editormaxinfo@gmail.com
SHAH ALAM – Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menerajui langkah inovatif dalam bidang pembangunan sukan akar umbi apabila melancarkan program pengenalan sukan Flag Football dan Frisbee kepada pelajar sekolah menengah di Kuala Terengganu.
Program yang dinamakan “Terengganu Takeoff: United Under One Flag” dan “Frisbee Throwlogy D’Ganu” ini akan berlangsung dari 12 hingga 19 Jun 2025 dan bakal membabitkan penyertaan seramai 146 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Budiman.
Inisiatif ini adalah satu pendekatan holistik yang dirangka bukan sahaja untuk memperkenalkan dua sukan non-konvensional kepada generasi muda, malah bertujuan membina asas kukuh dalam pembentukan nilai-nilai murni seperti kepimpinan, kerjasama berpasukan dan semangat kejiranan.
Program ini turut berperanan sebagai medium pembelajaran praktikal bagi 91 pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan semester enam dari kelas SR2416NA, SR241NB dan SR241NC yang akan mengaplikasikan teori pengurusan sukan yang dipelajari dalam situasi dunia sebenar.
Pelbagai aktiviti telah dirangka sepanjang program ini, antaranya bengkel kemahiran asas dalam sukan Flag Football dan Frisbee, kejohanan mini serta demonstrasi permainan.
Di samping itu, peserta juga akan terbabit dalam aktiviti akuatik di Pulau Redang serta lawatan industri ke Pasar Payang sebagai satu usaha mendekatkan mereka dengan budaya tempatan.
Sesi pengurusan dan kepimpinan turut dimasukkan bagi melengkapkan pengalaman pembelajaran luar bilik darjah yang lebih menyeluruh.

Kualiti pelaksanaan program ini diperkukuhkan dengan kerjasama strategik bersama dua komuniti sukan iaitu Rentap (Kelab Flag Football) dan All Ultimate Roar (Komuniti Frisbee), yang menyumbang kepakaran dan sokongan profesional bagi memastikan penyampaian yang mantap dan berkesan.
Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Dekan FSR UiTM Shah Alam, Profesor Madya Dr Raja Mohammed Firhad Raja Azidin, sekali gus memperlihatkan komitmen padu fakulti terhadap pembangunan sukan peringkat akar umbi dan hubungan komuniti.
Melangkaui aspek fizikal dan teknikal sukan, program ini turut dirangka untuk membina jambatan ukhuwah antara institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah.

Ia diharap dapat menjadi permulaan kepada usaha berterusan dalam memperkenalkan alternatif sukan baharu yang bukan sahaja menarik, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan sahsiah pelajar.
Nilai-nilai seperti tolong-menolong, bertolak ansur, disiplin dan kebersamaan ditekankan sebagai teras utama sepanjang penglibatan peserta dalam program ini.
Dengan gabungan elemen pendidikan, kesukanan dan pengalaman budaya, inisiatif ini diyakini mampu mencetus perubahan positif dalam landskap sukan sekolah dan menyemai minat mendalam dalam kalangan generasi muda terhadap gaya hidup aktif dan bermakna.

