-ramai di BBQ TOWN pada aras yang sama.

Bagi yang gemar rasa pedas dan sajian unik, Richeese Factory (Aras 1, Zon Merah Jambu) menawarkan pilihan menarik yang berbeza daripada kebiasaan.

Jika ayah ‘kononnya’ tiada gigi manis tetapi sentiasa menghabiskan pencuci mulut, lawatan ke Molten Chocolate Café (Aras 5, Zon Merah Jambu) atau More Yogurt (Aras 1, Zon Merah Jambu) pastinya tidak mengecewakan.

Untuk Ayah Yang Teknologi, Aktif dan Ingin Tahu

Bagi ayah yang gemar teknologi atau aktif bersukan, Pavilion Bukit Jalil adalah syurga pilihan. Urban Republic dan Machines (kedua-duanya di Aras 4, Zon Jingga) menawarkan pelbagai gajet terkini seperti jam pintar, fon kepala dan penjejak kecergasan.

Manakala untuk ayah yang aktif, Sports Direct, USC dan JD Sports menyediakan pakaian sukan serta peralatan yang bergaya dan berkualiti.

Sekiranya ayah mempunyai hobi unik atau minat terhadap barangan koleksi, Pop Mart (Aras 4, Zon Jingga) adalah destinasi yang menyeronokkan untuk diterokai.

Inilah masa untuk menggantikan hadiah ‘biasa’ dengan sesuatu yang benar-benar mencerminkan minat dan personaliti beliau.

Aktiviti Bersama Untuk Kenangan Bermakna

Lebih daripada sekadar hadiah, Pavilion Bukit Jalil menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk dinikmati bersama ayah.

Pilih untuk menonton filem pilihan beliau di TGV Cinemas (Aras 5, Zon Jingga), atau habiskan masa berkualiti bersama anak-anak di B.Duck City Funs (PIAZZA, Aras 3, Zon Jingga).

Bagi yang sukakan kreativiti, Fairytale Art and Craft (Aras 5, Zon Merah Jambu) menawarkan ruang untuk meluahkan ekspresi seni bersama, manakala Blue Ice Snow Park (juga di Aras 5) menyediakan pengalaman menyeronokkan dengan permainan salji tiruan.

Malah, sekadar berjalan-jalan sambil bergambar di sekitar dekorasi bertema dalam pusat beli-belah ini juga mampu mencipta momen istimewa yang dikenang sepanjang hayat.

Hari Bapa Bermakna Di Pavilion Bukit Jalil

Sambutan Hari Bapa tidak semestinya mewah yang penting, ia dilakukan dengan penuh ikhlas dan kasih sayang. Sama ada ayah gemar makanan, teknologi, filem atau sekadar menghiburkan dengan jenaka spontan, Pavilion Bukit Jalil menyediakan ruang terbaik untuk mengucapkan “terima kasih” dalam setiap langkah.

Kerana pada akhirnya, walau apa pun personalitinya pendiam, tegas, lucu atau bergaya ayah tetap adalah wira dalam kehidupan kita.

Pada Hari Bapa ini, ayah layak diraikan seperti mana dia sentiasa menjadi tulang belakang keluarga dengan penuh penghargaan dan kasih sayang.

Keputusan Tengku Zafrul tinggalkan UMNO tidak jejas usaha perkukuh ekonomi negara – Ahmad Zahid

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Keputusan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk meninggalkan UMNO tidak akan memberi sebarang kesan terhadap usaha kerajaan dalam memperkukuh kedudukan ekonomi negara mahupun memperkasa sektor perdagangan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan kekal profesional dalam mengurus tadbir pentadbiran negara dan tidak mencampuradukkan hal politik dengan tanggungjawab pentadbiran serta pengurusan negara.

“Pegangan politik seseorang tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha dan tanggungjawab yang lebih besar untuk membangunkan negara.

“Kita mempunyai sempadan yang jelas antara politik dan pentadbiran dan dalam hal ini, saya memilih untuk menyantuni perbezaan pandangan yang wujud,” katanya kepada media selepas merasmikan Forum Wanita dalam Eksport 2025 anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), hari ini.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Tengku Zafrul, yang kini menyandang jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Pengerusi Matrade, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Pengerusi Pertubuhan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Ahmad Zahid ketika ditanya mengenai impak keputusan peletakan jawatan Tengku Zafrul daripada semua jawatan dalam UMNO termasuk sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja berkata, keputusan itu tidak mengganggu kelangsungan dasar-dasar kerajaan mahupun hala tuju pentadbiran sedia ada.

“Hubungan peribadi saya dengan beliau juga kekal baik. Tidak timbul isu perbalahan atau ketegangan walaupun beliau memilih haluan politik yang berbeza,” katanya lagi, menzahirkan komitmen terhadap nilai keterbukaan dan kesepaduan dalam pentadbiran negara.

Untuk rekod, Tengku Zafrul menerusi satu kenyataan rasmi bertarikh 30 Mei lalu mengumumkan peletakan jawatan beliau dalam UMNO, termasuk semua jawatan yang disandang dalam parti berkenaan dan telah menghantar surat rasmi kepada kepimpinan tertinggi UMNO sebagai tanda keputusan muktamad.

Keputusan itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pemerhati politik tanah air, namun kenyataan Ahmad Zahid hari ini memperlihatkan pendirian kerajaan yang matang dan berpandangan jauh dalam mengutamakan kestabilan serta kelangsungan pembangunan negara.

Langkah ini turut memperkukuh mesej bahawa integriti pentadbiran tidak wajar digugat oleh perbezaan fahaman politik, sebaliknya perlu berpaksikan kepada matlamat bersama demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

Maritim Malaysia santuni komuniti Kampung Temerlok, salur RM1 juta untuk pembangunan

editormaxinfo@gmail.com

TRONG – Kampung Temerlok di Trong, Perak menerima suntikan pembangunan berjumlah RM1 juta menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI yang digerakkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pendekatan holistik agensi itu kini melangkaui tanggungjawab di lautan apabila turut memberi tumpuan kepada pembangunan dan kesejahteraan masyarakat luar bandar.

“Maritim Malaysia hari ini membuktikan bahawa peranan kami bukan sekadar menjaga keselamatan perairan negara, tetapi juga berperanan menyantuni rakyat melalui pelbagai program kemasyarakatan dan pembangunan komuniti,” katanya ketika berucap dalam Program Korban dan Kerohanian APMM sempena pelaksanaan Kampung Angkat MADANI di Kampung Temerlok, pagi tadi.

Program berkenaan turut dihadiri barisan pengurusan tertinggi Maritim Malaysia, termasuk Pengarah Bahagian Perisikan (MIND), Laksamana Pertama Maritim Datuk Md Fauzi Othman; Pengarah Bahagian CARILAMAT dan Bantuan Bencana, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh; serta Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Shukri Khotob.

Turut sama menyokong inisiatif ini ialah kepimpinan setempat termasuk Penghulu Tertinggi Daerah Larut, Matang dan Selama, YBrs. Ahmad Jais Rofiee, serta Penghulu Mukim Trong dan Ketua-Ketua Kampung dari kawasan sekitar.

Melalui dana khas daripada Kementerian Kewangan, lima projek utama akan dilaksanakan bagi memanfaatkan komuniti Kampung Temerlok secara langsung.

Ini termasuk pembinaan dan pembaikan Jeti Nelayan Sungai Tok Lin yang menjadi nadi ekonomi tempatan; pembaikan bumbung Sekolah Agama Rakyat Al-Mahmudiah bagi menjamin keselesaan pelajar; penyelenggaraan Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Kebangsaan Temerlok; baik pulih Masjid Al-Mahmudiah serta kerja pembersihan kawasan masjid dan tapak perkuburan Islam.

Maritim Malaysia turut memperlihatkan keprihatinan sosial melalui program gotong-royong bersama penduduk kampung bagi membersihkan kawasan masjid lama dan tanah perkuburan, selain menyumbangkan dua unit penghawa dingin kepada bilik mesyuarat Masjid Al-Mahmudiah.

Program komuniti ini disertai lebih 150 pegawai dan anggota Maritim Malaysia dari Ibu Pejabat dan Maritim Negeri Perak.

Kehadiran mereka bukan sahaja memperkukuh semangat gotong-royong, tetapi turut menyerlahkan nilai kebersamaan antara agensi penguat kuasa dan masyarakat setempat.

Sempena sambutan Aidiladha, Maritim Malaysia turut menyumbangkan tiga ekor lembu untuk ibadah korban, dengan daging diagihkan kepada lebih 200 penduduk kampung, termasuk warga emas, ibu tunggal serta golongan kurang berkemampuan.

Menurut Mohd Rosli, pendekatan ini mencerminkan peranan agensi penguat kuasa dalam membina jalinan sosial yang erat dan memperjuangkan kesejahteraan komuniti selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kasih sayang, keadilan sosial dan kepercayaan antara kerajaan dan rakyat.

Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan mock-up sumbangan penghawa dingin kepada wakil masjid, penyampaian cenderahati kepada penghulu dan ketua kampung serta lawatan ke tapak-tapak projek pembangunan yang sedang dijalankan.

Inisiatif Kampung Angkat MADANI bukan sekadar sebuah program bantuan, tetapi lambang keprihatinan agensi kerajaan dalam menyantuni rakyat dengan pendekatan mesra, menyeluruh dan berimpak tinggi.

Ia sekali gus membuktikan bahawa kemajuan negara tidak hanya berpusat di kota, bahkan terus dipacu hingga ke ceruk desa.

Kampung Temerlok kini berdiri sebagai simbol bahawa suara rakyat luar bandar sentiasa diberi perhatian, dengan tekad kerajaan untuk menjamin kesejahteraan yang inklusif buat seluruh Keluarga Malaysia.

FSR UiTM Shah Alam perkenal sukan Flag Football dan Frisbee kepada pelajar sekolah di Terengganu

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menerajui langkah inovatif dalam bidang pembangunan sukan akar umbi apabila melancarkan program pengenalan sukan Flag Football dan Frisbee kepada pelajar sekolah menengah di Kuala Terengganu.

Program yang dinamakan “Terengganu Takeoff: United Under One Flag” dan “Frisbee Throwlogy D’Ganu” ini akan berlangsung dari 12 hingga 19 Jun 2025 dan bakal membabitkan penyertaan seramai 146 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Budiman.

Inisiatif ini adalah satu pendekatan holistik yang dirangka bukan sahaja untuk memperkenalkan dua sukan non-konvensional kepada generasi muda, malah bertujuan membina asas kukuh dalam pembentukan nilai-nilai murni seperti kepimpinan, kerjasama berpasukan dan semangat kejiranan.

Program ini turut berperanan sebagai medium pembelajaran praktikal bagi 91 pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan semester enam dari kelas SR2416NA, SR241NB dan SR241NC yang akan mengaplikasikan teori pengurusan sukan yang dipelajari dalam situasi dunia sebenar.

Pelbagai aktiviti telah dirangka sepanjang program ini, antaranya bengkel kemahiran asas dalam sukan Flag Football dan Frisbee, kejohanan mini serta demonstrasi permainan.

Di samping itu, peserta juga akan terbabit dalam aktiviti akuatik di Pulau Redang serta lawatan industri ke Pasar Payang sebagai satu usaha mendekatkan mereka dengan budaya tempatan.

Sesi pengurusan dan kepimpinan turut dimasukkan bagi melengkapkan pengalaman pembelajaran luar bilik darjah yang lebih menyeluruh.

Kualiti pelaksanaan program ini diperkukuhkan dengan kerjasama strategik bersama dua komuniti sukan iaitu Rentap (Kelab Flag Football) dan All Ultimate Roar (Komuniti Frisbee), yang menyumbang kepakaran dan sokongan profesional bagi memastikan penyampaian yang mantap dan berkesan.

Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Dekan FSR UiTM Shah Alam, Profesor Madya Dr Raja Mohammed Firhad Raja Azidin, sekali gus memperlihatkan komitmen padu fakulti terhadap pembangunan sukan peringkat akar umbi dan hubungan komuniti.

Melangkaui aspek fizikal dan teknikal sukan, program ini turut dirangka untuk membina jambatan ukhuwah antara institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah.

Ia diharap dapat menjadi permulaan kepada usaha berterusan dalam memperkenalkan alternatif sukan baharu yang bukan sahaja menarik, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan sahsiah pelajar.

Nilai-nilai seperti tolong-menolong, bertolak ansur, disiplin dan kebersamaan ditekankan sebagai teras utama sepanjang penglibatan peserta dalam program ini.

Dengan gabungan elemen pendidikan, kesukanan dan pengalaman budaya, inisiatif ini diyakini mampu mencetus perubahan positif dalam landskap sukan sekolah dan menyemai minat mendalam dalam kalangan generasi muda terhadap gaya hidup aktif dan bermakna.

HUAWEI MatePad Pro 12.2” perkenal pengalaman setaraf PC dalam rekaan tablet premium

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – HUAWEI sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai pelopor inovasi digital dengan memperkenalkan HUAWEI MatePad Pro 12.2”, sebuah tablet flagship serba canggih yang bukan sahaja menampilkan reka bentuk premium, malah menawarkan pengalaman setaraf komputer peribadi (PC) dalam satu peranti mudah alih.

Dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 18 Jun 2025, peranti ini hadir dengan kombinasi kuasa, mobiliti dan kecekapan yang bakal mengubah cara pengguna bekerja dan berkarya di mana-mana sahaja.

Menggabungkan teknologi paparan generasi baharu, keupayaan perkakasan unggul, serta reka bentuk ergonomik yang diperhalusi, HUAWEI MatePad Pro 12.2” adalah jawapan kepada keperluan golongan profesional, pereka kandungan dan pengguna moden yang menuntut produktiviti tanpa kompromi.

Tablet ini hadir dengan paparan Tandem OLED PaperMatte pertama di dunia, menampilkan tahap kecerahan mencecah 2000 nits, ketepatan warna profesional dan nisbah skrin-ke-badan sehingga 92 peratus.

Paparan ini turut disahkan oleh SGS dan TÜV Rheinland, menjamin keselesaan mata walaupun digunakan untuk tempoh yang lama.

Ciri inovatif lain yang menjadi tumpuan ialah papan kekunci pintar serba baharu yang direka bagi memudahkan produktiviti secara menyeluruh.

Dilengkapi ruang penyimpanan stylus dengan sistem magnetik dan pengecasan automatik, pengguna tidak perlu risau lagi tentang kehilangan stylus atau keperluan mengecasnya secara berasingan.

Ia sekaligus menyokong aliran kerja yang lebih intuitif dan cekap.

Menepati konsep “mod kerja dalam satu saat”, peranti ini membolehkan pengguna bertukar dari mod rehat ke mod kerja secara serta-merta dengan hanya satu langkah mudah.

Mekanisme buka/tutup sepantas kilat, operasi sebelah tangan dan keupayaan pelarasan sudut paparan menjadikan ia teman ideal dalam mesyuarat, persembahan mahupun sesi kreatif di mana jua.

Papan kekunci berkenaan juga diperbuat daripada bahan eksklusif yang mesra kulit dan tahan kotoran, sesuai untuk kegunaan profesional mahupun di persekitaran keluarga.

Kesan contengan kanak-kanak juga mudah dibersihkan, menjadikannya bukan sekadar canggih tetapi juga praktikal.

Pengguna turut boleh menikmati pengalaman menaip yang setanding komputer riba menerusi susun atur papan kekunci bersaiz penuh, pad sentuh terbina dan kekunci pintasan yang serasi dengan PC.

Sokongan mod dwi-PC serta mod khas untuk penciptaan kandungan memberi kelenturan kepada pengguna untuk beralih dengan mudah antara tugasan analitik dan projek kreatif, mengikut keperluan semasa.

Keseluruhan keupayaan ini disokong oleh teknologi NearLink yang menjamin sambungan yang pantas, stabil dan konsisten, membolehkan kerja dilakukan tanpa gangguan walau dalam aliran kerja yang padat.

Lebih menarik, HUAWEI MatePad Pro 12.2” turut dipra-pasang dengan WPS Office versi setaraf PC, membolehkan pengguna mencipta dan mengurus dokumen tanpa had.

Sama ada menyediakan cadangan projek dalam mesyuarat lembaga, melakar konsep produk menggunakan stylus pada paparan seakan kertas sebenar, mahupun menganalisis data kompleks dalam mod PC semua ini kini boleh dilakukan dalam satu peranti, tanpa perlu beralih kepada komputer riba.

Perisian ini diberikan secara percuma tanpa ciri yang dipotong berbanding versi desktop.

Pengguna di Malaysia tidak perlu menunggu lama untuk memiliki peranti revolusioner ini.

Pra-tempahan untuk HUAWEI MatePad Pro 12.2” dibuka bermula 9 hingga 17 Jun 2025 dengan bayaran deposit sebanyak RM50 (daripada harga RM150).

Pelanggan yang membuat tempahan awal akan menerima pelbagai hadiah eksklusif termasuk HUAWEI M-Pencil, tetikus HUAWEI, beg galas HUAWEI, pembesar suara HUAWEI SoundJoy 2, serta perisian WPS Office setaraf PC bernilai keseluruhan RM2,045.

Pembeli awal turut menerima baucar tambahan bernilai RM100 yang boleh ditebus secara dalam talian mahupun di kedai fizikal.

Dengan pelancaran ini, HUAWEI terus menunjukkan komitmennya untuk membentuk masa depan mobiliti digital dan produktiviti moden, menyatukan kuasa, reka bentuk dan kecekapan dalam satu peranti yang komprehensif.

ERA cipta sejarah sebagai stesen radio Malaysia pertama bersiaran langsung dari dalam Stadium Old Trafford

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Stesen radio nombor satu negara, ERA terus mengukir pencapaian membanggakan apabila berjaya mencatat sejarah sebagai radio Malaysia pertama yang bersiaran secara langsung dari dalam Stadium Old Trafford, gelanggang berprestij milik kelab bola sepak legenda, Manchester United.

Pada Sabtu, 7 Jun 2025, bermula jam 10 pagi waktu Malaysia, ERA membawakan satu siaran istimewa yang dikendalikan oleh empat figura popularnya Safee Sali, Pak Azad, Fazziq dan Radin secara langsung dari tengah-tengah suasana ikonik stadium yang dikenali di seluruh dunia itu.

Siaran ini berlangsung sempena acara berprofil tinggi, Influencer Friendly Match yang dianjurkan oleh eFootball dan berjaya menarik perhatian ramai peminat bola sepak di peringkat serantau.

Perlawanan persahabatan yang berlangsung di atas padang bersejarah itu mempertemukan dua pasukan istimewa Team Safee Sali yang mewakili Malaysia dan Team Atep yang diketuai oleh bekas pemain kebangsaan Indonesia, Atep, mewakili negara jiran.

Bagi Malaysia, pasukan diketuai oleh legenda bola sepak tanah air, Safee Sali, turut dibarisi oleh penyampai ERA, influencer eFootball tempatan serta seorang pemenang bertuah hasil penyertaan dalam peraduan khas yang dianjurkan oleh ERA sebelum ini.

Penyertaan secara langsung ini bukan sahaja menjanjikan pengalaman luar biasa buat mereka yang terbabit, malah mengangkat nama Malaysia dalam landskap hiburan dan sukan antarabangsa.

Pengurus Jenama ERA, Azah Zahrin berkata, siaran langsung dari Old Trafford ini bukan sekadar pencapaian teknikal, tetapi satu momen penting dalam sejarah penyiaran radio negara.

“Kami di ERA amat berbangga kerana berjaya menjadi stesen radio Malaysia pertama yang bersiaran dari dalam Stadium Old Trafford.

“Ini bukan sekadar siaran biasa tetapi adalah momen bersejarah yang membuktikan ERA sentiasa mendahului dalam menyampaikan kandungan unik dan eksklusif kepada pendengar kami.

“Ini adalah lambang komitmen kami untuk terus melangkaui batasan geografi dan mencipta pengalaman yang luar biasa,” katanya.

Menambahkan lagi keistimewaan acara ini, kru ERA turut diberikan peluang menyertai lawatan khas sekitar stadium yang meliputi kawasan-kawasan terhad seperti lorong pemain, bilik persalinan dan permukaan padang yang menyaksikan pelbagai detik bersejarah dalam dunia bola sepak antarabangsa.

Rakaman untuk siaran khas ERA turut dijalankan dalam kawasan stadium itu sendiri, menjadikan ERA sebagai stesen radio Malaysia pertama yang merakam dan menyiarkan kandungan dari dalam kawasan padang Stadium Old Trafford.

Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan ERA dalam mempelopori pendekatan baharu dalam penyiaran, malah membuka ruang kepada pendengar di Malaysia untuk menikmati pengalaman eksklusif yang jarang sekali ditawarkan oleh mana-mana media tempatan.

Ia juga menjadi bukti bahawa radio masih relevan dan mampu berevolusi dengan cara tersendiri, menembusi sempadan geografi demi menyampaikan kandungan yang berkualiti dan bermakna.

Dengan pencapaian ini, ERA terus memperkukuh kedudukannya bukan sahaja sebagai peneraju siaran radio tempatan, tetapi juga sebagai peneraju inovasi dalam industri penyiaran serantau.

Gabungan dunia kopi dan permainan digital curi tumpuan, Luckin Coffee lancar Fruity Series bersama kolaborasi eksklusif Honor of Kings

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Lima bulan selepas menembusi pasaran Malaysia, Luckin Coffee terus mengukuhkan kehadirannya menerusi pelancaran rangkaian minuman baharu yang dinanti-nantikan iaitu Fruity Series.

Menerapkan cita rasa unik dengan gabungan buah-buahan segar dan kopi premium, siri minuman ini mencetuskan fenomena baharu dalam landskap kopi tempatan.

Fruity Series mempersembahkan pilihan menarik seperti Orange Americano, yang menggabungkan rasa sitrus menyegarkan dengan kehalusan espresso, serta Grape Fizzy Americano, minuman berkarbonat manis yang membangkitkan kesegaran dalam setiap hirupan.

Ditawarkan secara eksklusif di semua cawangan Luckin Coffee di seluruh negara kecuali Pavilion Damansara Heights dan AEON Maluri, siri ini bukan sekadar pilihan minuman tetapi turut menjadi simbol gaya hidup baharu, khusus untuk generasi muda yang gemar mencuba sesuatu yang berani dan luar daripada kebiasaan.

Menariknya, pelancaran Fruity Series turut disertai kolaborasi strategik bersama permainan mudah alih popular, Honor of Kings (HOK), yang semakin mendapat tempat dalam kalangan anak muda Malaysia.

Kerjasama ini bukan sekadar inisiatif pemasaran, tetapi pertembungan dua dunia kopi dan permainan digital yang memberikan pengalaman baharu kepada pelanggan.

Sebagai sebahagian daripada pelancaran, Luckin Coffee telah menganjurkan sesi temu mesra khas pada 8 Jun lalu di cawangan Sunway Pyramid.

Acara ini menyaksikan kehadiran dua cosplayer terkenal, Angellowee dan Lea, yang tampil mempersona dalam kostum watak Shi dan Yao daripada permainan HOK.

Suasana kafe bertukar meriah apabila peminat hadir beramai-ramai untuk berswafoto, mendapatkan gambar kenangan, serta berinteraksi secara langsung dalam suasana yang imersif, menghidupkan elemen fantasi permainan ke alam realiti.

Peminat yang membeli Fruity Series pada hari berkenaan turut menerima kad foto eksklusif, manakala beberapa pengunjung bertuah berpeluang menikmati sesi bergambar peribadi bersama cosplayer kegemaran mereka.

Sepanjang tempoh dari 6 hingga 30 Jun 2025, Luckin Coffee menawarkan barangan edisi terhad hasil kolaborasi dengan HOK.

Antaranya termasuk pop socket, gantungan telefon dan pelekat holografik yang direka khas untuk meraikan semangat permainan dan gaya hidup kontemporari.

Pelanggan boleh mendapatkan barangan ini menerusi tiga pakej istimewa yang ditawarkan:

-Kombo Solo Buff (RM12): Satu minuman daripada Fruity Series bersama pop socket atau gantungan telefon.

-Kombo Duo Buff (RM20): Dua minuman sama ada kedua-duanya daripada Fruity Series atau gabungan satu Fruity Series dan satu minuman bestseller serta satu barangan pilihan.

-Kombo Fruity Boost (RM18): Dua minuman daripada Fruity Series untuk kesegaran berkembar.

Setiap pembelian kombo turut disertakan pelekat holografik eksklusif, menjadikannya rebutan peminat tegar HOK.

Bagi menambah keterujaan, Luckin turut menawarkan ganjaran istimewa kepada pelanggan yang aktif di media sosial.

Dari 6 hingga 8 Jun, 100 pelanggan pertama setiap hari yang memuat naik gambar bersama standee Honor of Kings di Instagram atau Facebook menggunakan tanda pagar #BuffUpWithLuckin serta menandai akaun @luckincoffee.msia dan @HonorofKingsMalaysia, berpeluang menebus Pakej Buff Up.

Pakej ini merangkumi Fizzy Grape Americano percuma, baucar “Beli 1 Percuma 1”, serta dua kupon diskaun 40 peratus yang semuanya boleh ditebus melalui aplikasi Luckin Coffee selepas pengesahan kakitangan.

Pelancaran ini memperlihatkan pendekatan kreatif Luckin dalam memahami kehendak generasi muda masa kini gabungan cita rasa inovatif, pengalaman pelanggan yang mendalam, serta integrasi elemen budaya pop dan digital.

Dengan kerjasama seperti ini, Luckin Coffee mengukuhkan peranannya bukan sahaja sebagai penyedia minuman berkualiti, tetapi juga sebagai pencetus gaya hidup baharu yang menepati citarasa belia moden.

Dengan jalinan kerjasama strategik bersama jenama-jenama terkemuka seperti Honor of Kings, Luckin Coffee terus melakar nama sebagai pelopor budaya kopi moden di Malaysia.

Vietnam catat lebih 9.2 juta pelancong antarabangsa dalam lima bulan pertama 2025

editormaxinfo@gmail.com

HANOI – Industri pelancongan Vietnam terus menunjukkan momentum positif apabila negara itu merekodkan kehadiran lebih 9.2 juta pelancong antarabangsa dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Angka terbabit menunjukkan peningkatan sebanyak 21.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut laporan Agensi Berita Vietnam (VNA) yang memetik kenyataan rasmi daripada Pihak Berkuasa Pelancongan Kebangsaan Vietnam (VNAT).

Kemasukan pelancong asing ke negara itu kekal kukuh, meskipun musim kemuncak pelancongan telah berakhir.

Pada bulan Mei sahaja, seramai 1.53 juta pelawat dari luar negara direkodkan memasuki Vietnam peningkatan sebanyak 10.5 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Capaian ini dianggap luar biasa dan dilaporkan sebagai rekod tertinggi dalam tempoh 10 tahun bagi bulan berkenaan.

Pendapatan hasil pelancongan dalam tempoh Januari hingga Mei dianggarkan mencecah VN$38.4 trilion, bersamaan kira-kira US$1.47 bilion.

Ia menunjukkan lonjakan ketara sebanyak 24.7 peratus berbanding jumlah yang direkodkan pada tempoh sama tahun 2024, sekali gus membuktikan bahawa sektor pelancongan kini menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi negara.

Statistik menunjukkan bahawa perjalanan udara kekal sebagai laluan utama kemasukan pelancong, merangkumi 85.2 peratus daripada jumlah keseluruhan ketibaan.

Laluan darat pula menyumbang sebanyak 12.9 peratus, manakala perjalanan melalui laut mencatatkan peratusan terkecil iaitu hanya 1.9 peratus.

VNAT dalam kenyataannya berkata, walaupun Vietnam mempunyai garis pantai yang panjang serta infrastruktur pelabuhan yang berpotensi, sektor pelancongan maritim negara itu masih belum dibangunkan secara menyeluruh.

China terus mengungguli senarai sebagai penyumbang terbesar pelancong antarabangsa ke Vietnam, dengan lebih 2.36 juta pelawat.

Korea Selatan berada di tempat kedua dengan lebih 1.9 juta pelawat.

Negara-negara lain yang turut menyumbang kepada peningkatan ini termasuk Taiwan (533,000 pelawat), Amerika Syarikat (375,000), Jepun (342,000), Kemboja (325,000), India (272,000), Australia (241,000), Malaysia (221,000) dan Rusia (210,000).

Kehadiran pelancong dari Malaysia menempatkan negara itu dalam kelompok 10 pasaran pelancongan utama bagi Vietnam sepanjang tahun ini setakat bulan Mei.

Dalam pada itu, pihak berkuasa pelancongan Vietnam berkata, walaupun jumlah kemasukan pelancong semakin meningkat secara semula jadi tanpa keperluan promosi besar-besaran, usaha promosi dan pemasaran akan tetap diteruskan.

Langkah itu selaras dengan sasaran negara untuk menarik antara 22 hingga 23 juta pelancong antarabangsa menjelang akhir tahun 2025.

Vietnam kini berada di landasan yang kukuh untuk muncul sebagai antara destinasi pelancongan paling kompetitif dan popular di rantau Asia Tenggara, berbekalkan keindahan alam semula jadi, warisan budaya yang kaya serta kestabilan politik dan ekonomi yang berterusan.