editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – TV AlHijrah tampil dengan sebuah program istimewa bertajuk Alumni Haji, yang membawa pendekatan segar dalam menyemarakkan kembali semangat haji melalui kisah-kisah menyentuh hati jemaah yang pernah menjadi tetamu Allah di Tanah Suci.
Program ini bersiaran setiap Isnin hingga Rabu, jam 6.30 petang, bermula 5 Mei hingga 4 Jun 2025.
Berbeza daripada rancangan keagamaan yang bersifat formal atau berskrip, Alumni Haji dibawakan dalam bentuk bual bicara berkonsepkan podcast, yang memberi ruang kepada jemaah untuk berkongsi pengalaman mereka secara terbuka dan ikhlas.
Dirakam sepenuhnya di studio TV AlHijrah, program ini dikendalikan oleh pendakwah bebas, Ustaz Haji Fazrul Ismail, yang turut menyumbangkan panduan rohani dan pengajaran daripada perspektif seorang pembimbing ibadah.

Melalui platform ini, penonton dapat menyelami pelbagai pengalaman mendalam jemaah sewaktu menunaikan ibadah haji termasuk detik keinsafan di Arafah, cabaran fizikal dan emosi yang ditempuhi, serta kisah-kisah luar biasa yang dilihat sebagai tanda rahmat Ilahi.
Setiap kisah disampaikan bukan sekadar untuk dikongsi, tetapi sebagai cerminan kepada penonton agar dapat mengambil iktibar dan memperbaharui hubungan dengan Allah SWT.
Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar berkata, program ini diilhamkan daripada keperluan untuk mewujudkan satu ruang yang menyatukan kembali jemaah haji selepas mereka pulang ke tanah air.
“Ramai antara mereka pulang dengan hati yang penuh rasa, pengalaman yang sarat hikmah, namun tiada ruang untuk berkongsi secara meluas.
“Alumni Haji diwujudkan sebagai jambatan agar kisah mereka tidak tenggelam begitu sahaja, sebaliknya menjadi inspirasi kepada umat Islam yang lain,” katanya.
Beliau berkata, TV AlHijrah tidak hanya sekadar menghasilkan kandungan semata-mata, tetapi mencipta sebuah ruang hidup tempat alumni haji boleh duduk bersama, memperbaharui azam dan menyemai kekuatan rohani yang pernah dirasai di Tanah Suci.
“Penonton bukan hanya mendengar cerita, tetapi diajak untuk merenung, bermuhasabah dan menghidupkan semula makna haji dalam kehidupan harian.
“Ini bukan sekadar mengenang, tetapi meneruskan perjalanan itu,” katanya lagi.
Program ini juga dilihat sebagai satu bentuk sokongan pasca-haji yang amat diperlukan oleh jemaah, memandangkan ramai dalam kalangan mereka yang mengakui berhadapan dengan cabaran untuk kekal istiqamah selepas pulang.

Kembalinya mereka ke rutin harian sering kali menyukarkan penerusan momentum rohani yang dibina sewaktu di Mekah dan Madinah.
Justeru, Alumni Haji hadir sebagai sebuah wadah penguat semangat, tempat saling mengingatkan, dan saluran untuk menyatukan kembali mereka yang pernah menjejakkan kaki di Tanah Suci.
Ia juga menjadi refleksi kepada masyarakat luas tentang makna sebenar haji bukan sekadar ritual tahunan, tetapi perjalanan jiwa yang perlu terus hidup dalam amal, akhlak dan gaya hidup seharian.
TV AlHijrah menjemput seluruh rakyat Malaysia, terutamanya alumni haji, untuk mengikuti program ini dan menjadikan setiap perkongsian sebagai cermin hati.
Untuk siaran semula dan klip eksklusif, orang ramai boleh mengikuti saluran digital rasmi TV AlHijrah.
Semoga setiap episod menyemarakkan kembali rindu ke Tanah Suci, membangkitkan semangat perubahan diri, dan membawa kita lebih hampir kepada-Nya.
Best partnership https://shorturl.fm/A5ni8
Very good https://shorturl.fm/TbTre
Super https://shorturl.fm/6539m