27.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 24, 2026

ERA cipta sejarah sebagai stesen radio Malaysia pertama bersiaran langsung dari dalam Stadium Old Trafford

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Stesen radio nombor satu negara, ERA terus mengukir pencapaian membanggakan apabila berjaya mencatat sejarah sebagai radio Malaysia pertama yang bersiaran secara langsung dari dalam Stadium Old Trafford, gelanggang berprestij milik kelab bola sepak legenda, Manchester United.

Pada Sabtu, 7 Jun 2025, bermula jam 10 pagi waktu Malaysia, ERA membawakan satu siaran istimewa yang dikendalikan oleh empat figura popularnya Safee Sali, Pak Azad, Fazziq dan Radin secara langsung dari tengah-tengah suasana ikonik stadium yang dikenali di seluruh dunia itu.

Siaran ini berlangsung sempena acara berprofil tinggi, Influencer Friendly Match yang dianjurkan oleh eFootball dan berjaya menarik perhatian ramai peminat bola sepak di peringkat serantau.

Perlawanan persahabatan yang berlangsung di atas padang bersejarah itu mempertemukan dua pasukan istimewa Team Safee Sali yang mewakili Malaysia dan Team Atep yang diketuai oleh bekas pemain kebangsaan Indonesia, Atep, mewakili negara jiran.

Bagi Malaysia, pasukan diketuai oleh legenda bola sepak tanah air, Safee Sali, turut dibarisi oleh penyampai ERA, influencer eFootball tempatan serta seorang pemenang bertuah hasil penyertaan dalam peraduan khas yang dianjurkan oleh ERA sebelum ini.

Penyertaan secara langsung ini bukan sahaja menjanjikan pengalaman luar biasa buat mereka yang terbabit, malah mengangkat nama Malaysia dalam landskap hiburan dan sukan antarabangsa.

Pengurus Jenama ERA, Azah Zahrin berkata, siaran langsung dari Old Trafford ini bukan sekadar pencapaian teknikal, tetapi satu momen penting dalam sejarah penyiaran radio negara.

“Kami di ERA amat berbangga kerana berjaya menjadi stesen radio Malaysia pertama yang bersiaran dari dalam Stadium Old Trafford.

“Ini bukan sekadar siaran biasa tetapi adalah momen bersejarah yang membuktikan ERA sentiasa mendahului dalam menyampaikan kandungan unik dan eksklusif kepada pendengar kami.

“Ini adalah lambang komitmen kami untuk terus melangkaui batasan geografi dan mencipta pengalaman yang luar biasa,” katanya.

Menambahkan lagi keistimewaan acara ini, kru ERA turut diberikan peluang menyertai lawatan khas sekitar stadium yang meliputi kawasan-kawasan terhad seperti lorong pemain, bilik persalinan dan permukaan padang yang menyaksikan pelbagai detik bersejarah dalam dunia bola sepak antarabangsa.

Rakaman untuk siaran khas ERA turut dijalankan dalam kawasan stadium itu sendiri, menjadikan ERA sebagai stesen radio Malaysia pertama yang merakam dan menyiarkan kandungan dari dalam kawasan padang Stadium Old Trafford.

Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan ERA dalam mempelopori pendekatan baharu dalam penyiaran, malah membuka ruang kepada pendengar di Malaysia untuk menikmati pengalaman eksklusif yang jarang sekali ditawarkan oleh mana-mana media tempatan.

Ia juga menjadi bukti bahawa radio masih relevan dan mampu berevolusi dengan cara tersendiri, menembusi sempadan geografi demi menyampaikan kandungan yang berkualiti dan bermakna.

Dengan pencapaian ini, ERA terus memperkukuh kedudukannya bukan sahaja sebagai peneraju siaran radio tempatan, tetapi juga sebagai peneraju inovasi dalam industri penyiaran serantau.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular