editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Bermula daripada jalan raya sebagai pemandu e-hailing, ke konti radio sebagai penyampai malam, perjalanan Irsyad Tarudin ke dunia penyiaran bukan sekadar kisah perubahan kerjaya, tetapi cerminan tekad dan kesungguhan seorang anak muda mengejar impian.
Berusia 26 tahun dan berasal dari Kedah, Irsyad kini secara rasmi menjadi sebahagian daripada keluarga Suria FM sebagai penyampai segmen malam terbaharu, Kafe Suria, yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam.
Beliau adalah pelajar Sarjana Sains dalam bidang Akuakultur di Universiti Putra Malaysia (UPM), menyeimbangkan pengajian dengan minat mendalam terhadap dunia penyiaran.
Sebelum menempa nama di udara, Irsyad menjana pendapatan harian sebagai pemandu Grab sambil meneruskan pengajian.
Kehidupannya ketika itu penuh dengan rutin harian yang padat siang di makmal, malam di jalan raya.
Namun jauh di sudut hati, hasratnya untuk menjadi penyampai radio kekal menyala.
“Menjadi penyampai radio adalah impian saya sejak kecil. Saya membesar mendengar radio dalam kereta semasa berulang-alik dari sekolah di Kulim ke rumah di Sungai Petani.
“Saya tertarik dengan cara penyampai berinteraksi dengan pendengar, dan sejak itu saya tahu, suatu hari nanti saya mahu berada di sebelah mikrofon,” katanya.
Kini impian itu menjadi kenyataan. Irsyad memilih untuk menyertai Suria FM kerana percaya ia stesen radio yang benar-benar dekat di hati rakyat.
Bagi beliau, keunikan Suria FM terletak pada pendekatannya yang aktif dalam mendekati pendengar menerusi pelbagai aktiviti lapangan dan kandungan yang bersifat interaktif serta relevan dengan gaya hidup masa kini.
Segmen Kafe Suria, yang menampilkan Irsyad sebagai ‘barista maya’, diinspirasikan daripada suasana santai sebuah kafe moden.
Ia bukan sekadar ruang hiburan, tetapi tempat untuk mendengar, berbual, berkongsi cerita dan melayani permintaan lagu dalam suasana malam yang mesra dan reflektif.
Dengan gaya penyampaian yang jujur dan kontemporari, Irsyad membawakan isu semasa, kupasan hiburan, kisah viral dan topik harian yang dekat dengan realiti kehidupan generasi muda.
Irsyad bukan nama asing dalam dunia akademik. Beliau pernah menuntut di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas dan kemudiannya melanjutkan pengajian di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang.
Irsyad adalah graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Akuakultur dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebelum menyambung pengajian di peringkat sarjana di UPM.
Sepanjang pengajiannya, beliau aktif membentangkan kajian serta mengacarakan pelbagai majlis pengalaman yang secara tidak langsung memupuk kemahiran komunikasi dan keyakinannya di hadapan khalayak.
Menurut Irsyad, peluang menggantikan segmen popular Suria Cinta yang sebelum ini dikendalikan oleh DJ Lin bukanlah satu tekanan, sebaliknya amanah besar yang disambut dengan rasa hormat dan semangat.
“Saya tidak datang untuk mengubah suasana yang telah terbina, tetapi untuk menambah elemen segar yang sesuai dengan selera generasi kini.
“Saya menghormati legasi yang ditinggalkan, dan mahu membina sambungan yang relevan dengan gaya saya sendiri,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin berkata, pihaknya yakin terhadap potensi Irsyad sebagai penyampai muda yang mampu menyuntik nafas baharu dalam kandungan malam stesen berkenaan.
“Kehadiran Irsyad membawa dimensi baharu dalam segmen malam Suria.
“Beliau bukan sahaja mampu menghiburkan, tetapi juga mencipta ruang interaksi yang santai dan bermakna bersama pendengar.
“Kami percaya Kafe Suria akan menjadi pilihan utama golongan muda untuk berehat sambil mendengar suara yang memahami mereka,” katanya.
Bagi peminat Suria Cinta, Suria FM turut mengumumkan bahawa segmen kegemaran ramai itu kini bersiaran pada setiap hujung minggu, iaitu Sabtu dan Ahad dari jam 8 malam hingga 1 pagi, mengekalkan susunan lagu-lagu jiwang dan nostalgia yang menjadi identitinya.
Sebagai penyeri malam di Suria, Kafe Suria turut menawarkan empat segmen istimewa setiap malam iaitu Nak Tahu Tak? yang mengetengahkan isu semasa dan trending, On Set yang membincangkan filem dan drama, Call & Kopi yang membuka ruang panggilan santai bersama pendengar, serta Lagu Sebelum Tidur yang memenuhi permintaan lagu-lagu galau sebelum malam berlabuh.
Dengan pendekatan segar, gaya bersahaja dan sentuhan peribadi, Irsyad bersedia untuk membawa Suria FM lebih dekat di hati generasi baharu.
Bermula 19 Mei 2025, malam di Suria tidak akan sama lagi ia kini beraroma kopi, penuh cerita dan dibawakan oleh suara anak muda yang tidak pernah menyerah pada impian.