editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang akan berlangsung di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya, Rapid KL mengambil langkah proaktif dengan melanjutkan tempoh operasi perkhidmatan rel pada waktu puncak, bermula 23 Mei hingga 27 Mei 2025.
Langkah ini diambil bagi menyokong kelancaran pergerakan delegasi dan orang awam sepanjang tempoh persidangan antarabangsa itu.
Sepanjang lima hari berkenaan, waktu operasi tren pada waktu puncak hari bekerja akan dipanjangkan selama satu jam bagi sesi pagi dan petang.
Waktu puncak yang kebiasaannya bermula dari jam 7 pagi hingga 9.30 pagi, serta 5 petang hingga 7.30 malam, akan dilanjutkan kepada 6.30 pagi hingga 10 pagi dan 4.30 petang hingga 8 malam.
Di samping itu, kekerapan perjalanan tren pada hujung minggu juga akan dipertingkatkan, khususnya pada 24 dan 25 Mei 2025, memandangkan peningkatan bilangan penumpang dijangka berlaku berikutan pelbagai acara sampingan Sidang Kemuncak berkenaan.
Antara laluan yang terbabit termasuk Laluan Ampang/Sri Petaling yang akan beroperasi setiap empat minit berbanding lima minit biasa, Laluan Kelana Jaya setiap lima minit (dari tujuh minit), serta Laluan Kajang dan Putrajaya yang akan menurunkan kekerapan dari sepuluh ke lapan minit.
Rapid KL turut mempertingkatkan kawalan operasi sepanjang tempoh berkenaan dengan penempatan seramai 400 kakitangan tambahan di stesen-stesen rel terpilih.
Langkah ini bertujuan memastikan pergerakan penumpang dan delegasi ASEAN berjalan lancar serta selesa.
Penambahan bilangan tren secara serta-merta juga akan dilaksanakan sekiranya terdapat keperluan operasi atau lonjakan jumlah penumpang.
Dalam masa yang sama, pengguna perkhidmatan bas dan Rapid KL On-Demand dinasihatkan untuk bersedia menghadapi kemungkinan kelewatan perjalanan.
Ini susulan beberapa penutupan jalan secara berperingkat yang akan dilakukan oleh pihak berkuasa sepanjang tempoh persidangan. Antara laluan bas yang dijangka terkesan termasuk Laluan 402 (LRT Titiwangsa – LRT Maluri), Laluan 302 (LRT Titiwangsa – KLCC), Laluan 300 (Hab Pandan Indah – Lebuh Ampang), Laluan 303 (Taman Mulia Jaya – Lebuh Ampang), serta perkhidmatan On-Demand di Zon Titiwangsa – Chow Kit.
Sebagai langkah alternatif, Rapid KL menyarankan pengguna yang menuju ke kawasan tumpuan seperti KLCC dan pusat bandar raya agar menggunakan perkhidmatan rel untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Antara stesen rel yang boleh digunakan termasuk Stesen KLCC (Laluan Kelana Jaya), Stesen Persiaran KLCC dan Conlay (Laluan Putrajaya), Stesen Raja Chulan (Monorel KL), serta Stesen Bukit Bintang yang dihubungkan melalui Laluan Kajang dan Monorel KL.
Orang ramai digalakkan untuk merancang perjalanan lebih awal dan sentiasa mengikuti makluman terkini melalui saluran media sosial rasmi Rapid KL atau dengan memuat turun aplikasi PULSE bagi mendapatkan informasi masa sebenar.
Rapid KL akan terus memberikan komitmen dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang cekap, selamat dan mesra pengguna.
Sehubungan itu, warga kota diseru untuk memanfaatkan perkhidmatan awam sebagai pilihan utama bagi memudahkan pergerakan dan menyumbang kepada kelancaran trafik sepanjang tempoh persidangan serta acara berskala besar yang berlangsung di ibu negara.

