27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 18, 2026

Keputusan Tengku Zafrul tinggalkan UMNO tidak jejas usaha perkukuh ekonomi negara – Ahmad Zahid

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Keputusan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk meninggalkan UMNO tidak akan memberi sebarang kesan terhadap usaha kerajaan dalam memperkukuh kedudukan ekonomi negara mahupun memperkasa sektor perdagangan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan kekal profesional dalam mengurus tadbir pentadbiran negara dan tidak mencampuradukkan hal politik dengan tanggungjawab pentadbiran serta pengurusan negara.

“Pegangan politik seseorang tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha dan tanggungjawab yang lebih besar untuk membangunkan negara.

“Kita mempunyai sempadan yang jelas antara politik dan pentadbiran dan dalam hal ini, saya memilih untuk menyantuni perbezaan pandangan yang wujud,” katanya kepada media selepas merasmikan Forum Wanita dalam Eksport 2025 anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), hari ini.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Tengku Zafrul, yang kini menyandang jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Pengerusi Matrade, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Pengerusi Pertubuhan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Ahmad Zahid ketika ditanya mengenai impak keputusan peletakan jawatan Tengku Zafrul daripada semua jawatan dalam UMNO termasuk sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja berkata, keputusan itu tidak mengganggu kelangsungan dasar-dasar kerajaan mahupun hala tuju pentadbiran sedia ada.

“Hubungan peribadi saya dengan beliau juga kekal baik. Tidak timbul isu perbalahan atau ketegangan walaupun beliau memilih haluan politik yang berbeza,” katanya lagi, menzahirkan komitmen terhadap nilai keterbukaan dan kesepaduan dalam pentadbiran negara.

Untuk rekod, Tengku Zafrul menerusi satu kenyataan rasmi bertarikh 30 Mei lalu mengumumkan peletakan jawatan beliau dalam UMNO, termasuk semua jawatan yang disandang dalam parti berkenaan dan telah menghantar surat rasmi kepada kepimpinan tertinggi UMNO sebagai tanda keputusan muktamad.

Keputusan itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pemerhati politik tanah air, namun kenyataan Ahmad Zahid hari ini memperlihatkan pendirian kerajaan yang matang dan berpandangan jauh dalam mengutamakan kestabilan serta kelangsungan pembangunan negara.

Langkah ini turut memperkukuh mesej bahawa integriti pentadbiran tidak wajar digugat oleh perbezaan fahaman politik, sebaliknya perlu berpaksikan kepada matlamat bersama demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular