editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Kumpulan muzik terkenal dari Indonesia, Ungu, bakal menghangatkan pentas Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 12 Julai 2025, menerusi konsert istimewa bertemakan “29th Anniversary – Symphony of Ungu”.
Konsert ini sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang setia menyokong perjalanan seni mereka selama hampir tiga dekad.
Konsert yang dijadualkan bermula pada jam 8 malam itu bukan sekadar persembahan biasa, tetapi adalah satu produksi istimewa yang menyatukan keunikan muzik Ungu dengan elemen orkestra yang diolah secara eksklusif oleh maestro muzik, J.P Denny.
Persembahan berdurasi dua jam ini dijangka membawa penonton mengimbau kenangan melalui deretan lagu-lagu popular seperti Cinta Dalam Hati, Percaya Padaku, Andai Ku Tahu dan banyak lagi karya malar segar yang pernah menawan hati pendengar di Malaysia dan seluruh Nusantara.

Pemilihan Kuala Lumpur sebagai lokasi konsert ulang tahun ke-29 ini mencerminkan hubungan erat antara Ungu dan peminat di Malaysia, yang selama ini tidak pernah lekang memberikan sokongan kepada kumpulan berkenaan.
Wakil penganjur, Apex Venture Global Sdn. Bhd., Amin Aizuddin berkata, sambutan ulang tahun ini diadakan sebagai simbol penghargaan terhadap peminat yang menjadi tulang belakang kejayaan Ungu sejak awal penubuhan mereka.
“Kami percaya konsert ini mampu mencapai sasaran kehadiran seramai 2,865 orang penonton, memandangkan Ungu memiliki pengaruh dan peminat setia yang besar di Malaysia.
“Dengan hampir tiga dekad berkecimpung dalam industri muzik, nama Ungu sudah sinonim dengan karya-karya yang menyentuh jiwa dan penuh makna,” katanya.
Amin berkata, kapasiti dewan yang terhad menjadikan tiket konsert ini sesuatu yang amat dinanti-nantikan oleh peminat, justeru pembelian awal amat digalakkan bagi mengelakkan kekecewaan.

“Plenary Hall hanya mampu memuatkan kurang daripada 3,000 orang penonton.
“Oleh itu, kami menyarankan agar peminat segera mendapatkan tiket mereka kerana konsert ini pasti memberikan pengalaman yang istimewa dan sukar dilupakan,” katanya.
Tiket boleh didapati melalui platform dalam talian rasmi di www.ticket2u.com.my, dengan maklumat lanjut mengenai kelas tiket akan diumumkan dalam masa terdekat.
Konsert ini bukan sahaja menandakan satu pencapaian penting buat Ungu, tetapi turut meraikan perjalanan seni mereka yang telah memberi impak besar kepada perkembangan muzik serantau.
Ia juga dijangka menjadi antara acara muzik paling dinantikan tahun ini oleh peminat muzik pop rock Indonesia di Malaysia.
Sebarang pertanyaan lanjut mengenai konsert ini boleh diajukan terus kepada Amin di talian 012-2025019.