editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Dr Fuziah Salleh mengesahkan beliau akan merasmikan Kongres Nasional sayap-sayap parti itu pada Jumaat ini, menggantikan Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli yang sebelum ini dijadualkan untuk menyempurnakan acara berkenaan.
Menurut Dr Fuziah, keputusan untuk menggantikan Rafizi dibuat selepas pelbagai usaha dilakukan bagi memujuk Ahli Parlimen Pandan itu agar terus hadir merasmikan kongres bagi Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita KEADILAN, namun tidak berjaya.
“Saya tidak terus bersetuju apabila diminta untuk menggantikan tempat beliau.
“Sebaliknya, saya menasihatkan AMK dan Wanita KEADILAN agar mencuba sedaya upaya untuk memujuk beliau terlebih dahulu. Mereka telah pun berusaha, tetapi akhirnya tidak berhasil,” katanya.
Dr Fuziah berkata, beliau akhirnya menerima pelawaan itu demi menjaga semangat dan kesatuan dalam kalangan anggota parti, khususnya dua sayap penting KEADILAN itu.
Jelasnya, penerimaan tugas terbabit juga dibuat dengan niat untuk mengelakkan sebarang persepsi negatif yang boleh mencetuskan tanggapan bahawa AMK dan Wanita KEADILAN memihak kepada mana-mana kumpulan dalam parti, terutamanya menjelang pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung pada hari sama.
“Saya tidak bertanding mana-mana jawatan dalam pemilihan kali ini, jadi adalah lebih baik saya tampil sebagai tokoh neutral.
“Ini penting supaya sayap parti tidak dilihat condong kepada mana-mana pihak,” katanya yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Dalam pada itu, Dr Fuziah turut menzahirkan keyakinannya semua anggota parti akan kembali bersatu selepas selesai proses pemilihan, meskipun ketika ini berlaku persaingan sengit antara penyandang Timbalan Presiden, Rafizi Ramli dan pencabarnya, Nurul Izzah Anwar.
“Mereka mungkin kelihatan berbeza pandangan buat masa ini, tetapi saya percaya semuanya sayangkan parti dan mahukan yang terbaik.
“Saya yakin kita akan kembali bersatu dan terus bergerak ke hadapan demi matlamat bersama,” katanya penuh harapan.
Kongres Nasional AMK dan Wanita KEADILAN menjadi medan penting menjelang pemilihan pucuk pimpinan parti, yang dijangka menjadi antara paling mencabar dalam sejarah KEADILAN, dengan pelbagai pihak menekankan kepentingan integriti, perpaduan dan hala tuju masa depan parti reformasi itu.

